Falah mendekati pinggir, hendak melihat sungai dengan lebih jelas. Dari kedudukannya dia dapat melihat air sungai yang jernih mengalir di celah batu-batan berwarna hitam pekat. Jernihnya air sungai itu sehingga nampak dengan jelas dasarnya walaupun Falah berada di tempat tinggi. Dalam diam Falah memuji Allah kerana berasa kagum.

Apabila Falah melihat pada aliran sungai, benarlah seperti yang Tok penghulu katakan - aliran ini membawa ke timur. Hulunya berada di timur. Jadi pengakhiran aliran sungai ini ialah di Teluk Nyai dan di situlah terdapat muara - pertembungan antara sungai dan laut.

Falah bergerak sedikit ke hadapan, kemudian kembali merapati pinggir lereng itu. Kembali menjenguk sungai itu untuk berkira-kira.

Di tebing sungai, ada laluan yang cukup besar untuk manusia lalu. Jika hendak berkhemah pun masih muat. Melihatkan itu Falah jadi terfikir ada baiknya jika dia mengambil jalan betul-betul di tepi sungai. Mudah untuk dia mengukur masa perjalanan dan juga mudah untuk mereka semua mengambil wuduk dan membersihkan diri.

Tapi..

Falah mengangkat pandangan ke sisi. Kemudian pada bukit kecil yang setentang. Baru dia sedar rupanya sungai ini berada di tengah-tengah antara dua bukit sederhana tinggi. Kiranya sungai ini berada di sebuah lembah yang memanjang.

Dan untuk berada di situ adalah sangat bahaya.

Pastinya kerana jika sesiapa sahaja berada di bawah maka dirinya dapat diperhatikan oleh sesiapa pun daripada atas. Sekiranya dia dan yang lain mengambil jalan betul-betul di sebelah sungai maka boleh jadi ada sesuatu yang akan memerhati mereka dari atas ini.

Nyawa mereka dalam bahaya hanya dengan berada di bahagian bawah sana.

Mungkin mereka boleh sekali sekala turun hanya untuk membersihkan diri dan juga untuk menjerang air tapi untuk perjalanan, Falah lebih memilih untuk berada di atas.

Namun untuk sekarang, Falah sangat ingin untuk turun ke bawah bagi merasai kesejukan air sungai yang sangat jernih itu. Dia mula berfikir cara untuk turun.

Pandangannya dilegarkan ke sekeliling. Mahu mencari jalan untuk turun.

Krak..

Bunyi ranting dipijak mengejutkan Falah dari pencariannya. Terus dia menoleh ke belakang apabila terasa ada haba yang mendekat.

Dari celah semak-samun yang tumbuh liar di situ, muncul seekor kijang berbintik-bintik badannya.

Falah terpegun.

Kijang tersebut berjalan melepasi Falah dengan selamba. Falah hanya memerhati ciptaan Allah itu dengan perasaan kagum. Ini bukan kali pertama dia berhadapan dengan binatang hutan tapi ini kali pertama dia melihat kijang yang tidak takut dengan manusia.

Kijang tersebut menghampiri pinggir, berada agak jauh dari Falah. Kemudian dengan tenang, kijang tersebut melompat pada satu tapak di bawah. Dengan berhati-hati kijang tersebut menuruni ke lembah mengikut langkah yang seolah-olah memang sudah menjadi kebiasaannya.

Falah hanya memerhati. Pergerakan kijang tersebut dihafalnya. Sehinggalah kijang itu selamat berada di bawah, entah kenapa kijang tersebut mendongak memandang Falah. Seolah mengajak Falah turun ke bawah. Namun sekejap sahaja kijang tersebut menjatuhkan kepalanya dari memandang Falah dan terus merapati sungai. Kijang tersebut sudah mula menikmati kesejukan air sungai tersebut.

Falah terdiam sejenak. Memerhati sahaja kijang itu di bawah. Langkah kijang itu untuk turun sudah dihafalnya kemas-kemas dalam kepala. Hanya tunggu dizahirkan secara teori sahaja.

Namun dia dapat lihat, dengan adanya kijang itu di bawah - semua dapat melihat kijang itu walau dari mana pun dia berada. Lokasi sungai itu hakikatnya sangat tidak sesuai untuk didiami.

Falah tanpa berlengah berdiri di tempat kijang itu tadi, pelita ditinggalkan di situ. Langit sudah cerah maka api sudah tidak diperlukan.

Dengan lafaz basamallah dia pun menurunkan kakinya mengikut langkah kijang tadi.

Dari satu tapak ke satu tapak, biarpun sangat tinggi dan curam - hasil tawakal yang tinggi akhirnya Falah dapat juga sampai ke bawah.

"Alhamdulillah." Falah tersenyum. Kepalanya dibawa mendongak ke atas. Dari arah sini dia dapat melihat lokasi kedudukannya tadi. Malah pelita yang dia tinggalkan juga terlihat.

Tanpa berlengah Falah merapati sungai yang dari tadi seolah melambai-lambainya itu. Kijang yang tadinya menunjuk cara turun itu sudah pun berlalu pergi. Tinggal hanya Falah yang keseronokan sebaik sahaja kakinya dibasahkan dengan air sungai.

Sejuk sehingga ke tulang hitam.

Seluarnya dilipat. Tidak menunggu lama dia terus berjalan masuk ke dalam sungai yang mengalir deras itu.

Bibirnya tersenyum lebar. Terasa bagai kakinya dibelai kedinginan air. Ditambah kedinginan pagi.

Semua itu buat hatinya berasa tenang.

Ciptaan Allah.

Hakikatnya sangat Indah.

"Pacik!

"Ya Nuna."

"Kenapa air pantai kadang-kadang panas kadang-kadang sejuk?"

Lintasan itu tiba-tiba sahaja mendatang ke benaknya.

Buat senyuman Falah bertukar pudar.

Kesunyian hutan menggamit memori. Hanya terdengar deruan air sungai yang seolah tiada penamatnya.

Kicauan burung melatari suasana, nampaknya semua sudah keluar mencari rezeki.

Falah mendongak. Memandang langit yang mula memutih dengan warna yang sangat memukau.

Bibirnya tersenyum. Mengingati wajah kecil milik Nuna.

"Sebab Allah buat, Nuna."

Dan dia mengulang jawapannya tempoh hari dengan hati yang sarat dengan rindu.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now