BAB 11

5.8K 35 0
                                    

WeDding Of The Year. Itu yang disebut-sebut oleh para tetamu yang datang meraikan majlis perkahwinan gilang-gemilang Faiq dan Delisha. Nenda Rosnah rasa mahu pecah kepala memikirkan bil-bil yang bakal dibayar. Cucunya ini memang betul-betul mengikis duit yang ada. Disuruh kahwin setuju tapi punyalah membazir majlisnya.

Serba mewah. Itu yang tergambar. Bukan sahaja majlisnya di hotel bertaraf lima bintang tapi persiapan dan sambutan majlisnya pun hebat. Lihat saja Faiq dan Delisha yang begitu gah bersanding di singahsana bagaikan berada di kayangan, lengkap dengan persalinan yang mewah dan bukan murah materialnya. Sudahlah, beberapa kali menyalin pakaian pengantin. Kek perkahwinan pun bukan main tinggi lagi. Mahunya berpuluh ribu harganya jika dilihat dari reka bentuknya yang serupa istana itu.

Band muzik yang begitu memukau, dengan jemputan artis-artis terkemuka di Malaysia dan Indonesia.Fuhhh! Membazir betul.

"Mak, kenapa mengeluh? Sepatutnya mak gembira cucu mak kahwin." Daud hairan melihat Nenda Rosnah yang tidak nampak gembira. Nyanyian artis jemputan yang popular bergema satu majlis pun tak mampu memaniskan muka orang tua itu.

"Kenapa kamu biarkan anak kamu buat majlis membazir sampai macam ni? Nak buktikan apa? Nak bagitau satu dunia kita kaya? Macam tu? Ini bukan majlis yang disarankan Rasulullah. Yang kamu jemput pun semua orang kenamaan, langsung tak ada kebajikan dalam majlis ni. Macam mana perkahwinan mereka nak berkat?" Nenda Rosnah membebel lagi. Manakan tidak, semua ikut nafsu. Dahlah dua orang anak tu bukan boleh harap sangat. Silap hari bulan tak sampai setahun kahwin dah bercerai. Tak ke rugi?

Dalina menyinggung bahu Daud. Mereka sudah agak Nenda Rosnah bakal membebel. Biar suami menjawab, kalau dijawab, kurang ajar pula memandangkan dia hanya menantu.

"Ala mak, tak apalah. Anak seorang aje, lagipun bukannya mak tak ada duit. Takkan nak buat majlis kahwin koboi aje. Mestilah gilang-gemilang. Sampai tua pun diingati. Jodoh budak-budak ni mesti berkat punyalah, dah banyak berhabis mesti mereka rasa rugi nak bercerai. Mak jangan risaulah." Daud begitu mudah membalasnya kerana bukan guna duit dia.

Yang pasti, dia benar-benar berbangga majlis perkahwinan ini mengunakan perunding yang terhebat di Malaysia yang telah mengaturkan majlis-majlis artis-artis ternama dan hartawan. Ramai yang kagum dan memuji-muji keseluruhan persiapan majlis perkahwinan ini.

Nenda Rosnah menggelengkan kepala. Cucunya nak rasa rugi? Jenis spesies yang tak tahu erti susahnya cari satu sen tu? Hesy, ini sudah melampau!

"Siapa kata mak banyak duit? Kamu senang cakaplah, mak yang keluar belanja. Kamu tak sedar ke company kamu pun hampir nak gulung tikar? Duit yang setakat ada tak kan nak habiskan? Kamu bukan tahu akaun mak ni ada banyak mana. Dengan belanja besar macam ni, akaun dah susut dan terjejas teruk," bebel Nenda Rosnah tak habis-habis. Mahunya tidak, semua bil menghala ke arah dia. Yang pihak lelaki pun sama, langsung tak ada kerjasama.

"Kenapa, mak? Syarikat ada masalah kewangan ke? Biar betul, mak? Kenapa mak tak cakap awal-awal?" Daud jadi cemas. Hah, baru dia ada akal fikir.

"Siapa kata mak tak pernah cakap? Selalu mak pesan, zaman ekonomi gawat ni dengan kejatuhan ringgit Malaysia, kita kena berjimat cermat, tapi kamu semua tak faham. Yang kamu tahu minta duit, minta duit. Kamu dengan anak kamu, sama saja perangai. Kerja melingkupkan aku. Lepas ni, tambah lagi pula. Keluarga besan kamu!" Nenda Rosnah naik muak bagi nasihat. Masing-masing hati dah hitam. Sekarang ni, bila keadaan makin teruk baru mereka ada akal.

"La, saya ingatkan mak nasihat aje, saya tak tau pula mak pun ada masalah kewangan juga! Saya ingatkan mak banyak duit! Maaflah mak, habis tu macam mana ni?" Daud dan Dalina pula naik risau. Nenda Rosnah menggelengkan kepalanya.

"Bertuah punya anak... Patutnya fikir macam mana nak tolong orang tua, tapi dia fikir nak susahkan orang tua ni lagi. Tak apalah perkahwinan mewah pun, asalkan lepas ni merempat kita semua." Dah terlambat untuk dikesalkan dan kini Nenda Rosnah perlu fikirkan bagaimana cara untuk menampung kewangan yang sudah bocor teruk.

HALALKAN HATI YANG KUCURIWhere stories live. Discover now