Bab 8

102 4 0
                                    

Oktober, 2014.

DARI jauh, Abdul Raof memerhatikan anaknya, Muhammad yang sedang duduk termenung di atas tangga. Beberapa saat dia memerhati. Langsung tak berkalih anaknya itu. Entah apa yang dimenungkannya, Raof tak tahu. Apa yang pasti, fikiran anaknya bukan di situ. Tubuh saja dekat kampung. Fikiran entah melayang ke mana-mana.

Muhammad pulang bercuti sempena menyambut hari raya haji yang bakal menjelma beberapa hari lagi. Dalam masa yang sama Muhammad dipanggil oleh Majlis Agama Islam Johor untuk menghadiri ujian hafazan. Disebabkan itu, Raof ambil cuti sehari kerana hendak menemankan Muhammad ke pejabat agama.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, ujian hafazan bukanlah perkara yang membebankan bagi anaknya kerana 30 juzuk al-Quran seperti sudah melekat dalam kepala. Tebuklah ayat mana-mana dari surah apa saja, terus saja Muhammad dapat menyambungnya.

Dulu dia bimbang juga jika Muhammad melupakan hafazannya setelah menamatkan pengajian tahfiz. Banyak cerita yang dia dengar di mana pelajar-pelajar tahfiz sudah tak ingat ayat-ayat al-Quran yang telah mereka hafal setelah mereka meninggalkan madrasah. Bukanlah tak ingat langsung tapi tak lancar. Banyak kesalahan bila disuruh baca tanpa mushaf. Kata kebanyakan ustaz, perkara ini berlaku apabila pelajar tidak lagi mengulang hafazan mereka. Mujurlah Muhammad tidak begitu. Anaknya itu tahu mendisiplinkan diri. Tak perlu disuruh atau diingatkan. Meski dalam kesibukan, Muhammad tahu bila masa hendak mengulang hafazan. Sebab itulah dia lepas ujian hafazan dengan mudah.

Sebenarnya tak perlu ambil masa yang lama pun. Bukanlah perlu baca 30 juzuk sekali harung. Satu juzuk sehari pun tak perlu tapi kalau dapat baca sehari satu juzuk, itu yang terbaik. Kata ustaz, sehari dapat baca dua helai pun sudah memadai. Janji kalam Ilahi itu tidak dilupakan sama sekali.

Raof bersyukur sangat-sangat kerana anak sulungnya tidak termasuk dalam kalangan huffaz yang alpa. Cuma kali ini Muhammad lain macam. Tidak bersemangat seperti selalu. Semalam dia nampak anaknya itu termenung. Balik dari pejabat agama pun termenung lagi.

Raof menggeleng kepala. Kecil punya hal pun dah jiwa kacau!

Raof kemudiannya mengatur langkah ke dapur, mendapatkan isterinya Nafisah yang sedang sibuk menghidang makan tengah hari.

Bangku ditarik. Duduknya kemudian dilabuhkan.

"Awak dah cakap dengan anak awak tu?" tanya Raof kepada isterinya.

"Belum." Sepatah cuma Nafisah membalas. Tangan sibuk meletak mangkuk berisi nasi ke atas meja.

"Bila awak nak cakap?" desak Raof.

"Nantilah, bang... Dia kan cuti seminggu? Ada banyak masa lagi." Nafisah tak mahu terburu-buru.

"Nanti, nanti... Nak nanti bila lagi?" Raof membebel. Dia sebenarnya risaukan Muhammad. Anaknya itu bukan sekadar banyak termenung, bercakap pun kurang. Sepatah ditanya, sepatahlah dia jawab.

"Eh, abang ni! Kalau dah tak sabar sangat, abang sendirilah pergi cakap dekat dia." Nafisah berkata. Dia pula yang hampir hilang sabar melihatkan suaminya mendesak.

"Saya ni bukan tak mahu cakap tapi kalau saya bercakap karang, dia kecil hati. Awak tu sebagai emak dia, awaklah cakap. Lagipun dia dengar cakap awak."

Nafisah tak jawab apa-apa, sebaliknya dia meneruskan kerja-kerja menghidang.

"Macam dunia dah nak kiamat sebab tak dapat kahwin dengan budak tu!" bebel Raof lagi.

Melihatkan suaminya itu tak sudah-sudah membebel, Nafisah geleng kepala.

"Budak tu patah hati, bang... Biasalah orang patah hati termenung sana sini."

"Awak tak patut galakkan dia termenung, Fisah. Sepatutnya awak nasihatkan dia. Saya risau pelajaran dia terganggu."

Qasidah Buat  Khadijah (Preview)Where stories live. Discover now