HALALKAN HATI YANG KUCURI

By karyaseni2u

128K 824 47

♤ PESTA BUKU MABOPA 2017 ● 26 JULAI - 30 JULAI 2017 ♡ MAEPS SERDANG, SELANGOR TERBARU AUGUST DI MAEPS ■ HALAL... More

BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9
BAB 10
BAB 11
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15

BAB 5

7.4K 56 1
By karyaseni2u

Faiq bersalaman dengan Nenda Rosnah dan dijemput duduk sementara menanti Delisha turun. Tak sangka sampai saja tadi, dia dipelawa masuk dari luar pagar. Terpaksa turutkan kerana hormatkan Nenda Rosnah. Dalam hati berdebar juga lebih-lebih lagi Nenda Rosnah serius semacam menyambutnya.

Sempat Faiq WhatsApp Delisha beritahu hal ini. Harap-harap cepatlah Delisha turun.

"Mama papa kamu sihat, Faiq?" soal Nenda Rosnah. Walaupun saudara jauh, namun hubungan mereka tak pernah terputus.

"Sihat. Nenda sihat?" Faiq berbudi bahasa.

"Sihat. Ni ajak Isha keluar, kamu tak ada kerja ke? Dengar kata, kamu ni memang tak kerja langsung, kan? So, ini ajelah kerja kamu, ya?" Sinis kata-kata Nenda Rosnah buat Faiq tersindir.

Faiq berasa tak selesa disoal begitu.

"Saya memang ada plan nak kerja. Tengoklah sehari dua lagi. Sekarang ni saya busy sikit, nenda." Faiq memberikan alasan. Cuba berbaik sangka.

"Busy atau sengaja sibukkan diri? Enjoy sana sini pun, satu kesibukan rupa-rupanya, ya?" Air muka Faiq sedikit berubah disindir begitu. Masak dia kali ni diazankan cukup-cukup. Berpeluh nak menjawab.

"Errr, bukan selalu nenda... Saja aje, isi masa lapang. Nak masuk kerja, company papa ada masalah sikit, tunggu settle semua, baru saya masuk kerja," jawab Faiq dalam nada hormat.

Nenda Rosnah angguk.

"Patutnya kamu bantulah papa kamu, settlekan masalah dia. Bukan buat tak tau..."

Faiq senyum tawar, mati kutu sekejap.

"Insya-Allah nenda, dalam masa terdekat ni." Hentam sajalah labu, janji ada jawapan.

"Nenda berterus terang sajalah. Mulai hari ini, nenda tak suka kamu bawa Isha keluar."

Nenda Rosnah tegas. Terkesima Faiq sekejap. Arahan ke ni?

"Tapi nenda, sebelum ni selalu aje kami keluar, nenda tak ada halangan pun. Kenapa sekarang tak boleh pula?" Hairan Faiq, kenapa baru sekarang mahu dikongkong Delisha?

"Sebab nenda rasa kamu tak ikhlas dengan Isha. Kamu hanya nak berseronok. Nenda tak berkenanlah lelaki yang tak ada masa depan macam Faiq ni. Nenda kalau boleh, nak cari jodoh yang terbaik untuk Isha."

Nenda Rosnah yakin akan kata-katanya.

Faiq tak sedap hati.

"Tak, nenda. Faiq betul-betul cintakan Isha. Faiq memang ada plan nak kahwin..."

Nenda Rosnah gelak tiba-tiba, bikin Faiq lagi seram.

"Nak kahwin dengan Isha? Faiq, Faiq. Kamu tak layak jadi suami Isha. Nenda pun tak berkenan dengan perangai kamu. Okey, baik nenda berterus terang aje. Mulai hari ini, boleh tak kamu lupakan Isha? Jangan jumpa dia lagi? Kamu carilah perempuan lain, rasanya playboy macam Faiq ni, tak ada masalah, kan?"

Perasaan Faiq bagai direntap. Tak sangka, Nenda Rosnah akan berterus terang begini. Tidak, Delisha sebahagian daripada nyawanya masakan mahu berpisah?

"Kami dah bercinta 3 tahun, kami pun dah kenal lama, sejak sekolah lagi. Rasanya kami dah cukup kenal hati budi. Memang saya ni tak sempurna tapi saya ikhlas cintakan Isha. Sepanjang kami bercinta, saya tak pernah curang." Faiq bersungguh-sungguh terangkan.

"Kalau kamu cintakan Isha, bukan macam ni caranya. Usung dia ke sana ke mari, bergaul bebas tak kira halal haram, rosakkan dia dengan perkara yang bukan-bukan. Kalau kamu jujur dengan Isha, kamu baliklah. Jangan buat Isha macam ni. Hormat dia sebagai perempuan. Belajar menjadi lelaki yang bertanggungjawab. Kalau tak, nenda tak akan tunggu lama nak jodohkan Isha dengan lelaki lain kalau macam inilah gaya kamu. Kamu belum layak untuk Isha buat masa ni."

Faiq angguk lemah. Rasa terhina juga, tapi apa boleh buat? Nampaknya, dia perlu bekerja dengan papa, barulah Nenda Rosnah buka mata.

"Assalamualaikum..." Faiq dan Nenda Rosnah sama-sama menoleh ke gerbang pintu. Ustaz Azali rupa-rupanya. Seperti biasa, hari ini ada kelas mengaji.

"Waalaikumussalam, jemput ustaz masuk..."

Nenda sempat berpaling pada Faiq dan berkata perlahan.

"Lihat tu. Ustaz Azali adalah seorang yang tinggi ilmu agama dan mahir membaca al-Quran. Dia mengajar nenda mengaji. Kalau kamu nak tahu, dialah calon suami Isha kalau kamu masih main-main." Faiq tak senang duduk. Bimbang. Bagai langit dan bumi pilihan Nenda itu berbanding dirinya. Faiq berambut karat terpacak, manakala Ustaz Azali berkopiah. Sudah pasti, Ustaz Azali tu lebih baik daripadanya.

"Ustaz Azali ni lelaki terbaik untuk Isha, berbanding kamu."

Faiq menunduk, tak terjawab dah.

Delisha yang sudah bersiap keluar segera dari bilik. Nak buat macam mana dah namanya perempuan. Ambil masa sikitlah nak berhias. Ini pun, dipantaskan kerana Faiq sudah sampai.

Alamak, lama juga Faiq menanti di bawah. Dahlah dengan nenda pula tu. Jangan dibahankan Faiq sudahlah. Sampai ke bawah, Delisha tercari-cari Faiq tapi tiada. Dia menjenguk ke luar, kereta Faiq tiada. Mana pula dia pergi?

"Bibik, mana Faiq?" laung Delisha pada Sunarti.

"Errr, udah pulang non." Terkejut Delisha. Kenapa pula? Dah la balik langsung tak beritahu. Apa pula masalah dia ni?

"Apa? Dah balik? La, dia jemput saya keluar, apa pasal pula dia balik?" Delisha tak puas hati. Faiq ni pun satu, semalam bukan main lagi nak jumpa, alih-alih balik macam tu aje, penat betul Delisha bersiap cepat-cepat.

Delisha segera menghubungi Faiq. Pantas saja dijawab lelaki itu.

"You kat mana? I dah siap ni. I turun tengok you dah tak ada. I rasa, I tak biarkan you tunggu lama pun. Selama ni, boleh aje sabar apa pasal hari ni tak boleh sabar?" Delisha naik angin.

"I terpaksa baliklah you. Nenda you tak bagi I bawa you keluar." Delisha dah agak, mesti Faiq dibahan nenda. Silaplah tak bersiap awal-awal, dia tertidur tadi.

"What? Lain kali you tanyalah I dulu, yang you ikut sangat cakap nenda tu kenapa? Nenda memang macam tu, kalau I nak keluar, I keluar senyap-senyap aje, bersekongkol dengan drebar I, bibik I. Kalau minta izin dia, memang tak boleh." Delisha bukan main teruja lagi nak keluar, dicantas macam tu saja. Geram betullah.

"Habis tu takkan nak berdegil pula, nanti melepaslah kalau dia reject I. Lagipun, tadi dia kenalkan I pada calon suami you, pilihan hati dia." Nada suara Faiq jadi perlahan.

"Calon suami I? Siapa pula?" Terkejut Delisha.

"Ustaz tu ajar dia mengaji."

Delisha menggelengkan kepala. Nenda ni, memang bikin pecah kepala betul. Suka hati dia saja layan Faiq macam tu.

"Ustaz Azali tu? You, I tak tau apa-apa pun pasal hal ni. Jangan percayalah cakap nenda tu, pandai-pandai dia aje."

Delisha tahu Nenda Rosnah tak berkenan dengan Faiq, tapi tak sangka sampai ke tahap memisahkan cinta mereka pula.

"Apa pun I risaulah hilang you. Kalau ustaz tu pilihan nenda, memang jauh panggang dari api dengan I. Nenda you pun memang tak suka I. I tak tahulah sebab apa."

"Sebab Si Zainal itulah, dia buruk-burukkan you pada nenda. Yang nenda pun percaya lelaki keparat tu."

Yang lelaki tu pun sama naik, gila talak. Dah lepaskan Delisha, tergedik-gedik nakkan Delisha balik.

"Patut pun, dulu tak adalah nenda you macam ni. Zainal, Zainal. Tak habis-habis perasan bagus." Faiq tahu, Zainal cukup tak puas hati bila Delisha pilih dia. Lelaki itu tak sanggup kalah di tangan Faiq.

"Ikutkan hati I, nak aje I ceritakan perangai Zainal tu. Geram betul, asyik puji Zainal aje. Dahlah, you tak payah ambil serius apa nenda kata. Dia tak berhak masuk campur urusan I. Okey, I suruh driver I hantar ke sana. You tunggu kat kelab." Delisha mematikan talian dengan hati yang membara. Sakit hati betul nenda masuk campur urusan dia. Sudahlah babitkan Ustaz Azali pula tu.

Sebelum keluar rumah, Delisha nak buat perhitungan dengan nenda dulu. Terus saja Delisha menyerbu bilik bacaan nendanya.

Terkaku sekejap melihat Nenda Rosnah dan Sunarti sedang belajar mengaji al-Quran dengan Ustaz Azali.

Semua menoleh ke arah Delisha, serentak itu bau perfume semerbak dari Delisha merajai ruang. Nampak ketara wajah tak puas hati Delisha dan Nenda Rosnah tahu kenapa.

"Hurm, nak belajar mengaji sekali ke, Isha? Mari sini, belajar dengan Ustaz Azali. Dapat banyak pahala tau. Daripada keluar ke hulu ke hilir tak tentu hala, lebih baik belajar agama. Lagi berfaedah dunia akhirat," pelawa Nenda Rosnah selamba tanpa rasa bersalah.

Delisha bengang diperli begitu.

"Nenda tahu, kan Isha nak keluar dengan Faiq, kenapa nenda usir Faiq balik? Apa masalah nenda ni?" Delisha terus bertanya tanpa mempedulikan Ustaz Azali di situ. Dia tak kira, dia nak selesaikan sekarang juga.

"Selalu sangat Isha keluar, sesekali duduklah rumah," tegur Nenda Rosnah baik-baik.

"Nenda, takkan hari-hari Isha nak mereput aje dalam rumah? Apa salahnya Isha keluar? Selama ni nenda tak pernah halang Isha, kenapa sekarang nak bising pula?" Delisha pertahankan diri.

Nenda Rosnah tenang saja.

"Memang salah. Kamu keluar dengan lelaki bukan mahram. Bebas bergaul tak kenal halal haram. Nenda dah tak mahu tengok kemungkaran depan mata, tak larat nak pikul dosa bersubahat." Nenda Rosnah bersahaja menegur Delisha di hadapan Ustaz Azali yang sesekali menggeleng dan beristighfar.

"Isha tak kira, Isha nak keluar juga. Isha bukan budak kecil yang boleh dilarang. Isha dah besar panjanglah!" Delisha berdegil. Dia dah bersedia nak merajuk.

"Pergilah keluar. Bil kad kredit kamu tu belum dijelaskan lagi. Dah kena block. Papa kamu yang serahkan pada nenda untuk settlekan..."

Delisha ternganga. Patutlah nenda suka hati saja nak aturkan hidup dia.

"Kenapa pula papa bagi kat nenda? Bak sini, Isha nak suruh papa bayarkan!" pinta Delisha.

"Kalau papa Isha mampu bayar, dah lama dia bayar. Dia pun dah tak larat nak jelaskan bil-bil kamu sampai nak bankrap dia dibuatnya. Kamu ingat, bil kamu tu seringgit aje ke? Beratus ribu ringgit sebulan! Apa kamu belanjakan dengan duit sebanyak tu? Apa lagi yang tak cukup dalam rumah ni sampai tak habis-habis nak membazir?" Delisha tunduk. Malu pula dimarahi depan orang. Muncung mulutnya. Sukalah tu Sunarti tengok dia kena marah?

Dia tahu bulan ni banyak berhabis sebab dia membeli belah dalam talian. Mana sedar kalau dah guna kad kredit ni.

"Nenda ni, apa kena-mengena kad kredit dengan Isha nak keluar?"

"Mestilah ada kena-mengena. Tanpa kad kredit, macam mana kamu nak berbelanja? Nak cash, elaun kamu pun nenda belum masukkan bulan ni. Itu pun papa kamu serahkan pada nenda. Nak harap duit sendiri, kamu bukannya kerja, so daripada mana nak datang duit?" Delisha menarik nafas dalam-dalam, tenangkan dirinya.

"So, nenda nak ugut Isha?"

"Dah, pergi naik tukar baju tak cukup kain ni. Turun balik belajar mengaji al-Quran. Kalau tak, nenda tak bayar kad kredit dan bagi kamu duit. Faham?"

Delisha rasa nak menangis.

"Nenda ni memanglah, kejam! Dengan cucu sendiri pun berkira!" Delisha terus berlari naik ke biliknya. Dia akan merajuk habis-habisan.

Tak turun pun mengaji seperti yang disuruh nenda tadi. Delisha langsung tak ada hati, buat apa nak paksa? Sebagai bukti yang Delisha merajuk sakan dengan nenda, dia mogok lapar. Beberapa kali Sunarti memanggilnya makan, tapi dia tetap tak mahu turun. Perut yang lapar tidak dipedulikan. Biar dia jatuh sakit!

"Isha, papa dan mama ni..." Pintu diketuk. Orang yang dinanti dah tiba.

Delisha bangun dan membuka pintu. Tak sabar rasanya nak membuat perhitungan. Sampai hati papa dan mama tak jelaskan bil kad kredit lepas tu serahkan pada nenda. Nenda pula suka hati main ugut guna bil tu, atur-atur hidup Delisha.

Daud dan Dalina masuk. Delisha berdiri membelakangi sambil berpeluk tubuh. Sambung rajuk.

"Isha, dahlah tu. Jangan merajuk lagi. Makan, ya? Ni mama bawakan lasagna," pujuk Dalina kini sudah berada di hadapan Delisha. Daud pula menyampuk. Susah hati bila anak manjanya ini merajuk.

"Makanlah, nanti jatuh sakit. Baru sehari tak makan, anak papa dah macam tengkorak hidup. Hei sweety, kurus-kurus tak cantiklah. Macam tiang elektrik tau dari jauh."

Daud mengusik Delisha namun anak tunggalnya itu masih masam muka.

"Macam mana nak ada selera makan kalau susah hati? Kenapa papa tak jelaskan bil kad kredit Isha?" Persoalan yang bermain dalam fikiran harus dirungkai.

Daud melepaskan keluhan.

"Papa ada masalah sikit bulan ini. Ada banyak perkara yang papa kena dahulukan dari bayar bil kad kredit tu. Sebab tu papa minta tolong nenda." Delisha mengeluh, masalah apapun, tanggungjawab kena lunaskanlah. Sebelum ini tak ada masalah pun.

"Sebab papa lepas tanganlah, nenda tak habis-habis masuk campur urusan Isha. Isha buat apa semua tak boleh. Sekarang ni sampai berani nak pisahkan Isha dan Faiq. Apa ni, papa?" Delisha bengang tak habis. Daud memeluk bahu anak manjanya.

Bab nenda Rosnah tu, memang susah Daud nak masuk campur sebab Daud pun sekarang bergantung harap pada Nenda Rosnah. Jadi dia pun harus turutkan kehendak maknya tu.

"Isha, niat nenda tu baik. Dia nak Faiq serius fikirkan masa depan. Takkan selamanya nak macam tu aje?" pujuk Daud lagi.

"Isha tak nak kahwin lagi la. Isha tak bersedia, kenapa nak paksa? Nanti apa-apa jadi kat rumah tangga kami, macam mana? Biarlah kami sama-sama ready dulu," luah Delisha.

Dalina mencelah.

"Kalau macam tu, susahlah sayang. Nenda tak suka Isha dan Faiq bebas bergaul. Takut jadi apa-apa yang tak baik, Isha juga yang kena tanggung. Faiq tu lelaki." Delisha melepas keluhan. Yang peliknya, kenapa baru sekarang?

"Mama, papa. Isha kenal Faiq, lama tau. Dia bukan lelaki macam tu, dia hormat maruah Isha."

Daud dan Dalina berpandangan. Mereka diletakkan di persimpangan. Antara anak dan ibu kandung. Siapa mereka nak sebelahkan?

Daud memegang bahu Delisha.

"Ya. Papa tahu, Faiq memang lelaki yang baik. Cuma, papa nak Faiq dan Isha dengar cakap nenda tu kalau nak hidup bersama lepas ni."

Mahu tak mahu terpaksa Delisha mengalah. Ikut cakap nenda.

"Okey, kalau nak suruh Isha berubah, Isha tak ada masalah. Isha akan kerja. Faiq pun sama. Tapi yang jadi masalahnya, duit pun tak ada. Kad kredit pun tak bayar. Macam mana nak teruskan hidup?" pancing Delisha dengan kesedaran. Mana tau berkesan.

"Hah, macam itulah anak papa. Pasal elaun, pasal kad kredit, papa akan pujuk nenda settlekan ya? Tapi Isha kena janji, ikut segala nasihat nenda. Jangan buat hal lagi. Kalau boleh, papa tak nak Isha keluar malam-malam lagi dah. Isha dan Faiq kena buktikan kat nenda yang kau orang dah berubah." Daud memujuk lagi.

"Okeylah." Delisha sedikit reda rajuknya.

Dalina mengangkat sudu yang terisi lasagna menuju ke mulut Delisha.

"Makan ya, sayang? Mama tak nak anak mama jatuh sakit. Nanti gastrik pula. Dah seharian Isha tak makan, risau mama..." Wajah Dalina ketara bimbang.

Delisha tak sampai hati nak menolak. Akhirnya dia membuka mulut. Aduhai, barulah terasa lapar sangat. Tadi kerana rajuk, rasa laparnya entah ke mana.

"Isha kalau merajuk, sebiji macam mama," usik Daud sambil tergelak. Dalina membesarkan mata.

"Abang ni... Ke situ pula. Mana ada?"

Delisha senyum di hujung bibir.

Daud mengusik lagi.

"Memanglah tak ada, sebab mama kalau merajuk, dia suka makan banyak-banyak. Sebab tu badan bulat. Tapi Isha pula, kalau merajuk mogok lapar, tu yang papa risau takut makin kurus..." Muncung mulut Dalina diusik suaminya begitu. Sudahnya sepotong lasagna dimasukkan ke mulut. Geram.

"Hah, kan papa dah cakap, tengok tu. Stress dengan papa, terus mama makan. Hahaha..." Berderai ketawa anak-beranak itu. Suasana kembali harmoni.  

Continue Reading

You'll Also Like

159K 12.2K 69
Mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Adellea Zayra. Dia merupakan anak yatim piatu dan mengusahakan bisnes kecilnya. Dia seorang yang tegas...
25.8K 2.7K 50
IRFAN DANIAL, jejaka tampan yang mempunyai rupa paras yang kacak dan tampan, Irfan sentiasa menjadi perhatian para gadis. Seorang juruterbang yang be...
39.8K 1.9K 22
🥀𝒵𝓎𝒶𝓃 ℛ𝒶𝒻𝒶ℯ𝓁 x 𝒜𝓁𝓎𝒶 𝒬𝒶𝒾𝓈𝒶𝓇𝒶🥀 _ℛℯ𝓁𝒶 𝒦𝓊 𝒟ℯ𝓇𝒾𝓉𝒶 𝒟ℯ𝓂𝒾 ℳℯ𝓁𝒾𝒽𝒶𝓉 ℳ𝓊 ℬ𝒶𝒽𝒶ℊ𝒾𝒶_ Disatukan tanpa kerelaan hati.Itu...
18.8K 2.5K 37
3rd Tengku The Series Dua Hira. Anak yang 'tidak bertuah' yang menjadi cinderella tanpa rela dalam keluarga. "Kau ingat aku tauke balak ke apa? Asal...