BAB 1

708 14 0
                                    

BURGHHH!

Air Milo yang separuh diminum tersembur keluar daripada mulut Maimunah. Jeritan yang kedengaran kuat dari tingkat dua membuatkan seleranya mati. Tergesa-gesa dia berlari menuju ke arah bilik tingkat atas banglo rumahnya. Hampir sahaja kakinya tersadung di anak tangga kerana terlalu cemas.

Sampai sahaja di hadapan pintu bilik, terus dia menolak daun pintu yang tidak berkunci. "Azril!"

Maimunah melihat anak lelakinya sedang duduk di atas katil sambil memeluk lutut. Wajahnya disembamkan sehingga tidak terlihat rupanya.

"Huuu... huuu..." Tangisan Azril kedengaran sayu. Seperti seorang lelaki yang sedang meratapi kematian seorang kekasih hati.

"Azril, kenapa sayang? Kenapa kamu menangis ni? Mimpi buruk lagi?" pujuk Maimunah sambil mengusap lembut belakang badan anaknya.

Sayu sungguh hatinya melihat anak tunggalnya itu menangis kesedihan seperti itu.

Azril tidak menyahut mahupun membalas soalan ibunya. Dia terus menangis seperti Maimunah tiada di situ.

Melihatkan respons Azril, Maimunah tidak mahu banyak bertanya lagi. Dia bimbang Azril akan bertambah sedih dan tertekan apabila disoal banyak. Sambil mengusap kepala Azril, perlahan-lahan Maimunah membaringkan anaknya itu ke tilam semula.

"Shuu... sudah sayang. Jangan menangis lagi. Tidurlah."

Setelah beberapa minit dibelai Maimunah, tangisan Azril berhenti. Dia kembali terlelap. Tidur seperti anak kecil.

Sayu hati Maimunah saat menatap wajah anaknya itu. Dia risau melihatkan keadaan Azril. Kemurungan dan tekanan perasaan yang dialaminya sudah berlarutan sekian lama. Pelbagai rawatan sudah Maimunah cuba, namun seperti tidak menampakkan hasil. Dia risau, jika keadaan ini berterusan, Azril akan jatuh sakit.

Maimunah melangkah turun ke bawah setelah pasti Azril sudah kembali nyenyak dalam tidurnya. Sampai sahaja di ruang makan, kelihatan suaminya, Mansur, sedang enak menghadap sarapan paginya. Bihun goreng serta air kopi.

"Dah kenapa anak awak tu? Meracau lagi?" soal Mansur, tanpa sedikit pun memandang isterinya.

Matanya khusyuk melihat berita yang dibuka pada tablet iPhonenya.

Dia memang begitu. Tidak suka membazir masa. Suka melakukan dua kerja dalam satu masa. Bersarapan sambil mendengar berita terkini. Tidak hairanlah dia mampu menjadi ahli perniagaan berjaya dalam keadaan ekonomi negara yang sedikit merudum saat ini. Dia sangat berdisiplin dan menjaga masanya.

"Saya risaulah abang. Keadaan Azril tu macam makin bertambah teruk. Meracau dia tu hampir setiap hari," luah Maimunah.

"Tak apa. Bagi dia masa. Semua ini perlukan masa. Lama-kelamaan nanti dia okeylah," balas Mansur bersahaja.

Maimunah diam. Wajahnya muram. Dia memandang lama wajah suaminya. Lelaki itu sibuk benar mendengar berita-berita semasa.

"Abang tak ada ke kawan-kawan yang pakar dalam bidang psikologi ni? Kalau ada bolehlah kita minta dia tolong tengokkan Azril."

Mansur berhenti fokusnya pada tablet. Dia memandang isterinya dengan wajah yang sedikit berubah riak.

"Dah berapa kali saya cakap pada awak? Saya tak mahu campur urusan peribadi dengan urusan perniagaan dan kawan-kawan saya. Mana saya nak letak air muka saya kalau mereka tahu anak saya ada masalah macam tu? Saya tak mahu ambil risiko!"

Maimunah panas hati. Geram dengan suaminya.

"Penting sangatkah perniagaan abang berbanding anak kita? Masa depan anak kita?" marah Maimunah.

PRANKWhere stories live. Discover now