Bab 3
Ana sudah mula mengerakkan tubuhnya. Matanya dibuka. Dilihat jam di dinding menunjukkan pukul empat setengah petang. Tertidur aku rupanya, katanya dalam hati. Dipandangnya ke arah Ikhmar yang masih terlena. Itulah masanya Ana mengamati wajah tampan Ikhmar. Ana tersenyum sendirian. Jangan bermimpilah kau Ana, kau tu siapa. Dia tu siapa. Terdapat satu bisikan di telinga Ana.
Ikhmar dihampiri. Tapak tangannya diletakkan di dahi Ikhmar. Aduh! Kenapa masih panas lagi. Ana rasa bersalah pula.
Ikhmar yang terasa sentuhan Ana itu, terus membuka matanya. Wajah Ana direnungnya. Seolah-olah Ana sedang memikirkan sesuatu.
“Awak kenapa?” tanya Ikhmar.
“Badan awak masih lagi panas. Saya risau betul tengok awak macam ni. Awak ada tuala kecil tak?” Wajah Ana memang menunjukkannya betul-betul risau melihat keadaan Ikhmar. Bukan dibuat-buat. Ikhmar tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.
“Awak pergi ke bilik di sebelah kanan tu. Ada tuala kecil kat almari sana.”
Selepas mendengar arahan Ikhmar, Ana pergi ke bilik yang dimaksudkan oleh Ikhmar. Dicarinya dalam almari. Dapat juga. Harap-harap panas badan Ikhmar reda lepas ni. Ana kemudiannya mengambil air suam dan basahkan tuala. Dia kembali kepada Ikhmar yang masih terbaring. Tuala basah diletakkannya di bahi Ikhmar. Ikhmar membiarkan sahaja Ana merawatnya. Bukan saja demamnya malah juga luka di hatinya.
“Awak, boleh tak awak buka baju awak sekejap.”
Ikhmar yang terbaring segera bangun. Terbeliak matanya memandang Ana.
“Apa awak kata tadi?” Rasanya seperti salah telinganya mendengar kot.
“Saya kata, buka baju awak sekejap. Saya nak lap badan awak.”
“Tak naklah. Awak nak mencabul saya ke ni.”
“Boleh tak kalau awak ni jangan banyak songeh. Badan awak tu panas tau tak. Buka sajalah.” Ana sudah hilang sabar. Susah betul jumpa dengan orang degil macam lelaki yang sorang ni. Nak tak nak, Ikhmar membuka bajunya. Ana memerhatikan saja kelakuan Ikhmar. Jelingan tajam dilemparkan oleh Ikhmar untuk Ana. Ana pula buat muka selamber. Tersenyum Ana di dalam hati.
Berdebar-debar juga hati Ana hendak menyentuh badan Ikhmar. Tangannya sudah ada getaran, seolah-olah ada arus elektrik menyinap ke seluruh sarafnya. Ana kuatkan hati juga. Badan Ikhmar dilap dengan tuala basah untuk meredakan panas badannya. Tubuh badan Ikhmar yang sasa itu dijadikan santapan mata Ana. Memang lelaki idaman malayalah pulak dia ni, Ana berkata dalam hatinya. Melihat Ana sedang sibuk dengan tugasnya, terlintas difikirannya hendak mengenakan Ana. Ikut sedap dia saja nak sentuh orang, bebel Ikhmar dalam hati.
Ikhmar memegang tangan Ana. Tindakan spontan Ikhmar membuatkan Ana benar-benar terkejut. Ikhmar bangun serta mendekatkan dirinya dengan Ana. Mata mereka bertentangan. Jarak antara muka mereka hanya beberapa inci. Ana sudah tak keruan. Begitu juga dengan Ikhmar. Ingatkan dia nak mengenakan Ana tetapi dia juga yang terjerat. Tangannya sebelah sudah melingkar di pinggang Ana. Ana berasa tidak selesa dilakukan begitu.
“Awak buat apa ni? Lepaskan saya lah,” rintihan Ana tidak didengarinya.
“Awak tak takut ke kita berdua-duaan macam ni,” bisik lembut Ikhmar di telinga Ana.
Jantung Ana hampir meletop. Dia memang sudah menggigil ketakutan. Meronta-ronta untuk dilepaskan. Namun, pelukan erat Ikhmar sukar untuk dia lepaskan diri.
“Lepaslah. Sakit!” Ana menjerit diperlakukan Ikhmar begitu. Ikhmar makin ligat dengan tindakannya yang agak terkawal itu. Takut lain pula yang terjadi.
Ting! Tong! Kedua-duanya saling memandang ke arah pintu. Loceng pintu berbunyi telah menyelamatkan keadaan. Ana mengucap syukur. Pelukan Ikhmar dilonggarkan. Ana segera bangun dan menuju ke arah pintu. Pintu dibuka. Terkaku seorang wanita di depan pintu itu. Wanita itu terkejut juga dengan kehadiran gadis cantik di rumah itu. Belum pernah Ikhmar membuat onar sebegitu.
“Ikhmar...!” Jerit wanita itu panjang.
Ikhmar yang masih leka memikirkan perkara tadi terus saja bangun dan berlari menuju ke arah kedua-dua perempuan yang sedang berdiri itu. Ikhmar terkejut apabila terpandang akan wajah wanita itu. Tubuh Ikhmar dipandangnya dari atas ke bawah. Bulat mata wanita itu memandang wajah Ikhmar. Riak wajah kemarahan wanita itu jelas kelihatan. Ana sudah menelan air liur.
“Ikhmar, tolong jelaskan semua ni? Siapa perempuan ni?” Marah wanita itu.
“Kak, saya....saya...,” kata-kata Ikhmar termati di situ. Tak mampu untuk dijelaskan. Dalam keadaannya yang tidak berbaju itu, sungguh memalukan di hadapan kakaknya itu.
“Ini nasib baik kakak yang datang. Kalau orang dari pejabat agama yang datang, ah... macamana?” Sambung kakaknya lagi.
“Nikah terus sajalah kak. Apa yang susahnya,” jawab Ikhmar selamber. Bulat mata Ana memandang Ikhmar yang berdiri di sampingnya. Kakaknya terus masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan kedua-duanya yang masih berdiri tegak itu. Terus punggungnya dilabuhkan di atas sofa dan menghela nafas panjang. Terkedu dengan perbuatan Ikhmar. Ana dan Ikhmar pun mengikut sama duduk di atas sofa berasingan.
“Kak Shu, Ikhmar minta maaf kak. Akak jangan salah faham dengan semua ni kak. Ana datang sini hendak membantu Ikhmar. Kak, tolonglah percayakan Ikhmar kak.” Rayu Ikhmar. Tahu takut. Tadi bukan main lagi.
“Akak percayakan Ikhmar...tapi Ikhmar...,” belum sempat kakaknya Shunaina menghabiskan kata-katanya, Ikhmar mencelah pula. “Sudahlah kak. Ikhmar malas nak bertekak dengan akak. Ikhmar tahulah hukum hakam agama. Tahulah Ikhmar, apa yang Ikhmar buat. Akak janganlah risau ye. Ikhmar akan bertanggungjawab atas segala tindakan Ikhmar sendiri,” jelas Ikhmar dengan panjang lebar.
“Akak, ada apa datang tiba-tiba ni. Tak call Ikhmar dulu pun,” sambungnya lagi.
“Saja akak nak datang. Nak hantar ni ah...,” Shunaina menyerahkan sebuah bungkusan kotak.
“Apa ni kak?” Soal Ikhmar lagi.
“Ikhmar bukalah sendiri.”
Ana yang duduk di sofa itu seolah-olah tidak wujud. Tidak mahu menyampuk perbualan dua beradik di hadapannya. Rasa bersalah pun ada. Dia sedar yang dia tidak seharusnya berdua-duaan dengan Ikhmar di rumah itu. Ana insaf seketika. Tapi dengan niat yang ikhlas, Ana memang ingin menemani Ikhmar yang sedang demam itu. Mukanya nampak tenang biarpun hatinya berkocakan.
“Siapa nama adik ni?” Tanya Shunaina menyedarkan Ana dari lamunan sebentar tadi.
“Saya Ana Qisya kak,” jawabnya lembut.
Shunaina memberi senyuman manis kepada gadis comel itu. Sejuk hati Shunaina memandang wajah Ana yang tenang. Hatinya yang berbara tadi sudah pun terpadam.
“Cantik girlfriend Ikhmar.”
Ana dan Ikhmar saling berpandangan. Tak sangka itu anggapan Shunaina kepada mereka berdua. Ish! Girlfriend Ikhmar? Tak ingin aku. Setelah kejadian tadi, Ana hilang kepercayaan terhadap Ikhmar. Takut untuk dia mendampingi lelaki itu.
“Ana, jangan sesekali Ana kecewakan Ikhmar. Jaga Ikhmar baik-baik ye. Cukuplah dengan apa yang berlaku dahulu.” Kata-kata Shunaina menyusuk ke hati Ana. Kata-katanya itu menimbulkan seribu persoalan. Apa yang dah terjadi suatu ketika dahulu?
“Apa yang akak merepek ni kak,” Ikhmar mencelah.
“Betul apa yang kakak cakap ni. Okeylah akak pergi dulu.” Shunaina bangun. Ana dan Ikhmar mengiringi Shunaina dari belakang.
Ana berasa lega setelah kakak Ikhmar berlalu pergi. Dia sandarkan tubuhnya di dinding dengan mata terpejam. Nasib baik Shunaina tidak memarahinya tadi. Nafas ditarik lega. Sedang hatinya senang, terasa suhu panas hampir menyentuh kulitnya. Matanya dibuka perlahan. Hampir saja dia jatuh terjelepok melihat Ikhmar berada di hadapannya. Senyuman manis di bibir lelaki itu memberi debaran yang hebat di hatinya. Ana berdoa di dalam hati supaya teguhkan imannya dan juga Ikhmar.
“Ana Qisya, cantik nama tu...secantik orangnya juga,” puji Ikhmar dengan nada yang lembut. Romantik juga si adik Shunaina ni. Hampir saja Ana ketawa semahunya tetapi dikuatkan hati supaya tidak dipamerkannya pada Ikhmar.
“Ya.. Encik Ikhmar, jangan nak berdrama ye...saya nak sambung lagi tugas saya tadi. Badan awak ni masih lagi panas.” Sentuhan lembut tangan Ana di pipi Ikhmar membuat Ikhmar tergamam seketika. Terasa hatinya juga dibelai. Ana kembali ke sofa semula.
“Encik Ikhmar, apalagi yang berdiri tercegat di situ. Baring sini, saya nak lap badan awak tu,” jeritan Ana kedengaran di ruang itu. Ikhmar cepat-cepat kembali ke tempatnya berbaring tadi. Ana meneruskan tugasnya. Tak sangka Ana mempunyai auranya yang tersendiri.
Setelah selesai, Ana berjalan menuju beranda. Dia menarik nafas panjang. Tenang sungguh rasanya ditiup angin yang sepoi-sepoi belaka. Kesibukan kota yang mengejar kemewahan dunia membuatkan penghuni bandar hidup dalam tekanan kerja dan masalah hidup. Begitu juga dengan dirinya, didatangi berbagai-bagai dugaan. Setelah tamat pengajiannya dulu di Uitm Kota Samarahan Sarawak, dia memohon kerja di Saujana Plantation Sdn. Bhd sebagai pembantu akauntan. Bersesuaian dengan course yang dia ambil di Uitm dulu. Itu pun dia bernasib baik kerana Dato’ Zin banyak membantu dari segi kewangan.
“Ehem...,” kedengaran bunyi itu di belakang Ana. Mengejutkan Ana.
“Awak termenungkan apa tu?” Tanya Ikhmar.
“Eh...Encik Ikhmar. Tak adalah. Sedang menikmati keindahan alam sekitar ni. Segar rasanya,” kata Ana yang sudah mendepakan tangan sambil menghirup udara segar.
Ikhmar menghampiri Ana dan berdiri di sebelahnya. Ikhmar juga sudah lama tidak menikmati keindahan alam sekitar di kondonya itu. Jadual tugasnya yang padat menyebabkannya tiada masa untuk diri sendiri. Kalau ada masa terluang, dia pasti sibuk mengemas rumah dan keluar bermain futsal dan badminton dengan rakan-rakannya yang lain. Begitulah kehidupannya. Kosong. Tiada lagi cinta wujud setelah sekian lama. Ikhmar sengaja sibukkan diri supaya tidak memikirkan perkara yang telah berlaku di dalam hidupnya.
“Jom kita masuk. Awak tu tak boleh kena angin tau. Masih demam lagi. Apa yang saya nak jawab dengan Dato’ nanti kalau awak tak sembuh.” Ana menarik nafas panjang. Tanpa banyak soal, Ikhmar terus masuk ke dalam rumah.
“Oh ya...saya nak minta izin awak sesuatu?” Pertanyaan Ana mematikan langkah Ikhmar.
“Apa dia?”
“Boleh tak saya bermalam di sini? Saya kena jaga awak sehingga sembuh.”
Ikhmar tersenyum panjang. Hatinya terbahagi dua. Antara risau dan gembira. Tak pernah seorang pun perempuan menjejakkan kaki di kondonya kecuali kakaknya yang tersayang. Dia tahu niat Ana itu baik tapi mampukah mereka menahan hati yang sentiasa digoda oleh syaitan. Ikhmar mengucap panjang. Ana dengan sabar menanti jawapan Ikhmar. Rasa bersalah pun ada. Tapi arahan orang atasan kena juga dituruti. Ikhmar hanya mengangguk setuju. Setuju dengan tidak ikhlas. Ikhmar terus masuk ke kamarnya dan membiarkan Ana sendirian di ruang tamu itu.
Ana pergi ke keretanya semula untuk mengambil beg pakaian. Dia terpaksa layan diri di rumah itu. Fikirannya harus digunakan ketika itu. Dia masuk ke dalam bilik yang bertentangan dengan bilik Ikhmar. Bilik itu agak luas juga biarpun hanya bilik tidur. Katil sudah pun tersedia. Kemas dan bersih seperti ada orang yang membersihkannya setiap hari. Itulah sikap terpuji Ikhmar yang Ana kagumi. Tak semua lelaki seperti itu.
Senja menjelang tiba. Selepas solat, Ana menjenguk ke ruang tamu. Ikhmar masih di dalam bilik, bisik hatinya. Dia menuju ke dapur untuk panaskan lauk yang masih berbaki tadi. Perutnya terasa laparlah pulak. Dia menjamah makanan hanya sedikit. Tapi tiba-tiba teringatkan Ikhmar yang sejak tadi belum keluar bilik lagi. Ana sudah tidak mahu menunggu lama.
Pintu bilik Ikhmar diketuknya.
Kedengaran suara Ikhmar mengizinkan dia masuk. Hatinya mesti kuat untuk melayan telatah lelaki dewasa ini. Perangainya macam budak-budaklah pulak. Dia masuk ke bilik itu untuk pertama kalinya. Ana tergamam seketika memandang keadaan bilik itu. Hiasannya sungguh indah. Wah! Dinding warna ungu lembut. Kemas dan bersih.
“Ye..ada apa awak panggil saya ni? Rindu ye. Saya tak pergi ke mana-mana lah.” Sengaja Ikhmar mengenakannya.
“Yelah..rindulah ni sebab itulah saya menyeru nama awak ni,” Ana cuba menidakkan kata hatinya, namun terluah juga kebenaran. Memang dari tadi dia tercari-cari kelibat Ikhmar. Ikhmar tersenyum. Dia pula dikenakan oleh Ana.
“Meh... dekat sini...saya ubatkan rindu awak tu,” kata Ikhmar. Buku ditangannya diletakkan di atas meja. Tangannya menepuk-nepuk tilam memberi isyarat supaya Ana duduk berhampirannya di atas katil itu.
“Jangan nak mengada-ngadalah awak. Awak nak makan tak? Kalau nak saya hidangkan makanan,” celah Ana yang tidak mahu melayan kerenah Ikhmar yang nakal.
“Nak. Bawa sini nanti ya.” Tanpa berlengah, Ana melangkah ke dapur semula. Dua minit kemudian, Ana membawa makanan untuk Ikhmar. Makanan itu diletakkannya di atas meja Ikhmar. Baru sahaja Ana mahu melangkah pergi, tangannya ditarik oleh Ikhmar menyebabkannya jatuh ke atas dada bidang Ikhmar. Pelukan kuat Ikhmar membuatkan Ana benar-benar terkejut dengan tindakan Ikhmar. Mereka saling berpandangan. Tanpa sepatah pun kata. Dia betul-betul takut kalau dia dan Ikhmar tak mampu mengawal diri daripada hasutan syaitan. Entah mengapa Ikhmar melonggarkan pelukannya dan membiarkan Ana pergi. Namun, Ana masih tidak berganjak dari tempatnya. Airmata Ana sudah bertakung di kelopak mata. Timbul pula rasa bersalah di hati Ikhmar.
“Ana, saya minta maaf.” Hanya itu yang mampu terucap di bibir Ikhmar. Ana terus melangkah meninggalkan bilik itu. Bagi Ana semua itu bukan gurauan.
Pintu biliknya dikunci. Airmatanya yang jatuh disapu dengan tapak tangannya. Ana membaringkan badannya di atas tilam yang empuk itu. Setelah sekian lama dia tidak menjatuhkan airmata, tapi kerana Ikhmar airmatanya jatuh jua. Gurauan Ikhmar agak melampaui batas.