versi baru
belum edit
BIBIR Rhea tercebik-cebik. Apa taknya, cucu jiran sebelah kesayangannya ini sudah mahu pulang ke Kuala Lumpur.
"Abang duduklah lama lagi kat sini..." Rhea pandang Hazryl yang sedang memasukkan bagasinya ke dalam but belakang kereta. Sekejap aje masa berlalu, dah dua minggu Hazryl pulang menghabiskan cutinya di sini.
"Sorry, Rhea. Abang janji, bila abang free sikit abang balik sini jumpa Rhea. Atau, Rhea ajaklah Mikael jalan-jalan KL," terjuih bibir Hazryl ke arah Mikael yang sedang menyarung selipar lalu menapak mendapatkan mereka berdua.
"Ni apahal muka macam tertelan cekodok basi ni?" berkerut Mikael memandang wajah Rhea.
"Rhea ni la, berat hati nak lepaskan aku balik KL. Dia kata nak kurung aku dalam almari baju dia," Hazryl berseloroh membuatkan muncung Rhea semakin panjang. Rasa ringan saja tangan Rhea mahu melibas tubuh tegap Hazryl itu.
"Eei, mana ada!" Rhea menjeling. Memanglah dia berat hati nak lepaskan Hazryl balik Kuala Lumpur. Tapi tak adalah sampai nak kurung lelaki itu dalam almari bajunya. Heh.
"Eleh, mengada." cemuh Mikael. Rhea menjeling tajam.
"Kau, Mika. Nanti cuti bawalah Rhea jalan-jalan KL. Kesian si cantik ni..." Hazryl sengih. Mikael memeluk tubuh memandang ke arah Rhea. Itulah, dia pun rasa kesian dekat Rhea. Mesti tak pernah jalan-jalan Kuala Lumpur. Panjat bangunan KLCC pun tak pernah rasanya. Maklumlah, membesar dekat luar negara. Balik sini, terus menetap di negeri jelapang padi.
"Tengoklah nanti macam mana." jawab Mikael tanpa nada.
"Rhea jaga diri baik-baik tau. Kalau rindu, call aje abang. I'm always for you, baby girl..." Hazryl kenyit mata sekali pakej muncung bibir. Mikael yang melihat dah menggeleng kepala. Hazryl dengan perangai terlebih mesranya dengan kaum hawa memang tak lekang dari dulu lagi. Haih!
"Hai, tunggu apa lagi? Tak reti-reti nak gerak? Kang tersangkut jammed, mulalah nak bising." tempelak Mikael. Bukannya dia tak tahu perangai sepupu kesayangan dia ni. Jenis suka bawa kereta macam dekat dalam litar lumba. Paling pantang kalau kereta depan bawa slow. Lagi pantang kalau terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
"Kejaplah, aku tunggu nenek. Ha itu nenek!" terus Hazryl menegakkan tubuhnya. Masing-masing menoleh memandang Nek Mah yang sedang menapak menghampiri mereka. Di tangan Nek Mah terdapat plastik yang berisi tupperware.
"Ni nenek siapkan makanan sikit untuk hang. Kut lapaq dalam kereta nanti, boleh makan. Tak gaduh singgah beli makan kat luaq," ujar Nek Mah sambil menghulur plastik ditangan. Terus Hazryl menyambut dengan sengihan yang tak lekang dari bibirnya.
"Susah-susah aje nenek siapkan bekal untuk Ryl. Terima kasih, nek!" Hazryl buka pintu lalu diletakkan bekal makanan tersebut di atas kerusi bersebelahan penumpang. Senang nak gapai kalau sangkut dalam jammed nanti.
"Nenek jaga diri elok-elok tau. Jangan buat kerja berat sangat. Jaga kesihatan nenek, ubat jangan skip makan. Nanti Ryl tak sibuk, Ryl balik jenguk nenek," Hazryl menyalami tangan Nek Mah sebelum kedua-dua pipi wanita itu dikucup. Tubuh Nek Mah dipeluk erat.
"Nenek tau la. Mika ada boleh tengokkan nenek. Hang tok sah risau," Nek Mah menepuk lembut belakang tubuh cucunya itu. Seketika Hazryl meleraikan pelukannya.
"Mika, jaga nenek elok-elok." pesan Hazryl.
"Ya, aku tahulah. Dah tiga tahun aku jaga nenek kat sini kut," terjuih bibir Mikael. Dia bersalaman dengan Hazryl sebelum mereka saling berpelukan. Rhea yang melihat sekadar tersenyum tipis.
"Sorry, Rhea. Tak boleh salam dengan peluk. Bukan mahram," Hazryl sengih-sengih. Mikael memutarkan bebola matanya ke atas. Tahu pula halal haram mamat ni ya.
"Abang Hazryl jaga diri. Jangan lupakan Rhea kat sini," titip Rhea. Meskipun perkenalannya dengan Hazryl begitu singkat, tapi Rhea sangat selesa dengan adanya lelaki itu. Hazryl sudah dianggapnya seperti abang sendiri. Haih... mesti dia bosan bila Hazryl dah balik Kuala Lumpur.
"Tak kanlah abang nak lupakan Rhea." Hazryl melayang sengih.
"Okeylah, Ryl gerak dulu. Assalamualaikum," Hazryl bergerak ke bahagian pemandu sebelum tubuh dibolos masuk ke dalam perut kereta. Tak sampai seminit, kereta mewah yang dipandu Hazryl itu berundur keluar dari laman. Setelah menekan hon tanda pamit, pacuan empat roda itu meluncur pergi. Sekilap, kelibat Hazryl hilang dari pandangan mata.
"Rhea, mai la masuk dulu. Bihun goreng nenek masak tadi ada lagi," Nek Mah mempelawa. Tak mahu menghampakan permintaan Nek Mah, Rhea terus saja bersetuju.
MYVI ungu milik Mak Su Hazwani dihidupkan. Hari ini dia bertekad untuk memandu kereta tersebut walaupun dia masih pemegang lesen L. Tak lama lagi dah nak test JPJ. Jadi, apa salahnya kalau dia cuba memandu kereta ni untuk memantapkan lagi cara pemanduannya? Tidaklah nanti tergagap-gagap masa kena test dengan abang JPJ, kan?
"Rhea! Rhea!" tiba-tiba cermin tingkap keretanya diketuk. Terus Rhea menurunkan cermin kereta seraya melayangkan satu senyuman manis untuk Opah.
"Hang biaq betui nak bawak kereta ni? Opah risau la!" ujar Opah sambil mengurut dadanya.
"Isk, Opah jangan risau. Rhea dah boleh bawa kereta la. Lagipun, Rhea nak bawa sampai kedai runcit tepi surau tu aje. Opah juga kan tadi cakap gula dah habis. Hah, biar Rhea yang pergi beli!" balas Rhea bersungguh-sungguh. Tali pinggang keledar sudah siap dipakai. Tangan sudah siap berada pada tombol gear.
"Tok sah la! Satgi Opah pi beli sendiri jalan kaki. Dah, turun!" Opah cuba membuka pintu kereta sebelah pemandu tapi sudah dikunci dari dalam.
"Opah, percayakan Rhea... please? Rhea pergi sekejap aje."
"Rhea... kalau jadi apa-apa nanti, apa Opah nak jawab dekat mama papa hang?" Opah bercekak pinggang. Berat betul hatinya mahu membiarkan Rhea memandu sendirian. Kalau dah ada lesen tu, lainlah cerita.
"Tak akan jadi apa-apa dekat Rhea, Opah. Promise! Rhea pergi kedai dulu!" tombol gear ditarik ke reverse sebelum pacuan empat roda itu perlahan-lahan berundur keluar dari bawah garaj. Bibir Opah tertutup rapat. Mahu terus melarang, dia tahu Rhea tak akan dengar. Sudahnya bersama satu nafas berat, Opah memandang kereta kecil itu berlalu pergi. Doanya, semoga Rhea selamat pergi dan pulang walaupun jarak nak ke kedai runcit sebelah surau itu tidaklah jauh mana.
Dengan had kelajuan yang cuma 40km/j itu, Rhea memandu kenderaan itu penuh berhati-hati. Kedua-dua belah tangannya kemas mengawal stereng. Dia menghela nafas lega bila dia selamat tiba di kedai runcit. See, kan dia dah kata! Dia dah reti bawa kereta. Opah aje yang tak percayakan dia...
Kakinya melangkah memasuki kedai runcit. Beberapa barangan dapur kering diambil. Gula, tin susu, minyak paket, serbuk teh dan pelbagai lagi. Selesai mendapatkan barang-barang tersebut, Rhea menapak ke kaunter.
"Mai jalan kaki ka?" soal wanita bertudung hitam yang menjaga kaunter.
"Taklah. Saya drive." jawab Rhea, bangga. Gila tak bangga bila dah reti bawa kereta. Heh!
"Bawa kereta tu elok-elok." pesan wanita tersebut seusai saja dia memberikan wang baki kepada Rhea. Rhea sekadar tersengih lalu mengatur langkah menuju ke keretanya. Untuk beberapa minit, Rhea duduk dulu mencari siaran radio di dalam kereta. Hurm... best juga kalau dia pergi ronda-ronda dekat luar kampung ni,kan? Ala... bukannya ada polis trafik buat rondaan pun!
Terus, tanpa berfikir panjang, Rhea meneruskan pemanduan. Bukannya pulang ke rumah Opah tapi, pergi melencong. Haih... belum dapat lesen P tapi dia dah gila stereng! Kalaulah dia tahu memandu ni best, dari dulu lagi dia pergi ambil lesen. Haih, Rhea!
Bibirnya bergerak-gerak ikut menyanyikan lagu inggeris yang dimainkan di radio. Hujung jemari mengetuk-ngetuk stereng sambil tubuh bergoyang mengikut rentak alunan lagu nyanyian Zayn & Sia itu.
"I'll hold you when things go wrong... I'll be with you from dusk till down... I'll be with you from dust till down... Baby I'm right here!!!"
Bammm!
Dahinya kini selamat mencium stereng. Angkat muka, pandangan Rhea berpinar-pinar. Seketika dia tersedar, wajah Rhea bertukar pucat tak berdarah. Allah... Allah... kau langgar apa tadi, Rhea?!
Terkocoh-kocoh dia melepaskan belitan tali pinggang keledar di tubuh sebelum dia melangkah keluar dari perut kereta. Mahu terjatuh rahangnya melihat kondisi kereta milik Mak Su Hazwani saat ini. Bumper hadapan kemik dan pecah!
"Hoi, hang ni tak reti bawa kereta ka?! Tak nampak ka ada kereta kat depan?!" terhinjut kedua-dua belah bahu Rhea bila ada satu suara menengkingnya. Toleh ke sisi, pemilik kereta yang dilanggarnya itu sudah bercekak pinggang. Wajahnya menyinga. Rhea pandang kondisi kereta lelaki itu. Kemik teruk menandakan hentaman tadi agak kuat juga.
"Maaf... maaf, encik! Saya tak perasan kereta encik kat depan tadi. Maaf!" Rhea menyatukan kedua-dua belah telapak tangannya. Sungguh dia tak perasankan kereta di hadapan. Itulah... melalak lagi dalam kereta!
"Lani nak bagi selesai macam mana ni?" lelaki botak itu menyoal Rhea.
"Errr... bawa kereta pergi bengkel la. Takpe, segala kos kereta encik saya akan tanggung." balas Rhea tanpa berfikir terlebih dahulu. Dan sekarang, mulalah dia nak memaki-hamun diri sendiri. Banyak pula duit kau nak tolong tanggung kos baiki kereta encik botak ni kan, Rhea? Kau nak ambil duit mana? Mana nak tanggung kos baiki kereta Mak Su Hazwani lagi...
"Tak dak, tak dak! Kita pi balai buat report!"
"Hah?!" saat ini, kalau pipi ditoreh dengan pisau sekalipun, confirm tak ada darah yang keluar! Pucat mukanya!
Pergi balai buat report polis? Eei... gila ke apa? Dia dah la tak ada lesen kereta! Pergi sondol bontot kereta orang pulak tu. Kang tak fasal-fasal lesen L kau kena gantung, Rhea! Kau tu dah la tak lama lagi nak ambil test JPJ! Aduh!
"Macam ni, encik. Kita settle luar la tak payah pergi balai. Bawa aje kereta encik pergi bengkel, saya tanggung kos..."
"Mana boleh macam itu!"
Aiyark!!!
"Encik, kalau boleh saya tak nak libatkan polis..."
"Awat? Bawa kereta tak ada lesen ka?"
Ya, tepat sekali encik botak. Saya memang tak ada lesen kereta. Masih pemegang setia lesen L lagi. Huhu...
Rhea mati kutu. Dia gigit ibu jari. Tubir mata rasa panas. Nak menangis sementelah dia tak pernah berhadapan dengan situasi begini. Sudah la memang sah-sah salah dia. Bawa kereta tak fokus sampai sondol bontot kereta hadapan. Sekarang, encik botak ni nak bawa kes ni ke balai pula. Ah, gawat!
Namun kehadiran sebuah kereta mewah yang berhenti di belakang kereta Myvi itu membuatkan Rhea menghela satu nafas lega. Dipandangnya sosok Mikael yang berlari anak ke arahnya.
"Apahal ni?" mata Mikael menyorot memandang bumper hadapan kereta Myvi sebelum memandang pula bontot kereta hadapan. Dan-dan, mata Mikael mencerun pula memandang Rhea sehinggakan Rhea tertunduk menikus. Takut!
"Bini ka?" lelaki botak itu menyoal.
"Tak. Ini adik saya. Maaf, bang... apa jadi ni?" lembut Mikael menyoal lelaki itu.
"Budak ni dah langgar belakang kereta saya. Tengok ni, dah kemik teruk. Sekarang ni macam mana? Kita pi balai la..."
"Tunggu dulu, bang. Saya rasa tak perlu pergi balai. Kita settle luar aje." Mikael beri jalan penyelesaian sama seperti yang Rhea cadangkan tadi. Tak perlu bawa kes langgar ini ke balai polis.
"Mana boleh macam tu! Kereta saya ni nak kena claim insurans!"
"Bang, takpe. Saya bayarkan kos baiki kereta abang walau berapa pun jumlahnya." tekan, Mikael. Lelaki botak itu merengus. Dia pandang kereta milik Mikael yang terpakir di belakang kereta Myvi yang dipandu Rhea. Audi A5...
"Boleh, bang?"
SEDARI tadi lagi Rhea memilih untuk mengunci rapat bibirnya. Kereta Myvi ditinggalkan di bengkel. Dan sekarang dia sedang berada di dalam kereta milik Mikael. Lewat ekor mata, Rhea menjeling Mikael yang sedang memandu. Huh... Mikael marahkan dia ke?
"Mika... aku... aku minta maaf..." ucap Rhea, perlahan. Tapi, Mikael buat derk saja. Fokus dia memandu dengan wajah ketat.
"Ya, aku tahu aku salah sebab drive sampai ke jalan besar. Tapi aku tak sangka pula yang..."
"That's it, Rhea! That's it! Benda kita tak boleh nak jangka. Malang tak berbau. Tak ada lesen buat cara tak ada lesen, Rhea. Nasib baik abang tu tak berkeras nak bawa hal tu ke balai polis. Kalau tak, sia-sia ajelah kau pergi kelas driving. Tak pasal-pasal lesen L kau kena gantung!" dengus Mikael. Marah benar dia.
"Sorry..." Rhea mengutil kuku jari sendiri.
"Opah cakap kau nak pergi beli barang kat kedai runcit depan tu aje. Tapi apahal kau boleh melencong sampai ke jalan besar tu?" tanya Mikael, garang.
"Erm... aku cuma nak bagi cekap memandu aje..."
"Sampai tak boleh fikir bahaya kat luar? Kalau jadi apa-apa nanti, siapa yang susah, Rhea? Tak fikir perasaan Opah kalau kau accident ke apa ke? Tak fikir mama dengan papa kau yang duduk jauh tu? For once Rhea... for once... boleh tak sebelum buat apa-apa fikir dulu baik buruknya? Huh!" terkancing gigi Mikael membalas kata-kata Rhea.
"Aku tahu kau tengah gila stereng sekarang ni. Tapi, boleh tak sabar sikit? Nanti dah dapat lesen P, kau nak drive kereta sampai ke bulan pun takde siapa peduli Rhea!" tokok Mikael lagi. Rhea gigit bibir bawah bila terasa tubir matanya kembali hangat. Ah... sakitnya bila kena marah dengan Mikael!
"Sorry... ya, aku salah..."
"Huh!"
Rhea memalingkan wajahnya ke luar cermin tingkap kereta. Memandang kenderaan yang berpusu-pusu di atas jalan raya. Sepi menyelubungi mereka bila kedua-duanya memilih untuk mendiamkan diri. Sehinggalah kereta Mikael berhenti di hadapan sebuah bangunan kedai, pelipis Rhea berkerut. Tak sempat dia nak menyoal, Mikael dah melangkah memasuki sebuah farmasi.
Buat apa Mikael singgah farmasi? Nak beli ubat apa kat situ? Ubat turunkan tekanan darah tinggi ke? Melayan karenah kau yang entah apa-apa, tak mustahil Mikael yang muda belia itu boleh dapat penyakit darah tinggi tau. Aiya... apa yang kau mengarut ni, Rhea? Haih!
Selang sepuluh minit, Mikael kembali ke kereta bersama plastik putih di tangan. Mikael mengeluarkan ubat sapu luka dan plaster bercorak dari dalam plastik.
"Pandang sini," arah Mikael. Rhea sekadar menurut. Tubuh diputar memandang Mikael. Wajahnya terundur ke belakang bila jemari Mikael mahu menyentuh bahagian dahinya.
"Kau nak buat apa?" Rhea membesarkan matanya.
"Adoi!" berair mata Rhea bila jari telunjuk Mikael tak semena-mena menekan bahagian dahinya. Berdenyut-denyut rasanya. Terus Rhea membelek dahinya pada cermin pandang belakang. Ya Allah... luka! Macam mana dia tak sedar yang dahi dia luka siap dengan benjol sekali?
"Jangan nak buang masa. Pandang sini," garang suara Mikael. Malas nak cari gaduh, Rhea menadah wajahnya sehinggalah Mikael siap menampal plaster bercorak polkadot pada luka di dahinya.
"Terima kasih," Rhea meraba perlahan plaster di dahi. Mikael tidak membalas. Malah, dia terus memandu pulang. Sekali lagi, sepi menyelubungi mereka. Nak ajak Mikael berbual, Rhea tak berani. Tak sangguplah nak dengar Mikael membebel lagi. Bikin cair tahi telinga aje!
Setibanya di laman rumah, Rhea nampak kelibat Opah sedang duduk di gazebo bersama Nek Mah. Sebaik saja Rhea melangkah keluar dari perut kereta, terus Opah menerpa ke arahnya dengan wajah yang terpeta kerisauan.
"Allah! Awat dengan dahi tu, Rhea? Kereta mak su hang mana?" bertubi-tubi Opah menembaknya dengan soalan. Rhea tersengih dulu sambil mengerling Mikael yang berdiri memeluk tubuh.
"Erm... kereta mak su dekat bengkel, Opah." Rhea kemam bibir. Takut sebenarnya nak ceritakan hal sebenar pada Opah. Mesti Opah akan marahkan dia sama seperti Mikael marahkan dia tadi.
"Awat dok kat bengkel? Kereta rosak ka? Ni dahi ni... awat bertampal ni? Apa dah jadi? Mikael?" mencerlung mata Opah memandang ke arah Mikael yang sedang menggaru keningnya. Nah... kan tak fasal-fasal Mikael yang kena menjawab.
"Rhea accident tadi, Opah." senafas Mikael memberitahu. Kepala Rhea tertunduk. Tak berani nak pandang muka Opah. Takut...
"Accident? Allahuakhbar! Accident tang mana? Teruk ka?" bingit suara Opah menampar gegendang telinganya. Tangan Opah naik memegang kemas kedua-dua belah lengan Rhea lalu tubuh kurus itu ditilik. Mencari-cari jika ada kecederaan pada tubuh cucunya itu.
"Opah... Opah... Rhea okey. Rhea cuma luka kat sini aje. Kereta kemik sikit sebab itu masuk bengkel. Opah... Rhea minta maaf sebab tak dengar cakap Opah. Rhea degil. Rhea menyesal. Rhea janji lepasni Rhea akan dengar cakap Opah. Janji!" Rhea mengangkat kedua-dua belah tangannya separas bahu sambil bibir tercebik-cebik. Opah menghela nafas lega. Tubuh Rhea ditarik ke dalam pelukan.
"Alhamdulillah..." belakang tubuh Rhea digosoknya. Rhea kemam bibir. Ah, bersalahnya sebab buat Opah risau macam ni. Cucu jenis apalah kau ni hah, Rhea?
SELESAI membersihkan diri dan menyarung pijama di tubuh, Rhea duduk di atas kerusi berhadapan meja solek. Wajah bersihnya ditilik depan cermin. Plaster bercorak polkadot yang melekat pada dahi disentuh lembut bersama satu senyuman tipis. Teringat-ingat kembali bagaimana plaster itu boleh berada di dahinya.
Mikael... garang-garang kau pun masih sudi ambil peduli fasal aku, ya? Walaupun pedih telinga aku ni asyik dengar kau membebel, tapi ajaibnya mudah betul hati aku ni terubat dengan sifat prihatin kau tu.
"Aku suka dia ke, hah?" monolog Rhea sendiri. Dia sukakan Mikael? Pensyarah merangkap jiran sebelah rumahnya itu? Huh... tak fasal-fasal pipi Rhea jadi hangat. Satu persatu kebaikan yang Mikael lakukan padanya kembali berlegar-legar di fikiran. Ya, aku suka dia.