BAB 3

166 27 1
                                    

USAI menyiapkan diri, Daiyan atur langkah keluar dari bilik. Seperti biasa, setiap pagi dia akan keluar bekerja. Kerjanya, bukanlah kerja seperti dalam drama TV. Tidak memakai kot, tidak naik kereta mewah, tidak jumpa klien luar negara. Kerjanya hanya dengan memakai tshirt lusuh, seluar track berserta kasut getah kuning seperti Phua Chu Kang pakai tu. Pergi balik kerja, naik motosikal saja. Tiada klien. Pergi atau balik kerja, ikut suka pukul berapa.

"Morning abang!"

Kepala Daiyan menoleh ke arah datangnya sapaan itu. "Ibu ayah mana?" Soalan diajukan kepada si adik yang baru keluar dari bilik bersebelahan dengan biliknya itu.

"Kat dapur dah. Jom. Ibu masak sedap pagi ni. Nasi lemak pandan sambal udang," ujar Dayana seraya merangkul lengan abangnya.

"Ibu masak? Adik? Tak tolong?"

"Tolonglah..."

"Tolong apa?"

"Tolong makan..." Dayana tergelak kecil selepas berkata sebegitu.

Tergeleng kepala Daiyan. Masuk ke dapur, aroma santan dan daun pandan menusuk kuat ke rongga hidung. Daiyan melangkah ke arah ibunya yang sedang berdiri di hadapan kabinet dapur. Peluk kejap bahu wanita itu, satu kucupan lembut diberikan pada pipi si ibu. "Selamat pagi, ibu."

Puan Dahlia menoleh sesaat ke sebelah. Bibirnya ukir senyum tipis. "Selamat pagi."

"Ibu masak apa? Sedap bau," ujar Daiyan. Meskipun dia sudah tahu apa yang dimasak oleh ibunya untuk sarapan pagi itu, sengaja dia mahu menyoal lagi.

"Nasi lemak pandan sambal udang. Kan kegemaran Iyan dengan Nana," jelas Puan Dahlia.

"Terima kasih ibu. Sayang ibu," ucap Daiyan lalu mengucup sekali lagi pipi ibunya.

"Sudahlah tu cium pipi ibu tu. Jeles ayah yang melihatnya ni." Encik Dahlan yang sudah duduk di kerusi meja makan mencelah.

"Entah abang ni. Ibu tu kan ayah punya. Broken ayah nanti, dah tak pasal ayah pi terjun kat tali air tu. Siapa susah nanti?" Dayana pula menyampuk.

"Ada-ada je adik ni." Puan Dahlia geleng kepala. Teko yang berisi air teh o panas itu diangkat lalu dibawa ke meja makan.

Daiyan mengikut ibunya daripada belakang. Kerusi di sebelah Dayana ditarik lalu dilabuhkan punggungnya. Daiyan terus capai pinggan lalu diletakkan satu setengah senduk nasi lemak yang masih berasap itu di atas pinggan. Sambal udang diletakkan di atas nasi. Timun, ikan bilis, telur rebus dan kacang goreng turut diletakkan di atas nasi. Memang kegemarannya. Makan dua pinggan pun belum tentu cukup. Kedua tangan ditadah lalu doa makan dibaca. Habis baca doa, mata Daiyan terkebil-kebil apabila pinggannya sudah tiada. Dia menoleh ke sebelah.

"Adik..." Terketap giginya apabila melihat Dayana elok saja makan nasi lemak miliknya.

"Hehe, abang ambil baru ya. Terima kasih." Dayana tayang wajah tidak bersalah.

"Adik, kenapa buat abang macam tu? Tak elok tau." Puan Dahlia menegur. Kepalanya tergeleng kecil dengan perangai tidak semenggah anak daranya.

Dayana sengih. Tangan kanan abangnya dicapai lalu dikucup lembut. "Maaf ya abang. Takmo marah. Nanti tak hensem. Hehe." Sejurus itu, Dayana menyambung semula suapannya.

Daiyan tidak berkelip memandang adiknya itu. Tarik nafas, hembus. Cuba bertenang. Mujur gadis itu satu-satunya adik yang dia ada. Jika tidak, mungkin dia akan jadi singa jantan. Capai pinggan lain, diisi dengan nasi lemak dan lauk-pauknya.

"Oh ya, ayah nak tanya Iyan sesuatu ni."

Tumpuan Daiyan pada nasi lemak beralih seketika. "Tanya apa ayah?"

"Ayah dengar, dusun arwah Pak Leman tu dah ada yang nak beli. Betul ke?" soal Encik Dahlan.

"Aah. Betullah tu. Semalam orang yang nak beli tu datang. Ada orangnya lagi kat homestay tu," balas Daiyan.

"Dengan homestay sekalilah dibelinya?"

"Katanya gitu. Tak pastilah. Iyan tak ambil tahu sangat. Karang dikata busy body pula."

"Orang mana yang nak beli tu?" Puan Dahlia pula menyoal.

"Hmm, KL." Ringkas Daiyan menjawab.

"Jauhnya. Macam mana boleh iklannya sampai ke pengetahuan orang KL."

"Alah ayah ni, sekarang zaman teknologi. Jangankan orang KL. Orang London pun boleh tahu." Dayana menyampuk.

"Habis tu, lepas ni Iyan tak kerja lagilah kan kat dusun tu? Yalah, dah milik orang lain. Mungkin dia nak guna pekerja lain. Kan?"

Daiyan diam. Betul juga apa yang ayah dia kata. Sebelum ini, anak arwah Pak Leman yang mengupahnya untuk jaga dusun dan homestay situ. Memandangkan selepas ini pemilik tanah bertukar, mungkin dia takkan kerja lagi di situ.

"Dah, makan. Tak payah fikir. Ada rezeki, adalah. Kalau tak ada rezeki kerja situ lagi, kebun sawit ayah ada." Puan Dahlia cuba menenangkan si anak.

Daiyan senyum tipis. Dia bukanlah risau sangat tentang itu. Dia di kampung itu pun, banyak kerja yang dibuatnya. Bukan sekadar kerja di dusun itu saja. Dan, dia pun ada kebun sendiri. Jadi, memang tiada masalah buatnya jika berhenti kerja di dusun itu. Rezeki, di mana-mana pun ada. Asalkan, berusaha.

BABY GIRL MR DAIYAN ( TERBIT PBAKL 2022 )Where stories live. Discover now