Saya Kan Ada

karyaseni2u

73.5K 1.2K 63

Tajuk: Saya Kan Ada Penulis: Marissa Muka Surat : 528 Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-23-5 Harga:... Еще

Bab 1
Bab 2
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 3

6.8K 102 0
karyaseni2u

LEPAS solat subuh, aku sambung tidur. Penat semalam masih berbaki. Waktu ini aku teringatkan keadaan rumah mak long. Pasti sudah mula sibuk dan pasti saja kelam-kabut. Tapi tanpa aku dan Hairiz pun majlis akan berlangsung dengan gah. Dan tentu saja berbakul sumpah seranah daripada mak-mak saudaraku atas kejadian malam tadi. Biarlah, malas nak ingat lagi. Baik aku sambung tidur.

Tersedar bila telefon berbunyi. Siapa pula ni, takkan mak long nak maki hamun aku pagi-pagi buta? Dia kan tak menang tangan. Perlahan aku pandang skrin telefon bimbit. Oh, Hairiz rupanya. Dia dah nak bertolak balik ke Kuala Lumpur ke? Awalnya.

"Awak, jom kita naik Cameron nak?"

Eh, merepek pula Hairiz ni. Telefon aku pagi-pagi ni semata-mata nak ajak aku pergi Cameron Highlands? Sedar ke tengah mengigau?

"Tiba-tiba aje ajak naik Cameron Highlands, awak tengah mimpi ke?" soalku.

"Sayang, serius ni. Jomlah..."

Aduhai, tak sudah lagi dengan sayang dia.

"Hesy, tak nak la..." Aku tolak pelawanya. Ada apa di Cameron Highlands tu. Sudahlah hari ini hari Ahad. Sah-sah sesak dengan orang yang bercuti di sana. Buat serabut kepala saja.

"Jom la..." Hairiz merayu.

"Saya kan tak suka kesesakan..." Giliran aku pula merayu.

"Jom la..." Hairiz merayu lagi. Manjanya suara. Serupa bukan suara sepupu yang aku kenal saja.

"Awak tak reti penat ke? Malam tadi sudahlah tidur pukul berapa. Nak naik Cameron Highlands lagi. Awak ingat senang ke nak pergi sana? Dah sah-sah hari ni ramai orang. Tak naklah. Pergi lain kalilah..." Berusaha pujuk dia walaupun aku tahu pasti saja usaha aku tidak akan berhasil. Hairiz punya perangai, kalau dia nak dia akan usaha sampai dapat. Dia tidak peduli sesiapa pun.

"Tak penat langsung. Asal awak ada, saya takkan rasa penat. Jomlah..."

"Tak payahlah. Kita balik KL teruslah. Esok awak dah nak kerja." Aku pula merayu pada dia. Anak nombor tiga dan anak lelaki kedua mak lang ni sebenarnya degil sikit. Kalau dia nak, mana boleh orang lain kata tidak. Mak lang sendiri pun kalah. Bukannya aku tak tahu. Ini mungkin disebabkan dia antara anak mak lang yang paling pandai dan juga bergaji lumayan. Kakak Hairiz, Kak Yati hanya seorang suri rumah tangga dan abang Hairiz pula hanya seorang penyelia di salah sebuah kilang elektronik. Hairiz saja nampak sedikit mewah.

"Saya teringin nak makan aiskrim strawberry. Dah lama saya tak makan. Terakhir hari tu empat tahun lepas."

Kesian pula dengar dia merayu begitu. Buatnya kalau dia kempunan macam mana? Aduhai, Hairiz. Jangan kata mak lang, aku pun memang terpaksa mengaku kalah dengan lelaki seorang ini. Pandai betul dia merayu.

"Awak, janganlah merayu macam ni. Buat saya serba salah saja." Tak tahu nak cakap apa lagi. Pandai betul Hairiz menguasai perasaanku.

"Kalau macam tu awak ikut saja cakap saya. Habis cerita."

"Okey, boleh. Tapi dengan syarat. Masa pergi, saya pandu kereta, balik awak pandu." Aku letak syarat. Mana tahu mampu mengubah keputusan Hairiz.

"Eh, tak naklah macam tu. Awak kan penat."

"Kalau tak setuju syarat saya, kita tak payah pergi." Aku berkeras. Dengan Hairiz kena main ugut-ugut. Baru dia setuju. Mana boleh mengalah macam tu saja.

"Okey, okey. Kita sarapan dulu. Jumpa kat lobi pukul tujuh setengah. Lepas tu kita check out." Hairiz keluarkan arahan. Mesti ada perkara yang sedang dia rancangkan. Kalau tidak, takkanlah bersungguh ajak aku ke Cameron Highlands. Mana ada lelaki yang suka-suka nak pergi tempat begitu. Setakat nak makan aiskrim strawberry, KL pun banyak.

"Baiklah, saya berkemas kejap." Ikutkan sajalah kehendak Hairiz. Kesian juga dia. Lagipun, kalau itu mampu menggembirakan Hairiz, apa salahnya aku turutkan permintaannya. Bukan ramai pun lelaki dalam hidupku. Hanya dia seorang. Ya, dia seorang.

Aku turun pukul 7.30 pagi. Hairiz sudah sedia menunggu di ruang lobi. Nampak semangat betul dia. Wajahnya juga kelihatan sangat ceria. Dia ni tak tahu penat ke? Atau dia sengaja buat-buat ceria? Tidak mahu aku nampak apa-apa yang kurang menyenangkan pada wajah dia?

Aduhai Hairiz, kalau ya pun, tak perlu kut nak berpura-pura ceria semata-mata mahu pujuk aku ke Cameron Highlands.

"Selamat pagi sepupu saya yang cantik jelita..." Hairiz senyum-senyum.

"Dah mula la tu?" Aku jeling manja. Banyaklah cantik jelita.

"Saya cakap benda yang betul. Awaklah sepupu saya yang paling jelita."

"Nak bodeklah tu. Bukan saya tak tahu..."

Hairiz ketawa sedikit kuat. Benar-benar menampakkan keceriaannya.

"Tahu tak apa. Ingat senang ke nak bodek awak?" Dia angkat kedua-dua belah kening dan tersenyum lagi. Sebenarnya Hairiz ni seorang yang serius. Muka dia nampak sombong sangat. Tapi bila dia dengan aku, tak lekang senyumannya. Ini yang membuatkan perasaanku jadi lain macam.

"Apa pasal?" soal Hairiz.

Aku geleng.

"Cara awak pandang saya lain macam betul. Bergegar tulang rusuk saya."

Buat lawaklah pula.

"Tak boleh nak pandang pula ke?"

"Pandanglah sepuasnya. Siapa lagi nak pandang saya kalau bukan awak."

"Dah mula la. Ini yang saya malas nak cakap bukan-bukan dengan awak. Errr, serius ni nak naik Cameron?" Aku macam waswas nak pergi. Bukannya ada apa kat atas tu. Tapi dah dia nak makan aiskrim strawberry, terpaksalah ikut.

"Seriuslah. Ingat saya main-main?"

"Kalau mak lang tahu, habis kita."

"Ada saya kesah?"

Ada saya kesah tu sudah jadi tagline dia gamaknya. Suka sangat sebut perkataan tu.

"Awak jangan bimbang pasal semua tu. Apa-apa kita sarapan dulu." Hairiz mendahului menuju restoran hotel. Penginapan kami di hotel ini termasuk sarapan pagi sekali.

Hairiz memang tak nampak mengantuk langsung. Bahkan nampak cukup ceria. Walhal malam tadi entah pukul berapa baru dia tidur. Kesian pun ada tengok dia. Sebab aku, dia terpaksa hadap semua ini. Belum lagi masalah dengan keluarganya. Aku memang yakin, kes malam tadi pasti saja kecoh dan jadi bahan mulut semua kaum keluarga.

"Apa pasal? Mengantuk lagi?" Dia pula yang tanya aku.

"Sikit-sikit..."

"Okey, kalau macam tu saya pandu kereta. Awak sambung tidur dalam kereta."

"Tengok..." Aku hentikan langkah dan pandang muka Hairiz.

"Okey, okey. Hesy, itu pun nak ambil hati." Hairiz tolak badanku, ajak sambung melangkah.

Selepas bersarapan kami check out dan terus bertolak ke Cameron Highlands. Seperti yang dipersetujui, waktu pergi aku memandu dan Hairiz akan memandu masa balik nanti.

"Apa pasal? Kekok tengok perempuan pandu kereta dan awak rasa tak selesa? Jangan bimbang, saya akan jaga kereta awak baik-baik." Aku tersenyum. Melihatkan cara Hairiz yang tak duduk diam, aku tahu dia kurang selesa sebenarnya. Mungkin betul dia risaukan kereta dia. Honda CRV tu.

"Saya tak risaukan kereta saya, kereta saya boleh beli tapi saya macam tak percaya saja awak boleh bawa kereta dengan keadaan jalan macam ni."

Bukan ke aku dah cakap, Hairiz memang risaukan keretanya. Maklumlah, baru tiga bulan tukar kereta baru.

"Relakslah. Seperti awak menjaga saya dengan baik... Insya-Allah, saya akan jaga kereta awak dengan baik." Aku beri jaminan.

"Tak payahlah jaga kereta saya, jaga saya sudahlah," balas Hairiz dan jawapannya itu buat aku tersenyum.

"Insya-Allah, saya akan menjaga awak dengan baik. Kita saling menjaga antara satu sama lain," balasku perlahan.

"Insya-Allah. Saya pun akan jaga awak dengan sepenuh hati saya."

Memang rasa lega bila mendengar Hairiz cakap begitu. Sekurang-kurangnya aku ada tempat bergantung harap.

"Lupa nak tanya, Hanis ada telefon awak?"

Belum sempat Hairiz jawab soalanku, telefon bimbitnya berbunyi.

"Tengok, awak sebut nama dia terus dia muncul. Memang panjang betullah umur dia ni. Lain kali jangan gatal sebut nama dia." Hairiz seakan merungut.

Aku pula yang kena. Mana aku tahu Hanis nak telefon dia.

"Memang menyusahkan betullah..."

"Jawablah. Nanti dia cakap apa pula."

"Memang saya nak jawab pun."

Aku pula yang berdebar bila mendengar Hairiz jawab begitu. Sah-sah memang kena Hanis pagi ni kalau tersilap cakap dengan Hairiz. Memanglah perempuan tu mencari pasal betul. Bukan sahaja tak faham bahasa, bahkan tak malu sama. Sudah tahu orang tak suka, masih terhegeh-hegeh.

Hairiz guna Loudspeaker. Mungkin nak aku dengar sama. "Helo, abang dah sampai?" Aku dengar suara Hanis dengan jelas. Lembut sahaja suara Hanis. Seolah-olah sudah melupakan apa yang telah berlaku semalam. Betul juga kata orang, kalau sayang hendak diapakan lagi. Rela diperlakukan apa saja. Tak sampai hati nak cakap bodoh, tapi perkataan apa lagi yang paling sesuai untuk gambarkan keadaan Hanis kalau bukan perkataan bodoh?

"Sampai mana?" Hairiz tanya dengan kasar. Kan aku dah cakap, dia kalau dengan orang lain memang begitu. Garang betul.

"Sampai rumahlah! Sampai mana lagi. Yang abang ikut sangat cakap perempuan tu kenapa? Dia ajak abang balik, abang pun menonong balik. Abang tau tak, kecoh malam tadi dibuatnya. Perempuan tu memang tak sedar diri betul. Abanglah ni, baik sangat sebab tu senang-senang dia pergunakan abang."

Aku sudah tersenyum. Hanis ni memang nak kena lagi dengan Hairiz.

"Helo, perempuan. Kau dengar sini baik-baik. Malam tadi, aku yang ajak Mai balik sebab aku tak tahan tengok kau orang buat dia macam tu. Tak diumpamakan langsung. Jadi, jangan nak memandai tuduh Mai yang bukan-bukan."

Aku jeling Hairiz sekilas. Mukanya yang kuning langsat bertukar kemerahan. Kalau begitu, aku tahu suhu badan Hairiz sudah meningkat.

"Peliklah kenapa abang baik sangat dengan perempuan pembawa sial tu?"

Wah, Hanis semakin lantang bersuara. Cakap tak berlapik langsung.

"Kalau aku cakap sebab aku sayang pada Mai, kau nak cakap apa?"

"Apa abang cakap!" Hanis menjerit dan aku pun hampir terjerit sama. Okey, jangan cepat perasan sangat Mai. Hairiz cakap dia sayang aku hanya sebagai sepupu dan jangan mengharap lebih daripada itu. Satu lagi, ini mungkin salah satu cara untuk Hairiz sakitkan hati Hanis.

"Ya, aku sayangkan Mai, sebab itulah aku tak sanggup nak tengok orang yang aku sayang diperlakukan macam tu. Mahu tak mendidih darah aku. Rasa macam dayuslah kalau tak ambil sebarang tindakan."

Rasanya seperti Hairiz sindir Firash saja.

"Hanis bagi tahu Abang Firash..."

"Wei, Firash tak ada kena-mengena dengan aku!" Aku menyampuk. Hilang sabar bila Hanis sebut nama Firash.

"Mai? Kau Mai ke?" soal Hanis.

"Habis, kau ingat siapa yang ada dengan aku sekarang kalau bukan Mai?" balas Hairiz.

"Kenapa Mai ada dalam kereta abang?"

"Kita orang dalam perjalanan ke Cameron Highlands. Kita orang nak makan angin. Ada masalah ke?" soal Hairiz. Cepat aku pandang Hairiz. Beraninya dia pecah rahsia. Kejap lagi sah Hanis akan bising.

"Aku minta Mai temankan aku pergi Cameron Highlands," beritahu Hairiz lagi.

"Kejap, Hanis tak faham. Sebenarnya malam tadi abang balik KL ke tidak?"

"Kau tak faham sudah. Tak penting pun kau faham ke tidak."

"Cakaplah, abang pergi mana malam tadi?"

"Malas aku nak layan kau." Terus Hairiz matikan panggilan. Senang betul si Hairiz ni. Bila tak nak menjawab, dia mengelak dengan cara begitu. Sengaja nak tambah kekecohan dengan bocorkan rahsia. Geram pun ada dengan perangai dia.

"Awak, kenapa cakap kita pergi Cameron Highlands. Awak tipu sikit tak boleh ke?" Aku rasa sangat cuak.

"Berani buat, berani tanggung la." Selamba saja Hairiz jawab. Serupa tidak takut apa-apa.

"Awak ni, suka sangat cari masalah. Sah-sahlah Hanis akan kecoh nanti. Sudahlah malam tadi kita buat hal. Awak tambah lagi dengan masalah sekarang ni." Bukanlah niat mahu memarahi Hairiz, tapi sikap Hairiz itu memang betul-betul buat aku tak senang. Dia apa susah, dia tidak berada di tempatku. Apa-apa hal nanti, aku yang terima akibatnya. Dia boleh lepas tangan macam tu saja.

"Awak jangan bimbang pasal tu. Tahulah saya jawab nanti."

Aku berhak untuk rasa bimbang kerana aku kenal Hanis. Dia takkan sama sekali berdiam diri. Aku rasa sekarang ini pun dia sudah mula buat kecoh.

Belum sempat aku nak fikir apa-apa, telefon Hairiz berbunyi semula. Kali ini Hairiz tidak menggunakan Loudspeaker. Mesti mak lang yang telefon.

"Ya mak. Saya dengan Mai sekarang ni. Saya minta Mai temankan saya naik Cameron Highlands."

Sudah agak. Memang mak lang yang sedang bercakap dengan Hairiz. Hanis ni memang. Aku tidak syak lagi. Ini semua mesti kerja Hanis. Kalau tidak, takkan mak lang kelam-kabut telefon Hairiz.

"Tak, kita orang tak balik KL pun. Saya ajak Mai tidur di Ipoh."

Sungguh, aku nak sangat dengar suara mak lang. Mesti sekarang mak lang sedang maki hamun aku. Dan aku yakin sangat-sangat Hairiz pun kena maki hamun sama. Melihatkan gaya Hairiz yang malas hendak bercakap, aku tahu dia sedang mendengar kata-kata yang kurang menyenangkan.

"Dalam hal ni, Mai tak bersalah langsung. Saya yang ajak Mai balik sebab saya tak tahan tengok mak long hambakan Mai. Mak tak tengok ke keadaan Mai semalam? Lima pikul ayam kita orang kena bersihkan. Lepas tu sambung pula dengan kerja menggoreng lagi. Kalau saya sumpah siapa yang makan ayam tu semua sakit perut macam mana?"

Sekilas aku menjeling Hairiz. Memang berani betul sepupu aku ini. Sesuka hati dia saja hendak bercakap. Siap nak sumpah bagai lagi. Memang sudah tidak ikhlas terhadap kerja-kerja semalam.

"Tidaklah. Kesian Mai. Sampai hati buat dia macam tu. Yang saya sakit hati tu, anak buah yang lain bukannya tak ada. Tapi Mai sorang saja yang kena kerah. Jadi, lebih baik saya bawa Mai balik. Sebab nak bayar balik penat lelah Mai, saya ajak dia makan angin ke Cameron Highlands. Takkan itu pun salah."

Memang Hairiz ni jenis tak takut langsung.

"Okeylah, mak. Kita orang pun dah nak sampai ni. Saya call mak nanti. Assalamualaikum."

Aku diam. Tak perlu tanya apa-apa sebab aku tahu semuanya. Apa yang mak lang katakan sama macam yang aku sedang fikirkan. Baik tak payah tanya kalau sekadar menyakitkan hati semata-mata.

"Kenapa diam aje ni?" soal Hairiz.

Sedar juga dia rupanya. Ingat tak sedar.

"Kereta awak kan kereta baru. Saya kena lebih berhati-hati." Berusaha untuk sembunyikan rasa hati.

"Kalau tak tahu nak menipu, jangan nak menipu..."

"Apa yang saya nak tipu? Memang betullah. Kereta awak ni ada bau kedai lagi. Jadi, saya kena fokus kepada pemanduan saya."

Hairiz senyap tapi aku tahu dia sedang perhatikan aku. Mustahil dia tidak tahu kenapa aku senyap.

"Mak marah saya dan mak marah awak pasal kes malam tadi..."

Selepas seketika berdiam diri, Hairiz mula bersuara. Hairiz memang jenis tak pandai simpan rahsia. Kalau boleh semua dia hendak cerita. Sebab itulah senang-senang beritahu Hanis kami pergi Cameron Highlands.

"Saya dah agak..." balasku perlahan dengan nada kecewa.

"Tak kesahlah. Marah mak tu tak ke mana. Sejuk nanti dia lupalah. Awak tak payahlah nak ambil kesah sangat. Macamlah tak biasa dengan perangai mak-mak saudara awak."

"Sebab saya dah biasa sangatlah saya kena ambil hati mereka. Jaga perasaan mereka. Mana tahu yang keruh boleh dijernihkan semula."

"Jangan jadi bodohlah Mai. Saya tak nampak keadaan akan jadi jernih. Tambah teruk ada la..."

"Kita kena berusaha dan jangan berputus asa..."

"Dahlah. Tak payah. Saya tak nak awak terlalu menjaga hati mereka. Sekarang ni masa untuk awak pentingkan diri sendiri. Tak ada saudara macam itu pun tak apa. Tak membawa sebarang kebaikan pun buat awak."

Apalah yang Hairiz tahu. Dia mana pernah hidup keseorangan. Sentiasa dikelilingi kaum keluarga. Aku ini sudah bertahun lamanya hidup sendirian. Sekadar menumpang kasih sayang seorang nenek. Itu pun kini sudah tinggal kenangan.

"Awak dengar tak saya cakap ni?" soal Hairiz.

"Dengar..."

"Jangan setakat dengar saja. Kenalah buat. Lupakan semua orang, kecuali..."

"Kecuali apa?" Sekilas aku menjeling Hairiz. Kemudian kembali pandang hadapan.

"Kecuali saya seorang..."

"Awak manalah saya boleh lupa. Saya cuma ada awak saja sekarang ni. Kalau awak pun tak umpamakan saya, tak tahulah dengan siapa lagi hendak menumpang sayang." Jujur aku katakan memang aku menumpang kasih dengan Hairiz seorang sekarang ini.

"Kenapa hendak menumpang saja, jadi pemilik terus tak boleh?"

Aku kerut dahi. Merepek apa pula Si Hairiz ni?

"Tak faham, awak cakap apa sebenarnya ni?"

"Tak faham sudah." Hairiz seperti merajuk.

Aku balas dengan ketawa perlahan. Yalah, dah aku tak faham takkan nak buat-buat faham. Senget juga sepupu aku ni.

"Merajuklah, tak ada siapa nak pujuk, Hanis dahlah jauh," usikku.

"Cakap lagi sekali." Tangan kanan Hairiz sudah sampai leher.

"Okey, okey, tak cakap apa-apa dah..." Aku ketawa.

"Kali ni saya tak main-main. Awak sebut saja nama Hanis, siaplah awak."

"Orang gurau ajelah..."

"Gurau tak gurau. Ada benda yang boleh buat gurau dan ada benda yang boleh mendatangkan penyakit."

"Yalah, saya ingat tu..."

"Dah saya tak suka dengan dia, masih nak kaitkan saya dengan dia."

Aku sendiri tidak tahu kenapa Hairiz tidak suka dengan Hanis. Sedangkan Hanis tu dikira ada pakej lengkap. Semua ada. Cantik, ada pelajaran, ramai yang suka. Pelik juga kenapa Hairiz tak berkenan. Aku tengok memang Hairiz berbulu dengan Hanis. Pantang tersebut nama Hanis.

"Tapi kan. Orang cakap, jangan bencikan seseorang tu keterlaluan sangat. Takut nanti tergila-gila pula." Aku masih mahu mengusik Hairiz.

"Kalau saya tiba-tiba tersuka dengan Hanis, itu maknanya ada orang bomohkan saya."

"Melampau punya statement!" Memang Hairiz ni suka cakap lepas. Dia peduli apa.

"Betullah. Nak suka perempuan macam Hanis tu, memang taklah."

"Angkuhnya. Habis perempuan macam manalah agaknya yang awak suka." Aku tergeleng. Tinggi juga cita rasa Hairiz. Dah kalau perempuan macam Hanis pun tak berkenan, nak perempuan macam mana?

"Macam awak."

"Eh, apa pasal pula macam saya? Apa kelas nak suka perempuan macam saya."

"Diamlah Mai. Dah nak sampai tu..."

Akhirnya, sedar tak sedar sampai juga kami di Cameron Highlands. Dalam tak suka, terpaksalah juga suka.

BAGI memenuhi permintaan Hairiz, kami cari aiskrim strawberry terlebih dahulu di Big Red Strawberry Farm. Tempat itu yang Hairiz nak pergi sangat.

"Awak ni mengalahkan orang mengandung pula," tegurku bila melihat Hairiz begitu bersungguh menjamah aiskrim. Serupa di KL tak ada aiskrim perasa yang sama.

"Ada, tapi tak sama. Rasanya lain. Kat sini orang cakap lebih sedap."

"Macam-macam..." Mungkin aku bukan penggemar aiskrim, jadi aku tak rasa perbezaannya.

"Awak, boleh tak kalau awak temankan saya ke sini selalu?"

"Semata-mata nak makan aiskrim?"

"Yup."

"Saya tak ada masalah. Okey aje. Takut..."

"Awak sebut nama Hanis saya sumbat dengan aiskrim ni..." Hairiz besarkan matanya sambil gigit hujung bibir. Tunjuk muka geram.

Aku sambut dengan ketawa. Suka tengok Hairiz buat muka begitu.

"Saya tak sebut pun nama Hanis. Saya nak cakap takut kalau awak ada buah hati nanti, takkan nak pergi dengan saya kut." Kenapa tiba-tiba rasa tak seronok ni? Sungguh, ada semacam rasa yang mengusik perasaan.

"Buah hati? Tak payah kut ada buah hati. Saya malas nak layan perempuan. Dapat pula jenis yang gedik, memang tak larat nak layan. Biarlah macam ni. Cukup ada awak temankan saya." Hairiz masih bersemangat dengan ais krimnya. Langsung tak pandang aku.

"Saya pun sama. Rasanya tak perlu kut orang lain. Cukup ada awak seorang." Entah kenapa perasaan menjadi dingin. Hening saja aku rasakan. Sesungguhnya, jauh di sudut hatiku yang paling dalam, memang aku mahukan Hairiz selalu menemaniku. Biar dia saja yang ada. Itu sudah cukup bagiku yang tak pernah ada sesiapa ini.

Kami menyepikan diri buat seketika sambil berusaha menghabiskan aiskrim masing-masing sehinggalah telefon bimbitku berbunyi. Aku keluarkan dari dalam beg tangan dan tersenyum melihat skrin.

"Hanis." Aku beritahu Hairiz.

"Jangan layanlah. Mengacau aje."

Tapi aku tak peduli. Aku tekan juga tanda jawab. Kalau tak jawab nanti, berkali-kali pula dia kacau.

"Helo, perempuan tak guna!" Hanis dulu-dulu bertempik.

"Eh, dah kenapa ni? Janganlah marah-marah macam ni. Tak baik tau. Nanti cepat tua." Aku ketawa. Sengaja mahu menyakitkan lagi hati Hanis. Aku lihat Hairiz juga tersenyum.

"Dasar tak tahu malu! Tak sedar diri! Aku tak tahulah kau tu jenis perempuan yang bagaimana." Suara Hanis sedikit serak. Seperti dia sedang menahan kemarahan yang tidak terbendung.

"La, kenapa pula aku tak sedar diri? Apa aku dah buat? Aku rasa aku tak ada buat apa-apa. Yang nak marah-marah ni kenapa? Macamlah aku dah bawa lari kekasih kau." Masa itulah Hairiz terbatuk.

"Dah tahu, lagi nak tanya. Eh, kalau kau rasa tak nak datang majlis kakak aku, baik jangan datang. Kau datang pun menyusahkan orang saja. Tengok, tak pasal-pasal Hairiz terpaksa ikut cakap kau. Gedik betul!"

"Eh, cik kak. Malam tadi, Hairiz yang ajak aku balik. Dia cakap tak guna aku tunggu lagi kalau kedatangan aku tak diumpamakan langsung. Aku cuma menjaga hati Hairiz saja. Tak naklah dia rasa apa-apa." Apa lagi yang boleh aku lakukan selain membela diri. Takkan mahu berdiam diri saja bila orang sudah rendahkan maruah diri.

"Kau cakap saja yang kau tu memang gatal. Abang Firash kau goda, dengan Abang Hairiz pun kau menggatal. Kau ni memang dasar perempuan tak malu."

Aku sedar, Hanis sekarang ini sedang meluahkan kemarahan dan rasa sakit hatinya. Inilah peluang untuk aku memarakkan lagi kemarahannya.

"La, dua-dua pun sepupu aku. Takkanlah aku tak boleh nak rapat dengan mereka bila sepupu perempuan aku tak nak langsung berbaik-baik dengan aku. Salah ke? Tak, kan? Yang kau tak puas hati sangat tu kenapa? Kau pun boleh berbaik dengan mereka. Tak ada masalah." Menjawab lagi. Untuk memuaskan hati sendiri memang takkan puas punya, tapi sekurang-kurangnya aku dapat menyakiti hati Hanis.

"Tak ingin berbaik-baik dengan sepupu macam kau tu. Dasar pembawa sial."

"Tak kesahlah. Okeylah. Aku nak habiskan aiskrim aku. Lepas ni kami nak pergi ladang teh pula. Boleh tak kau jangan telefon aku lagi kalau sekadar bercakap tentang benda-benda yang tak berfaedah. Nampak sangat macam kau terdesak dan macam orang bodoh saja." Langsung tak teragak nak kutuk Hanis. Masa untuk tunjukkan sikap sebenar aku. Aku nak Hanis tahu, aku bukanlah baik sangat pun.

"Memang tak guna. Kau sedap-sedap makan angin, kami semua kena buat kerja, ini semua rancangan kau bukan? Kau sengaja ajak Abang Hairiz naik Cameron Highlands. Senanglah kau berdua-duaan dengan dia. Sakitnya hati aku..."

Aku dengar Hanis menjerit.

"Eh, apa pula. Aku tak rancang apa-apa pun. Tiba-tiba saja pagi tadi Hairiz ajak aku makan angin ke Cameron Highlands. Aku pun tak boleh nak buat apa. Lagipun Hairiz teringin nak makan aiskrim. Aku temankan dia saja. Tak salah, kan?" Seronok rupanya dapat menjawab.

"Aku memang tak ada kena-mengena dengan rancangan Hairiz ni," tambahku.

"Eh, kalau kau..."

Terus Hairiz rampas telefon bimbitku. Dia mendengar sahaja Hanis maki hamun aku. Sambil itu dia pandang aku.

"Dah habis?" soal Hairiz selepas itu. Padan muka Hanis.

"Masalah sekarang ni yang kau marah sangat dengan Mai kenapa? Eh, suka hati akulah nak bawa dia ke mana. Sekalipun aku bawa Mai ke bulan, kau susah hati kenapa? Kau ada hati dengan aku? Itu sebabnya kau marahkan Mai? Eh, tolonglah. Perempuan macam kau selisih aku nak buat isteri. Dengan celoparnya, dengan kurang ajar, tak pandai nak hormat orang, ada hati nak ada hati dengan aku?"

Aku sambung makan aiskrim yang sudah mula mencair. Puas hati juga mendengar Hairiz marahkan Hanis.

"Oh, kau sukakan aku sebab aku banyak duit? Sebab kau nak menumpang senang aku? Dengar sini baik-baik, sekali lagi kalau aku dengar kau maki hamun Mai, kau kacau Mai, kau tahulah apa aku akan buat. Kau jangan sampai aku upah orang hapuskan kau. Nak bunuh kau tu memang senang sangat. Kau ingat tu. Untuk Mai, aku sanggup buat apa saja. Ini amaran terakhir daripada aku."

Hairiz tutup telefon selepas itu. Serius betul cara Hairiz bercakap. Kalau bukan sepupu aku, mesti aku fikir kongsi gelap mana tengah buat kerja.

"Samsengnya..." Aku jeling dia.

"Tak apa. Samseng di hati awak aje..." Hairiz letak telefon bimbit di hadapanku selepas itu. Tiba-tiba dia ambil tisu dan lap bibirku.

"Makan aiskrim macam budak-budak." Hairiz merungut tetapi dalam nada manja. Jelingan bersama senyuman senget benar-benar buat aku rasa berdebar. Apa masalahnya sekarang ini? Hanya jelingan dan senyuman dari seorang sepupu sahaja. Takkan itu pun nak berdebar bagai.

Aku tidak hiraukan kata-kata Hairiz bila perasaan rasa lain macam. Sentuhan Hairiz tadi memang benar-benar buat aku rasa sesuatu.

"Cepat habiskan ais krim tu. Selepas ni kita pergi ladang teh sebelum balik. Balik saya nak ikut jalan Tapah."

Aku tak balas juga. Masih terkesan. Ah! Mainan perasaan mungkin. 

Продолжить чтение

Вам также понравится

79.4K 8.1K 44
"Tak tau asal usul lubuk mana tah tetiber je dia tidur kat katil kesayangan aku, nak dipendekkan cerita ha camtulah fanfiction ini" Kata Minchae den...
13.1K 2.2K 15
❝ sepupu sendiri pun boleh ❞ ㅡ dimana seketul jeon wonwoo memulakan misi memikat hati sepupunya sendiri , park yena. ㅡ bagi melarikan diri daripada...
1.1K 150 29
𝘴𝘩𝘰𝘳𝘵𝘦𝘯 𝘢𝘴 𝘪𝘒𝘦𝘴, 2024 , spin-off kepada BDA Semuanya berlaku sejak lelaki itu menjadi imam solat tarawih di sekolahnya. Idna Hensem, seo...
18.9K 177 4
ONESHOOT 🐭🐬 [Jisung] ∆ Dom | Seme🔺 [Chenle] ∆ Sub | Uke🔻 ⚠️Warning⚠️ 21+🔞🔞🔞 🙏 kalau ada Typo ಠ◡ಠ