MARI SERTAI AKU - Aiman Hazziq

3.3K 144 46
                                    

Ibu aku seorang guru sekolah menengah. Hidupnya sehari-hari di sekolah, berkisarkan sekolah, menghabiskan masa di sekolah dan tika petang tiba, barulah dia pulang ke rumah. Dia selalu menghabiskan masanya mengajar anak muridnya, kadang-kadang sehingga malam kerana ada kelas tambahan. Jikalau tiada pun, kadang-kadang dia akan luangkan masa malamnya untuk menanda latihan muridnya, ataupun mengulang kaji bahan untuk mengajar esok.

Namun cerpen ini bukan mengenai ibu, ataupun mengenai guru. Jauh sama sekali. Aku mulakan cerpen ini sedemikian kerana pemerhatian aku terhadap ibuku inilah yang mencorak mindaku sekarang.

Lazimnya, yang mendidik anak-anak adalah golongan ibu. Bapa lebih banyak meluangkan masa mencari nafkah, memberi duit dan mencukupkan keperluan seharian keluarga. Itu sebabnya masa mereka bersama anak-anak kurang sedikit. Begitu juga dengan aku, bapa aku kerja di bawah kerajaan, di Pusat Kebajikan Masyarakat.

Sewaktu aku sekolah menengah, aku habiskan masa aku di sekolah berasrama yang paling ternama di negara. Kerja aku di sana belajar, belajar, dan belajar. Kokurikulum hanya sampingan, malah dianggap tidak penting langsung. Fokusku lebih ditumpukan kepada SPM. Sekolah yang cemerlang bermaksud sekolah tersebut berjaya mencapai keputusan yang bagus dalam SPM. Pengetua menekan para guru agar memastikan prestasi pelajar cemerlang, dan murid dipaksa belajar sehingga tepu otak. Apa yang penting? Keputusan sekolah cemerlang, sekurang-kurangnya nombor 1 negeri dan antara 5 terbaik di seluruh negara.

Selepas aku keluar sekolah, lebih tepat lagi waktu menunggu keputusan SPM, aku rasa itu merupakan tempoh masa yang membosankan dan merugikan (ini kerana aku tidak masuk PLKN). Masa terbuang begitu sahaja. Apa yang aku buat saban hari hanya merugikan - main game, menonton wayang, melayari internet. Aku jeles kepada mereka yang ambil peluang ini untuk kerja part time, satu perkara yang sangat bagus. Pengalaman dapat, duit dapat dan yang penting, masa tidak terbuang.

Keputusan SPM aku biasa-biasa sahaja. Tiada apa yang nak dibanggakan. Tunggu permohonan UPU seperti orang lain, dan buat asasi sains di UiTM. Aku sekali lagi iri hati dengan mereka yang dapat biasiswa dan tajaan, terutama sekali yang dapat belajar di luar negara. Aku rasa waktu itu, belajar di luar negara merupakan impian kami semua.

Waktu ini aku sedar bahawa hidup kita semua bagai sudah ditetapkan oleh sesuatu. Bermula daripada rumah, ibu bapa selalu pesan kepada kita untuk belajar rajin-rajin, masuk universiti bagus-bagus, dapatkan ijazah, dan cari kerja yang bagus. Tiada salahnya di situ, betul. Namun mungkin ada yang lebih baik.

Di sekolah juga, kadang-kadang sistem sekolah itu sendiri tidak bagus, mengajar murid-murid supaya belajar demi peperiksaan. "Kita kena kekalkan prestasi cemerlang sekolah kita!" kata pengetua dengan lantang. Memberi kata-kata semangat, juga amaran buat mereka yang corot. Membuatkan para pelajar bertungkus lumus menghafal apa yang ada dalam buku teks dan buku rujukan, memahat setiap fakta yang tertulis di kepala mereka, untuk ditulis sewaktu peperiksaan nanti. Habis sahaja peperiksaan, semua yang dihafal hilang, seperti anjing menyalak bukit.

Aku selalu menggunakan khidmat KTM Komuter untuk bergerak sekitar Kuala Lumpur. Waktu yang paling aku suka untuk menggunakan perkhidmatan kerajaan ini ialah antara jam 5 hingga 7 petang. Betul, waktu sesak di mana semua orang berpusu-pusu untuk pulang ke rumah masing-masing. Waktu ini jugalah waktu yang aku suka. Aku akan berdiri di tengah-tengah kesesakan manusia di dalam komuter itu, dan secara sembunyi aku akan melihat wajah mereka.

Hampir 90 peratus mereka yang menaiki komuter waktu itu merupakan mereka yang baru pulang dari kerja. Aku teliti raut wajah mereka. Hanya satu konklusi yang aku dapat, 60 peratus daripada mereka tidak suka akan situasi mereka sekarang. Keluar rumah seawal 7 pagi untuk ke tempat kerja, pulang hanya pada jam 6 petang. Ditambah pula dengan kesesakan di dalam komuter, tambang lagi.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now