Bab 1.

286 3 0
                                    

Hutan Simpan Rimba Luang - Seminggu kemudian.

"Roslee! Roslee!" Jeritan dan pekikan saling bertingkah antara satu sama lain mencemari kedamaian hutan lewat petang itu. Kelihatan beberapa orang lelaki memegang parang menebas apa sahaja yang menghalang laluan mereka.

"Macam mana ni tok? Hari makin lewat ni? Kita pun sudah jauh sangat ke dalam hutan ni. Saya sendiri tidak pasti di mana kita berada sekarang. Risau pula benda lain yang terjadi nanti." Tanya seorang lelaki yang tersandar kepenatan pada sebatang pokok. Mereka semua berhenti seketika melepaskan kelelahan. Wajah masing-masing berkeringat. Kepenatan jelas terpancar pada wajah mereka setelah berjam-jam mereka meredah hutan itu.

"Haah tok. Saya pun bimbang andai kita masuk terlalu ke dalam. Takut jika berlaku apa-apa. Orang kita pun bukan biasa sangat dengan hutan ni." Tambah seorang lagi. Di wajahnya kelihatan riak-riak kerisauan. Beberapa kali kelihatan dia menelan liur pahit. Kerisauan lelaki itu bersebab. Peredaran masa membuatkan penduduk kampung tidak lagi bergantung harap kepada hutan itu untuk mencari sumber rezeki seperti nenek moyang mereka dahulu. Hanya tinggal sebilangan kecil sahaja yang masih menggantungkan untung nasib mereka kepada hutan itu. Itupun boleh dibilang dengan jari bilangannya.

"Agaknya dah berapa lama Roslee tidak balik ke rumah, Azmi." Tok Ketua memandang ke arah salah seorang anak buahnya mengharapkan jawapan pasti. Dia perlu mempertimbangkan banyak perkara terlebih dahulu sebelum keputusan dibuat. Apa lagi keputusannya kali ini melibatkan untung nasib anak buahnya sendiri.

"Saya pun tidak pasti tok. Kali terakhir saya jumpa dia pun minggu lepas. Orang rumah dia cakap minggu lepas Roslee ada beritahu yang dia nak masuk ke hutan. Sejak itu lah Roslee tidak balik-balik Tok." Azmi meneguk minumannya dengan perlahan. Matanya memandang sekeliling sekadar meliarkan pandangan. Sejak tadi hatinya dirasuk debar yang tidak kunjung kebah. Sebagai kawan baik, perkhabaran kehilangan Roslee cukup terkesan di hatinya.

"Hairan, dari minggu lepas suami tak balik baru sekarang hendak beritahu. Biar betul Khadijah ni." Tok Ketua memandang tepat ke arah Azmi mengharapkan kepastian. Keraguan menjentik tangkai hatinya.

"Tok macamlah tak tahu kerja Roslee dengan saya. Tidur di hutan berhari-hari itu sudah jadi kemestian tok. Kadang-kadang jejak sampai seminggu kami berkampung di dalam hutan ni." Azmi membuka bungkusan rokok lalu disisipkan di celahan bibir birat miliknya. Mancis disuakan, lalu berkepul-kepul asap keluar mencemari udara segar di sekitarnya.

"Itulah kamu, dari dulu lagi puas Tok nasihat. Berhentilah buat kerja tidak berfaedah itu. Berbahaya. Lagipun salah di sisi undang-undang. Sekarang tengok apa yang dah jadi." Tok Ketua terdiam. Bukan niatnya menambah kekeruhan kepada sungai yang sedia keruh. Tetapi hatinya benar-benar gusar. Andai sesuatu terjadi pada diri Roslee sudah memastinya dia juga akan menerima tembiasnya.

"Tapi kenapa Roslee pergi seorang kali ini, bukan ke selalu kamu dengan Kamal akan teman dia?" Selama ini bukannya Tok Ketua tidak tahu aktiviti anak buahnya itu. Sanggup meredah hutan untuk memerangkap dan memburu binatang-binatang eksotik sebelum dijual. Walau sudah banyak kali dilarang tetapi anak buahnya itu tetap berdegil.

Azmi mendiamkan diri. Dia tekun menghisap rokok di tangannya yang semakin pendek. Soalan Tok Ketua terbiar tanpa jawapan. Wajahnya berkerut membayangkan mindanya yang sedang berusaha keras memikirkan sesuatu. Rokok di tangannya disedut dalam-dalam. Tangannya kelihatan terketar saat itu. Wajahnya gelisah.

"Ini Tok nak tanya. Selalunya kamu dengan Roslee masuk ke hutan bersama-sama. Kenapa kali ini Roslee pergi sendiri?" Tok Ketua mengulangi soalan setelah soalannya sebentar tadi terbiar tanpa jawapan. Wajah anak muda di hadapannya itu diperhati. Dia kurang senang dengan sikap Azmi. Berdiam diri bukanlah jawapan yang dia harapkan.

PROJEK SERAM HUTAN - YAKSHAWhere stories live. Discover now