Babak Akhir

72 1 4
                                    

Bertahun-tahun kemudian barulah nama Sufian kembali dipanggil. Seperti kebiasaan di bumi, first come first serve. Tetapi Sufian tetapi bertabah dalam penantiannya. Demi sebuah Firdaus, atau sekurang-kurangnya Khuldi. Tetapi kini bagi Sufian semua itu tidak penting, asalkan ia syurga.

Di hadapan penyelia malaikat, Sufian berdiri tegak. Matanya hanya tertumpu ke arah dua buah buku yang sedang diamati oleh penyelia tersebut. Kadang-kala buku tersebut diselak-selak. Kadang-kala penyelia tersebut mengeluarkan bunyi, "hmmm."

Khali.

"Baik. Setelah diamati dengan teliti. Kamu banyak membuat dosa di muka bumi. Dosa tersebut telah terhapus kerana doa kamu, dan ada yang telah terhapus kerana telah dimaafkan oleh orang yang kamu buat salah dengannya."

Muka Sufian berubah – angkuh dan bangga.

"Tapi..."

"Tapi apa lagi? Cepatlah! Aku tak sabar nak jumpa bidadari."

"Ada kesalahan kau yang tak boleh dimaafkan. Kau ada berbuat salah dengan manusia. Azli. Dia pernah menjadi sahabat kau di dunia dulu."

Azli? Ya. Dia pernah menjadi sahabat kepada Sufian. Tapi bilakah dia berbuat salah dengan Azli?

"Apa masalah aku dengan Azli? Setahu aku, aku tak ada masalah dengannya. Aku juga bukan selalu berjumpa dengannya. Sebelum aku mati pun, sudah lama aku tak berjumpa dengannya, hampir 10 tahun."

"Kau ada berhutang dengannya. Hutang duit. RM1000. Dia tidak memaafkan kau lagi."

"Baik. Panggilkan Azli. Aku akan berhitung di sini.

"Aku akan memanggilkan Azli untuk kau. Tetapi bukan aku yang menghakimi kau, tetapi kau dengan Azli terus dihakimi oleh Tuhan."

"Aku akan berjumpa zat tuhan?!" tanya Sufian takjub.

"Tidak. Tetapi kau diadili oleh-Nya."

Beberapa ketika Azli pun sampai di hadapan Tuhan. Kelihatan Sufian telah lama menunggu untuk melangsaikan hutangnya. Dia hanya perlu meminta maaf kepada Azli. Titik.

"Azli! Sahabat lamaku. Aku minta maaf dahulu aku meminjam duit dari kau. Sudikah kau menerima maafku?" rayu Sufian.

"Maaf? Kau buat apa dengan RM1000 itu? Kau ingat aku tak tahu kau berjoli? Main mesin? Berapa lama aku merayu menghinakan diri minta kau bayar balik duit tu?"

"Itu cerita lama, Azli. Sekarang aku dah jadi orang alim. Aku bawa orang ke Mekah naik haji! Aku dah insaf."

Azli mencebik, "insaf kau dengan tuhan. Bukan dengan makhluk. Selagi kau tak lunaskan hutang dengan makhluk, selagi itu masalah kau tak selesai."

"Kenapa kau tak cari aku sampai aku mati?"

"Cari kau? Lupakah kau dulu yang setelah aku merayu meminta-minta, kau tukar nombor telefon kau. Kebetulan pula kau ingin berpindah. Aku pun tak dapat cari kau. Tak lama setelah kau pindah, aku cuba pergi ke rumah baru kau. Tetapi jiran-jiran kau cakap kau hanya menyewa di situ tiga bulan, dan kau pindah lagi. Jiran-jiran kau pun tak tahu ke mana kau berpindah. Aku mati tidak sempat untuk memaafkan engkau, dan aku mati sebelum engkau mati," terang Azli panjang lebar.

Tuhan hanya memandang dua makhluknya yang sedang bertengkar itu.

"Baik. Sekaranglah masa terbaik untuk kau maafkan aku. Aku nak masuk syurga."

"Kau ingat aku tak ingin masuk syurga?" soal Azli sinis.

Azli menyambung, "amalan baik dan burukku seimbang. Aku telah meminta syafaat dari nabi kita yang mulia, tetapi aku perlukan sedikit lagi pemberat untuk membolehkan aku ke syurga," kini Azli bermain tarik tali.

Tuhan hanya memerhati. Sufian cuak. Habislah. Dia tahu Tuhan pun tak boleh menolongnya kini. Tetapi dia mencuba nasib meminta kasihan dari Tuhan, "Bagaimana Tuhanku? Hanya sedikit salahku dengan Azli."

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar)."

"Kalau begitu, aku akan berjumpa dengan nabi yang mulia, aku akan meminta syafaat darinya."

"Percuma sahaja kau berbuat demikian. Masalah kau sekarang bukan dengan Tuhan atau nabi, tetapi dengan manusia, dengan aku," jawab Azli sebagai wakil kepada Tuhan.

Tuhan hanya mengangguk mengiayakan jawapan Azli.

"Baik. Sekarang apakah solusi terbaik untuk kita berdua?"

"Ini bukannya dunia lagi. Ini adalah hisab terakhir buat umat manusia. Nafsi-nafsi. Aku nak hak aku sekarang," tanpa segan silu Azli meminta berat timbangan dari Sufian.

Sufian kelihatan seperti tiada pilihan. Diamnya lama. Dia memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal dihadapinya. Hanya ada satu cara – memberi pahalanya kepada Azli untuk melangsaikan hutangnya, dan kemudian meminta syafaat dari nabi yang mulia. Tetapi, adakah nabi yang mulia akan memberi dia syafaat?

"Baik. Aku akan berikan sedikit pahala aku. Kemudian aku akan berjumpa dengan Muhammad untuk memohon syafaatnya," kata Sufian dengan yakin.

"Kalau begitu, aku setuju," Azli mempersetujui perjanjian tersebut.

Kes selesai. Azli dimasukkan ke dalam syurga oleh Tuhan. Sedang dia berjalan di atas titian sirat, dia memandang ke belakang dan berkata, "selamat tinggal Sufian! Moga kita berjumpa di syurga bersama bidadari."

Sufian tersenyum. Dia kembali kepada Tuhan. Tuhan berkata, "pergi kau kepada penyelia kau tadi."

Sufian pelik. Patutnya dia boleh melangkah titian sirat bersama-sama Azli. Kes mereka berdua telah selesai. Tetapi dia patuh arahan Tuhan, dia kembali ke meja penyelia tadi.

"Ok, baik. Hutang kau dengan Azli dah selesai. Sekarang hutang kau dengan Razak pula."

"Allahu! Kau tak beritahu aku sebenarnya dengan berapa ramai orang yang aku berhutang!"

TAMAT

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Oct 19, 2020 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Bergaduh di Hadapan TuhanWhere stories live. Discover now