"Masa sebulan yang mami bagi tu, berjalan tau. Kamu jangan buat-buat lupa. Kalau tak, mami kahwinkan je kamu dengan Syed Thaqif," ugut Sharifah Andra.

"Ya, mami. Hani tak lupa." Dalam kepala, Elvina dah rancang banyak perkara untuk dia pikat Syed Eusoff. Dia yakin, pasti Sharifah Andra juga akan turut suka dengan Eusoff.

Masalahnya sekarang macam mana dia hendak pikat Syed Eusoff kalau sedikit pun lelaki itu tidak mahu berbaik-baik dengan dia? Tapi, dia suka! Dia sukakan cabaran. Dia rasa tercabar apabila lelaki itu tidak mahukan dirinya kerana tiada lelaki yang pernah menolak dia sebelum ini.

"Mami tunggu je lah. Satu hari nanti Hani akan bawa dia jumpa mami dengan daddy." Elvina lorek senyum.

"Iyelah. Mami tunggu. Apa yang pasti, lelaki itu kena ikut ciri-ciri yang mami nak. Kalau tak, mami reject." Sharifah Andra memberikan amaran.

"Baik, mamiku sayang. Kali ni Hani yakin yang mami akan sukakan lelaki itu," ujar Elvina.

"Dah la. Mami nak turun. Kamu jangan lupa mandi, lepas tu turun makan." Sharifah Andra bangkit daripada duduknya lantas berjalan ke arah pintu bilik.

"Okey, mami. Jumpa dekat bawah," laung Elvina apabila kelibat Sharifah Andra hilang dari pandangan.


ELVINA melangkah masuk ke dalam pejabat Eusoff. Di tangannya, ada sebuah beg kertas berisi bekas makanan di dalamnya. Memberikan makanan kepada Eusoff hari-hari termasuklah dalam perancangannya. Hari ini merupakan hari pertama dia melakukan misi memikat Tuan Syed.

"Morning, Tuan Syed." Elvina melangkah dengan anggun ke arah meja kerja Eusoff.

"Morning," balas Eusoff sepatah. Sebelum Elvina masuk lagi dia sudah tahu. Maklumlah, minyak wangi yang dipakai pada badannya seperti tumpah satu botol. Naik pening kepalanya.

"I ada hadiah untuk Tuan Syed." Elvina memulakan bicara.

Eusoff memanggung kepala. Hari ini wanita itu nampak lain. Barangkali kerana dia memakai blaus biru laut bercorak floral bersama dipadangkan dengan kain yang mengikut bentuk tubuh separas lutut. Lebih sopan daripada hari kebiasaan.

"I ada makanan untuk you. Nanti you tak payah susah-susah turun makan lunch. Makan je makanan yang I bagi ni." Serentak itu, Elvina menghulurkan beg kertas tersebut di hadapan Eusoff.

"Apa ni?" soal Eusoff.

"Nasi putih, asam pedas ikan pari dan sayur kobis masak lemak." Elvina melorek senyum manis. Dia duduk di atas kerusi berhadapan dengan Eusoff tanpa dipinta.

Eusoff meneguk liur. Dia rasa ingin menolak, tapi makanan yang Elvina sediakan itu sangat membangkitkan seleranya.

"Ambillah, Tuan Syed. Orang kata rezeki jangan ditolak. Penat I bangun pagi-pagi untuk masak tau," kata Elvina. Hentam sajalah cakap dia yang masak. Kata nak pikat hati. Kalau cakap bibik masak, mesti kena reject.

"Okey, terima kasih." Akhirnya, Eusoff memutuskan untuk menerima pelawaan Elvina. Bukan sebab dia dah jatuh suka pada wanita itu. Tapi sebab dia dah lama tak makan lauk kampung.

"Tapi lepas ni tak payah susahkan diri masakkan untuk I. I boleh makan dekat luar." Eusoff menyambung kata-katanya. Dia Kembali menyambung kerja yang tergendala sebentar tadi.

"Tak susah mana pun. Lagipun you kena biasakan diri makan masakan I. Nanti hari-hari you kena makan." Mata dilirik menggoda.

"Ehem." Eusoff berdeham untuk menghilangkan rasa janggal yang terbina antara mereka.

"I ada satu soalan untuk Tuan Syed."

"Ya," balas Eusoff.

"You duda, kan? Maksudnya you single dan available la sekarang?" Terjongket kening Eusoff apabila mendengar soalan yang keluar dari mulut Elvina.

"Kalau soalan peribadi, I rasa kalau I tak jawab pun tak apa." Senada sahaja suaranya.

"Kalau you tak nafi, maksudnya betul. Makin cerahlah peluang I untuk dapatkan you," ujar Elvina berani. Tangan kanan Eusoff yang sedang memegang tetikus dipegang oleh Elvina lantas diusap perlahan.

Segera Eusoff mengalihkan tangannya kerana tidak selesa. Dia mencerlung Elvina tajam, "Kita dekat pejabat. Kalau orang lain nampak, macam-macam mereka akan fikir. Jadi tolong hormat." Tegas Eusoff berbicara dalam masa yang sama memberi peringatan.

"Okey la, Tuan Syed. I nak sambung buat kerja dulu. Nanti kirimkan salam I kepada Emiir. Cakap yang Kak Hani rindukan dia." Tidak mempedulikan kata-kata Eusoff, Elvina mengangkat punggungnya.

"Enjoy your lunch, Tuan Syed. Hopefully you will like it." Sempat Elvina menghadiahkan kenyitan mata sebelum dia keluar dari pejabat.


HER EUSOFF (TERBIT: EBOOK)Where stories live. Discover now