Bab 1

4.7K 57 2
                                    

NINA, gadis manis yang kini berusia dua puluh satu tahun sedang sibuk membersihkan kereta Proton Satria kesayangannya, hadiah ulang tahun daripada emak saudaranya di halaman rumah. Tiba-tiba dia dikejutkan oleh suara panggilan bapa saudaranya, ayah kepada Jefri.

Suara pak longnya kedengaran begitu lantang dan ceria. Melihat wajah gembira pak long, hatinya tiba-tiba sahaja berdebar tidak menentu. Hos di tangan diletakkan ke tanah dan paip air segera ditutup. Dia memerhati dengan penuh tanda tanya.

"Kenapa ni? Pak long nampak senang hati betul. Ada berita gembira?" soal Nina. Dalam hati dia tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku. Pak longnya memang jarang menunjukkan wajah seceria itu.

Tuan Haji Mohammad tersenyum lebar sambil menghulurkan satu kad berbunga berwarna biru kepada Nina.

"Nina, ini ada kad daripada Jefri. Kau bacalah dulu," ujar pak longnya, masih lagi tersenyum meleret.

Nina tersenyum lebar. Hatinya gembira. Lebih-lebih lagi kad itu datang daripada tunangnya sendiri yang sudah pun empat tahun menuntut di England.

"Jeff akan pulang minggu depan!"

Berita tentang kepulangan Jefri itu membuatkan perasaan gembira Nina memuncak. Sudah terlalu lama mereka tidak bersua iaitu sejak kepulangan Jefri dua tahun yang lalu.

Kini, rasanya seperti seratus tahun. Dia amat rindu untuk bersama Jefri seperti di zaman persekolahan mereka dahulu.

Mereka bagaikan sepasang belangkas. Di mana ada Jefri, di situ ada Nina. Rakan-rakan sekolah semua tahu tentang perhubungan rapat mereka yang bukan lagi sekadar hubungan di antara sepupu.

"Oh... terima kasih, pak long!" Nina menjerit riang. Bapa saudara yang memahami perasaannya itu tersenyum lebar.

"Sama-samalah kita menyambut kepulangannya nanti, Nina. Pak long akan segera menikahkan kamu berdua," ujar Tuan Haji Mohammad lalu melangkah pergi dengan senyuman yang masih tersemat di bibir.

Nina pula segera berlari-lari kecil mendapatkan emak saudaranya yang sedang sibuk menghidangkan makanan tengah hari. Dia mahu menyampaikan berita gembira yang sering dinanti-nantikan oleh mak longnya itu.

Sejak Jefri berangkat meninggalkan tanah air empat tahun yang lalu, Puan Zaiton tidak habis-habis menyebut dan bercerita tentang anak bongsunya itu. Seperti Nina juga, Puan Zaiton telah menanggung rindu selama bertahun-tahun.

Satu minggu bagi Nina tidak ubah bagaikan satu tahun lamanya. Hatinya sudah tidak sabar-sabar lagi. Sememangnya selama empat tahun itu jiwanya tidak pernah tenteram. Jarak beribu batu yang memisahkan mereka membuatkan hatinya tidak senang. Dia tidak sanggup berpisah.

Hatinya bertambah resah apabila Jefri mula sibuk dengan pelajarannya dan jarang mengutus surat kepadanya.

Semua itu membuatkan dia tidak dapat menumpukan perhatian terhadap bidang pemasaran serta pengiklanan yang sedang diikutinya dan juga terhadap tugas sambilannya sebagai model iklan untuk sebuah syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur.

Namun begitu, dia terus menunggu walau memakan masa yang lama. Dia seharusnya bersabar dan menanamkan segenap kepercayaannya terhadap ketulusan cinta Jefri. Itu semua adalah untuk kepentingan masa depan mereka sekeluarga.

Hari dan saat-saat yang ditunggu akhirnya tiba jua. Tidak dapat dibayangkan betapa girangnya perasaan Nina hari itu. Sebaik sahaja selesai menjalani penggambaran iklan tengah hari itu, dia terus ke Lapangan Terbang Senai untuk menyambut kepulangan orang yang dicintainya.

Manusia penuh sesak. Masing-masing sedang menunggu ketibaan ahli keluarga serta orang yang disayang dengan penuh harapan. Fikiran Nina hanya tertumpu kepada Jefri.

Lamaran KeduaWhere stories live. Discover now