Naufal yang menyedari tidak mungkin Aduka,Tun Indera mahu pun Abu Zarr dan Abu Wassim sempat menyelamatkan tembikar tersebut daripada dimusnahkan menguatkan tekadnya untuk meloloskan diri daripada kepungan tidak bersahabat penyerang tersebut.Apatah lagi Indah yang sedang menghadapi serangan tiga orang sekaligus dan Tun Fatimah juga menghadapi serangan bertali-arus daripada gerombolan itu.

Maka, rumah Tun Nila tidak ada sesiapa melainkan Dang Kesuma seorang!

" Naufal.."

Sepantas kilat Naufal menoleh dan barulah dia menyedari ada pula susuk tubuh Nik di situ.Juga turut terundur-undur apabila menyedari dirinya dikerumuni oleh tidak kurang lima orang yang memandangnya seakan meremehkan.Nik tampak kebingungan dan gugup.

Mengenangkan bagaimana mereka boleh terlibat dalam kejadian aneh begitu,Naufal faham jika Nik masih tidak dapat menerimanya dengan mudah.Dia,ketika dijelaskan hal tersebut sehingga sempat menganggap dirinya tidak siuman . Namun akibat kejadian yang hampir meragut nyawanya itulah dia mulai memahami hal tersebut perlahan-lahan.

Ada kejahatan bermaharajalela yang perlu dihentikan dengan segera dan untuk menghentikannya,mereka telah mengalami pelbagai pengalaman yang ada kalanya tidak masuk akal.Menunggangi cenderawasih,berlayar di tengah lautan ,bertempur dengan para penyerang di Kampung Pauh Janggi,lalu dilarikan entah ke mana.Indah yang hampir menjadi tumbal persembahan kepada alam kegelapan sementara dia sendiri hampir tenggelam ke dasar Rawa Jejawi selepas disembunyikan di situ oleh susuk wanita yang mengerikan.

Dan yang pastinya dia dan Indah terselamat sehingga kini hanya disebabkan kekuasaan Allah SWT. Berpantang maut sebelum ajal.

" Tidak ada sesiapa yang mampu mendatangkan mudarat tanpa izin-Nya,Nik.Ingat itu"

Naufal melaung ketika melihat dua susuk tubuh berjubah hitam itu meluru ke arah Nik yang cemas dan ketika melihat pemuda itu terundur-undur cemas,dia berlari pantas ke arah Nik.Saling bertemu belakang bahu membahu mengawasi gerombolan penyerang tersebut .

" Kita perlu selamat untuk keluar dari
sini." Ujar Naufal dan ketika itu jugalah dia merasakan Nik menggeser belakangnya bagi mengelakkan serangan yang ditujukan kepadanya.

Nik pada Naufal walaupun tidak bergerak membungakan langkah silat seperti Tun Indera dan yang lain-lain tetapi dia berjaya juga mengelakkan serangan yang dilancarkan kepadanya oleh penyerang tersebut.Keadaan terdesak untuk menyelamatkan diri barangkali membuatkan otot bereaksi secara automatik sekurang-kurangnya untuk tunduk mengelakkan penumbuk yang dijulur bertalu-talu kepadanya.

Sama seperti Nik,Naufal juga bukan berada dalam kalangan mereka yang memiliki ilmu mempertahankan diri dan berdepan keadaan seperti itu sebenarnya menerbitkan rasa kesal dalam hati Naufal kerana tidak mengendahkan kata-kata ayahnya suatu ketika dulu agar dia mempelajari langkah-langkah asas yang dapat digunakan sekurang-kurangnya untuk mengelakkan diri sendiri daripada menjadi mangsa penumbuk orang.

Namun setelah mengalami bermacam-macam rintangan dan memerhatikan bagaimana Tun Indera atau Aduka menangkis pukulan daripada lawan,liang-liuk Naufal ketika mengelakkan tumbukan meliar para penyerangnya semakin tidak kekok.Malahan ada ketikanya dia berjaya pula membalas serangan tersebut dengan tumbukan atau penendang.

Dalam keadaan genting begitu,melalui sudut matanya dia melihat salah seorang daripada lawan Nik tunduk meraih sepotong kayu dan menimang-nimang kayu tersebut dengan lagak angkuh.

Naufal menyedari maknanya !

Melepaskan satu penendang ke arah perut lawan,Naufal berlari semula ke arah Nik yang sudah terjelepok akibat menerima serangan bertali-arus.Dengan mengetap gigi,Naufal menggolekkan sepotong kayu yang berada di hujung kaki ke arahnya dan dengan menggunakan mata kaki bersarung capal,potongan kayu tersebut dilambung tinggi seperti menimang bola lalu disambut dengan tangan kanannya.

Menggunakan kedua-dua tangan,Naufal menggenggam hujung kayu itu seperti menggenggam hulu pedang dan tepat ketika penyerang tersebut mendaratkan pukulan ke arah Nik,dia melompat ke arah Nik -merendahkan kekuda kakinya sambil merentangkan potongan kayu ditangannya di atas kepala.Membentengi kepala pemuda itu yang hampir menjadi mangsa hayunan potongan kayu tersebut.

Penyerang itu sedikit tergamam dengan kehadiran Naufal dan kesempatan tersebut diambil oleh Nik untuk menujah penendangnya ke arah perut susuk berjubah tersebut membuatkannya terjengkang ke belakang.Ketika Naufal menghulurkan tangan membantunya kembali berdiri, Nik menyambut huluran pemuda yang satu itu dengan pantas.

Menjulur hujung potongan kayu ke arah musuh seperti seorang Kendoka yang menghunus Katana,Naufal mengetap gigi seraya menggerakkan lehernya ke kiri dan ke kanan matanya tidak lepas melihat susuk penyerang tersebut yang mulai mengerumuni mereka sekali lagi.

" Aku mungkin tak pandai bersilat dan tak tahu apa-apa pasal karate." Dia mengerling Nik yang sedikit tergamam " Tapi aku tahu Karazy!"

" Karazy? "

" Karazy! " Angguknya dan sambil mengejapkan genggaman dia meluru ke hadapan. " Jurus Rurouni Kenshin!!! Hiyarghhhhhh... "

*               *              *

Sementara itu..

"Saudara..Assalamualaikum."

Sepasang mata yang tertutup kejap itu pantas terbuka lalu sejalur senyum teduh melintasi ulas bibirnya.Menoleh ke arah pemilik tangan yang hinggap pada bahunya sebentar tadi.

" Walaikumsalam.. "

" Sekarang sudah pukul lapan malam." Lelaki berseragam putih dengan selaur hitam itu menunding jam di atas jenang pintu " Waktu melawat dah habis."

" Ah,iya." Dia akhirnya tersenyum " Maaf saya tak perasan dah pukul lapan."

Mengekori pengawal keselamatan yang lengkap memegang cota hitam itu,buat kali terakhir dia menoleh lagi ke arah pintu bernombor enam itu.Melalui kaca tembus pandang pada pintu,sepasang netranya menangkap imej enam orang doktor dan beberapa orang jururawat yang lengkap berpakaian seragam biru dan mengenakan serkup mulut berkumpul di sebuah meja berhampiran pintu.Pasti mentaklimatkan keadaan pesakit di dalam wad tersebut kepada doktor yang akan mengambil alih tugas daripada syif sebelumnya.

Astaghfirullah...

Gumamnya seraya menghembuskan nafas berat dari rengkung dan dalam masa yang sama wajah-wajah pucat berserkup alat bantuan pernafasan tersebut melintasi ingatannya.Ritma stabil bit alat pemantauan tanda-tanda vital pesakit sesekali kedengaran dalam pendengarannya walaupun dia sudah tidak lagi berdiri di sebelah tautan pintu bilik tersebut.

Lorong sempit yang diapit oleh bilik-bilik bernombor itu dilintasinya perlahan-lahan dan dalam masa yang sama lidahnya kembali mengulang nombor waris pesakit yang cuba untuk dihafalnya sejak beberapa hari yang lalu.

Keluar sahaja daripada celah pintu bilik Unit Rawatan Rapi dengan kebergantungan tinggi terhadap peralatan sokongan hayat (ICU HDW) tersebut,pantas dia merogoh pen dalam saku beg yang disandangnya.Mencatatkan nombor tersebut sebelum dia terlupa akan kombinasi sepuluh nombor tersebut.Mengatur nafas sebelum mendail nombor terakhir yang berjaya diperolehnya secara curi-curi itu.

" Assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan..... "

+            +            +

SAPTA ADHYASTAΌπου ζουν οι ιστορίες. Ανακάλυψε τώρα