Bintang Maya.
Bergemerlapan walau dalam gelap. Gah berdiri di atas kaki sendiri. Bangga mendabik dada. Mengecap kejayaan tanpa berpaling ke belakang. Maju melangkah, sentiasa berada di hadapan meninggalkan yang lain tak terkejar. Bebas terbang tinggi, tanpa memandang ke bumi. Naik ke langit seperti tak mahu turun lagi.
Bintang Maya.
Bukan nama sebutir bintang di langit tetapi sebuah sekolah yang terkenal serata negeri. Menjadi bahan cerita dari mulut ke mulut. Menjadi impian setiap ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menempa nama di sana. Namun tak semua mampu dan berjaya, hanya yang terpilih sahaja masuk dalam senarainya.
Segala-gala tentang Bintang Maya sangat penting untuk semua.
Tentang sekolah yang lengkap dengan kemudahan. Tentang pelajar yang sentiasa mencipta nama. Tentang guru yang sering tampil menerima anugerah dan pujian. Tentang kesempurnaan yang tidak bertepian.
Tentang Bintang Maya yang tiada tandingan.
Tentang semua.
Setiap kali posmen singgah meletakkan sampul bertanda bintang istimewa, ketika itu senyum lebar meniti dibibir penerima. Itupun sudah puas berusaha, barulah datang surat luar biasa. Ramai yang terus kecewa, sepucuk surat pun tidak diterima. Bukan mudah hendak melayakkan diri menjadi salah seorang penuntut di sana.
Untuk menjadi warga Bintang Maya, pelbagai kriteria diambil kira. Bukan sekadar kau anak orang kaya dan berada. Bukan juga sekadar kau cerdik akal dan minda. Kadang-kala tidak masuk akal juga, dia bukan siapa-siapa tapi dia ada di sana. Peluang dan rezeki sentiasa terbuka, menunggu tak kira siapa.
"Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim... saya merasmikan sesi persekolahan tahun 2003. Semoga tahun ini menjadikan Bintang Maya terus bersinar di mata dunia seperti sebelum-sebelumnya."
Tepukan gemuruh bergema.
Bertepuk bukan kerana ucapan tetapi kerana tidak perlu berada di sini lagi. Selesai jua majlis pertama mereka. Lengkap berseragam menyebabkan mereka tidak selesa. Walaupun ada pendingin hawa, dua lapisan baju yang tebal memang agak melampau juga panasnya.
Ucapan pengetua itu mengakhiri perhimpunan pertama bagi sesi persekolahan tahun ini. Orangnya rendah sahaja, tetapi suaranya tinggi. Puan Hajjah Habibah, merupakan pengetua Sekolah Bintang Maya yang ke lima dan beliau bakal menamatkan tugasnya hujung tahun ini selepas tiga tahun memegang jawatan tersebut.
Setiap pengetua yang bertugas di sini, hanya diberi masa tiga tahun memegang jawatan itu. Bermula dengan pengasasnya, sehinggalah sekarang. Sudah termaktub dalam perjanjian, setiap pengetua hanya dibenarkan memegang jawatan itu mengikut masa yang ditetapkan sahaja. Tak boleh lebih tapi kurang tak apa.
"Dengan ini, majlis bersurai. Sesi persekolahan bermula seperti biasa."
Secara rasminya, hari pertama bermula.
Dewan mula dikosongkan, hanya tinggal yang ada urusan sahaja. Yang tiada, kembali ke kelas masing-masing. Tak ramai pun pelajarnya, hanya tiga ratus orang setiap tahun. Lebih tak mungkin, kurang ya akan terjadi. Demi menjaga kualiti, hanya enam puluh orang pelajar baru sahaja akan diambil setiap tahun.
