MAKNA PADA RASA

By JueaAbdullah72

19.5K 376 6

"Eager to leave me, Puteri Zulaikha? Jadi... saya tak layak untuk seorang Puteri Zulaikha! Right?" Dagu Puter... More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12 Part I
Bab 12 Part II
Bab 13
Bab 14
Bab 15
Bab 16
Bab 17
Bab 18
Bab 19
Bab 20
Bab 21
Bab 22
Bab 23
Bab 24
Bab 25
Bab 26
Bab 27
Bab 28
Bab 29
Bab 30
Bab 32
Bab 33
Bab 34
Bab 35
Bab 36
Bab 37
Bab 38
Bab 39
Bab 40
Bab 41
Bab 42
Bab 43
Teaser Makna Pada Rasa 1
Teaser Makna Pada Rasa 2

Bab 31

375 5 0
By JueaAbdullah72

Suasana pagi di Istanbul memang sesak sehingga meletakkan bandar itu di antara sepuluh buah bandar paling teruk kesesakan lalulintasnya di dunia.

Puteri tidak pasti mengapa Nuqman tidak menggunakan kenderaan awam. Puteri lebih suka naik turun tram daripada terpaksa merentas kesesakan lalulintas walaupun dia selesa dalam kereta mewah Audi A4 yang dipandu Nuqman. Baik sungguh rakan niaganya di sini sehingga menyediakan kereta semewah ini untuk kegunaan Nuqman sepanjang dia berada di Istanbul. Dan macammana pula Nuqman yang hanya seorang arkitek boleh menjadi rakanniaga pula? Hmm... siapa Nuqman sebenarnya? Puteri masih terfikir-fikir.

Tidak lama kemudian, kesesakan semakin berkurangan apabila kereta itu meluncur keluar dari Bandar menuju ke kawasan yang berhampiran kawasan pantai. Puteri sedari tadi hanya mendiamkan diri. Mindanya celaru, emosinya kacau. Dia juga tak mahu menganggu Nuqman dengan pelbagai persoalan yang mengganggu benaknya. Dia sedar yang Nuqman juga seperti tenggelam dalam arus pemikirannya sendiri. Lelaki itu memandu tanpa sepatah kata.

Melihat pantai yang panjang dan laut membiru di sepanjang perjalanan serta merta mengubah mood Puteri. Betullah kata orang, alam Tuhan itu amat menenangkan. Entah bagaimana, keindahan alam Tuhan benar-benar dapat mengubah emosi sesiapa sahaja yang membuka mata dan mindanya. Mengubat kegelisahan dan mampu mengusir apa juga gangguan perasaan yang melanda.

"Tu pantai Bebek," ujar Nuqman. Kelihatan ramai pemancing dan bot-bot kecil sepanjang persisiran pantai. Simpang-siur kapal-kapal besar dan feri juga membuatkan suasana hidup dan meriah.

Kemudian pantai hilang di balik deretan kedai di kiri dan kanan jalan. Puteri tersandar semula ke tempat duduk. Deretan kedai-kedai itu hanya di pandang hambar. Sehinggalah mereka tiba ke sebuah kawasan perkuburan di sebelah kiri dan pantai muncul kembali di sebelah kanan jalan. Puteri menarik nafas semula. Hmm... sebenarnya ke mana destinasi mereka hari ini? Dapatkah aku balik ke Malaysia secepat mungkin. Puteri mengerling Nuqman yang tenang memandu di sisinya.

"Yang tadi tu, Pekan Bebek. Sekarang kita dah sampai ke Rumeli Hisari," Nuqman memperlahankan kereta lalu memakir di sisi jalan betul-betul bertentangan dengan pintu agam Rumeli Hisari. Puteri terdongak, teruja melihat tugu batu itu benar-benar wujud di depan mata.

Terdapat beberapa buah bas pelancong dan kereta yang turut di parkir di kawasan itu. Namun tidak ramai yang ada di hadapan pintu masuk. Mereka berjalan beriringan melintas jalan, menuju ke kaunter jualan tiket. Cuaca cerah namun masih terasa dinginnya. Moga-moga hatinya yang kelabu akan berubah cerah juga, bisik Puteri.

"Merhaba!" Kedatangan mereka disambut mesra. Dua tiket dihulurkan selepas Nuqman membuat bayaran.

"Teshekkur ederim," tutur Nuqman, berterima kasih sebelum melangkah pergi. Penjual tiket dan kedua orang pengawal di situ tersenyum manis.

"Inilah Rumeli Hisari. Hisar bermaksud gunung atau batu atau kubu. Rumeli – 'the land of the Romans'. Ada juga yang tafsirkan sebagai 'tanah jajahan Turki Uthmaniyah'. Pernah baca tentang sejarah Rumeli Hisari?" Soal Nuqman saat melewati pintu masuk utama ke tugu itu. Puteri yang terdongak, berpusing memandang setiap sudut binaan itu selepas ikut melangkah masuk hanya menggelengkan kepala. Udara segar dihirup panjang, hingga tubuhnya terasa bertenaga berbanding awal pagi tadi. Aura dalam bangunan tua itu sangat memberikan kekuatan pada fizikal, mental dan emosinya.

Rumeli Hisari memang tugu batu. Tegap, gagah berdiri. Warna binaan batu lama itu menyuntik suasana nostalgik seolah-olah membawa pengunjungnya merentasi masa ke zaman silam. Pepohon tua yang rimbun dan berlantaikan hamparan rumput menghijau di dalam kubu itu membuatkan ianya 'hidup'. Lensa Camcoder Puteri mula aktif berperanan.

Deretan meriam tersusun kemas di bawah rimbunan pepohon membakar semangat juang sesiapa yang melihat. Puteri tidak dapat menahan diri mula ber'selfie' dengan meriam-meriam di situ. Nuqman hanya tersenyum memandang. Kemudian Nuqman membawanya ke suatu sudut di mana fakta tentang Rumeli Hisari yang terpampang berdiri, sarat dengan sejarah terbinanya tugu itu.

"Ika boleh baca sebahagian dari fakta penting tentang Rumeli Hisari kat sini." Baca? Mata Puteri berputar. Panjang tu! Bisik hatinya. Dia tersenyum lalu mengarahkan lensa Camcodernya ke arah papan kenyataan itu, mencari sudut yang menyeluruh lalu merakamkannya untuk dibaca kemudian nanti.

"Dah baca!" Ujarnya sepatah. Nuqman tersengih. Kepalanya digelengkan. Kemudian kembali mendongak ke papan kenyataan itu. Dia tidak perlu membacanya. Rumeli Hisari sudah menjadi sebahagian dari dirinya.

"Sultan Muhamad Al Fateh selalu buat saya tersenyum dan bangga menjadi seorang Islam. Dia dan juga ramai lagi tokoh Islam yang lain dah buktikan, orang mukmin tu cerdiknya luar biasa. Masa dia dah dilantik jadi pemimpin tentera, dia tetap nak ayahanda dia ikut berperang. Dia berkata pada Sultan Murad, 'Kalau ayahanda fikir ayahanda masih seorang khalifah, menjadi kewajipan ayahanda untuk turun ke medan perang. Tapi jika ayahanda memandang saya yang khalifah, maka saya perintahkan ayahanda untuk turun berjuang.' Akhinya, Sultan Murad dah tak ada alasan nak mengelak lagi." Nuqman ketawa kecil. Suaranya sarat dengan rasa kagum. Puteri yang mendengar ikut tersenyum. Bagaikan ada watak Al Fateh yang hidup dalam diri Nuqman.

Nuqman mengajak Puteri ke suatu sudut lain. Mereka berdiri di tepi benteng mengadap Selat Bosphorus. Angin dingin bertiup agak kuat di situ, amat menyenangkan.

"Nampak kat sana tu?" Nuqman menunjukkan jarinya ke arah daratan di seberang sana. Puteri patuh, menghimbau pandangan sejauh yang mungkin.

"Di situlah dulu letaknya kota Konstantinople. Jelas dari sini. Sultan Al Fateh memang cerdik sungguh, dia betul-betul kaji sejarah. Dah ramai pejuang Islam nak tembus Kota Konstantinople tapi gagal. Kebal sangat. Kota tu ada tembok tingginya dua puluh lima kaki, tebalnya empat lapis, di luar tembok ada parit air pulak. So, Sultan Al-Fateh bina tugu ni. Hanya ambik masa empat bulan. Dia sendiri buka serban dengan baju dia, ikut bina kubu ni. Kebanyakan ulama dan pemimpin malu nak ikut sekali buat kerja buruh. Tetapi Sultan Al Fateh berbeza. Hebatkan pemimpin Islam?" Puteri menelan liur, mengangguk. Betapa aku jahil tentang semua ini. Aku hanya seorang Islam kerana dilahirkan Islam, bisik hati kecil Puteri, malu dengan diri sendiri. Islam pun belum betul-betul kenal, apatah lagi pemimpin Islam?

"Depan tugu ni tepat di mana laluan paling sempit sepanjang Selat Bosphorus. Jadi Sultan Al-Fateh mengawal laluan kapal-kapal dengan posisi terbaik di sini. Dari sini jugak, dia melancarkan serangan, membedil kota Konstantinople dari tiga menara bertalu-talu sampai kota tu lemah dan akhirnya berjaya ditawan dengan macam-macam taktik peperangan hasil pimpinan Sultan Al-Fateh." Nuqman memandang jauh, menjiwai sejarah hebat itu. Dia menarik nafas perlahan-lahan. Semangatnya semakin berkobar setiap kali dia mengunjungi Rumeli Hisari. Dia mengalihkan pandangan kepada Puteri yang asyik merakam gambar dari sudut itu.

"Hebatkan hasil pimpinan sorang lelaki yang baru 21 tahun? Boleh bina tugu sehebat ni, runtuhkan kota kebal, mampu memimpin sebuah empayar Islam. Hanya orang yang betul-betul bertaqwa saja yang akan dibantu Allah sampai ke peringkat ni."

Lensa Camcoder Puteri terhenti. Lama dia termenung menjauh. Nuqman kehairanan dengan tingkah Puteri. Apa agaknya dalam fikirannya? Perlahan Puteri berpaling memandang tepat ke arah Nuqman.

"If only such a person exist today, mungkin kekejaman terhadap orang Islam yang sedang berlaku... takkan berlaku." Keluhnya, perlahan. Ada air yang tergenang dalam kelopak matanya. Nuqman terkedu. Penderitaan dari keganasan itu benar-benar meninggalkan kesan pada Puteri.

"Allah Maha Pembela, Ika. Sejarah tetap akan berulang. Setiap 100 tahun, Allah datangkan seseorang yang bangkit membela agamanya. Bawak manusia yang dah lalai, dah rosak, ada yang dah sesat, balik semula pada Tuhannya. Kita dah lalai sangat, Ika. Ramai antara kita dah rosak, makin ramai yang tersesat, semua tu membentuk jahiliah. Mana yang masih beriman tetap yakin, Allah akan datangkan penyelamat tak lama lagi. Kita kena terus kuat jaga agama, jaga iman selagi mampu. Keganasan tu akan berakhir dengan kemenangan bagi Islam. Percayalah. Sejarah dah banyak kali buktikan. Ada mujadid pada setiap kurun. Selain tu, ada pemimpin gagah berani macam Sultan Muhamad Al Fateh, Khalid al Walid, Salahuddin Al-Ayyubi dan ramai lagi. Islam tu selamat dan menyelamatkan. Ika kena yakin." Nuqman mengimbau masa lampau demi untuk berkongsi kekuatan.

Puteri semakin sebak. Macammanalah aku nak yakin... aku tak tau pun semua tu! Aku tak pernah ambik tau! Puteri mengutuk diri sendiri.

"Pembela agama Allah sedang berjuang di mana-mana Ika. Mereka tak ramai. Sebab yang benar-benar bertaqwa memang tak ramai. Tapi percayalah, Islam tak kan terbiar hancur." Nuqman cuba menenangkan gadis itu yang seperti tenggelam punca dengan apa yang sedang berlaku.

"Mereka ni hebat, Ika. Macam Sultan Muhammad Al Fateh, dia suka pakai serban. Ikut sunnah nabi. Tentera dia pun suka pakai serban. Yang paling hebat, serban tu lah nanti jadi kain kafan diaorang..." Nuqman tersenyum tapi riak wajahnya keharuan. Puteri terperanjat.

"Betapa diaorang cintakan syahid," sambungnya, sebak. Puteri tunduk. Hebatnya, ya Allah! Bantulah mereka yang membela agama-Mu, ya Tuhan. Selamatkanlah kami, hatinya merintih sungguh.

"Ika nak explore tempat ni lagi, tak?"

Cepat dia mengangguk. Airmata yang bertakung dikesat laju. Nuqman menghulurkan tapak tangannya. Malu-malu Puteri menyambutnya.

"Then, lets go! Kita kena mendaki. Setidak-tidaknya sampai tingkat tiga. Sanggup tak ni?" Puteri terdongak. Tugu itu kukuh menanti. Sanggup! Dia sanggup demi menjelajah rahsia kekuatan Al- Fateh!

Mereka melangkah dan terus menjelajah ke segenap penjuru tugu itu. Selain dari tiga menara utama yang berbentuk silinder di pinggir pantai, di sayap utara dan selatan, ada pelbagai lagi bentuk binaan dengan fungsi yang berbeza dibina dalam Rumeli Hisari. Ada deretan batu yang menaik seperti tangga mengelilingi dataran yang luas seperti stadium. Dinding-dinding batu yang menjadi benteng juga dibina dengan berbagai bentuk menjadi 'wall of fire' yang tidak boleh ditembusi dan tidak selamat jika dihampiri.

Dalam tugu itu selain pintu masuk besar untuk ke menara, terdapat banyak pintu-pintu dan lorong-lorong yang digunakan untuk ke gudang senjata dan tempat penyimpanan stok makanan para tentera. Puteri dapat merasakan semangat juang tentera Islam yang memenuhi ruang Rumeli Hisari satu waktu dulu semakin kuat dalam nafasnya.

Tiba di tingkat tiga pada ketinggian 60 kaki dari aras laut, Puteri mula terasa penat. Nuqman menariknya ke bawah redup pepohon di situ sambil berdiri mengadap selat Bosphorus. Kapal-kapal besar dan feri sedang bersimpang siur membawa barang dagangan dan juga penumpang. Ada yang melambai tangan ke arah mereka. Terlupa rasa letih, Puteri dan Nuqman ikut melambai.

"Inilah senibina pertahanan tentera terbaik di zamannya. Bukan saja kubu, tapi strategi dan taktik perang Sultan Muhamad Al Fateh diakui oleh barat di antara taktik yang hebat, unik dan bijak sampai ke hari ni. So, what do you think of Rumeli Hisari?"

Puteri mengangguk. Kebenaran itu tak akan dapat disangkal. Namun payah dia hendak mencari kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan Rumeli Hisari.

"A great great architecture. I can't say much but... he is a chosen man." Puteri menelan liur, cuba mencerna kata-kata sendiri.

"He didn't know that he was the chosen one at that time. All he knew then was that he chosed to be the one," jawab Nuqman. Dalam maksudnya, sedalam renungannya ke dalam anak mata Puteri.

"Dia yakin dengan Hadis Nabi, yang Konstantinople akan jatuh ke tangan seorang raja yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik. Dia bersungguh-sungguh nak rebut peluang, nak membenarkan kata-kata Nabi. So, he chosed to be the one," jelas Nuqman lagi. Puteri terpaku, tak mampu mengalih pandangan.

"Do you?" Nuqman mengangkat kening. Puteri terkejut dan tergamam.

"Err... do-do I what?"

"You are the chosen one but do you chose to be the one?" Puteri bertambah tergamam. Ss-soalan apa ni? Jerit hatinya.

"To... to be... what?" Soalnya kembali dalam helaan nafas gementar. Sungguh dia tak faham!

"To be my wife." Lembut jawapan Nuqman. Kelopak matanya berkedip sekali, terbuka semula menanti jawapan.

Puteri terlopong, tak mampu menarik nafas, apatah lagi berkata-kata.

Akhirnya mereka keluar dari Rumeli Hisari bersama sejarah yang masih bernafas. Pantai Bebek yang panjang dan tenang itu disusuri bersama. Masing-masing terdiam tanpa kata. Namun pertanyaan Nuqman tetap terakam di situ, di Rumeli Hisari.

Suasana pantai agak sibuk waktu itu. Matahari sudah meninggi. Banyak bot-bot besar bersidai di tepi pantai menunggu penumpang. Kaki pancing sudah berderetan menunggu ikan memagut umpan di mata pancing. Ada juga yang mandi-manda, beristirehat dan bersiar-siar di pantai. Nuqman melabuhkan punggung di kerusi kayu di situ. Puteri yang gelisah sendiri sejak tadi, mengelak dari duduk bersama. Dia membuka kasut, melangkah ke gigi air.

'Do you?' Soalan Nuqman berulang-ulang kali bergema dalam dirinya.

'To be my wife.' Dia seperti melamar, bisik hati Puteri.

Benar, dia tak pilih aku. Dan aku pun tak pilih dia. Aku dan dia dipilih untuk disatukan. Bezanya, dia memilih untuk menjadi seorang suami tapi aku... belum mahu memilih untuk menjadi seorang isteri?

Puteri mengeluh panjang entah kali yang ke berapa. Berat dadanya menanggung persoalan itu. Aku datang untuk mencari jawapan pasti tapi setakat ni, aku makin buntu, Puteri mengeluh panjang.

Nama Maliha menerjah mindanya. Puteri menyentak diri sendiri supaya fokus dengan apa yang penting waktu ini. Dia mesti balik! Dia mesti berjumpa dengan Maliha sebelum majlis pertunangan tu, hati Puteri bertegas. Tak kira samada Taufiq serius terlibat, tak kira samada tindakan Taufiq betul atau salah, dia tetap sedang terlibat dengan sesuatu yang bahaya. Hati kecil Puteri kuat mengatakan yang Maliha tak tahu tentang penglibatan Taufiq. Setidak-tidaknya dia mahu Maliha bertunang dalam keadaan dia maklum dengan semua itu.

Puteri menarik nafas dalam-dalam. Dihela perlahan-lahan, mengumpul kekuatan diri. Dia harus tegas dengan diri sendiri. Dia tak boleh hilang fokus dalam hidupnya. Hatinya membulat dengan sebuah keputusan.

Dia akan meninggalkan Istanbul... dan Nuqman. Cukuplah sampai di sini hubungan mereka. Segala yang manis akan dia simpan jadi kenangan. Puteri menoleh ke belakang, memandang Nuqman dari jauh. Lelaki itu sedang sibuk dengan telefon bimbitnya. Dia sedang berbual dengan seseorang, seperti membincangkan sesuatu yang serius.

Puteri menelan liur. Memandang lelaki itu sepuas hatinya. Nuqman seorang lelaki yang istimewa. Puteri amat pasti tentang itu. Belum pernah dia temui seorang lelaki seperti Nuqman. Apakah mungkin dia benar-benar mampu setia bersamanya?

Lelaki seperti itu mampu memilih mana-mana perempuan yang dia suka! Mana mungkin seorang gadis mentah seperti aku dapat memenuhi citarasanya? Dunianya luas, impiannya terlalu tinggi. Aku cuma gadis biasa... sampai waktu dia akan tersedar yang aku tak cukup layak untuk bersamanya.

Aku bukan untuknya. Puteri menelan sebak, mengakui hakikat dirinya. Lebih baik dia tetap memilih jalan hidup sendiri. Abah akan faham. Nuqman? Nuqman juga akan faham suatu hari nanti. Hakikatnya dia tahu, Nuqman adalah lelaki yang akan terpahat kukuh di hatinya. Entah sampai bila. Kerana dia amat istimewa....

Entah dari mana datangnya rasa sembilu menyelinap di hati, tersayat pedih. Puteri tertunduk memandang pepasir di kaki. Sebak semakin kuat bertandang.

"Ika."

Puteri terdongak memandang langit. Terdiam, kaku berdiri. Dia tak boleh berpaling kerana sudah ada airmata yang hampir tumpah.

"There's a flight to Singapore tonight. And another flight to KL tomorrow. That's the earliest we can get... supaya Ika dapat jumpa Maliha. Mungkin awal pagi Sabtu, insyaAllah...," beritahu Nuqman di telinganya sambil tangannya melingkar, mendakap Puteri. Menyentak sekujur tubuh gadis itu.

"Are you sure that you wanna leave Istanbul... and me?" Bisik Nuqman lagi. Puteri yang tadi terkaku dipeluk jadi lebih terkejut hingga terpejam matanya. Sanggupkah? Dan airmata itu tumpah akhirnya.

Nuqman terus mendakap Puterinya. Isterinya! Rasa damai, asyik dan bahagia. Mahu dia kongsikan rasa-rasa itu tapi... biarlah sentuhan itu yang menyampaikan segala rasa. Hanya yang merasa akan tahu maknanya. Makna pada rasa, itulah penghayatan.

Dia rasa seperti mahu memberitahu dunia yang dia punya isteri. Yang dia sayangkan isterinya. Rasa tak mahu lagi berpisah dengannya.

Mereka bersatu di situ. Disaksikan bumi, pantai, laut dan langit. Mereka yang telah disatukan dengan akad yang suci atas nama Illahi, Pemilik seluruh alam ini.

Puteri menahan diri dari teresak. Tiba-tiba dia tak mahu detik ini berakhir. Izinkan... izinkanlah dia menikmati bahagia ini... walaupun untuk sekejap cuma. Sentuhan Nuqman terasa keikhlasannya. Terasa kasih sayangnya. Terasa kebahagiaannya. Dan Puteri terdiam menghayati rasa-rasa itu sepenuh hati.

Puteri menangis? Nuqman kehairanan. Dia memegang kedua bahu Puteri dan memusingkan tubuh gadis itu. Benar, pipinya basah... Puteri cepat-cepat mengesat pipi dengan belakang tangannya. Dia cuba untuk tersenyum.

"Hei... kenapa ni? Sedih nak tinggalkan Istanbul atau nak tinggalkan saya?" Bahu Puteri disentak. Sempat dia mengusik. Puteri terdongak.

"Mestilah Istanbul!" Luahnya sambil mengerutkan muka, melindungi segala rasa.

"Ooohhh... Istanbul!" Nada suara Nuqman mengejek. Hidung Puteri ditarik kuat.

"Sedih nak tinggalkan Istanbul, ya?" Puteri menepis malu.

"Mestilah!" Jawabnya lagi. Mengaku tidak sekali!

Nuqman ketawa. Masih terdengar suara mengejek.

"Yang pasti, Ika pergi raikan Maliha dan Taufiq. Tapi kena janji... yang Ika takkan ganggu majlis pertunangan tu. Jangan sekali-kali menghalang, okey?" Puteri buat muka. Nuqman membesarkan matanya.

"Tapi Maliha tak boleh teruskan kalau dia tak..."

"Boleh, Ika. Tentang Taufiq, kita akan selesaikan sama-sama sebaik saja majlis tu selesai. Tapi jangan diganggu majlis yang baik tu. Ika kena janji..."

"Kalau tak nak?"

"Saya batalkan tiket." Ada hati yang melompat kegembiraan mendengarnya. Tetapi Puteri cuma mengerutkan dahi.

"Saya janji kalau awak pun janji!"

"Janji apa?"

"Selamatkan Taufiq." Nuqman ketawa.

"Taufiq memang selamat, Ika."

"Awak jangan main-main. Kalau tak, saya call Maliha suruh batalkan saja..."

"No, don't do that! Saya janji. Kita akan bantu Taufiq pilih 'jalan yang selamat. Okey?"

Puteri tunduk, mengangguk. Nuqman meraihdagunya. Memandangnya lama. Puteri juga membalas pandangan itu. Mencari maksudpandangan Nuqman.    

Continue Reading

You'll Also Like

866K 85.7K 73
COMPLETED ✔️ BLURB ❝Maaf maaf, itu je yang kau tahu?❞ - Ziyad Hayder Pertemuan yang tak dijangka. Pertama kali, jejaka itu menyelamatkan dia daripad...
127K 2.9K 39
[CEO & LAWYER EDITION] " Aku terima nikahnya Anisa Sherryna bt Muiz dengan mas kahwinnya RM10 000 tunai." "Senyum je. Kalau kau tak senyum nampak sa...
1.6M 52.3K 66
Afiq Khairul X Ain Solehah. Mereka berdua diibaratkan seperti kucing dan tikus. Sejak kecil sehingga meningkat dewasa, mereka berdua tidak pernah '...
389K 12.1K 30
Kerana terlalu sakit hati dipermainkan dengan bekas kekasihnya, Daniel, Ayra nekad utk menggoda bapa Daniel, Dato Zakery. Namun, ia terperangkap d...