HANNAH Qalisha berteleku di sisi pusara ibunya, Hannie Hafizah. Meskipun orang lain telah kembali ke destinasi masing-masing, namun dia sikit pun tidak berganjak. Tanah kubur ibunya diusap, jiwa merintih pilu.
"Kenapa ibu tinggalkan Hanna bu... Hanna dah tiada siapa-siapa lagi, ibu..." luahnya teresak-esak. Air matanya terus mengalir. Dia bagai orang tiada arah tuju, kematian ibunya benar-benar sukar untuk diterima.
"Hannah, waktu dah nak dekat senja ni. Mari kita pulang dulu," pujuk Firhad dengan nada yang lembut. Dia harap Hannah termakan dengan pujukannya kali ini. Melihat Hannah yang tidak berhenti mengalirkan air mata membuatkan dia tidak sampai hati ingin memujuk gadis itu sekali lagi.
"Hannah, kita pulang dulu... Hannah kena kuat, sekejap lagi Hannah kena uruskan majlis tahlil untuk arwah ibu Hannah." Firhad bersuara lagi.
Hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana perasaan yang dialaminya ketika ini tatkala melihat Hannah hanya membatukan diri tanpa sebarang jawapan. Bukan kerana taruhan perasaannya membuatkan dia masih kekal berdiri di sini, tapi kerana dirinya juga insan biasa yang juga pernah mengalami perasaan yang sama.
Hannah perlahan-lahan bangun. Tikar yang dialasnya cuba dicapai namun segera Firhad menghalang.
"Tak apa Hannah, biar saya yang gulung dan bawakan." Hannah hanya akur dan mengukir senyuman sayu seraya berganjak ke tepi.
"Ya Allah, hujan! Hannah ikut saya..." Firhad pantas mendapatkan Hannah dan memaut tangan Hannah.
Tubuh Hannah dipeluknya, sedaya upaya dia lindungi Hannah daripada terkena air hujan. Tubuh itu dibawa ke dalam dakapannya tanpa sedar.
Hannah hanya mampu membiarkan sahaja. Jiwanya sedang merana. Tiada masa mementingkan itu memandangkan lelaki itu cuma niat ingin membantunya sahaja.
Mujur, jarak kereta dan tanah perkuburan itu tidak sjauh, kalau tidak sudah pasti basah tubuh mereka sementara dalam perjalanan menuju ke kereta.
Sebaik sahaja Firhad membantu Hannah memasuki kereta, Firhad cepat berlari ke bahagian pintu pemandu dan memboloskan dirinya di dalam kereta apabila merasakan hujan turun semakin lebat.
Firhad mulai bimbang tatkala melihat Hannah memandangnya lama.
"Hannah, saya betul-betul minta maaf. Saya tak sengaja, niat saya cuma..."
"Tak apa sir, saya faham."
"Saya..."
"Sir, saya faham niat sir hanya nak membantu saya, saya yang patut minta maaf pada sir, saya banyak menyusahkan sir."
"Saya tak pernah anggap Hannah satu bebanan pada saya, saya harap Hannah tak ungkit hal menyusahkan lagi. Saya tak nak dengar ucapan maaf mahupun terima kasih dari Hannah dan saya juga tak pernah harap apa-apa pun balasan dari Hannah, cukup Hannah tahu saya ikhlas bantu Hannah."
Wajah itu ditatapnya lama. Sebak hatinya mendengar ucapan berbaur keikhlasan itu. Ya Allah, hanya Engkau sahaja yang mampu membalas kebaikan pemuda ini.
Perlahan-lahan Hannah mengangguk kemudian senyumannya diukir. Terharu dengan keikhlasan lelaki itu.
"Kita singgah ke kedai sekejap boleh?" soal Hannah perlahan.
"Hannah ada apa-apa yang mahu dibeli ke?" Hannah mengangguk.
"Saya nak beli lebihan barang takut tak cukup untuk majlis tahlil malam nanti."
"Baik." Firhad mengangguk. Sebak hatinya melihat berduyun-duyun air mata Hannah yang jatuh. Hannah tidak mampu untuk melanjutkan lagi perbualan, fikirannya hanya menerawang pada kata-kata arwah ibunya.
"SEMUA orang akan diuji tuhan, semua orang akan merasakan kehilangan. Aku tahu betapa peritnya rasa kehilangan, terutamanya kehilangan orang yang tersayang tidak kira selalu di sisi kita, dihati ataupun yang menemani jiwa kita hari-hari. Tiba-tiba pula bila sampai masanya Allah ambil dia semula, kita pasti akan merasa seperti ada satu dentuman halilintar yang memecahkan gunung ganang di hati kita.
Namun, sebenarnya kenangan kita dengan mereka itulah satu kekuatan... Sebabnya, ingatan itu mampu buat kita berdoa untuk mereka dan sebab mereka ada dalam jalur masa hidup kita nan indah dulu.
Ingat tak? Rasulullah SAW juga diuji suatu ketika dulu, pernah kehilangan orangnya yang paling dia sayang, iaitu dua orang dalam tempoh berdekatan. Namun, dia redha dan mengetahui betapa besar nilai ganjaran mereka bersabar dan betapa sayang Allah kepada beliau.
Kalau kau rindu sangat, paling penting kita kena sedar, yang dia pergi menghadap tuhan Dia, tuhan kita juga yang kita juga akan temui nanti. Lepas tu, kita kena sibuk-sibukkan diri, pastinya dia tak mahu kita bersedih dan menyalahkan takdir, kan?"
Hannah mengelap air matanya. Dia jelas tidak bermaya.
"Jadi, kau kena kuat Hannah. Jangan terlalu bersedih, kasihanilah pada arwah ibu, ibu mesti sedih tengok keadaan kau macam ni. Kesihatan kita juga penting untuk orang lain yang sayang kita di atas muka bumi ni tau." Nasihat Syazwana buat sahabat sejak kecilnya ini, dia tahu hati sahabatnya ini sudah hancur akibat kehilangan satu-satunya keluarga yang tinggal untuknya.
"Terima kasih Wana." Hannah memeluk Syazwana erat.
Bunyi ketukan dipintu membuatkan Hannah dan Syazwana tersentak.
"Masuklah."
"Ayu rupanya, kenapa sayang?" Hannah menyoal lembut.
Syazwana mengukir senyuman sayu, sedih melihat sahabat baiknya tidak henti mengalirkan air mata.
"Ibu Na, ada seorang pakcik ni minta Ayu panggilkan Ibu Na. Dia nak balik dah, dia nak jumpa Ibu Na sekejap."
"Pakcik mana, sayang?"
"Pergilah tengok dekat luar tu Hannah." Syazwana menyarankan.
Hannah hanya akur. Dia bangun lalu mencapai tombol pintu kemudian keluar.
Tanpa sempat Hannah ingin bersuara, dari belakang sahaja dia sudah menangkap satu susuk tubuh yang jelas cukup menakutkannya.
Jantung Hannah seperti berhenti seketika. Dia kenal pemilik suara itu. Bergetar tubuh badan Hannah.
"Tak..." Hannah menggeleng bersama deraian air mata, kali ini tangisannya kerana kehadiran seorang lelaki yang cukup dia enggan kehadirannya.
Hannah hampir terjatuh tatkala kakinya cuba mengundur langkah.
Jelas lelaki itu mula berpusing tubuh menghadapnya. Senyuman jelas terlakar pada wajah itu.
"Miss me, honey?"
_______________________
This is revamp KKYAC
