Akhirnya Linda hanya beranggapan yang Abang Andika sebenarnya bersimpati padanya. Sekurang-kurangnya wujud juga manusia yang ada simpati macam Abang Andika dalam keluarga ini. Linda sudah sangat bersyukur. Cuma sekarang Linda masih tak dapat mengingati apakah sebenarnya yang terjadi tadi.



KETIKA Linda baru sahaja hendak memasuki bilik, seorang wanita cina menegurnya. Linda kenal wanita cina ini, dia ialah salah seorang gaji juga. Cuma dia dari kubikel lain. Penghuni kubikel Linda ramainya orang melayu dan ramai sudah tidur, yang belum tidur mula menjenguk ke arah Linda seolah Linda ialah artis.

"Oh amoi! Kamu sudah okay ka? Sudah tidak sakit kepala?" Wanita cina itu bertanya bersama senyuman risau.

Linda berkerut. "Macaman auntie tahu saya tak okay?"

"Aduh Linda.." Seorang wanita melayu di situ menyampuk. Terus bangun mendekati Linda. Linda memandang wanita itu dengan terkebil-kebil. "Awak tak ingat ke? Awak kan pengsan dekat dek atas. Satu feri tahu awak pengsan tau!" Kak Jihan, wanita melayu itu bersemangat bercerita.

"Macamana satu feri tahu?" Linda makin blur.

"Ada pengumuman untuk keluarga kamulah!" Auntie cina tadi mencelah. "Itu keluarga majikan kamu sangat kalut bila tahu kamu pengsan di dek atas, mereka orang bergegas naik. Itu majikan lelaki kamu, apa namanya itu.." Auntie tak ingat.

"Tuan Andika auntie!" Kak Jihan menyampuk dengan tawa gedik. Suka sungguh dia dengan pemilik syarikat kenderaan bumiputera itu.

"Haa Tuan Andika! Dialah yang angkat kamu ke bilik! Wah gentleman sungguh itu majikan kamu ya!" Tersengih-sengih auntie bercerita. Dia pun ada waktu melihat Andika seperti hero Malaya itu. Untung sahaja Linda dapat merasa dicempung Andika.

Linda senyap. Tiba-tiba dia rasa malu memikirkan keadaan itu.

"Sudah-sudah, kamu pergi mandi dan berehat ya. Pasti kamu begitu penat." Auntie yang baik hati itu menggosok bahu Linda. Dia seakan faham Linda penat.

Linda tersenyum kelat. Semua beransur menjauhi Linda. Linda pun bergerak ke almarinya. Hendak mengambil pakaiannya dan peralatan mandi. Namun sebaik dia membuka pintu almarinya, dengan sebuah cermin memanjang terdapat di dalam almari – dia dapat melihat sesusuk wanita tua berkelubung hitam sedang berdiri di belakangnya dengan mata yang merenung tajam. Apa lagi, terus sahaja Linda menekup telinga seraya bertinggung dengan jeritan yang memecah sepi kubikel ini. Matanya terpejam erat ketakutan.

"Linda? Kenapa Linda?" Kak Jihan menjadi orang pertama yang bertanya. Cemas melihat keadaan Linda yang seakan nampak hantu itu.

Linda tidak menjawab malah hanya menekup telinga. Tubuhnya menggigil. Wajah nenek tua tadi masih jelas dalam kepalanya. Dia dapat rasa makin ramai orang di sekelilingnya tapi dia tidak pedulikan semua itu. Suara-suara kecoh juga makin tenggelam.

Tika ini hanya satu suara bergema di akalnya.

"Ini ialah peringatan aku untukmu wahai sunti. Maka ingatlah dengan segenap hatimu."

Linda ketakutan.

"CANTIKNYA!!" Riuh rendah Wafana menjerit sebaik sampai di geladak atas. Kelihatannya sudah ramai penumpang feri lain yang berada di geladak atas ini, mungkin mereka yang lain itu sudah pun berada di sini sejak matahari terbit lagi.

Pagi ini, mereka memang sudah merancang awal-awal untuk keluar awal pagi bagi melihat panorama remang subuh di lautan. Pastinya sangat memukau. Namun mereka terlewat sedikit, nasib baik mereka sempat juga menikmati pemandangan cantik itu walaupun tidaklah secantik waktu mula-mula matahari terbit tadi. Kak Wafana dan Ibu Suraya mula sibuk mengambil gambar. Abang Andika lah yang menjadi mangsa deraan untuk mengambil gambar dua beranak itu, namun akhirnya deraan itu berpindah kepada Linda juga. Abang Andika sibuk dengan telefonnya. Malas nak melayan perempuan bergambar.

FALAH | Serunai Maut ✔Where stories live. Discover now