| Tok penghulu | 44

Start from the beginning
                                    

Tangannya dihulur menceduk air. Wajahnya dibasahkan sehingga ke rambut. Segar jadi dirinya.

Tidak semena dia ternampak sesuatu di sebelah kirinya. Seperti sebentuk cahaya kecil di tengah kepekatan malam.

Tangannya jadi berhenti meraup wajah. Sepantas mungkin dia menoleh ke kiri.

Serta merta matanya terbeliak sebaik terlihat sesusuk tubuh berdiri agak jauh darinya - sedang memegang jamung kecil di tangan, menyimbahkan cahaya pada wajah sendiri yang berkulit gelap dan berkilat, dengan rambut terikat cantik di kepala bersama pakaian berwarna coklat tubuh seperti baju orang asli - wanita itu sedang merenungnya.

Linda tertelan liur pahit. Perlahan dia berdiri walaupun betisnya terasa goyah. Dia terundur setapak apabila melihat wanita berbaju orang asli itu menghampirinya.

Wanita itu merentangkan jari menyuruh Linda diam. Linda ketap bibir melihatkan isyarat itu. Seluruh tubuhnya sudah menggigil. Wanita itu kemudian menghampiri Linda lagi.

"Jangan dekat!!" Linda terjerit cemas. Dadanya terasa sesak. Siapa wanita ini?

Wanita itu menggeleng tanda tidak mengapa. "Aku orang baik." wanita itu kemudian bersuara dengan lembut.

Linda menggeleng lagi dan lagi. "Tak.. Tak.. Saya tak percaya.." Tangannya diangkat menidakkan perkara itu.

"Benar, aku orang baik. Aku datang untuk membantu kalian."

Linda menggeleng berkali-kali. Wanita itu cuba mendekati Linda.

"Berhenti di situ." Suara Falah mencelah. Serta merta wanita berbaju coklat itu memandang Falah. Langkahnya terhenti mendadak beberapa tapak di hadapan Linda. Linda tidak menunggu lama, terus berlari ke arah Falah dan bersembunyi di sebalik tubuh lelaki itu. Nafasnya termengah-mengah. Berdebar sungguh.

"Siapa kamu?" Falah bertanya dengan nada serius.

Wanita itu menukar posisi tubuhnya menghadap Falah. Kemudian tubuhnya ditundukkan sedikit sebagai beradab. "Nama aku Anggun. Dari Permukiman Anjana. Ketua permukiman aku menghantar aku untuk meninjau keadaan di sini, lalu aku terjumpa kalian."

"Di mana Permukiman Anjana?" Falah tidak pernah tahu kewujudan permukiman itu di pulau ini.

"Berdekatan Pantai Berlian. Mengunjur ke Utara. Sebenarnya kalian kini sedang berada di bawah jajahan kami."

Falah terdiam mendengar kata-kata wanita itu. Linda di belakang hanya memerhati. Tidak berani menyampuk.

"Jadi apa kemahuan kamu?" Falah mula merasakan wanita di hadapannya ini bukanlah sesuatu yang berbahaya. Nadanya mula tidak serius seperti tadi.

"Awalnya aku menganggap kalian satu ancaman untuk kami. Maka aku memerhatikan setiap pergerakan kalian. Namun selepas beberapa lama memerhatikan kalian aku dapati kalian rupanya sedang memburu wanita di Teluk Nyai. Apabila aku mengetahui hal itu, aku membawa berita tersebut kepada Ketua Permukiman. Dan sekarang baginda mengajak kalian ke permukiman kami. Baginda berkenan untuk membantu kalian." Anggun menundukkan kepala sejenak sebagai satu penghormatan.

"Bagaimana saya dapat percayakan kamu? Bagaimana sekiranya kamu berdusta?" Falah bertanya.

"Jika kalian tidak percaya, tunggulah sehingga remang pagi esok hari. Aku akan bawa beberapa lagi sahabat aku untuk membuktikan tentang permukiman kami." Anggun nampak bersungguh-sungguh.

"Kenapa ketua kamu hendak membantu kami?" Persoalan itu dilontarkan kemudian.

"Kerana kami juga sebenarnya hendak memburu wanita di Teluk Nyai. Begitu lama kami hendak menghapuskan wanita itu namun kami tiada kekuatan. Maka apabila aku terjumpa kalian, tidak tahu kenapa bagi aku kalian terutamanya kamu seolah mempunyai satu kekuatan yang tidak pernah aku lihat pada orang lain. Sudah ramai yang pernah memasuki hutan ini untuk memburu wanita di Teluk Nyai namun semuanya mati di tengah perjalanan. Aku lah yang memerhatikan mereka setiap waktu untuk melihat perkembangan mereka. Namun satu persatu semuanya mati dengan mudah. Namun untuk kalian, seolahnya kalian dilindungi satu kuasa yang tidak terlihat di mata kasar. Satu keagungan yang aku tidak pernah lihat sebelum ini."

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now