BAB 2

236 2 0
                                    


"DAMN!" Syafiq melemparkan fail berkulit keras ke lantai sehingga Adli, pembantu peribadinya terpaksa mengelak ke tepi secara spontan.

Syafiq merenung lelaki itu tajam. Satu lagi fail dicapai, diselak ala kadar sebelum dicampak lagi ke lantai.

Adli terpaksa mengelak buat kali kedua apabila fail yang dilemparkan oleh bosnya itu menuju tepat ke mukanya. Seolah-olah lelaki itu sengaja berbuat demikian.

"Siapa suruh kau mengelak?" jerkah Syafiq kuat.

Adli tersentak. Air liur yang ditelan terasa pahit. Bimbang bosnya itu semakin naik darah.

"Sorry bos. Errr, jangan marah." Adli menjawab terketar-ketar. Raut wajah lelaki itu sudah mula pucat.

"Sampah apa kau bagi dekat aku ni, hah?!" Satu lagi fail melayang, hampir mengenai kepala Adli, membuatkan lelaki itu spontan tunduk.

Bulat mata Syafiq tatkala melihat tindakan pembantunya itu.

"Sorry bos, tindakan refleks." Adli cepat-cepat berkata sambil tersengih serba salah.

Dia sendiri tidak tahu apa yang merasuk bosnya pada hari itu. Rasanya semalam ceria-ceria sahaja. Tiba-tiba hari ini datang pejabat dengan aura naga. Namun, dia tidak hairan pun. Kadangkala mood bosnya itu susah nak diramal. Kalah perempuan datang bulan.

"Berani betul kau!" Syafiq berkata marah sebelum tangan menarik laci, mengeluarkan sepucuk pistol.

Picu ditarik, lalu dihalakan ke arah pembantunya itu.

"Err, bos nak bunuh saya ke? Jangan bos, saya masih bujang lagi. Belum kahwin." Adli berkata tergagap-gagap, namun sempat dia bergurau. Dengan harapan kata-katanya itu mampu membuatkan niat bosnya itu berubah.

Syafiq merenung tajam wajah ketakutan pembantunya itu. Adli memang sudah lama bekerja dengannya sebagai pembantu peribadi. Dia masih ingat lagi sewaktu dia mengambil lelaki itu bekerja dengannya lima tahun lepas.

Ketika itu dia ternampak Adli bergaduh dengan samseng jalanan di lorong Haji Rahmat. Entah apa yang digaduhkan, dia pun sudah lupa. Dia sebetulnya malas nak masuk campur ketika itu, namun entah kenapa hatinya rasa kasihan pula tatkala melihat lelaki itu teruk dibelasah.

Dengan baju sekolah yang berlumuran darah, dia mengandaikan ketika itu Adli tidak lebih daripada usia 17 tahun manakala orang-orang yang membelasahnya pula kelihatan berumur 20 hingga 29 tahun.

Ketika di zaman persekolahan, dia juga pernah dibuli oleh senior-senior. Mereka gemar memanggilnya anak manja memandangkan ketika itu dia sering dihantar dan diambil oleh pemandu peribadi papanya.

Namun, setiap kali dia dibuli teruk-teruk sehingga habis tubuh dan mukanya luka, dia pasti akan berbohong kepada mama dan papa mengatakan yang dia terjatuh di sekolah.

Melihatkan Adli yang dibuli ketika itu menyebabkan rasa marah dan dendam kembali muncul dalam dirinya. Sudahnya, habis lembik semua dikerjakan. Sebagai balasan, Adli berjanji akan setia kepadanya sehingga ke akhir hayat lelaki itu.

Nampaknya, setakat ini Adli memang mengotakan janjinya. Tapi, itu bukanlah sebab kenapa dia masih 'menyimpan' lelaki itu dan menjadikan lelaki itu sebagai pembantu peribadinya.

Antara ramai-ramai pekerjanya, entah kenapa dia lebih suka dan selesa dengan perwatakan Adli. Lelaki itu kini sudah pun menjejak ke umur 22 tahun, namun lelaki itu lebih matang daripada usianya.

Apa sahaja masalah yang dia hadapi, pasti Adli mampu fikirkan caranya. Namun, kadangkala sakit hati juga dengan sikap ketidakcekapan lelaki itu dalam melakukan tugas-tugas rasmi. Contohnya, menaip dan menyediakan repot.

TAK MENGAKU CINTATempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang