"Jacky?" Aralyn mengerutkan muka.

"Apa yang dia beritahu papa?" Hatinya mulai panas dengan apek itu. Tunggulah kejap lagi apabila balik ke GOL, pasti lunyai apek itu dikerjakannya. Tak boleh simpan rahsia langsung!

"Tak ada apa pun. Cuma dia laporkan semua yang berlaku antara Awliya dengan Qarizh kepada papa." Selamba sungguh jawapan si papa.

"Macam mana Qarizh selamatkan Awliya, Awliya menangis bagai orang kematian laki bila Qarizh sakit, macam mana Qarizh berjaga di GOL setiap malam demi lindungi Awliya..." Satu-satu dia senaraikan apa yang diberitahu oleh Jacky kepadanya.

"Itulah kisahnya. Lagipun, semua yang berlaku ni sebab Awliya mulakan dulu kan? Apa budak-budak cakap hari tu? Encik tunang... ha, encik tunang abang sayang. Awliya mengaku dalam dewan kuliah yang Qarizh ni tunang Awliya kan? Berani," perlinya pula.

Oh, mama help me!

Aralyn rasa nak hantuk je kepalanya di dinding. Tak sangka pula ulah nakalnya sebelum ini diketahui oleh papa. Sumpah dia tak tahu nak letak dekat mana mukanya sekarang. Memang masa itu, selamba habis dia panggil Qarizh dengan nama Encik Tunang Abang Sayang.

Melihat Qarizh menahan ketawa, lagilah dia rasa terlajak malu. Entah syaitan manalah yang merasuknya sampaikan berani betul dia memanggil bapak singa itu dengan panggilan tersebut. Kalaulah masa boleh diputar kembali, pasti dia akan cuba jadi wanita Melayu terakhir pada hari itu.

"Papa..." Memerah muka Aralyn dek malunya semakin menebal.

"Haih, kamu berdua ni." Prof. Dato' Dr. Hisham menanggalkan cermin mata lalu meletakkan cermin mata itu di atas meja.

"Qarizh, bila plan nak kahwin tu?" tanyanya pula kepada Qarizh.

"Jawapan tu ada pada Aralyn. Dia... tak bagi jawapan lagi sama ada terima atau tolak lamaran saya." Qarizh menjawab seraya mengerling ke arah Aralyn.

Gadis itu kelihatan malu-malu. Entah apalah yang dimalunya, dia pun tak tahu. Padahal sebelum ini, mana pernah Aralyn berlagak ayu macam perempuan Melayu terakhir. Acah-acah solehah depan papa ke macam mana ni?

Memang menipu habislah kalau depan papa, berlagak lembut pijak semut pun tak mati. Sebab yang betulnya... Aralyn Awliya itu gadis paling tak semenggah yang pernah dia kenal. Lagi haru, langsung tak control ayu bahkan perangainya nauzubillah.

Kenapa dia boleh tersuka Aralyn pun, dia tak tahu. Aneh sekali perasaan yang dinamakan cinta.

"Awliya nak kahwin tak dengan Qarizh?" tanya papa Aralyn.

"Err..." Seperti tadi, Aralyn berlagak malu-malu. Merah mukanya.

"Diam tu tanda setuju. Setuju jelah ya." Prof. Dato' Dr. Hisham pandang Qarizh lalu menguntumkan senyuman.

"Mulai hari ni, kamu kena panggil saya 'papa'," suruhnya pula.

"Baik, papa," akur Qarizh. Lancar tanpa janggal dia sebut panggilan tersebut bagaikan ketuanya itu memang papanya yang sebenar.

"Papa nak majlis diadakan segera. Benda baik tak elok dilambat-lambatkan. Ujian bertunang ni berat. Lagipun, papa risau Awliya duduk seorang tanpa teman. Dengan adanya Qarizh sebagai suami, papa senang hati," ujarnya pula.

Sekali lagi, bibir tuanya menguntumkan senyuman. Gembiranya tak usah dicakap, memang kalau boleh dia nak umumkan kepada seluruh dunia bahawa anak daranya yang berperangai tak semenggah itu akhirnya akan bersuami. Dan suaminya itu pula adalah profesor muda yang tampan dan dihormati.

"Papa rasa, bila sesuai? Saya ikut saranan papa je," tanya Qarizh.

"Sebulan dari sekarang, sempat kan?" tanya balik si penerima soalan.

HI, ENCIK PROFESSOR!Where stories live. Discover now