"Jadi kamu perlu sambung perjalanan Nyai, pergi ke sana."

"Untuk apa Nyai?" Mona kecut perut.

"Untuk membalas dendam."

"Huh?"

"Wanita itu, dia telah membunuh kedua orang tuamu."

Mata Mona membesar. "Aa..apa? Tapi sebelum ini Nyai kata mereka terbunuh dek serangan gajah hutan.."

"Nyai berbohong." Jujur Nyai katakan.

Mona tergamam.

"Nyai tidak mahu kamu terus berfikir tentangnya. Tapi kini kamu harus memikirkannya. Tanggungjawab ini jadi milik kamu. Kamu perlu cari perempuan jahat itu dan balas dendam."

"Bagaimana Mona ingin membalas dendam?" Suara Mona bergetar.

Nyai beraut sedih. "Dua orang tuamu dijumpai dalam keadaan rentung tanpa api yang membakarnya, maka kamu juga perlu membakar tubuhnya nanti."

Mona dapat merasakan perutnya memulas. Mendengar perkataan bakar sahaja sudah buat dia tertelan liur.

"Mona tahu kenapa kita tidak boleh menyalakan api yang terang pada waktu malam?"

Mona angguk. "Nyai pernah beritahu bahawa pulau ini tidak mengizinkan cahaya yang terang pada waktu malam bukan?"

"Benar, namun hakikatnya yang melarang daripada memasang cahaya yang terang itu ialah wanita itu. Dia sangat bencikan cahaya. Kerana itu sesiapa yang memasang cahaya maka akan terdengar bunyi serunainya lalu tubuhnya akan terbakar secara perlahan-lahan, dan itulah yang terjadi pada kedua orang tuamu."

Mona mengepal tangan. Hatinya perit membayangkan semua itu. Jahatnya perempuan itu.

"Perempuan itu punya serunai yang sangat hebat, berhati-hati dengan bunyi serunainya. Dengan serunai itu dia membunuh dan melunaskan amarahnya."

Nyai menghela nafas berat. Dua tangan Mona dipegang. Menyalurkan kekuatan.

"Mona perlu cari dia, cari dia di Teluk Nyai dan lunaskan dendam keluarga kita."

Mona terdiam menatap mata neneknya. Dia tidak yakin dengan dirinya. Dia tidak hebat. Bagaimana orang selemah dia hendak kalahkan seorang perempuan yang memiliki sebuah kerajaan?

"Nyai merayu pada Mona. Buat demi Nyai, Bonda dan Bapa."

Mona menghela nafas. Perlahan dia tersenyum.

"Mona akan cuba, Nyai."

Nyai tersenyum juga lantas mengusap kepala Mona. Sayangnya pada cucunya melimpah ruah.

SUDAH tiga jam berlalu, dan Mona tetap duduk di situ. Membatu di sisi neneknya. Seolah tidak mahu berganjak ke mana-mana. Mukanya beku. Hanya berbekas sedikit air mata yang sudah surut sejak sejam lalu.

Hakikatnya gadis itu benar-benar mengalami kejutan tak terhingga atas apa yang terjadi. Sehingga apa yang dia mampu lakukan hanyalah terduduk di sini tanpa mempedulikan sesiapa.

Entah untuk kali ke berapa, Iman berulang alik memasuki rumah untuk menjenguk keadaan Mona. Jam sudah menunjukkan pukul 0130 pagi namun perasaan kantuk mereka bertiga tidak berbaki walau sedikit atas apa yang telah terjadi.

"Macamana?" Henry bertanya sebaik sahaja Iman keluar dari rumah. Falah yang baru selesai solat malam mengangkat wajah. Masa senggang ini dia gunakan sebaiknya untuk melakukan ibadah itu. Henry pula menyertainya hanya pada dua rakaat pertama kemudian abang iparnya itu lebih gemar membuat kerja sendiri.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now