Takhta Mayaloka

By eiffelynne

425 32 15

Terbitan K-Lit - Karangkraf @ PBAKL 2024 Di Universiti VerseMedia, para pelajar bersorak teruja menyambut ino... More

Bab 1
Bab 2
Bab 4
Bab 5

Bab 3

57 5 1
By eiffelynne

Badan halus itu melonjak ke belakang lalu kakinya mendarat kemas. Syifaa berdiri gah di tengah gelanggang. Kabus hembusan nafasnya terlihat di udara. Dada berombak kencang bersama pandangan mata yang kosong. Sangkanya latihan malam ini mampu membuatkan dia tenang, namun gema mimpi ngerinya masih terus memekik di minda. Terasa dia semakin lemas dalam lautan ketakutan. Syifaa memejamkan mata. Cuba untuk berhenti memikirkan mimpi yang sering menghantui dirinya.

Ruang latihan seawal jam 4.00 pagi itu dingin beku kerana ketiadaan pemain penguji yang lain. Namun sejuk yang sepatutnya menggigit tulang itu langsung tidak dirasai oleh gadis yang telah berjaya mengalahkan kesemua bot musuh yang akan dikeluarkan pada versi Paksi Mayaloka yang seterusnya.

Gerakan Syifaa tajam, tangkas dan tepat saat dia beraksi dalam latihan pertempurannya. Setiap serangan dilaksanakan dengan api kemarahan yang membungkam di dada, amarah yang dalam pada mimpi ngeri yang acap kali berulang.

Sudah hampir tiga tahun berlalu, namun kejadian itu masih segar di ingatannya. Lampu pentas yang membutakan mata, dingin besi tajam yang menyentuh lehernya, nyaring jeritan orang ramai yang ketakutan. Syifaa terasa dirinya masih lagi seorang tebusan. Diheret kasar ke atas pentas hanya untuk memusnahkan identiti virtual Ashraf yang pada masa itu masih lagi menjadi rahsia.

Jantung Syifaa kembali berdebar hanya dengan memikirkan memori silam itu. Malam demi malam, dia mengulangi mimpi ngeri itu dalam tidurnya, terperangkap dalam lingkaran ketakutan yang seperti tiada penghujung. Sangkanya mimpi itu akan hilang dimamah waktu, jadi dia belajar menyembunyikan trauma, menguncinya jauh di lubuk jiwa sehingga tiada yang tahu betapa sengsaranya Syifaa bermalam tanpa tidur yang lena.

Kini, telah menjadi rutin hariannya sejak dia mendaftar di universiti itu. Menghabiskan baki malam dengan sesi latihan intensif untuk Paksi Mayaloka di bangunan khas untuk para pemain penguji. Kebanyakan pemain lain hanya akan berada di situ pada waktu petang hingga malam. Hanya Syifaa yang sentiasa hadir pada awal pagi.

Syifaa melangkah keluar dari gelanggang sambil membuka ikatan velkro pada pergelangan lengannya. ADria yang dipakai juga ditanggalkan.

"Syifaa?"

Teguran itu membuatkan Syifaa menoleh. Kelihatan Profesor Kamal datang mendekat bersama tongkat kayu mahogani berlilit logam emas.

"Masih tak boleh lena?"

Syifaa hanya tersenyum kelat sambil mengangguk perlahan.

"Macam mana pelancaran tadi, Prof? Saya tak pergi ...." Bicara Syifaa mati seketika.

"Tapi mesti ramai orang, kan?" Sengaja Syifaa memilih untuk tidak ke majlis pelancaran itu. Dia tidak mahu mengulangi kejadian lalu.

"Boleh tahan ramai, tapi memang itu yang kita mahukan. Supaya lebih ramai dapat merasai dunia baru ini."

Syifaa tersenyum bangga. Sekurang-kurangnya setiap data latihannya digunakan untuk satu pembangunan permainan berteknologi tinggi.

"Ada sedikit perubahan pada data kamu, Syifaa."

Syifaa duduk di bangku besi bersebelahan dengan beg sandangnya. Menanti sambungan kata daripada profesor itu.

"Selepas setahun, kawalan pernafasan kamu semakin baik. Malah kamu lebih fokus dan cekap berbanding pemain lain. Hormon dan neurotransmitter kamu juga ada penambahbaikan. Sangat bagus."

"Tapi ... saya masih dapat mimpi tu." Syifaa menunduk.

Profesor Kamal yang terdengket-dengket bersama tongkatnya mengambil tempat duduk di sebelah Syifaa. Berita gembira yang dibawa itu nyata tidak memberi apa-apa makna buat gadis yang masih gagal untuk tidur dengan mimpi yang indah.

"One step at a time, Syifaa. It won't be easy, but I promise you, it will be better."

"Jadi, ada harapan untuk saya dapat semula tidur yang cukup?" Syifaa ketawa kecil. Dia cuma mahukan tidur yang lena untuk terus berfungsi seperti biasa.

Profesor Kamal mengangguk bersama segaris senyuman.

"Keep up the good work, Syifaa."


***


Ashraf bersandar pada dinding bersebelahan pintu dewan kuliahnya. Dia menanti Syifaa melangkah keluar dari situ. Dia masih belum berpeluang untuk menegur gadis itu. Hanya pandangan mata saja yang bertemu. Hampir seharian Ashraf memikirkan kesalahan pada kata-katanya yang mungkin tanpa sengaja melukakan hati Syifaa. Namun kekal tiada jawapan. Bukan dia tidak cuba untuk menjernihkan keadaan antara mereka, tetapi pesanan ringkasnya juga tidak dibalas.

"Syifaa!" panggil Ashraf sebaik sahaja gadis itu keluar bersama rakan-rakannya yang lain.

Langkah Syifaa terhenti. Senyumnya hilang saat terpandang wajah lelaki itu.

"Kau orang gerak dulu. Nanti aku mesej kau orang," ujar Syifaa sebelum dia melambai rakan-rakannya. Sebaik sahaja mereka menjauh, Syifaa seperti teragak-agak ketika mendekati Ashraf.

"I'm sorry. Aku tak pasti apa, tapi mungkin aku ada sakitkan hati kau semalam."

Syifaa mengetap bibir. Matanya hanya jatuh pada lantai kelabu.

"Aku betul-betul tak tahu apa salah aku. Cuba kau beritahu, aku akan cuba untuk ubah." Wajah Ashraf penuh pengharapan. Kata-kata yang diulang sendiri sejak semalam akhirnya sampai juga ke telinga gadis itu.

"Bukan salah kau, Ashraf. Aku yang ... sendiri terasa." Perlahan saja Syifaa menuturkan bait kata terakhir itu.

Wajah Ashraf berubah kehairanan.

"Maksud kau?"

Terus Syifaa menyentuh pipinya sendiri. Bingung memikirkan jawapan untuk soalan Ashraf sedangkan dia yang merumitkan keadaan antara mereka berdua.

"Tak apalah, lupakan aje." Syifaa akhirnya menamatkan perang dingin sebelah pihak itu. Membiarkan Ashraf terpinga-pinga sendiri.

"Kau pergi pelancaran malam tadi?" Syifaa mula melangkah diikuti oleh Ashraf dari belakang.

"Pergi. Aku cari kau, tapi kau tak ada," balas Ashraf sambil cuba menyamakan langkah mereka.

"Kau pergi sebab cari aku ke?"

"Tak, aku kalah lumba lari dengan Fikri." Selamba jawapan jujur meluncur keluar.

Terus pecah tawa Syifaa. Terasa geli hati dengan jawapan itu kerana dia tahu, Ashraf merupakan juara pelari pecut di sekolah mereka dulu. Mustahil hanya kerana kini bergelar mahasiswa, semudah itu dia dikalahkan.

"Dia lari dulu. Lagipun aku malas nak kejar." Ashraf turut sama tergelak. Hatinya lega apabila Syifaa kembali seperti biasa.

"Jadi, kau dah ada MetaGrip?"

Lelaki itu mengangguk laju. Terus Syifaa menguntum senyuman mekar.

"Macam mana? Cukup realistik tak?"

Ashraf tertawa lagi.

"Bolehlah. But still not for me."

Ding!

Bunyi notifikasi masuk pada ADria sebaik sahaja kaki mereka berdua melangkah menaiki tangga menuju ke arah perpustakaan.

Lantas tangan dilayang. Dua pasang mata itu membaca teks ringkas yang tertera.

Bisikan Irama Silam

Terima misi?

Mereka berdua saling berpandangan.

"Aku tak bawa MetaGrip aku," ujar Ashraf yang jelas berniat untuk menolak permainan itu.

"Ini mini game. Tak perlukan MetaGrip. Nak cuba?" Dengan yakin Syifaa membalas sambil matanya memandang ke arah kaki Ashraf.

"Aku rasa misi ni aktif sebab kita berdua pijak tangga sama-sama. Dua pemain." Dua jarinya diangkat.

"Macam mana kau tahu?" soal Ashraf.

Syifaa terdiam sebelum dia mengukir senyuman kekok.

"Aku teka aje. Kalau tak nak main pun tak apa. Boleh aje reject misi ni."

Ashraf memandang anak tangga menuju ke perpustakaan itu. Kepalanya ligat memikirkan jenis permainan apa yang bakal diterima. Akhirnya, dia membuat keputusan.

"Jom."

Butang berbentuk "O" ditekan serentak. Tanda mereka bersedia menerima misi. Seraya itu juga anak tangga batu tadi berubah menjadi tangga kaca.

Mendengar atau Melompat?

Pilihan lain pula muncul terapung di hadapan mereka.

"Sebab kau jenis bersukan, biar aku jadi yang mendengar." Tanpa berlengah lagi, Syifaa terus menekan pilihan "Mendengar". Lelaki itu hanya menurut.

"Selamat datang, pengembara! Demi menakluki cabaran ini, pengembara yang pilih untuk 'Mendengar' perlulah segera ke puncak tangga. Pendengaran luar biasa anda akan membawa yang 'Melompat' menuju kejayaan."

Suara robot itu mengarahkan pula kedudukan Syifaa. Sebaik sahaja dia melangkah ke puncak, satu gerbang terbina tinggi. Di tengahnya pula muncul satu patung batu kaku dengan tangan menutupi mulutnya. Seakan-akan mahu membisikkan sesuatu.

"Ashraf! Aku dengar not lagu, kau lompat ke anak tangga tu!" laung Syifaa sebaik sahaja dia membaca arahan yang tertera padanya.

"Aku tak nampak not dekat tangga!" laung Ashraf pula.

"Aku nampak! Dengar arahan aku!"

Ashraf meletakkan beg sandangnya ke lantai. Tidak mahu dibebani dengan berat tambahan.

Misi bermula!

Ashraf memandang Syifaa yang mendekatkan diri pada patung itu. Barangkali mendengar not lagu yang disampaikan.

"Ashraf! Err ... anak tangga pertama, kedua, keempat, kedua, ketiga ...."

"Hah? Satu-satulah!" Berkerut dahi Ashraf.

"Oh, okey! Yang pertama!"

Ashraf terus memijak anak tangga yang pertama.

"Kedua ... keempat ... ketiga ...."

Anak tangga ketiga berbunyi lalu bertukar merah. Lantas Ashraf memandang Syifaa.

"Eh, salah! Patutnya yang kedua!"

Misi gagal. Cuba lagi?

"Sekali lagi!" laung Ashraf seraya tangannya menekan butang berbentuk "O" lalu dia laju menuruni anak tangga untuk kembali ke tapak bersedia. Sekali lagi permainan itu bermula.

Syifaa kembali mendengar not lagu yang disampaikan.

"Ashraf! Kedua ... ketiga ... kedua ... pertama ... ketiga ... kelima!"

Panjang langkah kaki Ashraf melompat ke arah anak tangga yang kelima. Syifaa terus menepuk tangan. Mereka berjaya menghabiskan permainan tersebut. Tangga kaca tadi berubah kepada tangga batu semula.

Tahniah!

Papan ucapan tahniah terpampang besar. Bunyi duit syiling berkerincing kedengaran apabila dua mata ganjaran diterima.

Ashraf turun semula lalu mencapai beg yang terletak di lantai. Syifaa hanya menanti ketibaan lelaki itu di puncak tangga.

"Mini game dia menguji kepanjangan kaki," komen Ashraf sambil terkekek-kekek sebaik sahaja dia berada di sebelah Syifaa. Gadis itu juga turut tertawa.

"Dua mata untuk game macam tu, ya? Boleh beli apa dengan mata ganjaran ni?" Jari Ashraf dilayangkan untuk melihat jumlah mata ganjarannya.

"Dua mata tak boleh beli apa-apa. Ibarat dapat 10 sen aje," ujar Syifaa menghentikan cita-cita Ashraf untuk terus menebus mata ganjaran yang terlalu sedikit.

Wajah Syifaa dipandang bersama seribu garis di dahi.

"Macam mana kau tahu?"

"Ada ... dekat forum universiti." Lambat-lambat Syifaa menjawab.

"Aku patut baca forum tu lepas ni." Ashraf mengangguk sendiri lalu dia berlalu pergi bersama kepala yang penuh dengan soalan.

Tanpa sedar, dia meninggalkan Syifaa yang mengurut dadanya sendiri.


***

Continue Reading

You'll Also Like

322K 11.2K 91
Tengku Rose Natasya Elizebeth seorang yang dingin apabila di sekolah dan orang yg tidak di kenal. Tetapi dengan familynya menjadi seorang yang ceria...
194K 11.2K 55
- KEKASIH IMPIAN - Mencari seorang hero untuk seorang gadis bernama Liyyan Lashira yang keras kepala, tidak menyabar dan suka bertindak sendiri. Enta...
43.2K 3.7K 33
"Gue akan bunuh dia dengan tangan gue sendiri!" Delava Angkara. Bagaimana jadinya jika gadis yang terkenal nerd dilingkungan sekolahnya ternyata gadi...