GURISAN LUKA

11 1 4
                                        

“ Mereka tidak pernah melayan saya dengan elok, kenapa sekarang saya perlu buat begitu pada mereka?”

Sungguh, si suami merasa terpempan dan kaget. Selama lebih 20 tahun, inilah kali pertama si isteri meluahkan apa yang selama ini membusung dalam dadanya. Bulat mata si suami merenung isteri yang terisak-isak menangis di birai katil. Sungguh kali ini, tidak mampu lagi hendak dipujuk lara hati suri hati yang sangat dia cintai.

*************

Bukan sekali dua dia mendengar aduan dan luahan lara si isteri. Sejak mereka menjadi tunangan, sudah kerap benar tetapi setiap kali itu jugalah beliau hanya memujuk minta tunangannya bersabar.

Tidak dapat diterima akal, bila tunangnya selalu menceritakan bagaimana beliau rasa terluka dan terhiris gara-gara perbuatan dan kata-kata ibunya.

“ Tak masuk akal rasanya. Takkanlah emaknya sendiri sanggup kata begitu pada si anak? Sanggup emaknya sendiri buat hati anaknya terluka? “ seringkali dia tertanya sendiri.

*************

“ Eh, awak ni, dari anak dara sampai dah jadi isteri orang pun masih gemuk. Entah bila nak kurus. Ingat lawa sangat lah tu “ dia hanya mampu memandang si isteri bangun meninggalkan meja makan dengan linangan airmata.  Allahu Akbar, sampai hati mak cakap begitu, pada isteriku, pada anaknya sendiri.

“ Biarlah mak, dia gemuk ke dia kurus ke, dia isteri saya. Biar macamana pun rupanya saya tetap suka” emak terdiam bila dengan pantas dia mencelah.

Bukan setakat kata- kata, selama bertahun- tahun itu dia menyaksikan bagaimana isterinya dikutuk, dan dilayan tidak seadilnya di depan mata. Sebagai suami, kerapkali beliau dicengkam amarah. Tidak sekali pun si isteri membalas perbuatan dan kata-kata baik emaknya mahupun adik-beradik yang lain.

*******************

“ Abang, tolonglah saya. Jangan lah abang tunjukkan rasa marah pada keluarga saya. Biarlah mereka buat apa pun pada saya, saya serah semuanya pada Allah. Saya tidak mahu jadi anak derhaka bang. Saya tidak mahu mati dalam keadaan saya berdosa dengan mak dan keluarga”, dengan cucuran airmata, si isteri memujuk apabila pada suatu hari dia suarakan hasrat untuk bersemuka dan bertanya dengan ibu mertuanya kenapa si isteri selalu menjadi mangsa kemarahan dan perbuatan aniaya.

***********************

“ Abah pun selalu tertanya-tanya, apa salah dan dosa Mia. Entah apalah yang ada pada dia hingga emak kamu tak berkenan langsung pada dia. Dari kecil abah perhati, abah masih tak dapat jawapannya” keluhan bapa mertuanya di petang Aidilfitri berbelas tahun lepas mematikan niat untuk bertanya lebih lanjut.

Memang tidak dinafikan, dengan tubuh yang gempal dan kulit yang gelap, isterinya memang berbeza daripada adik-beradiknya yang lain. Adakah sebab itu beliau kurang disayangi? Namun, tiada siapa dapat menafikan hakikat di antara adik- beradiknya, si isterilah yang paling bijak dan berjaya dari segi kerjaya. Atau, adakah itu sebabnya? Sehingga hari ini, si suami masih buntu mencari jawapan.

***********************

Sehinggalah baru-baru ini, mereka ditimpa ujian musibah. Musibah berkenaan menjadikan keluarga mereka porak-peranda. Isterinya dicari keluarga untuk membantu menyelesaikan kekusutan sehingga akhirnya terpalit sama di dalam konflik mereka.

Terpancar rasa kecewa dan duka di wajah si ieteri namun beliau masih mampu mengawal emosi dan berusaha juga menyelesaikan setiap kekusutan. Si suami melihat betapa telah dikecewakan beberapa kali, si isteri masih berusaha mencari redha Allah dengan berbakti kepada ahli keluarga. Akhirnya terkeluar juga pertanyaan dari mulut sang ibu, “ boleh emak tinggal dengan awak?”.

***********

“ Abang, dah terlalu lama saya bersabar dan menahan hati dengan apa sahaja perbuatan emak pada saya. Selama ini saya tidak pernah dilayan baik. Emak selalu bezakan saya dari adik-beradik yang lain. Emak selalu kutuk saya depan adik- beradik saya hingga akhirnya mereka selalu ada pandangan buruk tentang saya. Saya bersabar, saya tahan kerana yang saya kejar adalah doa-doa baik dari emak. Bertahun emak biarkan saya derita. Tidak pernah sekali pun emak tanya apa perasaan saya diperlakukan sekejam itu. Saya sabar dan tahan. Tapi hari ini, bila emak dah tak berdaya begini, bila semua anak-anaknya yang lain dah tak mampu membantu, abang nak saya jaga mak? Untuk waktu ini, saya tak sanggup. Saya takut nanti bila mak tinggal dengan kita, akan sampai ketikanya emak tak tahan lagi kerana selama ini pun bukan saya anak pilihan mak, dan saya jadi anak berdosa kerana ada rasa tidak beres pada mak. Saya tak mahu. Doakan agar Allah lembutkan hati saya”

~ Daripada Nu’man ibn Basyir, sesungguhnya bapanya menghadiahkan baginya hamba miliknya. Maka berkata ibunya: Aku tidak meredhainya sehinggalah Rasulullah SAW menjadi saksinya. Maka pergilah Basyir ibn Saad (ayah Nu’man) bertemu Rasulullah SAW dan mengkhabarkan hajatnya. Bersabda Nabi SAW : Adakah setiap anak-anakmu, diberikan apa yang diberikan kepada Nu’man ?. Jawabnya: Tidak. Sabda Rasulullah SAW, bertaqwalah kepada Allah dan berlaku adillah antara anak-anakmu. ~

Si suami hanya mampu beristighfar dan membiarkan si isteri terus melepaskan perasaan di sudut bilik. Allahu, betapa besar kesannya perbuatan sang emak yang rupanya menjadi penderaan yang ditanggung anak. Anak itu amanah yang harus ditangani secara saksama. Sebagai ibu bapa yang memikul amanah itu, seharusnya setiap anak dilayan seadilnya. Semoga Allah mengampunkan dosa kita semua.

PUTIH PETAKAWhere stories live. Discover now