"Chel! Buka pintu!" Neyra memukul pintu tandas. Dia dapat merasakan ada sesuatu sedang muncul menerusi lubang tandas. Bulu romanya merinding, matanya dipejam rapat. Neyra enggan melihat 'benda' itu.

"Ney... ra..."

Satu bisikan kedengaran tepat di belakang Neyra. Suara gemersik perempuan. Neyra tetap memejamkan mata sambil tangannya terus memukul pintu tandas sekuat hati.

"Ney... ra... tolong..."

"CHEL!!!"

Serta-merta, pintu dikuak dari arah luar. Chel, dengan wajah yang terpinga-pinga lantas menarik Neyra keluar dari tandas itu.

"Neyra! Kau kenapa!"

"Chel!"

Neyra memeluk Chel. Tubuhnya menggigil. Chel cuba menenangkan sepupunya itu.

"Neyra, bertenang! Ui... tarik nafas. Bertenang," Chel mengurut bahu Neyra. Dia yakin, Neyra pasti sedang melalui satu keadaan yang menakutkan ketika itu.

Neyra terketar-ketar sambil meneguk air. Dia berusaha mengatur nafas sebelum memulakan perbualan. Sempat dia mengerling ke arah tandas. Lampu menyala terang, sedikitpun tiada sebarang kerosakan.

"Kau kenapa, Neyra?" tanya Chel.

"Chel... saya kena kacau!"

Chel serta-merta faham dengan apa yang dimaksudkan oleh sepupunya itu. Dia tidak mahu bertanya banyak, cukuplah setakat mengetahui Neyra berada dalam keadaan baik.

"It's okay, Neyra. Jangan risau," Chel mengusap belakang Neyra.

Selepas beberapa minit, akhirnya keadaan Neyra mula tenang. Chel setia menemani sepupunya itu.

"Chel," ujar Neyra.

"Apa tu?" Chel sebenarnya tidak sabar agar Neyra menceritakan kejadian yang telah dilaluinya sebentar tadi namun sengaja tidak bertanya.

"Ada suara minta tolong tadi..."

"Ui... kau dengar di dalam tandas?"

"Ya."

Neyra menceritakan setiap kejadian yang dialami. Chel terlopong dan sekali-sekala melilau keadaan rumah, seakan menyatakan perasaan seramnya sendiri.

"Mana ada oh, Neyra. Dari tadi saya tidur bah. Saya tiada keluar duduk-duduk di sini macam yang kau nampak tu. Ngam-ngam saya terbangun rasa mau kencing, masa itu la baru saya dengar kau teriak panggil nama saya," Chel bertambah gerun mendengarkan cerita Neyra itu.

TAK! TAK! TAK!

Mereka serentak berpandangan. Bunyi ketukan kedengaran.

"Ui... Neyra... apa tu..." Chel memeluk lengan sepupunya itu dengan perasaan takut.

"Shh... tidak apa-apa juga tu..." Neyra cuba menepis prasangka dan berusaha untuk memberanikan diri.

TAK! TAK! TAK!

Sekali lagi ia berbunyi. Pelukan Chel bertambah erat. Neyra cuma berdiam diri, cuba memastikan dari arah mana datangnya bunyi tersebut.

WUJUDWhere stories live. Discover now