Bab 6
Pagi itu, Ana pergi ke pejabat dengan menaiki kereta Vivanya. Malas rasanya hendak turun kerja. Tapi apabila mengenangkan hidup, siapa lagi yang hendak menyara hidupnya kalau bukan dirinya sendiri. Maka digagahkan juga tubuhnya yang malas. Dia juga harus bersyukur diterima kerja di situ. Salah sebuah syarikat perladangan terkenal di Sarawak. Bukan senang baginya semasa menghadiri sesi temuduga dulu. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia berpatah balik. Namun dikuatkan juga hati. Segala soalan penemu duga itu mampu dijawab dengan baik dan bernas. Rupa-rupanya bukan senang hendak mendapat pekerjaan pada masa sekarang. Begitu banyak persaingan. Dia cukup bernasib baik, beberapa minggu selepas temuduga dia terima surat mengatakan yang dia diterima kerja kat situ.
Ketika melangkah masuk ke bangunan lima tingkat itu, dia disapa oleh seseorang yang bersuara garau. Sakit kerongkong agaknya.
“Selamat pagi, Ana.” Ana berpaling ke arah suara itu. Senyuman manis pemuda di hadapannya itu cukup menyenangkan hatinya yang gundah.
“Selamat pagi, Encik Zayn,” jawab Ana dengan membalas senyuman Zayn.
“Macam tak ada semangat je pagi ni.”
“Biasalah. Kan hari ni hari Isnin. Malaslah nak masuk kerja.”
Zayn hanya mengangguk memahami. Dia juga begitu. Kerana tugas, terpaksalah melangkah masuk ke pejabat. Mereka berjalan beriringan masuk ke lif. Masa itu belum banyak orang masuk pejabat. Tidaklah sesak sangat lif itu. Pejabat Zayn di tingkat dua di bahagian perladangan dan Ana ke tingkat tiga iaitu bahagian kewangan.
Beg tangan diletakkannya di belakang tempat duduk. Komputer di depannya dihidupkan. Kerja yang masih tergendala pada hari Jumaat hendaklah disiapkan dengan cepat. Takut Financial Controller marah dan bagi ceramah pula nanti. Baru tangannya hendak memulakan tugas, handphonenya berbunyi menandakan mesej masuk.
Selamat pagi sayang. Rindulah kat awak. - Ikhmar Ariffin
Hatinya berbunga-bunga melihat mesej daripada Ikhmar. Sayang konon. Geli hatinya. Senyuman bahagia terukir di bibir Ana. Mesej Ikhmar dibalasnya.
Selamat pagi juga buat sayang yang di sana tu. Rindu ke? Kasihannye. - Ana Qisya
Tak sangka bahagia itu menyapa hatinya lagi. Diharap untuk selama-lamanya. Sekian lama hatinya terseksa, masih adakah sinar bahagia untuknya? Dikala itu juga wajah kedua-dua ibu bapanya menjelma. Betapa dia merindukan mereka. Airmata yang menitis disekat. Sabar Ana, awak kuat. Jangan menangis pagi-pagi begini. Awak tak boleh lemah. Ana membakar semangat untuk dirinya sendiri.
“Hai Ana. Selamat pagi. Ape citer pagi ni?” Sapa Sharini yang membuatkan Ana terkejut. Ana tidak menjawab. Hidungnya sudah kemerah-merahan. Begitu juga dengan matanya. Terdapat sisa airmata masih bertakung. Sharini merenung ke wajah Ana.
“Eh…kau menangis ke Ana? Apa dah jadi dengan kau ni?” Sharini menghampiri Ana dan terus memeluk Ana untuk meredakan perasaan sedihnya. Macam memujuk budak-budaklah pulak.
“Anak Dato’ tu ada buat apa-apa kat kau ke?” Ana hanya menggelengkan kepalanya. Buat hati Ana berbunga seluruh taman adalah.
“Habis, yang kau menangis awal-awal pagi ni kenapa? Tak baik tau menangis awal pagi. Nanti lambat jodoh nak sampai,” Sharini cuba untuk buat lawak. Tidak sampai hati melihat sahabatnya itu bersedih.
“Ish! Apalah awak ni? Aku tiba-tiba rindukan ibu bapa akulah,” Ana tertawa dalam tangisan. Sharini juga tersenyum juga.
“Dahlah. Kita sambung kerja ye. Aku chow dulu. Nanti bos bising pulak.” Sharini pun berlalu dari situ meninggalkan Ana keseorangan. Baru saja hendak membuka fail, handphonenya berbunyi lagi.
Sayang jangan menangis kat sana tau. Sekat airmata tu. Ikhmar di sini sentiasa merindui. - Ikhmar Ariffin
Terkebil-kebil mata Ana melihat mesej daripada lelaki pujaan hatinya dalam diam itu. Macamana dia ni tahu aku menangis ni. Ilmu apa yang dia pakai ni? Hati Ana mula berbisik. Ana mencuba menghalang dirinya hanyut dibuai perasaan. Mesej Ikhmar dibiarkan tidak berbalas. Kerjanya disambung semula. Bayangan Ikhmar cuba dibuangnya jauh ke lautan sepi.
“Ana, bawa fail laporan bulanan ladang Pakit ye… Bawa masuk ke bilik saya,” pinta Encik Lim. Encik Lim bos keduanya. Ana mula mengelabah apabila diminta berbuat demikian. Laporan itu belum dia siapkan lagi. Ana cepat-cepat menyemak dan menyiapkan apa yang patut sebelum masuk ke bilik Encik Lim. Dia bukan seorang yang suka membuat alasan. Biar lambat asal selamat. Kerja mesti fokus. Walaupun dia tahu yang hatinya tidak setenang dulu.
“Ana, kenapa lama sangat?” Encik Lim sudah mula meninggikan suara di dalam bilik pejabatnya. Hati Ana sudah tak tenang. “Ye…kejap aja lagi Encik Lim,” kata Ana sambil tangannya ligat menaip laporan yang diminta. Semua maklumat sudah disediakan. Hanya untuk ditaip ke dalam komputer sahaja. Encik Lim sudah mendengus kasar.
Setengah jam kemudian, barulah Ana masuk ke pejabat Encik Lim. Rasa takut telah menyelubungi hati Ana. Fail yang diminta oleh Encik Lim tadi diserahkan. Encik Lim memandang serius ke wajahnya. Ana cuba mempamerkan wajah setenang mungkin.
“Emm…kali ini saya maafkan awak sebab lewat menyiapkan tugasan awak. Minggu depan, saya nak tengok laporan kewangan untuk lima lagi ladang. Siapkan dengan secepat mungkin. Saya mahu cepat dan tepat. Sebab bulan depan dah nak meeting besar. Fail ni saya nak semak dulu. Kalau ada kesalahan nanti saya akan panggil awak lagi.” Keterangan Encik Lim yang lengkap sudah cukup membuatkan Ana memahami tugasnya seterusnya. Ana keluar dari pejabat Encik Lim dengan hati yang tenang. Nasib baik Encik Lim tidak menengkingnya. Ada kalanya Encik Lim bad mood, pasti dia kena baham oleh bosnya itu.
Ana kembali ke mejanya yang agak berselerak. Dia menyusun kertas yang ada di atas meja untuk memulakan tugas barunya. Dia mula menelefon setiap ladang untuk meminta laporan kewangan bulanan mereka. Biarpun penat, tapi Ana seronok dengan pekerjaan itu. Cukup menguji kesabaran dan minda. Sedang sibuk melakukan kerjanya, tidak terasa jam menunjukkan pukul dua belas tengahari. Semua pekerja berpusu-pusu keluar dari pejabat untuk menjamu selera. Waktu rehat diberikan satu setengah jam itu digunakan sebaik mungkin. Ana mengeluh kecil melihat waktu begitu cepat berlalu. Perutnya pula tidak berasa lapar.
“Ana, jom pergi makan,” ajak Sharini.
“Aku tak ada selera nak makanlah Sha. Kau pergi makan dengan Dijahlah ye.”
“Yelah…Kau nak pesan apa-apa ke?”
Ana hanya menggelengkan kepalanya. Sharini memberi senyuman dan menganggukan kepala tanda memahami. Dia melangkah pergi meninggalkan Ana. Ana terus menyambung kerjanya semula. Dari tadi Ana memandang handphonenya seolah-olah menanti mesej seseorang. Dan tanpa disangka, handphonenya berbunyi. Mesej dibuka.
Tentu sayang sedang tunggu mesej daripada Ikhmar kan? Sayang dah makan? – Ikhmar Ariffin
Terkerut dahi Ana membaca mesej itu. Macamana dia ni tahu yang aku ni sedang tunggu mesej dia. Ana tertawa kecil. Ahli nujum berasal dari mana pulak dia ni?
Belum makan lagi ni. Tak ada seleralah. – Ana Qisya
Ikhmar terus mendail nombor telefon Ana. Tidak puas rasanya kalau hanya bermesej saja.
“Hello.”
“Ye..sayang.”
“Ikhmar, jangan mengadalah.”
“Eh, mana ada. Ana ni kenapa tak makan tengahari ni? Nanti sakit perut tu tau.”
“Tak ada seleralah.”
“Emm…kita berbual lain kali ye.. ada emergency ni.”
Belum sempat Ana hendak menjawab, talian sudah diputuskan oleh Ikhmar. Ana terpaksa akur. Sehingga hari ini, dia tidak tahu pekerjaan Ikhmar. Tidak pula terlintas di fikirannya hendak ambil tahu.
Ana menarik nafas panjang dan bersandar di kerusi. Terasa sedih di hati mula menerpa. Sememangnya perasaannya kini sungguh indah. Dia tidak mahu untuk kehilangannya. Biarpun tiada kata cinta, namun hati dapat merasai kehangatan cinta itu. Perkataan itu sungguh rumit baginya yang tidak sempurna. Dia tidak layak untuk Ikhmar. Berkali-kali dia menafikan hatinya sendiri namun makin kuat rindunya terhadap Ikhmar walaupun baru tiga hari berkenalan.
Kisah hidupnya yang lalu cukup memeritkan lagi hatinya. Dia tidak mahu lagi kehilangan orang yang dia sayang. Lamunannya kembali ke masa lalu.
Pagi itu Ana bangun awal. Tidurnya sungguh terganggu. Takut perkara yang tidak diingini berulang lagi. Selepas solat, Ana pergi ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi dan memasak lauk untuk bekalan Aman Zaril ke kebun. Setiap hari Ana melakukan kerja yang sama pada waktu awal pagi. Oleh sebab sudah biasa melakukan semua perkara di rumah mak ciknya, sedikit pun Ana tidak pernah mengeluh. Kesibukan itu boleh melupakan sedikit rasa sedihnya terhadap dirinya sendiri. Pagi itu fikirannya jauh melayang. Entah! Apakah di dalam fikirannya.
“Ana, bekalan abang Ana dah sediakan?” Pertanyaan Aman Zaril membangkitkan Ana dari lamunannya sebentar tadi. Pertanyaan itu seolah-olah tidak didengarinya menyebabkan Aman Zaril mengulangi pertanyaan itu.
“Sudah bang,” jawabnya ringkas seperti orang yang putus semangat. Aman Zaril tidak mengendahkan Ana yang sibuk mencuci pinggan mangkuk. Bau nasi goreng belacan yang Ana sudah hidangkan di atas meja lebih menguasai deria baunya. Tak sabar rasanya Aman Zaril ingin menjamahnya. Senyuman Aman Zaril memanjang. ‘Kalau Ana tak ada, tentu dia tak dapat makan sesedap itu’ bisiknya di dalam hati. Bisikannya tersentak dengan kedatangan ibunya dan uncle Jeff ke dapur. Mata Aman Zaril terbeliak memandang dua orang yang selamba duduk di hadapannya.
“Selamat pagi mak, uncle Jeff. Awalnya uncle Jeff datang rumah kami hari ini?” Tanya Aman Zaril yang kehairanan. Ibunya dan uncle Jeff saling berpandangan sambil melukiskan senyuman manis di bibir. Ana terus meninggalkan mereka di dapur. Tidak mahu melihat si penyanggak di rumah itu. Langkah Ana diperhatikan oleh uncle Jeff sehingga Ana tidak dilihatnya lagi. Sedikit pun Ana tidak memandang ke arah mereka. Kebencian Ana terhadap uncle Jeff menyebabkan Ana berasa tidak selesa. Sakit hati Ana dilakukan sebegitu rupa.
“Mak, uncle Jeff tidur kat sini ke malam kemarin?” Bulat mata ibunya mendengar pertanyaan anak lelakinya itu. “Ya,” jawab ibunya tanpa segan silu. Aman Zaril hanya mampu menggelengkan kepala mendengar jawapan itu.
“Mak, mak dan uncle Jeff belum ada ikatan lagi mak. Tak manis dipandang orang kampung. Mak kan tahu inikan kampung. Apa yang mereka kata nanti mak?” Aman Zaril menunjukkan ketidakpuasan hatinya terhadap perkara itu. Sakit matanya melihat semua itu.
“Eh! Kau jangan pandai-pandai nak mengajar aku tau. Aku jauh lebih tua daripada kau tu. Lebih baik kau jaga sikit mulut kau tu Aman!” Tak terasa ibunya mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hatinya. Selama ini dia tidak pernah nak ambil tahu hidup ibunya. Tetapi kali ini sikap ibunya itu sudah melampaui batas.
“Sedar pun mak tu dah tua. Tapi perangai mengalahkan orang muda,” jawab Aman Zaril. Hampir saja tangan ibunya hinggap di muka Aman Zaril, namun dihalang oleh uncle Jeff.
“Minggu depan uncle akan nikah dengan mak kau ni. Uncle akan bertanggungjawab.” Uncle Jeff cuba membetulkan ketegangan antara Aman Zaril dengan ibunya. Aman Zaril terus melangkah meninggalkan ibu dan uncle Jeff dengan hati yang membara. Nasi yang sudah berada di dalam pinggan di hadapannya tidak sempat dijamah. Uncle Jeff cuba memujuk hati mak cik Limah yang sedang panas akibat daripada tindakan anaknya sebentar tadi. Diramasnya bahu bakal isterinya dengan lembut.
“Eeii…bencinya aku. Masih muda lagi sudah tahu nak menentukan hidup aku. Anak jenis apa macam tu,” marah mak cik Limah. Uncle Jeff hanya buat muka selamba seperti tiada apa yang berlaku sebentar tadi. Dia tidak mahu melayan marah mak cik Limah. Nanti makin menjadi-jadi pulak. Selepas bersarapan, mereka berdua melangkah seiringan meninggalkan dapur.
Di halaman rumah Ana sedang sibuk menyapu dedaun yang gugur. Fikirannya melayang jauh hingga tidak perasan dengan kehadiran mak cik Limah. Ana benar-benar terkejut melihat batang tubuh yang sedang berdiri di hadapannya.
“Ada apa mak cik?” Tanya Ana dengan suara yang agak bergetar. Takut berdepan dengan wajah singa yang ditunjukkan kepadanya. Hati mak cik Limah semakin berapi-api apabila melihat ketenangan wajah Ana. Belum sempat mak cik Limah hendak meluahkan kemarahannya terhadap Ana, uncle Jeff memanggil mak cik Limah.
“Sayang, jom kita pergi bandar. Biarkan saja budak tu siapkan kerjanya,” kata uncle Jeff sambil menggelengkan kepalanya. Tidak puas hati dengan perangai mak cik Limah. Uncle Jeff menyapai tangan mak cik Limah demi menyelamatkan keadaan. Ana menarik nafas lega setelah melihat mereka masuk ke dalam perut kereta.
Ana menghabiskan kerja yang dibuatnya dan kemudian pergi ke dapur untuk mengemas meja yang ditinggalkan oleh mereka tadi. Perutnya terasa lapar pulak. Hatinya girang melihat nasi goreng yang belum terusik di atas meja. Diceduknya nasi ke pinggan. Ana makan dengan tertib walaupun tiada siapa lagi yang berada di rumah itu. Sedang lahap dia makan, Ana terpandang bekas makanan Aman Zaril tertinggal di sudut meja memasak. ‘Tentu Aman terlupa bawa bekas makanan tu’ bisik hati Ana. Ana cepat-cepat menghabiskan makanan di pinggannya. Sebelum keluar, Ana pastikan semua pintu di rumah semua berkunci. Walaupun di situ kawasan kampung, namun kecurian sering kali berlaku.
Ana berjalan perlahan. Tidak mahu tergesa-gesa. Hatinya tenang berjalan di sebuah kampung yang aman damai. Kebun Aman Zaril agak jauh juga dari rumah. Setengah jam dari rumah mereka jika berjalan kaki. Dalam perjalanan, Ana terjumpa seorang lelaki yang bernama Budin yang suka mengusiknya tanpa belas kasihan. Ana menjadi bahan helaian ketawa Budin dan rakan-rakannya.
“Kasihan betul kau Ana. Kalaulah kau kahwin dengan aku, tentu hidup kau takkan jadi macam tu,” kata Budin sambil mengamati setiap susuk tubuh Ana. Langkah kaki Ana diteruskannya. Sedikit pun hatinya tidak terusik oleh Budin. Tanpa Ana sedari, kisah hidupnya sudah pun tersebar di seluruh kampung. Tentu mak Kiah yang berjiran dengan mak cik Limah yang membawa mulut. Ana hanya mampu menggelengkan kepala.
Dari jauh, kelihatan Aman Zaril bekerja dengan tekun. Ana duduk di pondok yang memang disediakan untuk sesiapa yang mahu singgah. Adakalanya orang yang singgah mahu membeli sayuran yang segar dan terus daripada Aman Zaril sendiri. Daripada mengusahakan kebun secara kecil-kecilan inilah menjadi sumber pendapatan Aman Zaril sekeluarga. Aman Zaril bukanlah seorang yang mempunyai pelajaran tinggi. Minatnya terhadap pelajaran sudah lama hilang sejak kematian ayahnya dahulu. Aman Zaril kemudiannya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan mencari rezeki untuk menyara diri sendiri dan ibunya yang tamak. Sekarang bertambah pula beban yang ditanggung oleh Aman Zaril dengan kehadiran Ana ke dalam keluarganya. Ana hanya memandang Aman Zaril yang sedang mencangkul tanah. Terbit di hatinya perasaan belas kasihan. Kasihan melihat Aman Zaril bekerja di bawah panas yang terik.
“Abang Aman, berehatlah dulu. Jangan dipaksa badan tu bekerja bawah matahari ni!” Jerit Ana dari pondok yang di bawah pokok jambu air itu. Aman Zaril hanya berpaling dengan wajah yang kelat. Nampak jelas kemarahan di wajahnya. ‘Kenapa pula dengan abang ni? Nampak macam muka singa aje,’ bisik hati Ana. Cangkul di tangannya dilepaskan. Langkah Aman Zaril semakin hampir ke arah pondok kecil itu. Sebaik saja sampai, Aman Zaril mengambil botol berisi air dan terus meminumnya. Membasahkan tekak yang kering. Belum sempat Ana hendak mengajukan soalan, Aman Zaril mengeluh berat. Hilang terus soalan di hati Ana.
“Kau nak tahu Ana, tanah kebun inilah satu-satunya peninggalan arwah ayah untuk Aman dan keluarga. Sebab itulah aku sayang sungguh kat tanah ni. Aku sanggup gadaikan nyawa untuk mengusahakan tanah ini. Aku bersyukur Ana. Tapi mengapa ibu tak pernah bersyukur dengan apa yang dia miliki.” Aman Zaril meluahkan apa yang terbuku di hatinya selama ini. Luahan itu meringankan sedikit beban di hatinya. Dia berpaling ke arah Ana yang menjadi pendengar setia. Senyuman pahit dihadiahkan kepada Ana. Wajah Aman Zaril yang hitam manis sungguh mempesonakan. Ana tahu lelaki itu tidak menyimpan apa-apa perasaan terhadapnya. Tidak lebih daripada sayang kepada seorang adik. Pandangannya yang keruh menjawab persoalan itu di hati Ana. Ana pasrah.
“Kita harus bersyukur bang. Pandang saja ke hadapan, usah diingatkan perkara yang sudah. Harapan Ana semoga mak cik berubah. Cuma Ana tak setuju mak cik bernikah dengan uncle Jeff tu. Tak sesuailah,” bantah Ana. Wajah Aman Zaril berubah serta-merta mendengar kata-kata Ana. Salahkah Ana nak meluahkan apa yang dirasanya betul. Pengodaan yang dilakukan uncle Jeff tempoh hari membuatkan Ana tidak puas ati terhadapnya.
“Siapalah kita nak tentukan takdir ibu bapa kita, Ana. Biarlah mak melakukan apa yang terbaik buat diri dia sendiri.” Aman Zaril menamatkan perbualan dan bangun dari tempat duduk untuk meneruskan kerjanya semula.
“Abang tak nak makan dulu ke?” Jerit Ana melihat Aman Zaril berlalu pergi. Tiada jawapan daripada Aman Zaril membuat Ana terkesima. Rasa bersalah di dalam hati. ‘Salahkah apa yang aku cakap ni,’ desus Ana dalam hati. Ana pun berlalu dari situ.
Lamunan Ana terhenti ketika di tepuk seseorang di bahu. Ana meramas dada kerana benar-benar terkejut.
“Jauh benar kau mengelamun ni? Dah menyeberangi laut China Selatan ke?” Sindir Sharini memandang tepat ke wajah di depannya itu. Rasa tidak senang hati Sharini melihat Ana suka termenung sejak kebelakangan ini. Entah, apa yang difikirkan oleh Ana. Ana hanya merenung lama wajah Sharini.
“Nah, aku belikan kau karipap ni. Makanlah. Jangan bekerja dengan perut kosong,” kata Sharini. Dia berlalu tanpa banyak bertanya. Kalau tak, sampai ke akar umbi dia bertanya. Baru saja nak menarik nafas lega, handphonenya pula berbunyi. Dilihat nama yang tertera di skrin. Terus dijawabnya dengan berat hati.
“Assalamualaikum, Ana.”
“Walaikumssalam, Dato’.”
“Ana sihat?”
“Sihat Dato’.”
“Malam ni saya nak pergi rumah Ana ye…rindu dekat Ana. Dah seminggu tak jumpa.”
Lama Ana membisu di talian. Dia tidak ada mood nak berjumpa dengan sesiapa malam ni. Hatinya cukup terganggu dengan kehadiran Ikhmar.
“Saya datang rumah Ana pukul lapan malam ni ye..”
Talian diputuskan sebelum Ana menjawab. Dia tiada pilihan lain selain menerima kedatangan lelaki tua yang lingkungan umur 50-an itu. Lelaki itu boleh digelar seorang ayah. Rasa ingin menangis. Kerana budi lelaki itu, dia betul-betul rasa terikat. Rasanya dia tidak layak untuk mencintai lagi. Jiwanya semakin kacau.
Ana bangkit dari tempat duduknya dan berjalan di sekitar pejabat untuk mengurangkan beban di fikirannya. Ketika itu, hanya seorang dua saja pekerja yang sudah masuk ke pejabat. Ana membuat pusingan. Tiba-tiba… Tup! Ana terlanggar seseorang di hadapannya yang tadi berada di belakangnya.
“Zayn!” Serta-merta nama itu disebut oleh Ana.
“Hai.”
“Emm…saya minta maaf. Tak nampak tadi. Awak buat apa kat sini?”
“Saja. Saya lihat awak mundar-mandir macam orang gila ni kenapa?” Tanya Zayn yang tadi kehairanan melihat kelakuan Ana. Dia tidak pernah melihat Ana yang begitu bingung. Apa yang menganggu fikiran Ana. Zayn berasa berat mulut hendak bertanya. Ana tidak pula menjawab. Dia hanya menundukkan wajahnya.
“Kalau macam tu. Saya turun dulu lah.” Zayn terus melangkah meninggalkan Ana yang terpinga-pinga. Rasa bersalah kini menjelma lagi.
“Zayn!” Langkah Zayn berhenti mendengar namanya di panggil oleh Ana. Dia melangkah semula menuju Ana yang masih berdiri di satu sudut. Mata Ana memerhati setiap langkah Zayn.
“Emm.. Ada apa?” Ana termati kata-kata pulak apabila Zayn bersuara. Hairan. Dia sendiri tak tahu mengapa dia harus memanggil Zayn tadi. Senyuman Zayn begitu manis sambil menatap wajah Ana yang sudah kemerah-merahan itu. Malulah tu.
“Mengapa diam pulak ni? Kalau suka katalah suka,” kata Zayn cuba menduga. Dia ketawa kecil memandang Ana. Renungan matanya hanya tertumpu pada Ana. Ana berasa tidak selesa diperlakukan begitu.
“Suka siapa?” Lantas Ana memberi soalan.
“Suka sangat simpan perasaan. Okeylah saya pergi dulu. Waktu pejabat dah nak mula ni.” Zayn terus melangkah meninggalkan Ana. Ana hanya memerhati sehingga bayangan Zayn hilang di matanya. Dia juga terus melangkah menuju mejanya semula. Kerja harus diteruskan.