TARANUM kasih NAZIEFA

By GuzelHeart

620 108 0

Cover? Cantik apa. Sekarang kan trend cover hitam. Tapi hitam GH senonoh tau. Blurb? Ada. Tekan je cerita n... More

BLURB
PESANAN PENAJA
SECEBIS KATA PENGUAT JIWA
PROLOG
BAB 01
BAB 02
BAB 03
BAB 04
BAB 05
BAB 06
BAB 07
BAB 08
BAB 09
BAB 10
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15
BAB 16
BAB 17
BAB 18
BAB 19
BAB 20
BAB 21
BAB 22
BAB 23
BAB 24
BAB 25
BAB 26
BAB 27
BAB 28
BAB 29
BAB 30
BAB 31
BAB 32
BAB 33
BAB 34
BAB 35

BAB 11

7 3 0
By GuzelHeart

Sedingin angin malam, hati pun menangis rawan

Segarnya udara malam. Membawa pergi segala kepedihan namun tiada siapa yang tahu, ada pancaroba sedang mengintai mencari mangsa. Bila-bila masa saja akan membedal hati pemilik jiwa lalu rebah tersungkur terseksa entah sampai bila. 

Namun, bagi Naziefa dia kumpulkan kekuatan selagi terdaya. Segala kelemahan diri tak sepatutnya dizahirkan. Biar di hujung masa nanti dia tak rebah sebelum waktunya.

Dalam kelam malam Naziefa berjalan sendirian pulang ke rumah usai solat isyak di surau. Sengaja lambatkan langkah kerana mahu angin malam membelai tubuhnya. Biar hilang segala nestapa. Sambil melangkah dia ukirkan senyum panjang. Teringat akan Ustazah Halimah. Betapa berdampingan dengan wanita itu mengundang rahmah dalam hidup. Sungguh dia rasa amat tenang. Walaupun saat ini suasana gelap hanya disinari lampu jalan yang agak malap. Pun begitu ia tak berjaya menggoncang ketenangannya. 

Sebagai gadis yang meningkat dewasa sepatutnya dia berhati-hati. Tetapi ini kawasan kampung. Tidak akan ada lelaki yang berani hendak mengikutnya pulang. Lagipun orang kampung kenal siapa dirinya. Anak dara Pok Jak Burung Belatuk. Sebut saja nama ayahnya, kampung-kampung berdekatan akan turut menikus. Jangan berani hendak mengacau anak dara Pok Jak. Kalau orang tua itu tahu tak tunggu lama yang  bersalah akan diparang. Jangan dibuat main dengan tok jogho paling hebat di sini. Bukan saja terkenal dengan lagu-lagu dikir barat bahkan popular dengan sikap perengus yang  boleh meletup hanya kerana setitik air terpercik ke muka.

Itu apa yang semua orang tahu. Cuma Naziefa tidak sedar. Masih ada yang berani menghadap ayahnya.

“Sorang je?” 

Suara yang menyapa mengejutkan Naziefa. Pantas dia beralih ke birai jalan. Susuk di sebelah yang berbasikal tua menggerunkan dirinya. Dalam keadaan gelap begini tiba-tiba saja tubuhnya merinding takut. Nasib baik selangkah dua lagi dia akan tiba di pagar rumah. Jika lelaki itu berbuat jahat dia sudah bersiap sedia untuk memecut bagaikan pelumba negara.

“Bila balik?” soal Rosli lagi apabila sapaannya tidak dibalas.

Naziefa hanya diam. Pusingkan badan mahu melangkah masuk ke dalam kawasan rumah. Tak sangka lelaki itu mengekor dari belakang. 

“Lain kali nak pergi surau cakap dengan Abang Li. Boleh Abang Li teman balik. Efa janganlah jalan sorang-sorang macam ni.”

Naziefa hentikan langkah apabila sudah melepasi pagar rumah. Dia berkira-kira mahu menjawab tetapi tak ada faedahnya juga. Lalu dia diamkan diri dan kembali melangkah menuju ke tangga rumah. Belum sempat tiba kedengaran ayat lelaki itu yang membuat lututnya bergetar kuat. 

“Habis belajar nanti Abang Li akan masuk meminang.”

Terus jantung pula yang berdegup kencang. Bukan bermaksud dia suka dengan kata-kata lelaki itu tetapi dia rasa takut. Bukan sekali lelaki itu menyampaikan hasrat begitu. Sudah acap kali sebenarnya. Semenjak dia di tingkatan lima lagi. Apabila naik tingkatan enam atas lelaki itu menyisih apabila dia menyembur geram. Akhirnya suara itu tak kedengaran lagi. Tetapi kali ini berani pula lelaki itu muncul dan nyatakan impian yang setinggi langit itu. Apakah kerana lelaki itu tahu ayahnya tiada di rumah jadi sewenangnya meluahkan apa yang ada di dalam hati.

Tetapi dia kuburkan harapan Rosli begitu saja.

“Kenapa kau balik awal? Bukan ke kau pergi KL dengan ayah aku.”

Seperti dulu-dulu dia tak pernah hendak bercakap mesra dengan lelaki itu. Dia tak suka. Dengan kata lain dia rasa berbulu.

“Abang Li tak menipu. Abang Li betul-betul nak kahwin dengan Efa.”

Lain yang ditanya lain yang dijawab.

“Aku tanya ni, kenapa tak balik dengan ayah?”

Rosli diam sahaja. Hanya mata yang berani berlari ke seluruh wajah Naziefa yang bersih.

“Abang Li ada kerja. Tak boleh duduk lama. Sekadar hantar ayah je ke sana.”

Naziefa mengetap bibirnya geram. Tak suka sungguh apabila orang kepercayaan ayah ambil mudah saja akan tugas yang diberikan. Lagipun kerja apa yang lelaki itu buat. Setahu dia Rosli tak ada kerja. Hanya menjadi pembantu ayah setiap masa. Dalam erti kata yang lain lelaki itu pengurus peribadi ayah. Kerja lain? Langsung tak ada.

“Abang Li pergi cari kerja. Kalau dapat sempatlah Abang Li kumpul duit. Dah janji dengan diri sendiri nak kahwin dengan Efa nanti.”

Terus Naziefa menjeling tak suka. 

“Cari orang lain. Aku tak nak,” tegas suara Naziefa lontarkan.

Rosli tiba-tiba hamburkan tawa kecil.

“Efa tak boleh menolak sebab ayah Efa dah setuju. Lagipun tak ada orang lain dah yang layak dijodohkan dengan Efa kalau bukan Abang Li.” 

Dada Naziefa serta-merta berapi panas sebaik mendengar penjelasan lelaki berkumis tebal itu. Dia tak percaya. Langsung tak percaya. Selama ini tak pernah pun ayahnya menyebut hal begini. Langsung tak pernah dia dengar. Tetapi entah kenapa tiba-tiba saja kakinya tak mampu dipasak kukuh. Kata-kata itu ada benarnya. Mungkin ayahnya tak akan memilih orang lain untuk dijadikan menantu. Kalau bukan Abang Man sepupunya, tentu lelaki ini - awak-awak ayahnya yang menyerlah berbanding yang lain. Lelaki ini memang disebut-sebut bakal menggantikan ayah. Itupun jika ayah sudah tak mampu berdiri di hadapan ramai. 

Tiba-tiba ingatan Naziefa melayang mengingati harapan si ayah. Mungkin ayah tak akan kahwinkan dia dengan lelaki ini jika dia menurut kata ayah. Menjadi tok jogho perempuan. Namun lamunannya  mati di tengah jalan apabila sebuah kereta berhenti betul-betul di hadapannya. Naziefa terkejut.

Rosli pula kerutkan dahi. Mata mengamati orang di dalam dengan pandangan tajam.

Siapa sangka Raziah keluar dengan muka bengis dan pastinya Naziefa  terkejut besar. Begitu juga dengan Rosli.

“Kau berdua buat apa kat sini. Dalam gelap macam ni. Nak kena tangkap basah ke?” jerkah Raziah tak pandang kiri kanan. Matanya cerlung memandang Rosli. Lelaki itu hanya lemparkan senyum sinis. Dalam hati Rosli cukup suka kalau betul kena tangkap. Biar Naziefa tahu dia benar-benar mahu memperisterikan gadis itu. 

Mata  Rosli kembali memanah mata Naziefa. 

“Efa cuba tanya ayah. Abang Li yakin jawapan ayah Efa sama dengan apa yang Abang Li cakap tadi,” pesan Rosli lantas berlalu pergi. Mungkin kembali ke rumahnya yang hanya berselang empat buah sahaja dari rumah Naziefa.

Naziefa hembus nafasnya kesal. Berharap segala kata-kata lelaki itu tidak benar sama sekali. Jika benar dia yang akan sengsara sampai ke tua.

Raziah di depan pula kecilkan pandangan. Menilik wajah itu dengan rasa geram.  Dia singkirkan dulu soal Rosli. Sekarang ini yang bermain di fikiran hanyalah perihal Naziefa.

***

“Kenapa kau nak balik kampung tak cakap dengan aku?” sergah Raziah di laman rumah Naziefa.

Terperanjat gadis itu dengan pertanyaan sepupunya.

“A… a… aku….” tak terjawab pula apabila mengingati Raziah merajuk dari hari pendaftaran asrama sehingga ke saat ini. Dalam rasa bersalah dia memandang Raziah lama. Berbulan-bulan lamanya Raziah diam tanpa berita. Jadi dia buat keputusan memang Raziah benar-benar membencinya.

“Dah. Masuk kereta,” arah Raziah tegas. Sudah seperti kakak mengarah si adik masuk rumah kerana maghrib sudah tiba. Dalam keadaan bingung Naziefa menghampiri pintu sebelah penumpang.

“Nak pergi mana? Mok Long tak tahu lagi tu,” ujar Naziefa merujuk kepada emaknya.

Raziah menghela nafas berat.

“Masa kau kat surau tadi aku baru sampai kat rumah aku. Tak tunggu lama terus jumpa Mok Long. Minta izin nak bawa kau keluar. Mak kau dah tahu. Jadi masuklah,” beritahu Raziah dan diakhirnya mengarah Naziefa masuk.

“Betul ke ni?” soal Naziefa ragu-ragu. Tak betah pula hendak tinggalkan emaknya seorang diri.

“Ya. Tak payahlah nak bimbang sangat. Mok Long kat rumah aku sekarang. Tengah tolong mak aku gubah hantaran.”

Buntang mata Naziefa tidak tahu.

“Hantaran siapa? Siapa yang nak kahwin?”  Bulat matanya hendak tahu. “Kau ke? Kau nak kahwin?”

Terbit gelak besar Raziah tiba-tiba.

“Abang Man lah. Esok majlis tunang. Itu yang aku balik ni.”

“Aku tak tahu pun.”

Raziah buat muka.

“Dah kau tu macam duduk dalam gua. Mana nak tahu apa yang jadi kat kampung. Kau ingat aku tak tahu ke. Jarang-jarang sangat telefon ayah kau.”

Dan dada Naziefa pun berlayar sayu.

***

Raziah memarkir kereta di hadapan sebuah warung. Kelip-kelip mata Naziefa memandang suasana di dalam. Hati mula teragak-agak hendak keluar.

“Seganlah, Zie. Aku pakai macam ni. Dah macam pocong.”

Naziefa mengintai keluar namun Raziah buat tak endah. Segera ke pintu sebelah Naziefa. Sambil-sambil itu mata mengintai. Mencari-cari meja kosong. Apabila masih ada ruang untuk duduk segera dibukakan pintu Naziefa. 

“Aku dah layan kau macam princess. Jadi kau jangan nak buat hal, eh,” gertak Raziah. Sekadar bergurau. 

Hendak tak hendak terpaksa juga Naziefa keluar dari perut kereta. Semasa melangkah mengekori Raziah beberapa pasang mata pelanggan lelaki di dua tiga buah meja menjeling ke arahnya. Muka berubah warna. Segan sungguh rasanya sekarang ini. Hanya bertelekung solat. Tentulah orang pandang pelik.

Raziah suruh duduk di depan dan Naziefa akur. Sebaik saja duduk Raziah pakukan mata ke wajah Naziefa. Saat itu pelayan datang dan mereka memesan makanan lebih dahulu. 

Raziah kembali memandang tajam wajah Naziefa. 

“Apasal kau tengok aku macam tu. Kau masih marah dekat aku ke?” soal Naziefa resah apabila Raziah hanya diam. “Kau merajuk dengan aku kan?” Sungguh Naziefa tak suka dengan memek muka Raziah saat ini.

“Ya. Memang aku merajuk. Aku marah dengan kau. Aku geram sangat-sangat dekat kau. Tapi apa yang aku buat tu belum cukup lagi nak hukum kau.”

Lalu Naziefa tunduk ke bawah. Tarik telekung solat dan pegang erat. Angin malam yang berhembus bercampur dengan angin kipas warung sedikitpun tidak mendinginkan tubuh. Sebaliknya membawa ribut kekesalan yang maha hebat.

“Aku tahu aku salah dan kau ada hak kau nak merajuk.”

Hati Raziah tiba-tiba dipanah sayu.

Naziefa, sepupunya yang lemah lembut. Itu dia maklum tetapi sikap Naziefa sekarang amat lain. Dia benar-benar pelik. Sejak bila Naziefa keras hati. Kenapa dia tak perasan. 

“Tapi aku merajuk pun tak bermakna aku tak ambil tahu pasal kau. Kalau kau nak tahu aku selalu singgah dekat asrama kau. Nak ajak kau bermalam kat rumah sewa aku tapi aku pula yang bimbang. Takut-takut kau sibuk sangat. Orang kata belajar dekat universiti ini tak ada masa lapang. Jadi aku balik macam tu je.”

Terbuntang mata Naziefa dengan cerita Raziah. Dia langsung tak tahu.

“Dua tiga kali lah jugalah aku pergi asrama kau masa hari minggu tapi itu lah, tak jumpa. Kau pula macam tak ada telefon. Kau ni sebenarnya reti ke tak guna telefon?”

Teringat akan telefon wajah Naziefa terus berubah merah. 

“Dah lama pegang telefon tapi aku masih tak mahir. Bila aku dah silent, vibrate aku tak reti pula nak tukar biar bunyi. Lepas tu nak cek siapa yang call aku tak tahu nak tengok kat mana. Mesej yang masuk pun aku tak reti nak tengok.”

Tak sangka tawa Raziah meletus keluar hingga pelanggan lelaki di belakang memandang ke arahnya. Namun Raziah tak kisah. 

“Jakun. Patutlah aku mesej kau tak pernah nak balas. Takkan kau tak suruh kawan kau tengok-tengokkan.”

Naziefa ketap bibirnya. Dia sedar dia buta teknologi yang sedang berkembang dalam negara. Padahal telefon itu sudah lama diguna ayah. Cuma dia yang tak reti. Hanya pandai mendail sahaja. Hendak menghantar pesanan langsung  tak tahu.

“Aku je pakai jenama Sagem. Orang lain pakai Nokia. Jadi masing-masing tak reti nak tolong tengok telefon aku.”

Raziah gelengkan kepala sambil tertawa kecil.

“Sagem tu jenama orang tua. Hah, nanti pakai yang macam aku.” Raziah letakkan telefon boleh lipat ke atas meja. Di hadapan Naziefa. “Ini ramai perempuan guna. Besar tapak tangan je. Bila pegang nampak comel. Cute. Nanti kau ada duit lebih kau belilah.”

Naziefa buat muka.

“Masa aku banyak duit  nanti telefon dah banyak yang canggih-canggih. Aku lawan kau nanti,” bidas Naziefa sehingga mengundang tawa besar Raziah. Naziefa pula yang malu. Sepupunya itu langsung muka tembok. Tetapi sikap gadis itu membuatkan hati Naziefa tenang.

“Kau dah tak merajuk kan?”

Pantas Raziah gelengkan kepala.

“Nanti dah balik kampus aku nak ajak kau bermalam rumah aku,” pesan Raziah. Itu jawapan pada pertanyaan Naziefa. Dia tak merajuk. Sebenarnya dia mahu menghukum Naziefa. Pembohongan gadis itu sebenarnya adalah satu kesalahan yang akan mengundang bala. Dia cukup berharap bala itu tidak akan tiba dan kerukunan keluarga Naziefa tidak akan kucar-kacir.  

“Maafkan aku,” ucap Naziefa ikhlas dan menerbangkan khayalan Raziah. 

Pantas diukir senyum mesra.

“Ya. Aku Maafkan tapi kau kena rajin-rajin godek phone kau tu. Senang bila aku nak ajak kau. Free nanti kita keluar jalan-jalan dekat KL. Lagipun sekarang aku tengah tunggu bonus. Mana tahu bos aku nak bayar awal. Kebetulan company banyak dapat untung tahun lepas.”

Naziefa angguk setuju. Wajah manis Raziah menggambarkan rajuk gadis itu sememangnya sudah hilang.

“Kau dah tak marah aku kan?”

Raziah balas dengan gelak kecil.

“Kalau aku marah tak adanya aku nak angkut kau ke sini. Nak belanja kau makan.” Raziah matikan ayat. Pandang pelayan yang sudah datang meletakkan hidangan yang dipesan. “Semenjak belajar kat bandar dah pandai makan macam ni kan. Nasi Goreng USA, eh.” Raziah mencebik dan pastinya Naziefa tertawa malu.

Teringat pula akan Nasi Goreng USA dekat gerai depan asrama lelaki. Sedapnya sampai bawa ke mimpi. Cuma yang tak bestnya mahal. Dah nama student harga RM 7.90 tu memang mahallah untuk mereka yang hanya bergantung dengan duit biasiswa. Tambah-tambah lagi bila dah dekat akhir semester. Macam dia sekarang ini. Sebulan dua lagi tamat semester pertama. Masuk semester kedua dah nampak apa yang perlu dia hadap.

“Dah lah melamun. Tu hah… USA dah depan mata. Tap payah nak naik flight.” Usikan Raziah menyentak fikiran lalu lamunan Naziefa hilang entah ke mana. Sambil tersenyum malu dia tarik pinggan ke depan dan mula menyuap masuk nasi ke dalam mulut. 

“Sampai bila kau nak simpan rahsia?”

Apabila pertanyaan begitu keluar terus nasi yang baru hendak ditelan terlekat di kerongkong. Air mata pun mula bertakung.

Ah, peritnya!

Dia tidak tahu sampai bila. Lalu pertanyaan itu dipandang sepi.

Continue Reading

You'll Also Like

3.3M 80.5K 141
Soon to be Published under GSM Darlene isn't a typical high school student. She always gets in trouble in her previous School in her grandmother's pr...
2M 99.9K 44
Scarlett and Nate are the epitome of "right person, wrong time", and two years after their one night together, Scarlett sees him interviewing for his...
82.1K 3.2K 38
แด…ษชแด แด‡ส€ษขแด‡ษดแด›; แด›แด‡ษดแด…ษชษดษข แด›แด ส™แด‡ แด…ษช๊œฐ๊œฐแด‡ส€แด‡ษดแด› แดส€ แด…แด‡แด แด‡สŸแดแด˜ ษชษด แด…ษช๊œฐ๊œฐแด‡ส€แด‡ษดแด› แด…ษชส€แด‡แด„แด›ษชแดษด๊œฑ.
358K 4.1K 102
[Completed- Season one & two] Author... Blackclock