Manis Dalam Pahit

3.4K 71 2
                                    

Dia membelek setiap keychain dan jam tangan yang tersusun kemas di kiosk depan farmasi Watsons. Dia memang bercadang nak mencari jam tangan baru sebab dia tak berapa suka memakai jam tangan yang dia pakai sekarang. Dia lebih suka memakai jam tangan yang biasa - yang berharga lima belas ringgit. Selesa, ringan, dan simple. Tapi tadi Kak Ngah dah memberi amaran awal-awal,

"Tak payah la beli. Jam kat tangan tu elok lagi."

"Alaaa... Kak Ngah. Lima belas ringgit je."

"Tak payah. Kan itu jam yang kau dapat masa bertunang dulu? Appreciate la sikit."

Sudahnya, tak tersampai hajat dia nak membeli jam tangan baru. Tak apa, tak apa. Nanti lain kali, pandai-pandailah dia mencari peluang membeli jam baru. Dengan syarat; jangan bawa Kak Ngah sekali. Biar dia seorang saja yang window shopping dan mencari jam baru. Kan?

Ini pun dia keluar sekali dengan Kak Ngah sebab Kak Ngah meminta dia temankan membeli barang-barang bayi. Tak lama lagi dia akan mendapat anak buah! Seronoknya jangan cakaplah! Kak Ngah dengan Abang Johar lagilah seronok sebab ini pengalaman pertama suami isteri itu menimang cahaya mata. Berseri-seri muka Kak Ngah sejak berbadan dua ini. Aura ibu mengandung, mungkin.

Kebetulan pula Abang Johar outstation minggu ini. Jadi, dia menumpang tidur di rumah Kak Ngah sebab nak temankan kakaknya itu. Lepas itu, pandai-pandai saja Kak Ngah membuat rancangan untuk shopping hari ini. Bukannya Kak Ngah tak tahu yang dia ini sangat anti-shopping! Nasib baik Kak Ngah cuma nak membeli barang-barang bayi saja. Kalau tak, jangan harap dia nak ikut!

Dia mengangkat tangan dan melihat jam tangan yang tersarung di pergelangan tangannya. Dah lebih lima minit Kak Ngah pergi ke tandas. Kenapa lama sangat? Tadi Kak Ngah kata selepas ini dia nak survey katil bayi pula. Mana Kak Ngah ini?

Dia akhirnya mengambil keputusan untuk menunggu Kak Ngah di kerusi berdekatan dengan kedai buku Popular. Kalau duduk di situ, senanglah Kak Ngah nak nampak dia apabila Kak Ngah keluar dari tandas nanti. Dia berjalan melepasi kedai peralatan muzik, kedai Memory Lane, dan butik Giordano. Apabila berjalan di luar butik Giordano itu, automatik matanya meninjau-ninjau isi butik itu.

Dan ketika itulah matanya menangkap kelibat seseorang. Seseorang yang sedang membelek sehelai t-shirt sambil berbual di telefon.

Affiz?

Cis. Kata kena paksa pergi Kuantan. Apahal pula tiba-tiba selamat saja ada di sini?

Spontan kakinya bertukar arah, dan melangkah mendekati Affiz. Affiz yang masih sibuk berborak di telefon langsung tak perasan akan kehadirannya.

"Oit." Dia mengetuk bahu Affiz dari belakang dengan majalah Pa&Ma yang Kak Ngah beli tadi.

Affiz ternyata tersentak dan menoleh ke arahnya. Berkerut dahi Affiz memandang dia di situ.

"Buat apa kat sini? Kau mengelat, eh?" Dia menuding gulungan majalah Pa&Ma itu di depan muka Affiz. Affiz membuat muka blur, mungkin terkejut sebab mereka boleh berjumpa di sini.

Semalam bukan main beria-ia Affiz 'mengadu' pada dia sebab kena hantar adiknya ke Kuantan. Najmi, adik Affiz, baru habis cuti semester dan akan memulakan semester baru minggu depan. Najmi belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan mengambil jurusan Sains Matematik. Dan sebagai abang yang bertanggungjawab kononnya, Affiz yang menghantar Najmi ke sana.

Itu yang Affiz ceritakan pada dia semalam. Jadi, apa kes pula hari ini Affiz masih berdiri di tanah Kuala Lumpur ini?

"Hah? Err..."

Cerpen 2014Where stories live. Discover now