(preview) TOYOL - sebuah nove...

By BukuFixi

310 4 0

(preview) Pertemuan dengan seorang perempuan tua berbaju kurung hitam mencetuskan satu persatu kejadian miste... More

Bab 1 - 3

310 4 0
By BukuFixi

1

"Semuanya 25 ringgit encik!"

Sani seluk poket seluar sebelah kanan. Kosong. Rasanya dia selikan not lima puluh ringgit yang diberi ibunya tadi ke poket belah kanan. Dia seluk lagi poket seluar sebelah kiri. Yang ada cuma sebiji gula-gula yang dah separuh cair. Ya Allah! Mana pulak duit aku tadi?

"Kalau takde cash, kad kredit pun boleh," ujar juruwang farmasi itu dengan nada sinis.

"Kau ingat muka aku ni ada pakai kad kredit?" bentak Sani.

"Dah agak dah!" balas juruwang sambil mencebik.

Sani merenung tajam juruwang itu seraya tangannya masih lagi menyeluk ke dalam ke semua poket seluar jeans buruknya. Baru dia sedar ada lubang dalam poket sebelah kanan. Mungkin dari lubang itu tadi wang kertas RM50 miliknya tercicir.

"Aduhhh!"

Jeritan Sani yang kuat itu menyebabkan mata kesemua pelanggan farmasi tertumpu kepadanya. Seorang lelaki berkemeja kelabu dan bertali leher muncul dari bilik di belakang kaunter juruwang. Pada dadanya ada tanda nama PENGURUS.

"Ada masalah ke?"

Sani garu kepala. "Duit saya jatuh. Tadi memang saya ada bawak. Saya nak beli Ventolin ni untuk mak saya," jawabnya, cuba meraih simpati pengurus farmasi itu. "Tolong tuan. Saya janji saya bayar esok."

Pengurus itu ketap bibir. "Dah selalu sangat saya dengar dialog macam ni. Selalunya dari penagih dadah," sindirnya tajam. "Maaf, polisi syarikat kami tak bagi orang berhutang. Encik boleh balik ambik duit dan datang lagi lepas ni. Banyak stok, jangan risau."

Tanpa mempedulikan wajah Sani yang dah merah padam tahan marah, pengurus itu bagi isyarat agar pelanggan seterusnya membuat bayaran.

"Heh, kurang ajar! Penagih dadah kau panggil aku?"

Pengurus farmasi itu geleng kepala. "Encik nak bertekak dengan saya, tunggu dulu. Belakang encik ada sorang customer tunggu. Bagi dia bayar dulu."

Sani menoleh. Ada seorang lelaki dan seorang perempuan tua berbaju kurung hitam. Dia kembali memandang pengurus itu.

"Kau ni buta agaknya. Belakang aku ada dua orang, bukan sorang! Sekarang, siapa yang penagih dadah sebenarnya?" bentaknya nyaring.

Pengurus dan juruwang saling berpandangan.

"Encik, belakang encik ada pakcik tu seorang aje, takde orang lain. Saya rasa encik ni mabuk agaknya. Tolong ke tepi. Terima kasih"

Sani menoleh lagi. Ternyata, ada dua orang di belakangnya.

"Ada dua orang! Pakcik ni dan mak cik baju hitam kat belakang dia! Kau buta ke? Ada dua orang! Dua! Dua! Dua!"

Berkerut kening pengurus itu melihat kelakuan Sani yang macam orang gila.

"Saya rasa baik encik pergi, sebelum saya panggil security. Encik ni kalau tak mabuk, gila agaknya."

Tangannya diangkat dan dikepal. Sani dah bersedia untuk melepaskan satu tumbukan ke muka pengurus itu sebelum tiba-tiba, dia rasa ada seseorang sedang menyeluk poket kiri jeansnya itu. Dia berpaling ke kiri. Perempuan tua berpakaian serba hitam itu sedang berdiri di sebelahnya dan tersenyum. Dia menepuk poket Sani dua kali sebelum terus berjalan pantas di celah-celah lorong sebelum hilang dari pandangan.

Sani tergamam.

Dia menyeluk poket seluarnya dan menarik keluar wang kertas berjumlah RM25 dari poketnya. Riak kebingungan terserlah di wajah yang cengkung dan tak bercukur itu.

"Ha! Ada pun duit! Boleh bayar sekarang kan?" ujar pengurus itu dengan nada ceria dibuat-buat.

Sani mencampak wang ke atas kaunter dengan muka masam. Juruwang mengambil wang tersebut dan mengembalikan bakinya bersama beg plastik berisi ubat dengan senyum sumbing.

"Terima kasih tuan! Tolong jangan datang lagi!" kata pengurus itu ketika Sani bergerak meninggalkan kaunter.

Sani tidak menghiraukannya. Dia lebih berminat mahu mencari perempuan tua berbaju hitam tadi. Dia tercari-cari di seluruh kawasan farmasi namun gagal menemui orang tua itu.

"Mungkin dah keluar agaknya" bisik hatinya sambil menggaru kepala yang tak gatal.

"Encik, ada apa-apa lagi yang encik perlukan ke?"

Sani tersentak. Pengurus tadi berdiri tidak jauh darinya dengan senyuman yang tak lekang dari bibir. Sani mendengus kasar sebelum melangkah keluar dari farmasi tersebut.

Dia melirik jam Rolex tiruan di pergelangan tangan kiri. Pukul 12:10 tengah hari. Patutlah perutnya dah berkeroncong. Pagi tadi dia tak bersarapan pun. Duit yang ada hanya cukup-cukup untuk makan sekali sehari untuk dua orang dan membeli ubat ibunya. Tadi dia datang dengan berjalan kaki, dan pulang juga pastilah dengan cara yang sama. Dalam fikirannya terbayang-bayang Maggi kari yang panas berasap.

Ketika melintas depan sebuah kedai mamak, aroma kari yang menusuk hidung membuat perut Sani semakin lapar. Matanya melirik ke arah beberapa pelanggan yang sedang menjamu selera. Kalau ikutkan hati nak saja dia rampas salah satu pinggan dan bawa lari sambil sumbat mulut cepat-cepat, tapi dia belum segila tu lagi. Dia melajukan langkah, mahu cepat-cepat sampai ke rumah.

* * *

Sani bekerja sebagai pekerja am di sebuah kilang perabot. Tetapi bukan sebagai pekerja tetap, sebaliknya mereka hanya akan menghubunginya kalau tenaganya diperlukan. Kerja-kerja yang dia lakukan antaranya adalah mengangkat barang, membuat pembungkusan, penghantaran, pemasangan dan sebagainya. Kadang-kadang mereka memanggilnya untuk menolong membersihkan kawasan sekitar kilang. Gajinya dibayar ikut jam. Satu jam dia dibayar lapan ringgit. Kali terakhir dia dipanggil bekerja adalah pada hari Isnin minggu lepas. Hari ini Selasa, bermakna sudah lapan hari dia cuma duduk-duduk menunggu panggilan dari penyelia kilang perabot itu.

Walaupun kerjanya berat dan gajinya kecil, Sani tetap bersyukur kerana masih ada pekerjaan. Dia tahu, bukan semua majikan sudi menggaji bekas banduan berusia 42 tahun sepertinya, apatah lagi dengan penampilannya yang kurus dan bertatu di lengan. Macam tadi, tak semena-mena dia dituduh penagih dadah.

"Kalau ikutkan hati, aku saman mamat berlagak tu!" gumam Sani pada dirinya sendiri. "Dia ingat dia kerja dalam aircond tu tinggi sangat ke pangkat dia?"

Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Sani cepat-cepat keluarkan telefon bimbit Nokia lampu suluh yang dah lebih dua tahun dipakainya. Itu pun beli dari budak-budak kutu dadah yang selalu berkeliaran di sekitar kawasan setinggan yang didiaminya. Entah-entah barang curi! Tapi Sani malas nak fikir sangat asal-usul barang-barang yang selalu dijual oleh kutu-kutu dadah itu. Dia perlukan telefon agar senang pihak kilang perabot itu menghubunginya.

Senyumannya yang lebar lesap begitu sahaja apabila dia melihat nama Raju, jirannya yang terpapar pada skrin telefon bimbit. "Ha Raju, ada apa?"

"Eh macha! Ada kereta polis kat depan rumah kau lah! Apa yang kau dah buat ni macha?"

2

Jarak dua kilometer antara rumahnya dan pekan rasa macam dua puluh kilometer. Sani berjalan sepantas mungkin di bawah terik matahari yang tegak di atas kepala. Rasa lapar tadi sudah hilang, diganti dengan runsing. Kenapa ada polis di depan rumah? Kesalahan apa yang dia buat? Adakah dia diusir dari rumah? Adakah ibunya sakit? Adakah dia akan kembali ke penjara? Ataupun polis tu tersalah rumah?

Dari jauh Sani nampak kereta polis yang dikatakan Raju itu diparkir depan rumahnya. Dia menyelinap masuk ke dalam semak samun di tepi jalan dan berjalan susup-sasap menuju ke rumahnya sehingga dia berada kira-kira 30 kaki dari pintu rumah. Baru Sani perasan di sebelah kereta polis itu ada sebuah kereta Audi A8 hitam. Kereta siapa pulak tu?

Tiba-tiba pintu hadapan rumahnya terbuka. Sani kembali bersembunyi di sebalik semak. Dia lihat dua anggota polis beruniform keluar dari rumahnya dan berjalan masuk ke dalam kereta peronda sebelum beredar. Tetapi kereta hitam tadi masih tidak berganjak.

Perlahan-lahan, Sani berjalan keluar dari semak dan menghampiri pintu depan rumah setinggan yang didiaminya. Pintu yang tidak tertutup rapat ditolak dengan hujung kaki sebelum dia menjengukkan kepalanya ke dalam. Dilihatnya ibunya sedang duduk di atas tikar getah bersama seorang lelaki berpakaian kemeja putih dan bertali leher hitam.

Puan Rahmah baru saja mahu menandatangani borang yang dihulurkan peguam di hadapannya ketika suara Sani bergema dari ambang pintu. "Mak! Nak sign apa tu?"

Lelaki bertali leher itu menoleh ke arah Sani sebelum berdiri. Sani berjalan gagah masuk ke dalam, bersedia untuk bertindak. Namun langkahnya terhenti ketika lelaki itu menghulurkan tangan untuk bersalam.

"Assalamualaikum, nama saya Reykal. Saya peguam mak cik... "

"Siapa?" potong Sani sambil menoleh ke arah Puan Rahmah.

"Mak cik kau dah meninggal. Duduk, Sani. Dengar apa Encik Reykal nak cakap ni," balas Puan Rahmah seraya menepuk-nepuk lantai, mengajak Sani duduk di sebelahnya.

Selepas ketiga-tiga mereka kembali duduk, barulah Puan Rahmah membuka cerita.

"Tadi polis datang. Diorang kata, Mak Cik Shidah kau dah meninggal."

Sani kerut kening, menoleh ke arah Reykal. "Habis tu, dia ni buat apa kat sini?"

Reykal berdeham sebelum menjawab. "Saya peguam Allahyarham Puan Rashidah. Saya datang sebab ada urusan berkaitan dengan wasiat beliau."

Terbeliak mata Sani. "Wasiat?"

Reykal mengangguk. "Puan Rashidah, kakak kepada ibu Encik Sani baru meninggal beberapa hari lepas. Saya merupakan peguam yang menguruskan tentang wasiat Puan Rashidah. Saya tak pasti Sani tahu atau tidak yang suami Puan Rashidah dah lama meninggal dan mereka tak mempunyai anak. Jadi dia memutuskan untuk mewariskan kesemua hartanya kepada kakaknya, iaitu..."

Sani mengangkat tangan, memberi isyarat minta Reykal berhenti. "Jadi maknanya... banglo tiga tingkat yang ada kolam renang kat KL tu kami punya?"

"Tidak encik, bukan harta sebesar itu, peninggalan kecik je ..."

Sekali lagi Sani menyampuk. "Oh kereta BMW dia eh?"

"Sani!" bentak ibunya. "Boleh tak bagi peluang Encik Reykal bercakap sampai habis dulu? Kau tak nak tau apa punca kematian mak cik kau? Kau ambik kisah tak?"

Sani menundukkan kepalanya.

"Erm... punca kematian tak dapat dikenal pasti. Ikut laporan doktor, kaki dan tangan Puan Rashidah tiba-tiba membengkak, lepas tu bila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan dia mengalami kekurangan darah yang serius. Walaupun dah diberi transfusi darah setiap hari, tapi masalah sama masih berulang. Hampir 100 beg darah dimasukkan sepanjang tempoh dia ditahan di hospital selama dua minggu," jelas Reykal panjang lebar.

"Kesian..." kata Sani, berpura-pura simpati.

"Dan sebab itulah apabila dia meninggal, dia meninggalkan bil perubatan yang sangat banyak. Lebih sejuta ringgit jumlahnya. Maklumlah, hospital swasta," sambung peguam itu lagi.

"Hah? Sejuta? Huish... banyak tu," ujar Sani.

Puan Rahmah di sebelah Sani menggeleng kepala. Tak sangka adiknya itu menanggung kesakitan di akhir hayatnya.

"Kami terpaksa menjual hampir kesemua harta yang Puan Rashidah miliki. Selepas ditolak hutang-hutang arwah, tak ada apa-apa lagi yang tinggal."

"What? Awak melawak kan?"

Sani sudah naik angin, mukanya merah padam.

"Saya tak melawak, Encik Sani. Selain dari bil hospital, arwah juga berusaha mendapatkan rawatan tradisional dan juga merujuk pakar di luar negara. Berjuta-juta ringgit dihabiskan untuk tujuan itu saja. Selain itu, dia selalu ke luar negara dengan seorang lelaki yang kami tak pasti identitinya."

"Jadi, apa harta yang ditinggalkan kepada kami?" soal Sani tak sabar.

"Harta-harta yang tinggal hanyalah barang-barang peribadinya seperti pakaian, gambar, kasut dan dokumen lain-lain," ujar Reykal lalu menghulurkan sekeping kertas kepada Puan Rahmah.

Sani mengeluh kecewa.

"Semua barangan Puan Rashidah sebenarnya dalam perjalanan ke sini sekarang. Semuanya ada 21 kotak"

"Apa! Kenapa 21 kotak? Apa yang kita nak buat dengan 21 kotak yang penuh dengan sampah dia tu? Buanglah! Bakar ke!" bentak Sani keras. "Menyemak aje. Dia ingat rumah ni tong sampah?"

"Saya minta maaf Encik Sani. Ini wasiat mak cik anda. Saya harus selesaikannya. Saya minta maaf," ujar Reykal tenang.

Puan Rahmah mengeluh berat sebelum mengambil kertas dari tangan Reykal dan menandatanganinya. Reykal kemudiannya menyimpan dokumen itu dalam beg bimbitnya.

"Saya sebenarnya ada mesyuarat penting. Kalau ada apa-apa masalah, boleh contact saya," ujarnya sambil menghulurkan kad namanya kepada Puan Rahmah. Kemudian dia terus meninggalkan rumah itu tanpa berkata apa-apa lagi.

Puan Rahmah menoleh ke arah Sani. Kening Sani tercantum, bingung. Wajahnya kemerahan, marah "Sani, kau dah beli Ventolin aku?"

Sani membisu, matanya masih memandang ke luar pintu.

"Sani!"

"Oh! Ye ye. Sini mak, ada kat sini," jawab Sani seraya menyerahkan beg plastik berisi ubat yang diminta. Dia masih menyumpah-nyumpah di dalam hati. Kaya raya tapi tinggalkan sampah pada keluarga. Menyusahkan! Dahlah selama hidup bukannya pernah datang menolong kami kat rumah ni!

Mak cik yang tiba-tiba menjadi kaya, duitnya datang entah dari mana. Mak cik yang tidak pedulikan akan kesusahan kakaknya sendiri. Dia tidak mahu menolong kakaknya sedikit pun.

"Sani, harga ubat ini 25 ringgit, habis mak tak nampak pun kau beli makanan. Mana duit lebih?"

Tersentak Sani mendengar soalan Puan Rahmah. Dia kembali teringat pada perempuan tua misteri itu.

"Errrr mak, Sani ada berita buruk dan berita baik."

"Apa?"

"Ok mak, berita buruk dulu eh. 50 ringgit yang mak kasi tu hilang dan ..."

"Apa?"

"Tunggu! Ada berita baik. Lepas tu ...."

"Kau ni memang tak berguna, Sani!"

"Tunggulah! Sani nak cerita!" ujarnya cuba menenangkan Puan Rahmah yang dah naik angin. "Duit tu jatuh sebab poket Sani berlubang. Tapi tadi masa Sani kat farmasi, ada orang tua datang bagi duit dekat Sani. Umur macam dah 70-80 tahun. Dia masukkan 25 ringgit dalam kocek Sani ni ha. Itulah yang Sani dapat beli ubat mak!" terang Sani sambil tersengih macam kerang busuk.

"Itu kau cakap berita baik? Kau hilang 25 ringgit! Patutnya baki tu kita buat beli makanan! Keperluan! Sepatutnya kau yang derma kat perempuan tua itu, ini dah terbalik! Itu berita tak guna! Tak berguna macam kau dengan adik kau tu! Tak boleh harap!"

Puan Rahmah terus berjalan masuk ke dalam biliknya. Pintu bilik dihempas kuat. Sani terkulat-kulat di ruang tamu. Hatinya tersentuh mendengar penghinaan emaknya tadi.

Seumur hidup, mereka hidup dalam kemiskinan. Sani dan adiknya Azmi memang tak berpelajaran tinggi, susah untuk mendapatkan pekerjaan tetap, lagi-lagi bila dia ada rekod jenayah. Dia rasa dirinya benar-benar tidak berguna!

3

Baru sebentar tadi datang sebuah lori menghantar kotak-kotak yang dimaksudkan oleh Reykal, peguam allahyarhamah mak ciknya beberapa jam yang lalu. Sani berdiri depan pintu masuk sambil merenung kotak-kotak yang memenuhi ruang tamu rumahnya yang selama ini lapang tanpa sofa, kabinet dan TV. Hanya ada tikar getah di lantai dan sebuah kipas meja yang sudah buruk di satu sudut.

Kalau nak ikutkan hati, mahu saja dia buang kotak-kotak itu tetapi dia tidak mahu kecilkan hati emaknya lagi. Cukuplah dia menyakiti hati emaknya untuk hari ini.

Sani membaca label label yang ditampal di kotak-kotak itu. Baju. Pinggan. Baju. Kasut. Baju. Baju. Baju. Baju. Baju. Berapa banyak baju mak cik aku ada ni? Patutlah bankrap. Asyik beli baju tak habis-habis!

Ketika dia mahu menghampiri pintu bilik ibunya, dia terpandang sebuah kotak berwarna hitam yang terletak di belakang kotak-kotak lain. Kedudukan kotak itu menyukarkan dia untuk baca label pada kotak itu. Perasaan ingin tahu membuak-buak. Sani mula mengalihkan kotak-kotak di bahagian depan satu persatu. Tak sabar nak tahu apa isi kandungan kotak berwarna hitam itu.

Kotak hitam itu diperbuat dari kadbod dan di hadapannya ada tulisan dalam bahasa Thai. Ketika dia membelek kotak itu, ada satu bau yang sangat wangi menyerbu hidung. Sani memejamkan mata, terpesona dengan haruman itu. Tiba-tiba dia terdengar dua ketukan dari dalam kotak itu.

Cepat-cepat Sani membuka mata dan menjauhkan diri dari kotak misteri itu. Bau wangi masih menerawang. Perlahan-lahan dia melekapkan telinganya pada permukaan kasar kotak itu. Kali ini dia terdengar lagi dua ketukan dan bunyinya semakin kuat!

(TAMAT PREVIEW)

Continue Reading

You'll Also Like

23.3K 2.4K 73
Horror | Comedy | Cakap pasal hantu, semua orang tahu hantu tu menakutkan dan sangat seram bila dibayangkan. Tapi tidak Danny, yang sudah lama terbia...
156K 9.1K 71
Di sini aku ingin berkongsi koleksi kisah seram yang aku hadapi. Semua ini adalah benar sebenarnya berlaku. Tiada tokok tambah cerita. Peace.
44.8K 2.2K 33
mengisahkan seorang remaja tingkatan 4 yang bernama Elman Zikri.. kehadiran elman di sekolah baru kerana dia sudah tidak mahu dibuli lagi.. namun a...
67.8K 4K 18
Masalah yang sering dialami oleh wanita dalam menguruskan sebuah benda yang dipanggil 'pad' atau bahasa sopannya iaitu 'tuala wanita'. Agak sedikit...