MERDEKA

By ArifZulkifli_

905 55 10

Apabila negara yang kita sayangi dan merdeka untuk satu tempoh masa yang lama, dijajah. Apa puncanya? Atau se... More

MERDEKA

905 55 10
By ArifZulkifli_

Catatan penulis:
Cerpen ini pernah diterbitkan di dalam buku Tanah Tumpah Darah terbitan Buku Hitam Press dengan tajuk Merdekakah Tanah Kita.

Jam 12 malam. Aku kini berada di atas bumbung kondo yang aku diami. Angin malam yang dingin membelai tubuh. Selesa. Langit malam hitam pekat tanpa bintang. Aku sendiri tak pernah tengok bintang di angkasa macam mana. Cuma mampu melihat di internet. Pencemaran cahaya di Malaysia semakin teruk. Aku bergerak ke pinggir bumbung. Masih ramai lagi orang yang berjalan-jalan di bawah. Mereka umpama semut hitam jika aku lihat dari sini. Senyum.

"Selamat hari merdeka abang," aku berpusing ke belakang. Adikku, Sabrina tersenyum sambil berjalan menghampiriku.

"Yang ke berapa eh?" tanyaku.

"Ish. Tak patriotik langsung. Yang ke 243 lah bang," dia mengambil tempat di sebelahku. Kepalanya elok bersandar di bahuku.

"Huish. Lama jugak kita dah merdeka," dia hanya diam. Kami membiarkan sunyi menjadi muzik malam ini.

"Senyap je kan malam ni? Best," aku hanya tersenyum.

"Nak tahu tak, orang dulu-dulu, kalau tak silap abang 200 tahun yang dulu. Diorang tak sambut hari merdeka macam ni," Sabrina mengangkat kepalanya dari bahuku. Keningnya berkerut.

"Bukan yang macam kita buat? Tak buat solat hajat ke? Habis diorang sambut macam mana?" selendangnya melambai-lambai ditiup angin malam. Kerutan di keningnya masih tidak hilang.

"Apa yang kerut teruk sangat tu?" aku ketawa.

"Nak tahu diorang sambut macam mana?" seraya, aku keluarkan tablet nipis daripada poket seluar. Butang 'home' di tengah skrin aku tekan. Laju jari aku bergerak di atas skrin sesentuh, mencari video yang aku ingin Sabrina lihat.

"Haa. Ni video abang jumpa haritu. Pasal cara orang kita, orang Malaysia sambut malam kemerdekaan 200 tahun dulu," serentak ibu jari aku menekan butang 'main'.

Terpancar cahaya di udara. Piksel-piksel cahaya berserakan dan akhirnya, perlahan-lahan membentuk gambar yang bergerak. Hiruk-pikuk suara orang menjerit memecah hening malam. Kelihatan sangat ramai orang sedang melompat-lompat macam orang gila. Bunyi muzik kuat kedengaran, membingit telinga. Kebanyakan orang yang sedang bersuka ria ini adalah daripada kalangan anak muda. Masing-masing dengan gaya tersendiri. Ada yang berambut hijau, oren, merah. Berbelang-belang dengan berbagai warna pun ada. Yang bertindik di telinga sampai dah takde tempat nak tindik. Kebanyakannya memegang botol kaca di tangan masing-masing. Semuanya menghangguk-hanggukkan kepala bagai disampuk. Ada yang terjerit, terlolong. Masing-masing asyik dengan gerak tari yang bergerak selari dengan dengung muzik kuat daripada tengah pentas. Aku tengok dah macam ada aktiviti sembah setan pun ada.

"Dah bang! Tutup! Saya tak sanggup nak tengok benda ni lagi," Sabrina menekup mulutnya. Air mata mula jatuh berlinangan.

"Apa tu bang? Manusia mana yang sangat tak bertamadun tu bang? Takkanlah orang Malaysia kot bang?" dengan perasaan sayu, aku mengangguk, mengiakan apa yang dia kata.

"Tapi tak mungkin bang. Bukan ke masa tu Malaysia dah merdeka selama 40 tahun? Bukankah negara yang merdeka ni sepatutnya menjadi negara yang bertamadun? Apa yang saya tengok tadi lain sungguh bang. Sangat.. teruk."

"Malangnya, rakyat Malaysia zaman dahulu merdeka pada zahir sahaja. Dari segi pemikiran, jauh panggang daripada api. Mereka masih dijajah. Malah mereka sendiri yang merelakan diri mereka dijajah. Minda mereka diperkosa dengan bermacam benda-benda kotor yang datangnya daripada Barat itu sendiri. Agama entah di mana campaknya. Hidup tanpa tujuan, bagaikan haiwan ternak. Bahkan lebih teruk lagi," Sabrina menggelengkan kepala. Aku menekan skrin sesentuh tablet. Cahaya terpancar lagi, menerangi kawasan keliling.

"Tengoklah. Rambut cantik dihijabi tudung. Tapi sayang, tubuh badan bagai sengaja didedah menjadi santapan mata para serigala. Yang ingin menunjukkan bulu di lengan, yang menunjukkan kaki yang melidi, jambul di hadapan. Mana konsep hijabnya kalau dah terang lagi bersuluh semua lekuk jelas kelihatan,"

"Bukan mahu memburukkan kaum hawa. Tapi Islam sendiri sudah mengangkat martabat wanita daripada menjadi lambang seks dan nafsu kepada lebih bertamadun. Sebab itu adanya konsep hijab. Agar mahkota mereka tidak dilelong, dijaja."

"Yang lelaki pula disibukkan dengan fitnah-fitnah dunia. Sanggup melakukan apa sahaja demi perempuan yang kononnya dicintai sampai mati. Love till jannah. Sedangkan berakad pun belum. Mempermainkan hukum Tuhan, bagai hidup ini memang hanya untuk berseronok."

"Abang bukan apa. Abang sedih. Sangat sedih tengok umat zaman dulu yang sangat-sangat jauh daripada Tuhan. Label Islam itu bagaikan hanya tercatat pada kad pengenalan mereka. Bila ada sahaja tentang kes orang Islam mahu murtad secara terang-terangan, kecoh satu Malaysia, menghukum si pendosa. Sedangkan mereka bagai tidak sedar yang maksiat, zina sudah berlaku berleluasa. Tidak kira lagi yang murtad dalam diam ataupun diri sendiri tidak sedar yang dia sudah murtad. Kerana apa? Kerana diri sendiri sudah tidak melakukan apa yang Allah perintahkan. Bukankah sama sahaja orang yang sebegini dengan orang kafir? Sudah merdekakah Malaysia kalau macam tu?"

"Ada satu ketika, kecoh satu surau digunakan sebagai tempat meditasi oleh buddhist. Habis-habisan umat Islam mengutuk perbuatan pemilik surau tersebut. Tapi, mereka perasan tak yang sebenarnya surau dan masjid semua waktu tu kosong. Sunyi, lengang tanpa jemaah? Saat azan dilaungkan, di mana kaum Adam? Bukankah mereka sepatutnya bergegas ke masjid menunaikan solat berjemaah? Bukankah itu lebih baik? Sebaliknya, mereka semua disibukkan dengan hal-hal dunia sehingga mereka akhirnya menjual akhirat hanya untuk membeli dunia yang tak bernilai ni. Sudah merdekakah Malaysia kalau macam tu?"

"Video seorang muslim yang menyambut hari raya dengan anjing yang tersebar pada ketika itu turut mendapat perhatian sangat ramai orang. Dan bermacam dalil dikeluarkan untuk mengutuk perbuatan itu. Tapi mereka tak sedar yang sangat banyak dalil yang mengatakan lelaki dan perempuan ajnabi tidak boleh bersentuhan dengan sesuka hati selagi belum akad nikah. Ada masyarakat semasa zaman itu pertikaikan? Ada mereka mengutuk perbuatan itu? Sudah merdekakah Malaysia kalau macam tu?"

"Seorang ustaz berpoligami, menimbulkan banyak reaksi yang berlainan. Ada yang menyokong tak kurang juga yang mengutuk perbuatan ustaz itu. Kata mereka isteri yang ada, sudah cukup dijagakah? Sudah cukupkah makan minumnya? Tapi mereka tak sedar yang anak-anak mereka berpacaran, berkepit bagai belangkas di sana-sini bagai orang yang sudah berkahwin. Sudah merdekakah Malaysia kalau macam tu?"

"Gadis Melayu ingin memasuki ratu cantik namun dikutuk dan dicerca dengan bermacam nama. Kata mereka, memalukan agama Islam. Kurang didikan agama, lebih baik mati sahaja. Senang sahaja mereka, bagai Tuhan menghukum manusia bagaikan mereka itu sendiri sempurna. Mereka tidak perasankan, tak perlu masuk pertandingan ratu cantik, ramai kaum wanita sudah dengan rela hati berbogel di tempat awam. Berjalan dengan bangganya, menayang aset yang dia ada. Barangkali lupa, anggota badan itu pinjaman cuma. Sudah merdekakah Malaysia kalau macam tu?"

"Seorang lelaki dipenjarakan selama dua tahun. Kerana apa? Kerana dua ringgit yang dicuri daripada tabung masjid. Dua ringgit. Habis ke mana hilang para pemimpin yang mengamalkan rasuah dalam kehidupan? Yang duit haram sudah hidup membiak sebati dalam darah daging mereka. Tiada hukuman dikenakan kepada mereka yang menyalahgunakan duit rakyat. Adil sungguh undang-undang ciptaan manusia, ya? Sudah merdekakah Malaysia kalau macam tu Sabrina? Sudah merdekakah?" aku tak sedar yang air mata aku mengalir sedari tadi. Pipi aku basah, terasa dingin apabila angin menampar pipi. Aku lihat Sabrina juga begitu.

"Rosaknya umat kita bang. Rosaknya," tersedu-sedu Sabrina sambil mengucapkan kata-kata itu.

"Betul kata baginda. Di akhir zaman, ternyata jumlah umat baginda tersangatlah ramai. Tapi kebanyakannya hanyalah bagaikan buih-buih di lautan. Banyak tetapi rapuh tidak berguna. Pecah selepas hidup di lautan sekejap Cuma. Tewas, tersungkur di hadapan nafsu yang bermaharajalela," tablet nipisku, aku tutup. Gelap kembali menguasai suasana. Air mata yang mula kering, aku lap dengan hujung lengan jubahku.

"Abang bagitahu semua benda ni sebab abang tak nak sejarah terjadi lagi. Cukuplah umat zaman dahulu hidup dalam keadaan jahiliyah yang berleluasa. Kita kena buat kerja kita, Sabrina. Kita kena sebarkan Islam. Kita kena bawa Islam dalam hidup kita. Amalkan. Kita kena buang pemikiran stereotype orang bukan islam pada agama kita. Ternyata masih banyak lagi tugas kita dik." Sabrina mengangguk tanda setuju.

Kami kini berdiri hampir dengan penghujung bumbung kondo yang kami diami. Kami biarkan tubuh badan kami diperkosa angin malam. Langit sungguh gelap. Sesekali hembusan wasap putih terhembus daripada mulut kami berdua. Tanda salji bakal turun. Kawasan Asia Tenggara sememangnya sedang mengalami musim salji pada bulan Ogos. Sama seperti negara Australia. Apa yang aku pernah tahu, Malaysia dahulu tidak pernah langsung mempunyai iklim empat musim. Mungkin kerana perbuatan manusia itu sendiri yang memperlakukan alam ini sesuka hati mereka. Merosakkan satu-satunya makhluk Allah yang kita hidup di atasnya. Bumi.

Telah tampak kerusakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia; Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari akibat perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)
(Ar Rum:41)

Tiba-tiba kelihatan jalur-jalur merah turun daripada langit, menjunam ke arah bumi. Satu letupan berlaku. Serentak, satu gelombang yang kuat terasa, memecahkan tingkap-tingkap kondo. Beberapa saat selepas itu, baru satang bunyi gema yang kuat lagi membingitkan telinga. Aku dan Sabrina terbaring di atas lantai. Sabrina terbatuk-batuk di sebelah aku. Aku intai disebalik tembok bumbung. Masih terdapat beberapa lagi jalur merah jatuh menjunam. Kelihatan lampu limpah menyuluh ke arah bumi. Kapal angkasa berarak perlahan daripada langit hitam, cuba mencari tanah rata untuk mendarat.

Tiba-tiba kedengaran bunyi dentuman yang sangat kuat di bahagian belakang bangunan kondo kami. Aku bergegas ke arah yang bertentangan. Kelihatan berpuluh kereta kebal sedang berarak menuju ke sini. Beberapa das tembakan terkena bangunan ini. Aku terlupa yang aku sudah mematikan sistem keselamatan bangunan ini. Sistem yang tercanggih di dunia itu takkan berkesan kalau dimatikan. Argh! Bodohnya aku

Beberapa kapal angkasa turun perlahan daripada langit. Cahaya laser berwarna merah dipancarkan sana-sini. Tiada target yang tetap. Mungkin mereka sengaja buat begitu. Memusnahkan apa sahaja yang berada di hadapan mereka. Kapal angkasa tersebut yang berbentuk pelik, berbentuk bujur dihadapan dengan beberapa antena di bahagian atas kapal. Di bahagian kiri dan kanan kapal angkasa itu, terdapat sepasang tangan mekanikal, yang bergerak dan meruntuhkan bangunan di sekitarnya. Sepanjang tingkat kapal angkasa tersebut penuh dengan lampu putih yang berkelip-kelip. Lampu limpah daripada kapal tersebut menyuluh lurus ke arah kami berdua.

"Abang! Kerajaan langit Israel datang menyerang!" aku mendongak melihat lambang bintang berwarna biru yang terpapar besar di bahagian salah satu kapal angkasa yang terbesar di situ. mungkin itu ialah kapal utama mereka. Benar. Sejak teknologi berkembang pesat, Israel telah menjadi negara yang paling terkehadapan dalam bidang sains dan teknologi. Ramai daripada golongan bijak pandai yang lahir dalam bangsa warisan umat Musa ini. Jadi, mereka telah membina negara mereka sendiri di atas langit, di sebalik awan memandangkan satu dunia sudah menyokong untuk tidak menubuhkan negara haram Israel di Palestin. Sudah berapa dekad kami tidak mendengar khabar berita daripada mereka. Dan kini, malam ini mereka turun ke bumi untuk menyerang Malaysia. Tanah tempat tumpahnya darah aku.

Aku segera berlari masuk ke dalam bangunan diikuti Sabrina di belakang. Bangunan bergegar apabila terkena bedilan peluru kereta kebal mereka. Aku takut struktur bangunan semakin melemah dan akhirnya aku bakal mati tertimbus di bawah timbunan bangunan kondo aku sendiri. Aku turun tangga dengan cepat. Aku harus hidupkan sistem keselamatan dengan segera. Bangunan bergegar lagi. Beberapa habuk jatuh mengotori lantai. Siling sudah menunjukkan kesan retak sana-sini.

"Sabrina! Pergi berlindung di dalam Vault! Abang nak hidupkan sistem keselamatan kondo."

"Tapi..."

"Dengar cakap abang Sabrina! Pergi masuk dalam Vault sana!" kondo ini kosong tanpa orang. Manalah semua orang pergi di saat aku perlukan pertolongan? Oh, aku lupa. Aku sendiri yang ingin pulang awal ke rumah daripada masjid kerana ingin menyendiri. Mereka mungkin masih di masjid. Tak sangka benda macam ni akan berlaku. Entah bagaimana nasib mereka di sana.

Butang merah semakin jelas di hadapan mataku. Sepantas kilat aku melompat dan menekan butang merah yang terletak di atas meja belajarku. Serta-merta bunyi siren kuat, cuba mengatasi bunyi bedilan kereta kebal Israel. Perlahan-lahan kesemua pintu dan tingkap ditutup dengan penghadang yang diperbuat daripada titanium dengan campuran beberapa logam lain. Aku intai dari celah lubang yang tercipta akibat bedilan peluru meriam di dinding. Satu medan kuasa telah menyelubungi keseluruhan kondo ini. Cahaya biru menerangi samar-samar dalam gelap malam. Beberapa cubaan daripada kereta kebal untuk menembusi medan kuasa ini tidak menjadi. Ternyata aku selamat. Buat masa ini.

Aku bersandar di dinding. Di luar sana aku pasti api marak di sana sini. Pasti ramai orang sedang bertempiaran lari, cuba menyelamatkan diri. Cuba mencari tempat yang selamat untuk berlindung. Malaysia sedang kucar-kacir. Kiamat kecil berlaku. Perlahan-lahan aku memeluk kaki dan esak tangis mula kedengaran. Tepat pada jam 1.32 pagi pada tanggal 31 Ogos 2200, Malaysia dijajah sekali lagi. Dan pemimpin yang memerintah negara ini hanya mampu bersandar pada dinding sambil memeluk kakinya dan dilindungi oleh sebuah medan kuasa hebat daripada serangan penjajah yang menggila.

Continue Reading

You'll Also Like

686K 40.5K 64
Awalnya hidup dia sama sahaja seperti manusia lain. Bangun pagi, bersiap pergi kerja, pulang kerja dan tidur. Itulah yang berulang-ulang setiap hari...
7.3M 130K 23
Air yang tenang, Jangan disangka tiada buaya. Bukan buaya aje malah kuda laut,singa laut, ikan jaws pun ada"-FARHAN "Adeh....keluar dari mulut buaya...