Budak lelaki itu terus berlari dan berlari.
Tanpa menghiraukan luka di badan yang terus muncul setiap kali dia tersadung akar kayu atau tergores pucuk dan pohon berduri. 'Makhluk' itu terus mengejarnya bagaikan tiada hari esok.
Budak itu tahu, bahawa yang mengejarnya bukanlah hidupan yang biasanya ada dalam hutan itu. Dalam fikirannya hanyalah ingin meneruskan hidupnya sesuai dengan naluri setiap yang bernyawa.
Namun itu bukanlah sebab utama dia perlu hidup, ia adalah satu arahan. Kebiasaanya, tiada siapa yang akan mendekati hutan tersebut.
Penduduk kawasan tersebut sedia maklum mereka tidak boleh mendekati hutan tersebut walau apa jua yang berlaku. Tidak kira apa jenis kecemasan sekalipun, seperti ada perjanjian tidak bertulis, jelas menegaskan, JANGAN DEKATI HUTAN ITU. Terutamanya bagi mereka yang menghargai nyawa.
Namun sebaliknya pula bagi budak itu. Dia dihantar bersama 6 lagi kanak-kanak seumur dengannya menjalani ujian survival di dalam hutan tersebut. Itu pun jika sangkaannya benar. 'Institusi' tempat berkumpul kanak-kanak dari lingkungan umur 4 hingga 12 tahun itu merupakan tempat dia membesar sejak dia mula mengingat. Bercerita tentang budak-budak, teringat pula dia apa yang berlaku pada 6 lagi rakannya?
'Diorang dah lari ke tempat lain ke?'
'Atau raksasa itu dah bunuh diorang?'
Titisan jernih mula bertakung di tubir mata. Namun dia perlu gagahkan diri demi melaksanakan arahan daripada 'orang atas'. Dia perlu menjadi kuat demi memastikan dirinya boleh lagi melihat hari esok.
'Di mana kau budak?'
Satu suara bergema di dalam kepala. Satu perkara yang tidak ingin dan tidak dia jangka.
'Suara apa tu?'
Jantung berdegup semakin kencang. Panik mula menyerang. Dengan larian yang semakin perlahan, dia berharap suara itu tidak muncul semula.
Gegaran tanah semakin kuat. Dia tahu 'makhluk' itu semakin hampir. Biarpun di institut itu tidak diajar apa-apa berkenaan harapan dan kuasa ghaib, hanya data dan ujian, dalam lubuk hatinya yang paling dalam, dia berharap sesuatu yang ajaib akan berlaku.
Tidak semena-mena, dia tersepak akar kayu lalu terjelopok jatuh. Mukanya tersembam ke atas lantai hutan. Sakitnya dia saja yang tahu. Dengan kedua-dua siku dan lutut kirinya berdarah, lengan dan betis yang calar-balar, dan terbaru mungkin dahinya luka akibat jatuh tadi, dia tidak tahu adakah dia masih boleh hidup.
Bam! Hentakan kaki 'makhluk' itu dirasakan sangat hampir, sekitar 10 meter. Dia cuba bangkit, biarpun keadaannya tak ubah seperti kancil yang patah kaki. Pandangannya yang kabur cuba melihat rupa 'makhluk' besar itu. Tetapi kepalanya yang berpinar ditambah kesakitan yang mencucuk menggangu fungsi otaknya.
'Sini pun engkau. Sekarang kau boleh mati!'
Dengan suara itu kedengaran semula di dalam kepalanya, bayang tersebut kelihatan mengangkat kaki depannya, bersedia untuk menamatkan riwayat budak itu dengan kuku besar dan tajam miliknya. Budak lelaki itu hanya mampu menutup mata apabila kaki tersebut dihayunkan ke arahnya.
Senyap. Degupan jantung masih kedengaran. Dia masih lagi bernafas. Tiada bau hanyir darah atau kesakitan pada seluruh tubunya. Cuma sakit daripada anggota badannya yang luka. Dia masih lagi bernyawa. Perlahan-lahan dia membuka mata. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat bayang tersebut kaku di situ, dalam keadaan sedang menghayunkan kaki ke arahnya.
Dalam remang cahaya bulan di tengah hutan itu, kelihatan bayang seorang lelaki sedang berdiri di belakang raksasa tersebut.
"Mari ke sini," panggil lelaki misteri tersebut sambil melambai-lambai menyuruh ke mari.
Perlahan-lahan budak lelaki itu bangkit, kemudian dengan langkah yang goyang dia bergerak ke arah lelaki itu.
YOU ARE READING
Executioner
ActionWork In Progress | Mengisahkan cerita seorang lelaki yang masih lagi mencari erti sebuah hadiah teragung yang dinamakan kehidupan. Kerja sebagai pembunuh upahan memerlukan hati yang kental dan bermain dengan nyawa bukanlah untuk mereka yang pengecut...
