Suasana hari ini lain dari yang lain. Sunyi sepi tanpa sebarang bunyi. Hanya siulan burung yang berkicauan berselang seli menampar kesunyian itu. Salman kehairanan.
"Eh, mana pergi semua orang ni?" Bisik Salman didalam hati.
Selalunya suasana di kampus itu sangat sibuk tambahan pula semester ini baharu saja bermula. Baru semalam Salman melihat ribuan pelajar baharu berkeliaran mencari dewan kuliah.
Ada yang tersesat, ada yang terpinga-pinga cuba mengingat semula nombor blok bangunan school mahupun dewan kuliah. Ada pula yang tiba-tiba secara spontan melaungkan cheers pusaka orientasi. Yang senior seperti biasa hanya berkelakuan seperti selayaknya seorang senior.
Tetapi hari ini segala kesibukan itu hilang, kawasan ini sepi umpama dilanggar garuda. Salman yang menunggang motorsikal berhenti sebentar di hadapan masjid kampus. Niatnya ingin menunaikan solat zuhur sebelum kelas jam 2 petang bermula. Lumrah seorang pelajar, kelas jam 2 petang, jam 12 tengahhari baru bersiap namun kewajipan sebagai seorang Muslim tidak Salman lupakan.
Suasana di dalam masjid juga sepi, tiada seorang insan pun di dalam masjid tersebut. Selesai solat, Salman membelek telefon bimbitnya. Namun tiada isyarat. Salman berasa pelik. Kerana isyarat telefon ini sejak dia bangun sampai la sekarang masih tiada.
"Aduhhh, macammana aku nak wasap bini aku ni." Gumam Salman.
"Zupppp!!!" Tiba-tiba terpacak sebatang anak panah di tembok masjid tempat Salman bersandar. Hanya berjarak seinci dari kepala beliau.
"Oh mak kau!!!" Salman melatah terkejut.
Dihadapan bangunan perniagaan kampus terbabit, berdiri seorang lelaki yang amat dikenali oleh Salman memegang sebuah 'Crossbow' sambil menghalakan sasaran kepada Salman.
"Eh tu Amir tu, apa kejadah la dia pakai uniform Suksis harini, bukan hari wajib uniform pun." Bisik Salman sambil menuju ke arah Amir.
Namun sebelum sempat Salman mengorak langkah lebih hadapan, sebatang lagi anak panah melepasi sedikit sahaja dari telinganya.
"Alamak, mati aku mati aku. Amir dah gila." Jerit Salman ketakutan. Lantas dia terus ke arah motorsikalnya dan terus memulas 'throttle' motorsikal tersebut dan laju menuju ke arah pintu pagar utama kampus. Namun seolah-olah di jampi magis, pintu pagar tersebut tertutup dengan tembok tinggi berwarna biru.
Satu lagi anak panah Amir tersasar dari Salman. Membuatkan dia nekad melanggar Amir dengan motorsikalnya. Terkulai Amir dilanggar Salman. Jasadnya menghilang dan muncul pula sebuah kotak kayu. Salman membuka kotak kayu itu dan menemui sepucuk 'rifle' semi-automatik ikonik AKM dan sepucuk 'Crossbow'.
Di dalam fikirannya sudah tergambar seolah dirinya didalam alam permainan maya 'Player Unknown Battleground' atau lebih dikenali sebagai PUBG. Salman sememangnya seorang pemain tegar permainan tersebut. Di platform telefon bimbit mahupun komputer, keduanya menjadi pilihan dia dalam mengisi masa permainannya. Bahkan dia sudah ketagih bermain permainan tersebut sejak pertama kali diperkenalkan oleh rakannya, Nizam.
"Wahhh macam best ni, PUBG in real life doh." Salman berfikir. Lantas dia mengambil kesemua senjata dan peralatan yang ada dari kotak tinggalan Amir dan bersiap-siap.
Salman dengan penuh teliti membidik sambil memerhati keadaan sekeliling kampus. Sudah lima orang mati ditembaknya, dua orang pakcik JK dan tiga orang pelajar berpakaian formal. Kesemuanya tewas walaupun bersenjatakan pelbagai senjata moden. Bertambah banyak kelengkapan yang dibawa oleh Salman sekarang. Makin yakin dia dalam penentuan hidup mati permainan PUBG dalam dunia sebenar ini. Sememangnya inilah harapan Salman yang terlalu ketagih dengan permainan tersebut.
Jam tangannya sedari tadi berubah menjadi monitor kecil menunjukkan tinggal tiga orang sahaja lagi dalam permainan ini. Dia dan dua orang lagi yang tidak dikenali. Salman mendaki bukit menuju ke arah bangunan Canselori kampus tersebut. Tembok biru semakin menekan ke arah bangunan tersebut. Mahu tidak mahu, Salman perlu ke bangunan tersebut. Dia merasakan bahawa dua orang lawannya juga berada di bangunan tersebut.
"Huhh huhh huhh letihnya!" Keluh Salman sesudah sampai ke bangunan tersebut.
Salman naik ke aras beradanya pejabat Naib Canselor. Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan di dalam pejabat tersebut. Salman mengambil kedudukan separa berdiri dan bersiap sedia dengan riflenya. Perlahan-lahan menghampiri pintu pejabat yang separuh terbuka dan membidik rifle ke arah dalam pejabat.
"Huhhh, itu din tu." Gumam Salman perlahan. Melihat rakan sebiliknya sedang cedera parah sambil dibidik oleh Naib Canselor, Prof Aisyah.
Lantas Salman terus menembak kepala Prof Aisyah dan terus bergegas ke arah Din.
"Wehh din kau okay tak?" Salman berkata.
"Kau tak nampak ke aku dah nak mampos ni?" Balas Din lemah.
"Alamak sorry la haha, jap aku revive kau." Balas Salman.
Monitor di tangan Salman berbunyi nyaring dan menunjukkan amaran. "Ini adalah permainan mod solo, sila bunuh lawan terakhir anda." Terpapar di monitor tersebut ayat terbabit.
"Huhhh, din maafkan aku." Salman berkata lantas menembak kepala Din menggunakan pistol.
Tiba-tiba jasad Din bertukar menjadi seekor ayam panggang dan turun satu nota tertulis 'Winner winner chicken dinner.' Salman sudah menang cabaran ini.
Salman yang kelaparan terus memamah ayam tersebut dan tergelak terbahak-bahak sambil berkata "Akulah raja PUBG!!!!!" dan segalanya gelap selepas itu.
Keesokkan harinya, di sebuah kedai menjual majalah dan akhbar terpapar semua akhbar melaporkan berita muka hadapan tertulis 'Gempar! Pelajar ditangkap selepas melakukan pembunuhan beramai-ramai di kampus dan didapati mengalami gangguan mental, Naib Canselor antara mangsa. Suspek ditangkap semasa sedang memamah daging rakan sebilik."
Di sebuah bilik di dalam hospital sakit jiwa, kedengaran gelak tawa kuat mengilai dari bilik tahanan Salman.........heheheheheheee......
