Dia...Suami Tak Dirancang - Bab 1

1.5K 21 0
                                    

DINZLY benar-benar rasa suhu takat

didihnya sudah di tahap maksimum. Wajah Darwisya

yang menunduk dikerling tajam. Menatap wajah

sayu kedua-dua orang tuanya, makin membuatkan

perasaannya hancur.

Dapat dia bayangkan betapa terlukanya jiwa

Puan Munirah. Dapat dia rasai betapa tebalnya wajah

Encik Fairuz kerana terpaksa menanggung malu.

"Saya tak buat apa-apa dengan anak Datuk dan

Datin. Kalau cuit pun tak pernah, sentuh apatah lagi.

Kalau dia tak masuk ke rumah saya tanpa izin, semua

ni takkan berlaku. Jadi kalau Datuk dan Datin nak cari

punca kesalahan, orang yang patut dipersalahkan ialah

dia." Tepat jari telunjuk Dinzly terhala pada wajah

Darwisya. Matanya bersinar garang. Pasti gerun kalau

sesiapa yang melihat.

Datuk Dirly tersenyum sinis. Datin Ameldy

pula sudah tiada daya hendak berkata apa-apa. Cuma

mampu berdoa jauh di sudut hati. Janganlah suaminya

pula yang naik angin nanti. Boleh tak terkawal keadaan

dibuatnya.

"Kau rasa penjelasan kau tu boleh tutup aib aku

ke?" Pedas bicara itu membuatkan Dinzly ketap giginya

rapat.

Dasar manusia berpangkat. Dia ingat dia

seorang aje yang menanggung malu? Habis tu, malu

kedua-dua orang tua Dinzly nak dicampak ke laut?

"Habis tu, Datuk nak saya buat apa lagi? Kalau

betul saya rosakkan anak Datuk, saya memang takkan

lari daripada tanggungjawablah!" Sungguh paras

kesabaran Dinzly benar-benar sudah jatuh ke angka

sifar.

"Apa sekalipun jawapan dan alasan kau, kau

yang ditangkap berkhalwat bersama anak aku."

Jeda.

Seluruh ruang itu sunyi sepi menanti butir

bicara Datuk Dirly yang selanjutnya.

"Jadi?" soal Dinzly sepatah. Penuh nada jengkel.

Menapak, Datuk Dirly berdiri berpeluk tubuh

merenung jejaka di hadapannya. Berani. Itu persepsi

pertama Datuk Dirly terhadap Dinzly.

"Jadi..." Dada bidang Dinzly ditunjal-tunjal

dengan hujung jemarinya. "Tunggang terbalik dunia

ni sekalipun, kau kena kahwin dengan anak aku,"

dihabiskan ayat bersama nada yang kedengaran cukup

tenang.

Wajah Darwisya terpanggung. Terbias riak

terkejut. Puan Munirah dan Encik Fairuz diam tidak

berkutik. Dinzly? Ketawa bersama kepala yang digeleng

berulang kali.

"Kahwin dengan manusia yang dah rosak ni?"

Tuding jemari tepat terpanah pada wajah Darwisya.

"Saya takkan kutip buah yang dah ditebuk tupai. Untuk

pengetahuan Datuk dan Datin, perempuan ni dah pun

mengandungkan anak kawan baik saya. Jadi patut atau

tidak kalau saya kahwini dia sedangkan dalam..."

"Anak saya akan kahwin dengan anak Datuk."

Zap!!! Terpaling wajah Dinzly ke arah Encik

Fairuz. Rahang rasa hendak tertanggal. Jantung

bagaikan hendak tercampak keluar.

"Ayah..." Peti suara bagaikan tidak mampu

untuk dibuka.

Encik Fairuz menghela nafas panjang. Bangkit

berdiri, memegang bahu Dinzly kemas. Mata Encik

Fairuz nampak bergenang.

"Kalau kamu masih sayangkan kami berdua,

tolong nikahi dia. Demi maruah ayah, demi maruah

ibu. Kamu tak kasihan dekat ibu kamu, Dinz?" Nada

merayu.

Semedang bebola mata Dinzly mengerling

ke wajah Puan Munirah. Pipi tua itu sudah lencun

bermandikan air mata, membuatkan dada Dinzly terasa

bagaikan dihentak dengan sesuatu yang berat.

Dia... dah pun kecewakan hati seorang ibu.

"Dinz tak mampu, ayah..." luah Dinzly parau.

Encik Fairuz senyum tawar.

"Ayah tahu anak ayah mampu. Sebab dari kecil

lagi ibu dan ayah dah berikan Dinz didikan dan agama

yang secukupnya. Tutup aib orang itu satu kerja yang

mulia, Dinz. Dan ayah juga tahu anak ayah tak bersalah.

Tapi demi maruah semua yang berada dekat sini, ayah

sanggup sujud pada kaki Dinz, tolong nikahi dia."

Lantas jawapan versi apa lagi yang mampu

Dinzly berikan? Kerana dia tidak sanggup hendak

mengecewakan Puan Munirah dan Encik Fairuz buat

kali kedua.

Terduduk Dinzly di atas sofa. Meraup

rambutnya hingga ke belakang. Memejamkan mata,

cuba mencari kekuatan. Cuba mencari jawapan. Benak

tertanya-tanya...

'Masih ada pilihan lain lagikah kau, Dinzly

Fariqal?'

Jawapannya...

'Tidak. Untuk itu, kau harus reda. Pasrah

dengan ketentuan yang Dia dah tetapkan nun di atas

sana. Sesungguhnya dugaan ini cukup berat, ya Allah...'

Hati merintih. Merintih bersama bicara bahasa bisu.

Dia...Suami Tak Dirancang - Hana (HE)Where stories live. Discover now