CERPEN HARI JUMAAT

By BukuFixi

371K 11.4K 2.3K

Cerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat... More

MANDI SUNGAI- Ridhwan Saidi
KEJAM - Anuar Shah
NASI LEMAK SAMBAL SOTONG - Syaihan Syafiq
EMPAT DARA - Shaz Johar
RINGGIT KE NERAKA - Lokman Hakim
UNDUR - Syahmi Hafizuddin
MEREDITH - Neesa Jamal
TALI - Syafiq Aizat
ROTI DARI SYURGA - Hanani Natasya
EMPAT JUMAAT - Regina Ibrahim
STEW DAGING - Fahmi Mustaffa
SYARIKAT - Ariff Adly
PILIHAN - Saat Omar
DEBU - Faizal Sulaiman
AKU, KOMUTER & KERETA SAPU - Aiman Hazziq
CIKDAM (Cinta Itu Ketawa dan Air Mata) - Hasrul Rizwan
RESIPI KEHIDUPAN - Ikmal Ahmad
MENANTI - Regina Ibrahim
JUMAAT - Saat Omar
RAKSAKA ITU DIMAKAN MANUSIA - Lokman Hakim
RIVER KWAI - Shaz Johar
TIVI MISTERI - Hani Suraya
AWEK TUDUNG KERETA BIRU - Anuar Shah
PETANG TANPA PEDOMAN - Mim Jamil
CINTA DI MEDAN PERANG - Adib Zaini
SYARAT - Faizal Sulaiman
SURAT LAYANG RAMADHAN - Muhammad Fatrim
MEMBAWA HATI UNTUK DISERAH SEBAGAI CINTA - Syafiq Ghazali
BAHIYOH DAN MASHITOH - Regina Ibrahim
ROTI KAPIT INTI DAGING - Syaihan Syafiq
DALAM BALANG - Fahmi Mustaffa
TAKDIR - Adib Zaini
CINTA 10 KM - Faizal Sulaiman
HAPPY BIRTHDAY AHMAD! - Muhammad Fatrim
GALAU - Hilmi Loma
BELLA - Syahmi Hafizuddin
TRAVELOG PULAU KAPAS - Ikmal Ahmad
SWEET REVENGE - Noor Azlin
KISAH BIASA-BIASA - Irvan Affan
HOUSEMATE - Syahmi Hafizuddin
TALI (PART 2) - Syafiq Aizat
BOLA MATA- Wan Nor Azriq
KATRIJ PELEPAS GERAM - Hani Suraya
RASHID MAT DESPATCH - Regina Ibrahim
CINTA - Julie Anne
DAUN KELADI, GELEGAR BULUH - Irvan Affan
PAK MAT DAN MAK TIMAH PERGI MAKAN CENDOL- Anuar Shah
KALI PERTAMA MEHDAD MEMBUNUH - Hasrul Rizwan
CHIME - Syahmi Hafizuddin
KABUS SUBUH - Ridhwan Saidi
BRUJA - Hilmi Loma
KAK NOOR, PEREMPUAN LANGKAWI - Regina Ibrahim

MARI SERTAI AKU - Aiman Hazziq

3.3K 144 46
By BukuFixi

Ibu aku seorang guru sekolah menengah. Hidupnya sehari-hari di sekolah, berkisarkan sekolah, menghabiskan masa di sekolah dan tika petang tiba, barulah dia pulang ke rumah. Dia selalu menghabiskan masanya mengajar anak muridnya, kadang-kadang sehingga malam kerana ada kelas tambahan. Jikalau tiada pun, kadang-kadang dia akan luangkan masa malamnya untuk menanda latihan muridnya, ataupun mengulang kaji bahan untuk mengajar esok.

Namun cerpen ini bukan mengenai ibu, ataupun mengenai guru. Jauh sama sekali. Aku mulakan cerpen ini sedemikian kerana pemerhatian aku terhadap ibuku inilah yang mencorak mindaku sekarang.

Lazimnya, yang mendidik anak-anak adalah golongan ibu. Bapa lebih banyak meluangkan masa mencari nafkah, memberi duit dan mencukupkan keperluan seharian keluarga. Itu sebabnya masa mereka bersama anak-anak kurang sedikit. Begitu juga dengan aku, bapa aku kerja di bawah kerajaan, di Pusat Kebajikan Masyarakat.

Sewaktu aku sekolah menengah, aku habiskan masa aku di sekolah berasrama yang paling ternama di negara. Kerja aku di sana belajar, belajar, dan belajar. Kokurikulum hanya sampingan, malah dianggap tidak penting langsung. Fokusku lebih ditumpukan kepada SPM. Sekolah yang cemerlang bermaksud sekolah tersebut berjaya mencapai keputusan yang bagus dalam SPM. Pengetua menekan para guru agar memastikan prestasi pelajar cemerlang, dan murid dipaksa belajar sehingga tepu otak. Apa yang penting? Keputusan sekolah cemerlang, sekurang-kurangnya nombor 1 negeri dan antara 5 terbaik di seluruh negara.

Selepas aku keluar sekolah, lebih tepat lagi waktu menunggu keputusan SPM, aku rasa itu merupakan tempoh masa yang membosankan dan merugikan (ini kerana aku tidak masuk PLKN). Masa terbuang begitu sahaja. Apa yang aku buat saban hari hanya merugikan - main game, menonton wayang, melayari internet. Aku jeles kepada mereka yang ambil peluang ini untuk kerja part time, satu perkara yang sangat bagus. Pengalaman dapat, duit dapat dan yang penting, masa tidak terbuang.

Keputusan SPM aku biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang nak dibanggakan. Tunggu permohonan UPU seperti orang lain, dan buat asasi sains di UiTM. Aku sekali lagi iri hati dengan mereka yang dapat biasiswa dan tajaan, terutama sekali yang dapat belajar di luar negara. Aku rasa waktu itu, belajar di luar negara merupakan impian kami semua.

Waktu ini aku sedar bahawa hidup kita semua bagai sudah ditetapkan oleh sesuatu. Bermula daripada rumah, ibu bapa selalu pesan kepada kita untuk belajar rajin-rajin, masuk universiti bagus-bagus, dapatkan ijazah, dan cari kerja yang bagus. Tiada salahnya di situ, betul. Namun mungkin ada yang lebih baik.

Di sekolah juga, kadang-kadang sistem sekolah itu sendiri tidak bagus, mengajar murid-murid supaya belajar demi peperiksaan. "Kita kena kekalkan prestasi cemerlang sekolah kita!" kata pengetua dengan lantang. Memberi kata-kata semangat, juga amaran buat mereka yang corot. Membuatkan para pelajar bertungkus lumus menghafal apa yang ada dalam buku teks dan buku rujukan, memahat setiap fakta yang tertulis di kepala mereka, untuk ditulis sewaktu peperiksaan nanti. Habis sahaja peperiksaan, semua yang dihafal hilang, seperti anjing menyalak bukit.

Aku selalu menggunakan khidmat KTM Komuter untuk bergerak sekitar Kuala Lumpur. Waktu yang paling aku suka untuk menggunakan perkhidmatan kerajaan ini ialah antara jam 5 hingga 7 petang. Betul, waktu sesak di mana semua orang berpusu-pusu untuk pulang ke rumah masing-masing. Waktu ini jugalah waktu yang aku suka. Aku akan berdiri di tengah-tengah kesesakan manusia di dalam komuter itu, dan secara sembunyi aku akan melihat wajah mereka.

Hampir 90 peratus mereka yang menaiki komuter waktu itu merupakan mereka yang baru pulang dari kerja. Aku teliti raut wajah mereka. Hanya satu konklusi yang aku dapat, 60 peratus daripada mereka tidak suka akan situasi mereka sekarang. Keluar rumah seawal 7 pagi untuk ke tempat kerja, pulang hanya pada jam 6 petang. Ditambah pula dengan kesesakan di dalam komuter, tambang lagi.

Ini membuatkan aku bertanya kepada diriku, adakah aku akan jadi seperti mereka? Di mana aku akan berada pada jam ini, apabila umur aku sama seperti mereka?

Kehidupan di universiti juga tidak banyak bezanya. Masing-masing cuba membahagikan masa belajar dengan masa untuk berseronok. Apabila dekat dengan musim peperiksaan, belajar sehingga jam 2-3 pagi untuk dapatkan keputusan yang cemerlang. Untuk apa? Untuk sekeping sijil. Kenapa perlu ada sekeping sijil ni? Kerana kita semua dimomokkan oleh orang-orang sebelum kita bahawa kita perlukan sekeping sijil itu untuk dapat kerja yang bagus.

Tiada yang salah di sini.

Aku juga ada seorang sepupu lelaki, sebaya denganku. Aku dengan dia jauh beza. Dia awal-awal lagi sudah keluar daripada sekolah menengah. Bukan sebab dia malas, namun sebab dia mahu kerja. Jadi dia pun mula dengan bekerja di ladang, jadi pemetik buah, buruh, dan macam-macam lagi pekerjaan yang serupa.

Waktu aku sudah hampir mendapat ijazah, dia sudah nampak kerjayanya. Dia sudah belajar selok-belok menguruskan ladang, segalanya dipelajari sambil bekerja. Manakala aku masih terkial-kial mencari kerja, dengan ekonomi yang tidak menentu. Lambakan pemegang ijazah juga menyukarkan keadaan, terlalu banyak saingan.

Nampak bezanya di situ? Aku percaya universiti di dunia ini ada dua jenis. Universiti akademik dan universiti kehidupan. Yang akademik merupakan institusi yang solid, tangible yang ramai lepasan SPM berebut nak masuk. Universiti kehidupan pula hanyalah kehidupan kita, yang mematangkan kita dari hari ke hari. Kita belajar daripada pengalaman dan juga dari kesilapan yang kita lakukan hari-hari. Seperti yang dapat dilihat, aku masuk ke dalam universiti akademik, manakala sepupu aku merelakan dirinya untuk menyertai universiti kehidupan. (Aku pasti ada sesetengah manusia akan kata bullshit kepada apa yang aku kata ini.)

Susah untuk aku katakan ini, namun kadang-kadang universiti kehidupan ini lebih baik daripada universiti yang direka manusia. Namun keadaan ini hanya berlaku buat mereka yang bijak. Tak semestinya bijak secara intelektual.

Berbalik kepada ibu aku, aku sedih melihat rutin hidupnya yang memenatkan. Tentu sekali, guru merupakan satu pekerjaan yang mulia. Tetapi balasan yang dia terima (gajinya) seperti tidak setimpal dengan tenaga yang dikeluarkannya. Aku pernah bertanya kepada ibuku, mengapa dia lakukan semua ini. Jawapannya suatu yang aku tidak faham dan tidak boleh terima: ada nilai yang lebih besar daripada wang. Ada kepuasan melihat kejayaan anak didiknya. Itu semua lebih bernilai daripada gaji yang dibayar kerajaan.

Semua ini membuatkan aku sedar, aturan hidup yang sering diikuti kita semua, tidak mendatangkan kepuasan yang penuh. Hidup kita dari kecil, sudah ditetapkan oleh sesetengah golongan yang memanipulasi. Kita perlu belajar betul-betul sehingga ke menara gading, dapatkan sijil dan seterusnya menjadi pekerja yang bagus.

Aku sedar ini bukan yang aku nak. Jauh sekali dari kehidupan yang aku impikan. Aku tak ingin untuk kerja di bawah tapak kaki orang. Aku tak suka disuruh untuk melakukan itu ini. Apatah lagi untuk bekerja di dalam bidang yang aku tidak suka.

Bayangkan, seharian di dalam pejabat, melakukan kerja yang tidak digemari. Aku tidak suka membaca, namun bos menyuruh aku untuk menyemak kertas kerja untuk dia. Ah, mati aku!

Sebelum aku mendapatkan ijazah yang sebenarnya boleh dibeli menggunakan wang, aku sudah memikirkan cara-cara yang boleh aku lakukan untuk mengelakkan diri aku daripada terjerumus ke dalam golongan kerja untuk mendapat gaji.

Sebelum tamat pengajian lagi aku sudah mengambil langkah-langkah awal. Aku menjadi agen dropship kepada sebuah kedai atas talian terkemuka di negara kita. Mula-mula, seronok kerana dapat duit tanpa modal, namun lama kelamaan kedai tersebut mengalami kemerosotan dan akhirnya gulung tikar setelah menipu beberapa pelanggan.

Itu kisah lama. Itu juga merupakan contoh pembelajaran dari pengalaman. Aku belajar dari kesilapanku dan bangkit untuk menjadi lebih baik. Aku tahu bahawa untuk tidak menjadi golongan yang aku takuti, aku perlu berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Aku harus belajar cara-cara untuk membuat wang beranak, menghasilkan lebih banyak wang. Orang barat memanggilnya; make money work for you.

Maka, aku pun mengambil langkah untuk berkenalan dengan mereka yang ada ilmu dalam bidang ini. Aku berkawan dengan mereka, luangkan masa bersama mereka untuk mendengar buah fikiran mereka. Mereka menjadi idola aku, kerana mereka pandai bermain dengan wang, pandai melabur sekaligus menghasilkan pendapatan pasif yang lumayan.

Walau bagaimanapun, untuk memulakan perniagaan, kita memerlukan modal. Begitu juga dengan melabur. Ada modal yang harus dikeluarkan untuk mendapat pulangan. Dan melalui pengamatan kau sekarang ini, ketahuilah bahawa aku sudah mendapat pulangan beratus kali lipat ganda dari modal aku. Ya, banyak sekali.

Aku tahu ilmu itu merupakan sesuatu yang perlu dikongsi. Ia harus disebarkan untuk memaksimakan keberkesanannya. Aku seratus peratus bersetuju dengan pernyataan ini. Oleh itu, aku ingin menawarkan kau peluang yang jarang-jarang sekali datang. Mari sertai aku.

Nama aku Zack, dan aku merupakan jutawan kelima yang Pitochyne hasilkan. Masih belum terlambat untuk kau sertai aku. Masih ada peluang yang terbuka, dan masih banyak. Rezeki ada di mana-mana, hanya kita yang perlu pandai mencari.

Buat julung kalinya, aku menawarkan pakej platinum kepada kau. Ingat, tawaran ini jarang-jarang berlaku. Aku hanya berikan kepada mereka yang aku rasa mampu untuk berjaya seperti aku. Pakej platinum berharga RM 10,785, hanya bayar sekali seumur hidup dan terus menjadi ahli platinum Pitochyne. Banyak faedah yang kau boleh dapat di sini. Contohnya, pulangan modal 10 kali ganda yang dijamin oleh dewa matahari. Tak rugi untuk kau ambil pakej ini.

Tetapi aku faham, ada juga yang tidak mampu. Jangan risau, masih ada peluang untuk kau kerana Pitochyne juga ada pakej emas, silver dan bronze. Harga bronze paling murah, iaitu RM700. Memang semua orang mampu untuk menjadi ahli Phytochyne dan semua orang mampu membuat wang.

Jadi, tunggu apa lagi? Keluarkan telefon pintar anda dan WhatsApp 0196590143 untuk mendaftar.  

TAMAT

Continue Reading

You'll Also Like

283K 2.9K 10
Taufik seorang lelaki yang agak lembut...tetapi dia sangat menyukai perempuan....banyak lelaki yang telah tergoda akan kecomelannya ,dan ada juga lel...
3K 173 14
Hanim suka Syafiq, pelajar tingkatan 6 yang lebih tua daripadanya. Disebabkan Hanim berbadan besar, tak pandai bergaya, Syafiq dan geng-gengnya selal...
42K 1.4K 12
Psycho. Seorang yang pelik Seorang yang bertindak luar kawal. Selalunye budak macam Ni kurang kasih sayang. Kekadang die terdengar something bercakap...
149K 5.6K 44
[Book 1] Adam Zahrain x Riya Dahlia She needed someone to show her how to live and he needed someone to show him how to love.