Miss Tijah bercuti hari itu. Dia selalu bangun awal walaupun tidak bekerja. Selewat mana pun dia tidur, dia akan bangun selepas subuh kerana takut mukanya sembab kalau terlebih tidur.

Miss Tijah dan rakan-rakannya tinggal menyewa di tingkat atas Kelab Dangdut Cempaka Biru, sebuah bangunan rumah kedai. Dengar kata, tauke Cempaka Biru membayar sewa rumah mereka.

Miss Tijah baru pulang daripada mencuci rambut di sebuah salun tak jauh dari Cempaka Biru. Dia jalan melenggang. Dari jauh Miss Tijah sudah melambai. Usia Miss Tijah aku kira mungkin awal tiga puluhan.

Miss Tijah sudah lama bekerja sambilan di Cempaka Biru. Kata orang, dia pelayan paling disayangi tauke. Dia pernah kahwin dan bercerai dua kali. Miss Tijah selalu kata dia sudah serik mahu berkahwin lagi. Cukuplah dua kali berkahwin untuknya.

"Barang ada?" tanya Miss Tijah dengan senyum mesra. Cara Miss Tijah menyebut 'barang' seolah-olah aku ini penjual dadah.

Aku pernah bertanya padanya kenapa dia menggunakan nama Miss Tijah? Mengikut penjelasannya, Miss Tijah ialah nama seorang penyanyi Melayu lama yang terkenal dengan lagu Trek Tek Tek sekitar tahun 1938. Miss Tijah pada zaman itu adalah superstar opera Melayu. Pandai juga Miss Tijah tentang sejarah muzik Melayu.

Aku hulurkan beg plastik berisi kotak minyak wangi Chanel yang entah original, entah tiruan. Aku peduli apa. Janji aku jual dan dapat untung. Kibaran rambut Miss Tijah berbau harum.

"Berapa?" tanyanya.

"Harga biasa. Tak lebih. Tak kurang."

Miss Tijah sudah tahu hargaku. RM25 diambil dari dompet warna coklat tua yang dikepit di bawah ketiak dan diberikan kepadaku.

"Ari, jangan balik lagi. Temankan kakak minum," pinta Miss Tijah. Aku tak berdaya menolak. Aku memang suka berbual-bual dengannya. Aku suka mendengar dia ketawa. Aku suka melihat matanya yang besar berkelip-kelip indah.

Kami berbual-bual agak lama. Macam-macam hal. Itu ini. Begitu begini. Miss Tijah menasihatiku agar sambung belajar. Aku cuma mendengar dan angguk-angguk.

"Kalau tak ada orang nak tanggung Ari belajar, biar kakak tanggung." Miss Tijah menawarkan. Aku senyum-senyum. Tak ada niatku untuk sambung belajar. Cukuplah sampai SPM.

Lepas minum, aku mahu pulang, sekali lagi Miss Tijah menahan.

"Jangan balik lagi. Ada orang nak jumpa Ari," kata Miss Tijah perlahan. Aku dapat rasakan ada sesuatu dalam nada suaranya. Aku ragu.

"Siapa?" tanyaku.

"Dia ada di rumah kakak. Ikut kakak..."

Seperti dipukau, aku menonong ikut Miss Tijah menuju ke tangga. Kami berdua menapak naik ke rumah kedai atas Kelab Dangdut Cempaka Biru. Rohani dan jasmaniku kacau.

Aku mengekori Miss Tijah menghampiri pintu bercat kelabu. Miss Tijah membuka pintu grille dengan serangkai kunci.

Miss Tijah menjemput aku masuk. Aku takut-takut tapi tetap masuk. Miss Tijah mengangkat kasut kami lalu diletakkan di atas rak kasut tepi pintu. Rak kasut itu penuh dengan macam-macam jenis kasut perempuan sampai bertindan-tindan.

Perasaanku merusuh. Betulkah ada orang yang mahu jumpa aku? Atau Miss Tijah hanya mengada-adakan cerita? Perempuan pelayan mana boleh percaya. Entah-entah dia mahu goda aku, mahu mencemar keterunaanku.

"Orang yang nak jumpa dengan Ari ada dalam bilik. Tunggu kejap, kakak bagi tahu dia Ari datang."

Ruang rumah kedai itu luas dengan bentuk memanjang. Ada tiga pintu bilik yang bertutup. Bumbungnya tinggi. Aku langut melihat air well yang terletak di bahagian tengah. Cahaya masuk dari situ. Air well yang hanya ada di rumah lama berfungsi untuk pencahayaan dan ventilasi udara. Tidak banyak perabut di ruang tamu selain daripada meja kopi, set sofa dan sebuah peti TV. Bingkai kaca cross stitch dengan gambar pemandangan rumah desa Inggeris tergantung di suatu sudut. Ada nama Sona yang ditulis senget di bawah sekali menandakan Sona yang membuat cross stitch itu.

AriWhere stories live. Discover now