Di samping itu, Falah bersungguh-sungguh berdoa agar Allah menetapkan kaki-kaki mereka di atas jalan yang benar. Menjadikan mereka istiqamah di atas jalan keredhaan-Nya.

Ketika semua sudah usia bersalaman dengan Falah, dan beredar pulang ke rumah masing-masing – Henry datang mendekati adik iparnya itu. Dia nampak Falah seperti sedang mengelamun di tikar sejadah sendiri. Awalnya dia tidak mahu menganggu Falah, hanya membiarkan Falah tenang sendiri sementelah dia juga mendengar Falah menangis dalam rakaat kedua tadi. Pasti Falah ada sedihkan sesuatu tentang ayat quran.

Sejenak telefon Henry bergetar dalam poket, apabila dia meihat telefonnya itu – dia menarik nafas. Tidak dapat tidak, dia tahu dia perlu juga bercakap dengan Falah tentang perkara ini. Maka dia mendekati Falah, dalam tidak mahu dia terpaksa menganggu Falah.

Falah menyedari kehadirannya, mengulas senyuman nipis.

"Dato' Hussain panggil kita balik."

Wajah Falah berubah.

"Untuk kita bentangkan kes ini di sidang media." Henry menghabiskan ayatnya tadi. Wajahnya juga sugul. "Keluarga mangsa makin bising, sibuk nak saman jabatan penyiasatan sebab diorang fikir kita tak peduli tentang kes Miranda Gold tu." Henry menghela nafas seraya memeluk tubuh.

Falah menjatuhkan pandangan pada sejadah.

"Jadi semalam, Aiman call abang dan dia cakap yang kita kena balik sesegera mungkin. Untuk selesaikan semua kes ini sebelum keadaan jadi lebih teruk. Kita bukan berurusan dengan golongan biasa-biasa, mereka orang kaya, jutawan-jutawan dan ada juga kerabat diraja. Mereka sangat mudah nak saman kita."

Falah hanya senyap mendengar setiap bicara Henry, masih berfikir.

"Tapi abang masih fikir sebenarnya, macamana kita nak jelaskan pada keluarga mangsa semua yang tak logik itu? Serunai maut? Nenek Bunga? Jibt? Ada ke orang nak percaya?" Henry kerutkan wajah. Dia kemudian memandang Falah.

"Falah rasa?" Soalnya selepas tiga perenggan membebel sendiri.

"Lebih baik berterus-terang." Falah memberi pendapatnya. "Jika mereka tidak ingin terima, itu terserah pada mereka. Lagipun kematian keluarga mereka memang dalam bentuk misteri, maka tak hairan jika penyelesaiannya juga kedengaran mitos."

"Jadi Falah rasa, kita perlu jelaskan pada mereka yang ini gara-gara serunai maut?"

"Tidak perlu terlalu spesifik dalam menyebut Serunai Maut, cukup sebut bahawa di pulau ini mempunyai pantang-larang. Jelaskan tentang Andika dan Kevin yang cuba melanggar pantang larang. Falah yakin, perlahan-lahan mereka akan terima kalau cerita abang bersesuaian dengan apa yang berlaku. Cuma tidak boleh terlalu bercerita tentang pengembaraan tidak logik kita, nanti mereka lari sebab fikir abang baru lepas tengok cerita kartun." Sempat lagi Falah berseloroh. Henry tergelak kecil.

"Akal manusia tidak akan mampu terima perkara tidak logik. Kera berubah jadi manusia? Ini memang cerita Harry potter."

Mereka berdua tertawa dengan kata-kata Henry. Sejenak tawa Henry memudar, dia seperti tersedar sesuatu.

"Kenapa Falah cakap macam abang yang perlu buat sidang media nanti?" Henry berkerut dahi.

Falah tersenyum nipis. "Jawatan abang lebih tinggi. Abang paling layak jelaskan semua ini."

"Tapi Falah watak utama dalam penyiasatan ini bukan?" Henry tidak senang mendengarnya.

"Watak utama atau watak tambahan, itu tak penting. Penyampaian itu lebih penting. Kita perlu kumpulkan seberapa banyak bukti yang akan membantu penyiasatan nanti. Linda akan jadi saksi kesalahan Andika dan Kevin. Dan Linda juga boleh jadi saksi untuk kewujudan mitos serunai."

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now