Lamaran Kedua

By karyaseni2u

25.9K 327 13

Tajuk: Lamaran Kedua (Terbitan Semula) Penulis: Ma Lee Chuswan Muka Surat : 368 Penerbit: Karyaseni ISBN: 9... More

Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 1

4.7K 57 2
By karyaseni2u

NINA, gadis manis yang kini berusia dua puluh satu tahun sedang sibuk membersihkan kereta Proton Satria kesayangannya, hadiah ulang tahun daripada emak saudaranya di halaman rumah. Tiba-tiba dia dikejutkan oleh suara panggilan bapa saudaranya, ayah kepada Jefri.

Suara pak longnya kedengaran begitu lantang dan ceria. Melihat wajah gembira pak long, hatinya tiba-tiba sahaja berdebar tidak menentu. Hos di tangan diletakkan ke tanah dan paip air segera ditutup. Dia memerhati dengan penuh tanda tanya.

"Kenapa ni? Pak long nampak senang hati betul. Ada berita gembira?" soal Nina. Dalam hati dia tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku. Pak longnya memang jarang menunjukkan wajah seceria itu.

Tuan Haji Mohammad tersenyum lebar sambil menghulurkan satu kad berbunga berwarna biru kepada Nina.

"Nina, ini ada kad daripada Jefri. Kau bacalah dulu," ujar pak longnya, masih lagi tersenyum meleret.

Nina tersenyum lebar. Hatinya gembira. Lebih-lebih lagi kad itu datang daripada tunangnya sendiri yang sudah pun empat tahun menuntut di England.

"Jeff akan pulang minggu depan!"

Berita tentang kepulangan Jefri itu membuatkan perasaan gembira Nina memuncak. Sudah terlalu lama mereka tidak bersua iaitu sejak kepulangan Jefri dua tahun yang lalu.

Kini, rasanya seperti seratus tahun. Dia amat rindu untuk bersama Jefri seperti di zaman persekolahan mereka dahulu.

Mereka bagaikan sepasang belangkas. Di mana ada Jefri, di situ ada Nina. Rakan-rakan sekolah semua tahu tentang perhubungan rapat mereka yang bukan lagi sekadar hubungan di antara sepupu.

"Oh... terima kasih, pak long!" Nina menjerit riang. Bapa saudara yang memahami perasaannya itu tersenyum lebar.

"Sama-samalah kita menyambut kepulangannya nanti, Nina. Pak long akan segera menikahkan kamu berdua," ujar Tuan Haji Mohammad lalu melangkah pergi dengan senyuman yang masih tersemat di bibir.

Nina pula segera berlari-lari kecil mendapatkan emak saudaranya yang sedang sibuk menghidangkan makanan tengah hari. Dia mahu menyampaikan berita gembira yang sering dinanti-nantikan oleh mak longnya itu.

Sejak Jefri berangkat meninggalkan tanah air empat tahun yang lalu, Puan Zaiton tidak habis-habis menyebut dan bercerita tentang anak bongsunya itu. Seperti Nina juga, Puan Zaiton telah menanggung rindu selama bertahun-tahun.

Satu minggu bagi Nina tidak ubah bagaikan satu tahun lamanya. Hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi. Sememangnya selama empat tahun itu jiwanya tidak pernah tenteram. Jarak beribu batu yang memisahkan mereka membuatkan hatinya tidak senang. Dia tidak sanggup berpisah.

Hatinya bertambah resah apabila Jefri mula sibuk dengan pelajarannya dan jarang mengutus surat kepadanya.

Semua itu membuatkan dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap bidang pemasaran serta pengiklanan yang sedang diikutinya dan juga terhadap tugas sambilannya sebagai model iklan untuk sebuah syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur.

Namun begitu, dia terus menunggu walau memakan masa yang lama. Dia seharusnya bersabar dan menanamkan segenap kepercayaannya terhadap ketulusan cinta Jefri. Itu semua adalah untuk kepentingan masa depan mereka sekeluarga.

Hari dan saat-saat yang ditunggu akhirnya tiba jua. Tidak dapat dibayangkan betapa girangnya perasaan Nina hari itu. Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran iklan tengah hari itu, dia terus ke Lapangan Terbang Senai untuk menyambut kepulangan orang yang dicintainya.

Manusia penuh sesak. Masing-masing sedang menunggu ketibaan ahli keluarga serta orang yang disayang dengan penuh harapan. Fikiran Nina hanya tertumpu kepada Jefri.

Matanya mengamati sekeliling. Dia tidak mahu ketinggalan untuk menyambut kepulangan tunangnya itu. Bapa dan emak saudaranya serta ahli keluarga yang lain sudah pun berangkat lebih awal.

Tetapi dari jauh Nina melihat Jefri sedang mengorak langkah bergandingan tangan dengan seorang gadis jelita menuju ke arah ibu bapanya.

Kedua-duanya kelihatan mesra sekali, dengan senyuman yang terukir di bibir masing-masing serta sentuhan mesra yang jelas sekali menunjukkan betapa rapatnya perhubungan mereka.

Hati Nina bagaikan luruh. Terkejut. Lemah segala sendinya. Dia terus berdiri di tempatnya tanpa bergerak-gerak lagi. Perasaannya diserang rasa gundah, ragu-ragu dan keliru apabila melihat kemesraan Jefri dan gadis itu. Hatinya sakit.

Apakah yang sedang berlaku? Kenapakah Jefri, tunangannya begitu mesra dengan gadis itu? Siapakah gadis tersebut?

Semakin diperhatikan, hatinya terasa semakin pilu. Tanpa disedari air matanya jatuh menitis. Nina tidak dapat lagi menahan rasa sedih di hati, lantas mengorak langkah meninggalkan lapangan terbang itu.

Ternyata Jefri tidak mendambakan kehadirannya di situ. Terasa dirinya tidak diperlukan lagi kerana Jefri sudah pun mempunyai pengganti, gadis kacukan yang cantik jelita.

Dua jam kemudian apabila Nina melangkahkan kaki ke ruang tamu, kehadirannya terus disambut oleh dua pasang mata Jefri dan ibunya. Puan Zaiton segera mendapatkan Nina dengan wajah resah. Sedangkan Jefri hanya membatu di tempatnya. Matanya memandang tepat ke wajah Nina.

"Nina... kau ke mana? Jefri dah lama sampai ni," tegur Puan Zaiton.

"Nina terpaksa siapkan kerja. Maafkan Nina," balas Nina perlahan sambil merenung wajah keibuan mak longnya yang kini penuh dengan riak kebimbangan.

Akhirnya dia berpaling kepada Jefri. Matanya merenung lama pada wajah tampan itu. Wajah itu betul-betul telah melukakan perasaannya. Hatinya rasa tersiat dengan perbuatan Jefri yang telah menduakannya. Dia betul-betul benci. Sampai hati Jefri mempersiakan penantian serta harapannya selama ini.

"Seorang saja? Orang yang baru pulang dari luar negara biasanya pulang berdua," sindir Nina tatkala berhadapan dengan Jefri.

Dia senyum walaupun hati di dalam terasa sebak. Dia mahu menangis tetapi terpaksa ditahan. Walaupun Jefri telah melukakan perasaannya, dia tidak semestinya akur, menangis hiba atau memujuk rayu agar Jefri menyesali perbuatannya. Dia tidak akan berbuat begitu.

Sekiranya Jefri boleh melupakan percintaan mereka yang berusia hampir enam tahun itu dengan begitu mudah sekali, kenapa tidak Nina. Walaupun sukar, dia boleh mencuba.

Kalau masih tidak mampu, dia boleh berlakon, berpura-pura bahawa apa yang Jefri lakukan tidak sedikit pun memberi kesan kepadanya. Biarlah, walaupun dia terpaksa senyum di luar dan menangis di dalam.

"Maafkan Nina, Jefri... kerana tak dapat menyambut kepulangan kau. Nina gembira Jeff selamat kembali," ucap Nina sambil memberikan senyum mesra.

Malangnya bibir Jefri kaku. Tidak mampu mengukir senyum. Dia seolah-olah terpaku dan sekadar merenung. Orang yang bersalah sememangnya begitu. Nina tidak mahu bersimpati.

"Nina... Jeff yang sepatutnya memohon maaf," bisik Jefri tidak lama kemudian. Wajahnya berubah redup. Mata Nina tidak lagi mampu dipandang kerana melihat wajah Nina membuatkan perasaannya diserang rasa bersalah. Dia berdosa terhadap Nina, tunangannya.

Jefri sememangnya sedar bahawa dirinya sudah bertunang tetapi akibat kesunyian di rantau orang membuat dia begitu mudah terpengaruh dengan godaan Nur Ayu yang turut menuntut di bidang yang sama dengannya di luar negara.

Tetapi kini, sesaat sahaja memandang wajah Nina, hatinya kembali terpaut. Cinta yang pudar ditelan masa, mula bersinar kembali. Dia sedar hatinya hanyalah untuk Nina seorang dan bukan untuk Nur Ayu ataupun mana-mana gadis yang dikenalinya selama ini.

"Jeff... Er..."

Jefri ingin sekali menyatakan sesuatu tetapi melihat air muka Nina yang begitu keruh, lidahnya jadi kelu. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Kelakuan Nina agak ganjil. Nina bukan lagi seperti Nina yang dia kenali dahulu. Nina telah berubah.

Malah, kepulangannya seolah-olah langsung tidak bermakna buat Nina. Adakah Nina tahu tentang Nur Ayu? Adakah Nina sebenarnya sedang menunggu ketibaannya di lapangan terbang ketika dia melangkah berdampingan dengan Nur Ayu yang ketika itu mendesak untuk berkenalan dengan keluarganya?

"Nina ke bilik dulu, ya? Selepas ini Nina terpaksa sambung kerja. Jeff berehat, lain kali kita boleh berborak. Tentu banyak perkara yang nak Jeff ceritakan pada Nina," ujar Nina lalu melangkah ke tangga.

Tetapi Puan Zaiton pantas menahannya. Nina sedar, mak longnya pasti menyedari perubahan sikapnya itu. Nina yang selama ini begitu lincah dan ceria telah berubah sikap di dalam sekelip mata sahaja.

"Nina, Jeff baru sampai. Takkanlah Nina tak nak temankan dia? Tunggulah dulu. Jangan terlalu banyak bekerja. Nanti Nina juga yang jatuh sakit," pujuk Puan Zaiton bersungguh-sungguh.

Hati tuanya bimbang mengenangkan kesudahan perhubungan di antara dua insan yang disayanginya itu. Apakah yang akan terjadi sekiranya Nina tahu bahawa Jefri pulang ditemani oleh perempuan lain?

Jefri pun satu, walaupun sudah bertunang masih mahu berkepit dengan perempuan lain. Puan Zaiton masih belum puas membebel walaupun sejam yang lalu dia menghabiskan masa dengan hanya memarahi anak kesayangannya itu.

Tuan Haji Mohammad pula tidak dapat menahan marah sehinggakan dia keluar dari rumah tanpa menegur Jefri walau sepatah kata pun. Sampai sekarang orang tua itu belum juga pulang-pulang. Puan Zaiton diserang perasaan bimbang, takut nanti porak-peranda pula keluarga itu disebabkan sikap Jefri.

"Nina tahu, mak long... tapi Nina terpaksa," balas Nina lembut, lalu melangkah menaiki anak tangga menuju ke kamarnya. Apabila sahaja daun pintu ditutup rapat, air matanya menderu lagi. Dia tidak dapat menahan perasaan hiba.

Continue Reading

You'll Also Like

209K 16.2K 22
"Why the fuck you let him touch you!!!"he growled while punching the wall behind me 'I am so scared right now what if he hit me like my father did to...
2.7M 151K 43
"Stop trying to act like my fiancée because I don't give a damn about you!" His words echoed through the room breaking my remaining hopes - Alizeh (...
453K 16.1K 92
"Leave, you're free. Don't ever come back here again." She said, hoping he wouldn't return and she'll get to live Hael was shocked, "Are you abandon...
3.2M 261K 96
RANKED #1 CUTE #1 COMEDY-ROMANCE #2 YOUNG ADULT #2 BOLLYWOOD #2 LOVE AT FIRST SIGHT #3 PASSION #7 COMEDY-DRAMA #9 LOVE P.S - Do let me know if you...