"Mona." Nyai tampak kesedihan.

"Sudahlah Nyai, jangan cakap apa-apa lagi. Mona cuma mahu Nyai tahu, Mona bahagia di sini." Mona langsung tidak memandang neneknya, buat-buat ralit dengan raga di tangan. Dia tak suka bila Nyai bangkitkan isu kebebasannya sebagai gadis biasa. Apa selama dua puluh tahun dia tinggal di sini dia tidak bahagia?

"Mona dengar dahulu bicara Nyai."

Mona berhenti menganyam apabila terasa pipinya disentuh tangan tua milik Nyai. Nyai memaksanya mengangkat muka. Mona perlahan megangkat muka. Dilihat Nyai sudah menangis. Wajah berkedut itu bertambah pucat apabila dihiasi air mata.

"Nyai.." Mona mula serba salah.

"Mona dengar baik-baik apa yang Nyai ingin bicara ini."

Mona terdiam.

"Satu waktu nanti Nyai tetap akan pergi.." Nyai mulakan bicara.

Mona ketap bibir mendengar ayat itu.

"Nyai sudah tua, Mona. Nyai sudah tidak lama."

"Nyai.." Mona hendak menangis.

Nyai menggeleng bersama senyuman. "Jangan sedih. Jadi perempuan yang kuat. Mona kuat bukan?"

Mona tidak sedar bilakah matanya penuh dengan air.

"Ingat pesanan Nyai baik-baik,"

Air mata Mona jatuh. Hatinya sayu.

"Jika satu hari nanti kamu pulang dari hutan dan kamu dapati Nyai sudah tiada, jangan lemah."

Mona menunduk, menangis perlahan. Tidak sanggup rasanya dia untuk membayangkan situasi itu.

Nyai tetap mengusap pipi cucunya, sesekali air mata kesayangannya itu dilap dengan jemari tuanya.

"Ketika itu jadi kuat dan berdikari, jangan sesekali lemah dan rapuh. Mona perlu keluar dari rumah ini dan mulakan perjalanan"

Mona mengangkat wajah yang sudah basah itu, menatap neneknya. Pesanan Nyai menarik perhatiannya.

"Perjalanan yang sebelum ini Nyai tangguhkan, kamu perlu sambung."

Air mata Mona mengering. "Perjalanan apa Nyai?"

Nyai berwajah serius. "Perjalanan menuju timur."

"Ada apa di timur?" Mona berkerut.

"Di sana terletaknya sebuah teluk, Teluk Nyai namanya."

"Nyai?" Mona terkebil pantas.

Nyai tersenyum. "Ya, Teluk Nyai. Nyai bermaksud nenek. Tidak khusus pada Nyai di hadapan kamu ini sahaja. Semua wanita tua berhak mendapat nama itu." Nyai berseloroh.

Mona tersengih cuma. Hilang sekejap sedihnya. Ya benar bukan Nyai itu khusus pada neneknya sahaja.

"Kamu tahu apa ada di sana?" Nyai kembali serius.

Wajah Mona berubah. " Apa ada di sana?"

"Sebuah kerajaan."

Mona jeda.

"Kerajaan yang dimiliki seorang wanita yang sangat hebat. Namun sangat kejam. Dia membunuh ramai orang."

Mona berkerut seriau. "Kenapa Mona tidak pernah tahu pun kisah ini?"

"Kerana Nyai tidak mahu hidup kamu terganggu dengan kewujudan kerajaan itu. Nyai mahu kamu hidup dengan aman."

Mona terharu.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now