Bukan Pengkhianat

1.8K 55 3
                                    

Pukul 9.53 malam.

Raudhah berdiri di tepi tingkap biliknya. Langsir berwarna oren lembut diselak sedikit, cukup-cukup untuk memastikan yang hanya sebelah matanya saja yang dapat mengintai melalui tingkap itu. Dia perasan ada sebuah Proton Gen2 berwarna hitam sedang berhenti di simpang jalan rumahnya. Sebenarnya, dia dah lama perasan kereta itu – dah lima hari. Dan sepanjang lima hari ini, Raudhah rasa sangat tidak tenteram.

Kenapa?

Sebab dia tahu kereta itu sebenarnya sedang mengintip dia! Baru lima hari lepas Raudhah betul-betul perasan yang selama ini dia diekori. Dia tak berani memberitahu sesiapa walaupun kepada Ajil, adiknya sendiri. Sampai sekarang, Ajil tak tahu apa-apa pun tentang perkara ini. Dia takut kalau dia memberitahu Ajil, adiknya itu pula yang akan susah hati.

Yang menjadi persoalannya sekarang, apa sebenarnya motif orang yang mengekorinya itu?

**********


"Abah dengan mama nak pergi umrah hujung bulan ni." Ezwan memberitahu sambil berdiri di depan Raudhah.

Raudhah mendiamkan diri. Separuh hatinya berasa gembira dan bersyukur dengan berita itu tapi separuh lagi hatinya terasa... kosong. Dia mendiamkan diri sambil berpeluk tubuh di situ – di lobi aras bawah pejabatnya. Sebenarnya boleh saja dia dan Ezwan duduk di sofa, tetapi masing-masing memilih untuk berdiri saja.

Okey. Mungkin ada orang yang pelik kenapa dia dengan Ezwan nampak dingin. Biar dia jelaskan.

Ezwan itu sebenarnya abang tirinya. Abah berkahwin dengan ibu kepada Ezwan iaitu Makcik Dina lima tahun yang lepas, semasa Raudhah berumur 20 tahun. Dia bukanlah nak menjadi seorang anak tiri yang tipikal – yang sangat membenci ibu tirinya, tapi keadaan yang memaksa dia menjadi keras hati begitu. Dia tak boleh menerima yang abah sebenarnya dah lama berhubung dengan Makcik Dina, sejak arwah ibu masih hidup lagi! Tergamak betul abah menduakan ibu tanpa pengetahuan ibu!

Sebab itu apabila abah mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Makcik Dina, Raudhah dah memasang dendam terhadap abah dan Makcik Dina. Abah berkahwin dengan Makcik Dina hanya sepuluh bulan selepas ibu pergi. Sepuluh bulan! Tidakkah itu satu masa yang sangat singkat? Raudhah bertambah sakit hati apabila Ajil selalu mengadu yang abah langsung tidak memberi perhatian terhadap Ajil selepas berkahwin. Sebab itu apabila Raudhah dah mula bekerja, dia mengajak Ajil tinggal sekali bersamanya.

Apabila dikira-kira balik, hampir tiga tahun Raudhah 'melarikan' diri dari rumah abah. Dia jarang melawat abah dan keluarga barunya. Cuma Ajil saja yang rajin melawat abah. Adiknya itu bagus, langsung tidak menyimpan sebarang perasaan marah terhadap abah dan Makcik Dina. Raudhah saja yang beremosi lebih. Maklumlah... dah namanya perempuan.

"Datang rumah minggu depan, hari Sabtu. Abah buat kenduri sikit." Ezwan menyambung lagi.

Raudhah sekadar mengangguk. Dia langsung tak bersuara. Dia memang jarang beramah mesra dengan abang tirinya. Dia pun pelik kenapa Ezwan sanggup datang ke pejabatnya semata-mata untuk memberitahu berita ini. Bukannya Ezwan tak boleh memaklumkan kepada Ajil. Hubungan Ajil dengan Ezwan lagi baik daripada hubungan Raudhah dengan abang tirinya itu.

"Ajak Ajil sekali. Kalau boleh, datang la awal sikit. Mana tahu boleh tolong apa-apa yang patut."

Raudhah angguk lagi.

Ezwan mengeluh perlahan. Mungkin sedikit terasa dengan respons dingin Raudhah.

"Raudhah..." panggil Ezwan. "Sampai bila nak jadi macam ni? Abah really needs you. Lagi-lagi bila abah nak pergi umrah ni."

"Abah tak cakap apa-apa pun," balas Raudhah, dingin. Dia tahu dia tak sepatutnya bersikap biadap dengan Ezwan. Ezwan seorang abang yang baik. Sangat, sangat baik. Itu yang diceritakan oleh Ajil. Tapi, Raudhah tetap dengan pendiriannya – dia takkan berbaik dengan sesiapa saja yang telah melukakan hati arwah ibunya dulu. Termasuklah Ezwan, sebab Ezwan itu anak lelaki Makcik Dina. Inilah yang orang kata 'marahkan emak, anak yang menjadi mangsa'.

Cerpen 2014Where stories live. Discover now