ROSE'S [PREKUEL DHEO'S]

By AnjellHomosapien

1.4M 62.8K 16.4K

Sebuah prekuel novel Dheo's by Anjell Dheo Han X Nurissa Rose More

PROLOG
BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 10
BAB 11
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15
BAB 16
BAB 17
BAB 18
BAB 19
BAB 20
TEASER 1
TEASER 2

BAB 9

48.9K 2.6K 522
By AnjellHomosapien

~not-edited~

BAB 9

Dan sejak itu, tiada lagi Dheo. Memandangkan tugasan untuk kelas Fine Arts hanya diberikan secara atas talian, aku tak lagi bertemu Dheo. Bila berada di kampus, sesekali aku tertoleh-toleh untuk mencarinya. Tapi bayangnya pun aku tak nampak. Aku tahu dia pun adalah pelajar School of Business sepertiku. Tapi aku tak pernah tahu dia program apa.

Hampir sebulan juga kami tak bertemu. Dan dengan kesibukan waktu kuliah dan urusan lain, akhirnya sedikit demi sedikit fikiranku terhadapnya kian menghilang.

Tiba-tiba kedengaran bunyi lubang tombol pintu bilik dicucuk kunci. Tak sampai lima saat, terkuak luas daun pintu. Terus aku kalihkan pandangan ke arah itu. Ketika itu, aku sedang duduk di meja belajarku. Sedang menulis sedikit nota sambil mengulang kaji untuk kuliah minggu lepas.

Muncul Sharifah dengan muka tak cukup tidurnya. Aku pandang pula jam di dinding. Pukul satu tengah hari. Entah ke mana dia menghilang. Mentang-mentang hari ini hari Sabtu. Semalam pun dia tak tidur di rumah.

"Kau pergi mana? Tidur mana semalam?" soalku.

Sharifah terus jatuhkan tubuh ke atas katil bujangnya itu tanpa menghiraukan pertanyaanku. Berkeriuk bunyinya.

"Aku tidur rumah Bethany. Boyfriend dia kawan kepada Henry. Dia ada buat parti," cerita Sharifah. Entah siapa Bethany itu, aku pun tak tahu.

Aku geleng kepala. Memang banyak hiburan yang ada pada hari jumaat malam sabtu. Mungkin sebab esoknya cuti, ketika itu boleh dikatakan ramai keluar berseronok. Buat lepas dendam selepas seminggu berpenatan. Buat parti, keluar pergi kelab atau disko, itu memang dah biasa.

Dan kawan aku yang seorang ini pun boleh tahan juga walaupun bukan selalu.

"Kau ni.. jangan terikut-ikut sangat dengan budaya sini, Sharifah. Kita ni orang Islam." Aku ingatkan dia. Lantaklah kalau tahi telinga nak mencair sekali pun, aku tetap juga nak buka tazkirah.

"Ya.. ya.. aku tahu, ustazah. Aku bukannya buat benda-benda teruk pun. Mana ada aku minum arak atau ambil benda-benda pelik. Saja keluar enjoy. Have fun. Aku stres belajar la." Sharifah beralasan.

Aku hanya mampu geleng kepala. Malas nak ceramah lebih-lebih. Tak pasal-pasal tarik muka pula minah ni. Aku cuma harap apa yang dikatanya itu betul.

Sudahnya, aku kembali pusingkan tubuhku untuk menghadap meja tulis. Pen hitam dakwat cair dicapai balik untuk sambung menulis. Sambung buat kerja.

"Rissa." Sharifah memanggil namaku.

"Hmm." Hanya itu aku jawab tanpa menoleh ke arahnya. Mata dan tangan laju menari di atas kertas kajang itu.

"Kau dengan Shahril ada masalah ke?"

Terus tanganku berhenti. Pegun sekejap sebelum kepala kupusingkan ke arah Sharifah. Sharifah kini sedang meniarap sambil memeluk patung dinasour hijaunya itu. Tepat dia memandangku dengan rambut perang yang kusut-masai itu.

Hanya seketika sebelum aku menyambung tugasanku.

"Takde. Asal kau tanya?" soalku balik. Kening berkerut sebab pelik. Pelik sebab soalan itu sangatlah tiba-tiba. Sejak bila berminat tentang hubunganku dan Shahril?

"Saja je tanya. Sebab nampak kau dah lama tak keluar dengan Shahril." Aku dengar Sharifah menjawab.

"Laa.. biasalah. Masing-masing sibuk. Kau ingat aku ni kau ke? Siang malam nak berkepit bawah ketiak berbulu Henry tu?" Sempat aku menyindirnya.

"Hei!" Tak puas hati si kawan. Bahananya, hampir whiplash tulang cervicalku bila tiba-tiba belakang kepalaku dibaling dengan bantal kecilnya. Aku mengaduh kesakitan sebelum ketawa.

Puas hati dapat kenakan Sharifah.

"Lagipun, Shahrilkan dah di tahun akhir. Lepas ni nak internship." Aku sambung lagi penjelasanku yang terganggu gara-gara isu ketiak berbulu tadi.

Teringat balik apa yang diceritakan oleh Shahril. Sekarang pun dia tengah sibuk siapkan resume untuk dihantarkan kepada beberapa buah syarikat. Dan target Shahril adalah syarikat yang besar-besar. Aku hanya menyokongnya dari belakang.

"Shahril ada cakap tak dia pergi mana semalam?" Sharifah bertanya lagi.

"Entah. Katanya ada discussion untuk assignment."

Pen di tangan sekali lagi pegun. Kemudian aku menggeliat kecil sebelum mengubah posisi supaya duduk menghadap Sharifah.

"Yang kau tiba-tiba berminat nak tahu pasal Shahril ni kenapa?" soalku sambil mengangkat sebelah kening. Hairan kian berganda.

Sharifah nampak seolah-olah sedang berfikir untuk seketika.

"Oh.. aku saja tanya! Sebab semalam aku macam nampak Shahril kat parti tu."

"Eh, kau biar betul!" Aku agak terkejut. Tak percaya.

"Hmm.. entahlah weh! Aku pun dah confuse. Samar-samar." Wajah Sharifah bertukar menjadi keliru. Dah tak yakin dengan ceritanya tadi. Seolah-olah dia pun dah tak ingat apa yang dah jadi semalam.

Macam..

"Kau cakap kau tak cuba benda-benda pelik. Habis kenapa kau boleh tak ingat apa yang jadi semalam? Baik kau cakap betul-betul dengan aku!" Suara dah pitching tinggi.

Aku mula cekak pinggang. Marah kalau Sharifah ada terteguk air kencing setan atau mencuba apa-apa yang memudaratkan itu. Kalau dah di parti-parti sebegitu, bukan aku tak tahu. Bersepah arak terhidang. Bermacam-macam pil dadah juga ada.

"Haish.. mana ada! Sumpah!" Beria-ia Sharifah berkata nak kasi aku percaya.

Mencerun mataku memandangnya. Mahu mengecam andaikata dia menipu.

"Habis tu, kenapa boleh confused?"

"Tempat tu gelaplah, Rissa. Kalau kau pergi parti, kau tahulah macam mana rupanya," jelas Sharifah.

Aku mencebik. Tak ingin aku pergi. Cakaplah aku ni duduk zaman paleolitik sekali pun, aku tak peduli. Itu bukan gaya hidupku.

"Sebab tu aku tak yakin. Aku nampak macam Shahril, tapi aku tak pasti. Sekilas je aku nampak dia dengan seorang minah saleh. Lepas tu dia hilang," cerita Sharifah lagi.

Aku diam.

"Tapi bila fikirkan balik, tak mungkinlah Shahril, kan? Takkanlah dia nak ke tempat-tempat maksiat macam tu. Diakan alim." Sharifah membebel sendiri. Menidakkan semuanya.

"Oo.. tahu pun tempat maksiat! Ingatkan nak kena aku azankan dulu baru sedar," sindirku sedas.

Tersengih-sengih minah tu tapi tiada apa-apa yang dibalas.

Namun, cerita Sharifah itu terus terngiang-ngiang di telingaku. Aku tak tahu apa yang perlu aku rasa. Shahril ke tempat macam tu? Macam tak logik. Sebab macam yang Sharifah cakap tadi, Shahril memang seorang yang alim. Mana pernah dia ke tempat-tempat sebegitu. Kalau cakap dia pergi sertai usrah, memang aku percaya. Tak mungkinlah dia.

Pelanduk dua serupa kut! Maklumlah, aku sendiri pun selalu juga melihat susuk tubuh dan gaya rambut seakan-akan Shahril. Tapi bila dekat, ternyata bukan. Lagipun Shahril memang tinggi. Lebih tinggi dariku. Jadi tak peliklah kalau susuknya itu kadang-kadang nampak macam penduduk di sini. Apatah lagi dengan kulitnya yang putih itu.

"Lepas tu, kau tahu siapa lagi yang aku jumpa?"

Pertanyaan Sharifah itu buatkan lamunanku tentang Shahril terbang kesemuanya. Aku kembali fokus kepada Sharifah. Sedang mengangkat kedua-dua keningnya itu bebeberapa kali. Senyum misteri.

"Siapa?" Aku hanya melayan. Macamlah aku kenal kalau dia sebut. Penat aku nak ingat satu-satu dalam populasi manusia berjuta-juta di bumi United Kingdom ini.

"Mr. Sexy Beast kau."

Terkejut.

"Dheo?" Kini terbayang pula wajah kacak lelaki Itali itu.

Sharifah angguk beberapa kali.

Aku diam. Malas nak tanya dia buat apa kat situ. Kalau yang ni pergi parti sebegitu, aku tak pelik. Hilang ghaib sebelum ni, tiba-tiba aku dengar dia terserempak dengan kawan baikku itu di parti orang.

Sekali lagi, aku tak tahu nak rasa apa.

"Dia tanya pasal kau."

Aku kembali pandang Sharifah.

"Pasal aku? Kenapa?" Aku mula curiga.

Ni mesti tak habis-habis pasal kelas seni. Jangan cakap dirasuahnya Sharifah semata-mata untuk memujukku untuk menjadi partnernya.

Sharifah angkat sebelah bahu. Tanda tak tahu.

"Lepas tu, dia tanya apa lagi?"

"Tu je. Lepas tu dia layan dua minah ni yang dok flirt ngan dia."

Aku buat muka. Dua? Like.. seriously?

"Playboy. Nasib baik handsome." Sharifah julingkan matanya ke atas.

Kenapa aku tak rasa pelik? Dah boleh bayang macam mana muka miang seksi Dheo ketika dia melayan. Aku pernah jadi saksi kut.

"Dahlah. Aku nak sambung tidur. Penat." Sharifah menguap sekali.

"Kut ya pun, tunggulah zohor dulu," tegurku.

"Cuti."

"Malam ni ada usrah kat rumah Kak Jannah. Jangan lupa." Aku ingatkan dia.

Kak Jannah itu adalah senior kami. Memang kebiasaannya akan diadakan usrah bila tiada kuliah. Dihadiri oleh beberapa pelajar Malaysia dari bermacam kursus yang lain. Aku juga selalu pergi kalau tiada apa-apa hal. Pelbagai topik dikupas. Ketika ini ukhwah dieratkan. Ini juga merupakan untuk mengingatkan umat-umat Islam daripada lalai. Apatah lagi, kami dah jauh dari Malaysia. Aku taknak orang cakap, Allah ada di Malaysia je. Bila dah keluar Malaysia, perangai pun dah mengalahkan syaitonirrajim.

Sharifah mendengus perlahan. Muka reda tak reda. Kawanku ni memang dah maklum liat ke usrah. Sebab katanya, segan. Mungkin sedar baru lepas berparti, takkan nak pergi usrah? Gaya macam hipokrit.

Tapi, aku tak peduli. Aku nak heret jugak dia! Usah peduli dengan persepsi manusia. Bagiku, sejahil mana pun manusia, tak ada salahnya untuk belajar agama. Tak kisahlah semalam baru lepas pergi clubbing, minum arak atau berzina sekali pun. Sebab hidayah itu milik Allah. Dan aku yakin dengan setiap amal yang baik akan menghapuskan segala perbuatan yang jahat itu. Asalkan niat untuk berubah itu ada dan tiada niat untuk mempermainkan agama. Sebab aku tahu, nak istiqamah dalam berubah itu bukan senang.

"Kena pergi ke?"

"Kena. Sekali-sekala kena belajar ilmu akhirat. Kita ni dahlah jahil. Hari-hari lalai dengan dunia. Apa salahnya top up balik pahala yang hilang tu? Besar pahala kalau pergi majlis ilmu, tahu? Malaikat pun akan doakan kita nanti," ceramahku.

"Yalah.. baik, ustazah!" Dalam keterpaksaan, dia setuju. Malas nak tadah ceramah aku la tu.

Dan lepas tu aku dengar dia dah berdengkur.

----

"The total is 5.45£." Aku mendengar jurujual lelaki itu memberitahuku bersama senyuman mesranya. Sambil-sambil tu, dia memasukkan segala barang yang aku beli tadi ke dalam satu beg kertas berwarna coklat.

Aku keluarkan dompet kecilku untuk keluarkan not kertas £10 untuk diberikan kepadanya. Setelah mendapatkan baki, aku berterima kasih kepadanya sebelum keluar melalui pintu automatik itu.

Baru je kaki cecah luar, terus rasa sejuk menggigit kulit. Makin hari makin sejuk padahal baru pertengahan musim luruh. Macam manalah aku nak hadap musim sejuk nanti? Tak boleh bayang kalau suhu sekeliling mencecah bawah sifar darjah celcius.

Aku betulkan dulu kedudukan beg kertas sederhana besar itu sebelum mula berjalan pulang. Aku keluar sekejap untuk membeli sedikit barang dapur memandangkan ada yang dah habis. Memang kebiasaannya aku dan Sharifah selalu memasak. Berkongsi duit untuk membeli barang-barang dapur. Jimat sikit.

Memandangkan jarak rumahku dan kedai runcit hanya dalam lebih kurang lima ratus meter, aku hanya berjalan kaki. Selalunya aku keluar berdua dengan Sharifah. Tapi, sebab Sharifah dah ke dunia lain dari tengah hari tadi, aku malas nak kacau dia. Jadi, aku hanya pergi beli sendiri.

Tiba-tiba.. rasa itu datang lagi! Rasa diri diperhatikan. Rasa yang buatkan segala bulu badan tegak sembilan puluh darjah. Buatkan kakiku mula berhati-hati ketika melangkah. Dan bila rasa itu makin kuat, aku terus menoleh ke belakang.

Tiada bayang manusia. Tapi apa yang aku nampak buatkan aku lebih seriau daripada nampak manusia.

Anjing. Warna hitam. Nampak garang. Nampak liar!

Kenapa bila rasa macam ni, anjing yang aku jumpa? Waa!!

Kaki mula kejung. Dada mula berdegup laju. Ini kali pertama aku bertembung dengan anjing liar dalam hidupku. Tak tahu apa yang perlu dilakukan sekarang ini. Nak mula lari, tapi kaki terasa terus dipasak di situ. Mata pula terus tertumpu ke arah anjing itu. Berjaga-jaga.

Grrr.. Dia keluarkan bunyi. Dengan mata yang buas bagaikan menunggu masa untuk menerkam mangsa.

Aku pula mula senaman kerongkong. Perlahan-lahan mengundur. Mengatur strategi untuk keluar dari situasi hidup dan mati ini. Bila rasa mula bersedia, tanpa membuang masa, terus aku buka langkah seribu. Berdesup aku lari macam tak cukup tanah.

Dan anjing itu tak tunggu banyak masa, turut sama berlari dengan empat kakinya. Bersahut-sahutan salakannya ke arahku. Aku terus berlari. Ini adalah igauan ngeri setiap manusia. Aku ingat kat Malaysia je kena kejar dengan anjing. Kat sini pun sama rupanya! Yang anjing ni pulak, tak reti sejuk ke?

Cepatlah sampai! Tiba-tiba rasa tiga ratus meter dah macam tiga ratus batu. Apatah lagi dengan barang-barang yang berada dalam pelukanku itu, lagi melembabkan segala pergerakanku. Naik semput nafas aku.

Dan tiba-tiba, entah di mana salah langkahku, aku mula hilang keseimbangan badan. Terjerit kecil aku bila terasa punggung bercium dengan tanah. Senak rasa punggung, tapi gara-gara takut lebih menebal, hilang segala rasa itu. Nak menangis aku bila melihat anjing hitam itu yang turut berhenti beberapa meter dariku. Tajam merenungku sambil mengeluarkan bunyi grrr dia tu.

Aku terus mengundur ke belakang. Dah tak peduli dengan barang-barang dah berterabur dari beg kertas itu. Nasib baiklah aku tak teruskan niat untuk membeli telur tadi. Kalau tak, grenti tiada satu pun yang terselamat. Tak pecah sebab jatuh ke tanah, mesti pecah sebab kena bercium dengan kepala anjing.

Apa aku nak buat ni? Mata melilau ke arah sekeliling. Nampak satu kayu. Boleh jadikan kayu itu sebagai senjata untuk mempertahankan diri sebelum lari.

Belum sempat aku panjangkan tangan untuk mengambil kayu itu, tiba-tiba ada tangan asing yang terlebih dahulu mencapainya. Kemudian dia berdiri di depanku. Dari tempatku, aku hanya dapat melihat susuknya dari belakang. Tapi aku tetap dah tahu siapa.

Dia mengacah-acah kayu untuk menghalau anjing itu. Dan anjing itu bagaikan tahu itu bukan seterunya, terus lari dari tempat itu.

Lega!

Aku melihat dia mencampakkan kayu itu ke tepi. Berdentum bunyinya bila berlaga dengan tanah. Kemudian, dia pusingkan tubuhnya. Buatkan aku dapat melihat wajahnya dengan jelas.

Terukir senyum pendek di bibirnya.

"Helo, tesoro. Rindu saya?" 


Selamat membaca dan maaf atas segala kekurangan.

16/2/2020

Continue Reading

You'll Also Like

357 56 9
{ KARYA ZERO } Assalamulaikum wbt my dear i Will tell you all aboutthis Wattpad mengisahkan tentang benci tetiba eh fall in love haha bila dah nama n...
485 98 23
Khai seorang rapper dan dancer dalam kumpulan First. Kumpulan First terdapat 6 orang dan apa yang Khai tidak tahu bahawa terdapat seorang lagi ahli y...
1.1K 181 10
andai ada kehidupan kedua, adakah peluang untuk kita hidup bahagia?
4.1M 248K 71
[ 2021 ] LOVE : THE DEVIL'S SWEETHEART. Bijak! Kaya! Dingin! Itulah antara kata sifat yang sesuai diberikan kepada NASH ADRIAN.Keberhasilan jejaka i...