Bab 4
Setelah peristiwa tadi, tidur malamnya ternganggu. Matanya sukar untuk lelap. Entah mengapa tiba-tiba peristiwa hitam dalam hidupnya menjelma dalam khayalannya. Peristiwa sepuluh tahun dulu masih segar di kotak fikirannya.
“Mak cik! Sakit mak cik. Ana minta maaf mak cik,” Ana menjerit kesakitan. Tangisannya mula memenuhi ruang rumah mak cik nya itu. Mak cik Limah yang merupakan kakak kepada arwah ibunya memukulnya tanpa belas kasihan.
“Selepas ibu kau mati, sekarang kau menyusahkan aku pulak. Memang anak tak guna. Ini balasan kau terhadap aku yang membela kau selama ini Ana.” Mak cik Limah meluahkan kebencian terhadap Ana dan keluarganya selama ini. Dari dahulu lagi Mak cik Limah membenci ibu Ana iaitu Hanim. Semua harta pusaka yang diwarisi oleh keluarga mereka diserahkan semuanya kepada Hanim setelah kematian arwah datuk Ana. Sebenarnya Hanim tidak mahu menerima harta pusaka tersebut kerana dia tahu Limah sangat menginginkan harta itu. Selepas kematian arwah Hanim, harta pusaka itu diserahkan kepada anak perempuannya, Ana Qisya. Satu-satunya anak arwah Hanim dan anak tiri arwah Halim.
Mak cik Limah dengan baik hatinya memujuk Ana untuk tinggal bersamanya. Dia merupakan seorang balu selepas kematian suaminya terdahulu. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang bernama Aman Zaril. Aman Zaril tidak pernah ambil tahu tentang keadaan di rumahnya. Dia sibuk memanjang di kebun sayurnya. Turun awal pagi, pulang dah nak senja.
Mungkin hanya satu hari sahaja Mak cik Limah bersikap baik dengannya, dan selepas itu Ana ibarat hamba abdi di rumah itu. Dengan penyeksaan Ana, dia dapat memuaskan hatinya yang memang sudah lama menyimpan dendam.
“Habis pinggan mangkuk aku kau pecahkan. Habis siapa nak ganti semua ini? Nak harapkan kau, sampai aku mampus pun kau tak dapat membayarnya,” mak cik Limah mempersoalkan tindakan Ana. Ana mengutip serpihan pinggan kaca yang pecah itu. Dikutipnya satu persatu. Airmatanya sudah banyak mengalir. Lebih banyak daripada serpihan pinggan kaca yang berderai di lantai itu. Badannya teramat sakit akibat dipukul oleh mak cik Limah dengan sebatang kayu. Namun lebih sakit lagi hati yang menanggung semua derita itu.
“Ana minta maaf mak cik. Ana tak sengaja,” rayu Ana. Kayu yang dipegang mak cik Limah dihempasnya ke lantai. Dia terus berlalu dari situ. Hatinya semakin membara apabila memandang wajah Ana. Aman Zaril yang kebetulan pulang dari kebun, kasihan melihat Ana lakukan kerja rumah seberat itu. Setiap hari dia dibebani oleh kerja-kerja rumah yang berat. Sengaja ibunya ingin mendera gadis remaja itu.
“Ana, biar abang tolong. Ana buat persiapan untuk makan malam ya,” kata Aman Zaril.
“Jangan abang. Nanti mak cik marahkan Ana. Biar Ana saja yang buat. Lagi pun memang salah Ana,” pinta Ana supaya Aman Zaril tidak membantunya. Seperkara lagi, Ana tidak mahu Aman Zaril melihat kesengsaraan hidupnya di rumah itu. Namun, Aman Zaril berdegil untuk terus membantu Ana. Serpihan kaca sudah tidak kelihatan di lantai lagi. Aman Zaril kemudiannya berlalu. Ana dengan senang hati meneruskan kerjanya untuk menyiapkan makan malam.
Setiap kali melihat ketelusan wajah Aman Zaril, hati Ana berdegup dengan kencang. Adakah itu tandanya cinta lahir dalam hatinya? Umurnya baru tujuh belas tahun. Menamatkan persekolahan lebih awal daripada rakan-rakannya yang lain. Mak cik Limah tidak mahu menanggung persekolahan Ana membuatkannya cukup kecewa. Namun, kekecewaannya itu tiada siapa yang sanggup berkongsi. Tiada siapa yang ingin mendengarnya. Semua rintihannya hanya disimpan di dalam hatinya.
Makanan sudah terhidang di atas meja makan. Ana mencari kelibat mak ciknya dan Aman Zaril. Tiada sesiapa di ruang tamu.
“Mak cik! Abang! Makanan sudah sedia,” jerit Ana. Aman Zaril keluar dari biliknya setelah menunaikan solat. Aman Zaril seorang yang simple. Baju t warna putih dan memakai kain pelikat. Ana senyum memanjang setelah melihat wajah Aman Zaril.
“Kenapa Ana senyum dengan abang ni? Ada yang tak kena ke dengan abang ni Ana?” Aman Zaril menyapa Ana yang sedang mengelamun memandangnya. Ana tersentak bangkit dari lamunan. Dia tersenyum sendiri sambil menggelengkan kepalanya. Mata Aman Zaril terarah kepadanya menanti jawapan. Pelik dia dengan kelakuan Ana ketika ini.
“Tak ada apalah bang. Mak cik pergi mana? Makanan dah dihidang di atas meja tu. Ana nak pergi bersihkan diri dulu. Abang dan mak cik makanlah dulu ya,” kata Ana dengan penuh sopan. Sengaja dia mengelak untuk menjawab soalan Aman Zaril tadi. Setiap kali melihat Aman Zaril, hatinya melonjak gembira. Tetapi tidak terlihat di wajah Ana. Dia tahu yang dia menyimpan perasaan itu seorang diri. Lain pula dengan Aman Zaril, dia hanya menganggap Ana sebagai seorang adik.
Baru saja Ana hendak melangkah pergi, namanya dipanggil oleh suara seseorang yang biasa didengarinya. “Ana! Aman!” Kedua-duanya serentak menoleh ke arah suara itu. Mak cik Limah memegang tangan seorang lelaki yang umurnya dalam lingkungan 30-an. Senyuman mak cik Limah cukup manis. Itulah tanda hatinya sedang gembira dan bahagia. Lelaki di sebelahnya tersenyum sinis. Bahagia dalam paksaan. Menyampah Ana melihat lelaki itu.
“Oh…Uncle Jeff. Uncle apakhabar?” Sapa Aman Zaril dengan sopan. Tidak mahu menyangkal pilihan ibunya. Mungkin itu sudah jodoh ibunya. Uncle Jeff berasal dari kampung sebelah. Dekat saja dari kampung mereka. Ana terus memberi salam kepada lelaki misteri itu dan juga mak ciknya.
“Eh…Ana, kau sudah siapkan makanan ke?” Tanya mak cik Limah dengan jelingan mautnya. Ana hanya mampu mengangguk sahaja. Tidak menjawab walaupun sepatah kata. Mereka terus berlalu menuju dapur. Diikuti oleh Aman Zaril.
“Jom Ana, kita makan sekali,” ajak Aman Zaril dengan baik.
“Tak apalah bang. Kamu orang makanlah dulu. Ana masih kenyang ni,” kata Ana dan terus meminta diri untuk masuk ke biliknya. Aman Zaril tidak mahu memaksa Ana kerana dia memang sudah sedia maklum sikap ibunya yang tidak suka melihat Ana. Ana menjadi bahan untuk ibunya membalas dendam atas keluarga Ana. Dia sangat kasihan melihat Ana. Ana tidak membalas walau sedikit pun. Aman Zaril pun berlalu mengikuti langkah ibunya ke dapur.
Mak cik Limah makan dengan lahap. Laparnya memang sudah tidak tertahan. Pada malam itu, mak cik Limah tidak memberi apa-apa komen tentang masakan Ana. Tidak seperti hari-hari yang sudah, ada saja yang tak kena. Mungkin dia malu dengan uncle Jeff yang sentiasa melirik kepadanya. Aman Zaril hanya memerhatikan saja tingkah laku dua makhluk yang kemaruk cinta di hadapannya. Kerana kesucian hati Aman Zaril, sedikit pun dia tidak menaruh syak wasangka terhadap lelaki di hadapannya.
Selepas selesai makan, pinggan mangkuk yang sudah mereka gunakan ditinggalkan sahaja di atas meja. Kecuali Aman Zaril yang sedikit ringan tulang mengangkat semua pinggan ke dalam singki. Ibunya dan uncle Jeff terus berlalu meninggalkan Aman Zaril seorang diri di dapur. Kebetulan Ana lalu di hadapan mereka. Kegatalan mata uncle Jeff memandang setiap inci tubuh Ana menyebabkan mak cik Limah terus mencubit tangan uncle Jeff . Uncle Jeff menjerit kesakitan. Pandangannya terus terganggu. ‘Celaka betullah perempuan tua ni.’ Omel hati uncle Jeff.
Ana tidak mahu memandang mereka. Dia terus melangkah ke dapur melihat Aman Zaril terkial-kial mengemas pinggan mangkuk. Ana tidak sampai hati melihat Aman Zaril melakukannya seorang diri.
“Abang, biar Ana yang buat. Inikan sepatutnya kerja Ana, bang,” Aman Zaril berpaling mendengar suara yang kedengaran di belakangnya. Senyum dia memandang raut wajah mulus milik Ana. Mewarisi kecantikan ibunya.
“Baiklah. Abang pergi dulu. Jangan lupa buatkan abang dan tetamu kita kopi ya,” Aman Zaril memberi arahan. Sudah rutin minum secawan kopi selepas makan malam.
“Oh…ya Ana. Ana makan ya. Masih banyak lauk dan nasi kat atas meja tu,” kata Aman Zaril lagi sebelum berlalu pergi. Ana meneruskan tugasnya tanpa gangguan. Tenang rasanya hidup seorang diri. Oleh sebab itu, dia selalu terperuk saja di dalam bilik. Kedengkian mak ciknya sungguh menganggu ketenangan hatinya.
“Hai sayang. Sedang buat apa tu?” Bisikan lembut dekat telinganya terus melupuskan ketenangan fikirannya sebentar tadi. Ana berpaling kerana terasa sekujur tubuh yang sangat hampir dengannya.
“Pak cik, apa ni?” Ana terkejut beruk sambil berundur sedikit ke belakang. Uncle Jeff sengaja melakukan lagak ingin mencumbui Ana yang berdiri kaku. Oleh sebab tidak mahu dilakukan sebegitu rupa, Ana menjerit sekuat hati. Mak cik Limah dan Aman Zaril terkejut mendengar jeritan Ana dari dapur. Mereka bergegas menuju ke dapur.
“Kenapa ni Ana?” Tegur Aman Zaril cuba menyedarkan Ana. Ana yang tadi memejamkan mata tidak mahu memandang perbuatan uncle Jeff. Dia cuba membuka sebelah matanya. Ana kemudiannya membuka mata sepenuhnya. ‘Ke mana perginya lelaki jahanam itu tadi,’ bisiknya di dalam hati.
“Ana!” Panggilan itu mengejutkannya daripada terus tertanya. Mak cik Limah berjalan menghampiri Ana yang masih berdiri di tempat asalnya tadi.
“Kau ni dah gilakah terjerit-jerit malam begini,” gertak mak cik Limah dengan muka garangnya.
“Tak ada apa-apa mak cik,” jawab Ana sambil mencari-cari kelibat uncle Jeff.
“Memang sah kau ni dah gila.” Satu tamparan mak cik Limah hinggap di pipi Ana. Airmata Ana mula mengalir membasahi pipinya yang gebu.
“Mak, sudahlah tu,” Aman Zaril melarang ibunya bersikap kasar terhadap Ana.
“Apa bising-bising ni?” Semua mereka memandang ke arah lelaki yang baru keluar dari bilik air itu. Mata Ana terbeliak memandang ke arahnya yang berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Sakit hati Ana hanya mampu disimpannya di dalam hati kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan yang sudah pun keruh sejak sekian lama.
“Buat apa marah malam-malam begini sayang. Jom kita pergi,” kata uncle Jeff sambil memaut bahu mak cik Limah. Uncle Jeff menjeling Ana dengan sinis tanda memberi amaran agar rahsianya sebentar tadi tidak terbongkar. Mereka semua berlalu dari situ meninggalkan Ana seorang diri. Memang mereka tidak mengendahkan perkara yang berlaku. Ana menangis sendirian. Tiada siapa yang mahu memujuk tatkala hatinya memerlukan pujukan. Tiada siapa yang ingin tahu keadaannya. Tiada siapa yang mahu mengambil berat terhadap hidupnya yang terubang-ambing. Ana menyiapkan tugasnya dengan tangisan. Selepas siap, dia segera masuk ke dalam biliknya dan menangisi hidupnya yang malang.
Ana tersedar dari lamunan. Airmata sudah membasahi tilam. Alamak! Apa yang dah jadi ni? Tolonglah Ana. Jangan menangis. Ana cuba untuk memberi semangat kepada dirinya. Mungkinkah semua lelaki semuanya sama. Fikirnya.
Dia mengatur kedudukannya di tempat tidur itu. Mempersiapkan diri untuk tidur. Lama-kelamaan barulah matanya dapat dilelapkan.