FALAH menelan liur kelat sebaik sahaja mendengar cerita itu. Hatinya rasa dicucuk jarum halus.

Nuna..

"Dia seolah sudah tahu yang malam itu akan jadi malam terakhirnya untuk berjumpa kamu. Dan kalaulah kami juga tahu, tanpa teragak-agak kami akan bawa dia pada kamu Falah." Tok penghulu menghela nafas. Menyesal kerana tidak menunaikan permintaan Nuna yang terakhir itu.

"Maafkan tok." Tok penghulu bersuara perlahan. Falah diam sahaja. Menunduk menekur tanah lembap di atas kuburan Nuna.

"Nuna budak yang paling bijak pernah saya jumpa." Giliran Falah pula bercerita.

Tok penghulu memilih untuk diam.

"Dia ialah penguat semangat saya untuk terus berada di sini." Falah tersenyum kecil.

"Dia banyak mengajar saya tentang mengkagumi Allah dengan sebenar-benar haq. Dia mengajar saya merindui Allah dengan hakikat kerinduan." Falah menarik nafas dalam-dalam. Dadanya terasa sempit.

"Semoga Allah juga merahmati rohnya." Falah berdoa ringkas menutup ceritanya itu. Sebenarnya sedang menyembunyikan rasa sebak.

Tok penghulu senyap sahaja. Jeda kembali menghening.

"Apa kamu mahu lakukan selepas ini?" tidak semena Tok penghulu bertanya.

Falah bagai baru tersedar dari lamunan. Memandang Tok penghulu lama.

"Terus menetap di sini atau pulang ke semenanjung?" Tok penghulu membalas pandangan Falah.

Mereka saling berpandangan buat seketika sebelum Falah memandang hadapan bersama nafas yang ditarik dalam-dalam.

"Bagaimana kalau saya kata, saya tetap mahu berada di sini?" Soalnya.

"Maka itu akan membahayakan kamu. Penduduk kampung semua sudah pun memulau kamu, malah berkemungkinan besar untuk mereka membakar masjid kerana mahu kamu keluar dari kampung ini."

Falah menghela nafas mendengar jawapan itu.

"Tapi jika kamu keluar, dakwah yang telah kamu mulakan akan tergantung begitu sahaja tidak dihabiskan." sambung Tok penghulu, menatap wajah Falah dengan riak kosong.

Falah menunduk.

Benar, jika dia keluar, dakwah yang dia telah mulakan ini bakal tergantung begitu sahaja. Malah mungkin selepas peninggalannya, Pulau Jengka bakal menjadi lebih khurafat berbanding sebelum ini dengan kejadian yang telah berlaku.

Falah tidak dapat membayangkan bagaimana akan menjadi lebih teruk akidah penduduk Pulau Jengka jika mereka mengetahui tentang keislaman Nuna. Perlahan Falah menghela nafas.

"Keputusan itu di tangan kamu Falah. Tok percaya, dua lagi rakan kamu itu hanya akan mengikut kamu."

Falah hanya mendengar bicara Tok penghulu.

"Saya mahu perbetulkan akidah penduduk di sini tok." Falah bersuara. Matanya jernih menatap kuburan Nuna.

"Macamana sekalipun saya tidak akan tinggalkan penduduk kampung ini dalam keadaan masih syirik. Saya rasa.." Falah pejam mata. "..serba salah."

"Kematian Nuna bukan salah kamu." Tok penghulu faham maksud Falah.

"Kamu orang islam sepatutnya lebih percaya dengan ajal maut bukan." Tok penghulu turut memandang kuburan Nuna.

"Tapi pada pandangan penduduk kampung, kematian Nuna ialah dengan sebab saya. Maka patutkah saya tinggalkan mereka begitu sahaja selepas saya menambah kerosakan akidah mereka?" Falah pandang Tok penghulu dengan dahi yang sedikit berkerut.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now