02: Laika & Dua Lipa

24 0 0
                                    


Laika bukanlah seorang yang cantik sangat. Tapi Laika putih orangnya jadi nampaklah macam cantik. Matanya bulat. Hidungnya kecil, comel.

Awal-awal pagi Pak Deraman Jaga sudah buat "Roll Call" seperti mana yang dia juga kena gasak semasa menjadi jaga estet dulu. Terbedik-bedik mata Laika dan Makcik Jeton (Zaitun) kalau Pak Deraman menggoncang-goncang pintu membangunkan mereka dari tidur. Makcik Jeton akan cepat-cepat bangun dan bergegas menanak air di dapur. Bukannya dia takut sangat pada Pak Deraman. Cuma malas mendengar kuliah subuh dari ustaz tak bertauliah itu. Kadang-kadang apa yang dibebelkan Pak Deraman pada isterinya itu bulat-bulat meniru ceramah di televisyen. Cuma penyampaian dan impak cerita Pak Deraman tidaklah sehebat Ustaz Kazim atau Ustaz Don itu. Makcik Jeton mengiyakan saja kuliah subuh Pak Deraman.

Cuma Laika sahaja yang tidak bergerak-gerak walaupun tepukan pintu biliknya sudah seperti bunyi Tsunami tiga beradik. Pak Deraman pun tidak berani mahu mengapa-apakan anak kesayangannya itu. Anak perempuan seorang. "Ratu Desa Gemalai pulak tu". kadang-kadang Pak Deraman berbisik sendiri sambal mengenang-ngenang betapa kecantikan Laika itu terletak pada bibirnya, mengikut bentuk bibir Pak Deraman.

"Ha elok la tu...anak dara bangun lambat. Esok-esok orang kata anak dara pemalas" jerit Pak Deraman sebaik sahaja berputus asa menepuk pintu bilik Laika. "Ini semua awak la punya bikinan Ton!" Pak Deraman segera mengalihkan bazooka kemarahannya kepada isterinya yang masih terkedip-kedip mengantuk di dapur. "Eh kita pulak disalahkannya. Kalau yang elok semua mengikut dia, kalau yang sumbang, semuanya sebab saya!" Makcik Zaiton memberi ulasan balas.

Betul juga kata Makcik Zaiton itu. Ketika Laika mengambil keputusan UPSR dulu, hanya matematik sahaja yang Laika cemerlang dengan mendapat grade C. Hebohlah Pak Deraman mengambil kredit bahawa Laika pandai matematik kerana dia yang pandai matematik. Padahal kalau disuruh mengira operasi darabpun, peluh jantan Pak Deraman akan berlumba-lumba turun. Kalau ada sifat ke-matematik-an Pak Deramanpun adalah kegilaannya pada nombor-nombor yang ditikam setiap petang Sabtu.

Laika yang masih meringkuk seperti kongkang itu terpaksa mendengar Pak Deraman dan Makcik Jeton berbalas-balas "pantun" di awal pagi. Habis mimpi "Leornardo DeCaprio" nya sebentar tadi terbantut. Ditariknya selimut cap rusa hingga menutup kepala tetapi perbahasan usul "kemalasan Laika salah siapa" itu memustahilkan Laika untuk sambung mendengkur. "Amende la ayah ni pagi-pagi buta ni?" Laika membawa celahan. Sengaja dikuatkannya suaranya agar Pak Deraman mendengar.

"Pagi kamu kata? Biawak pun dah balik makan ayam dua tiga ekor kau tau tak?". Biawak terkena lagi. Laika cepat-cepat mencapai tuala nipis di hujung katil sambal menyelendangkannya di atas kepala. Jawablah apapun, dia tidak akan menang melawan YB Deraman itu. Laika bangun dari katil, menghentak-hentak kaki menuju pintu dan membukanya. Pak Deraman masih ada berdiri di tepi bingkai pintu itu. Pak Deraman menggaru-garu tulang selangka di sebalik singlet pagodanya sambil menggeleng-geleng kepala tanda mengaku tewas dengan antik si Laika.

"Kucing kamu si Dua Lipa tu....udah menung aje tepi parit tu...cepat pegi tengok" kata Pak Deraman pantas memberikan laporan Buletin 7:00 pagi. "Huh? Kenapa pulak?" jawab Laika kaget. "Entah. Nak bunuh diri la gamaknya" jawab Pak Deraman pantas. Makcik Jeton terketawa kecil. Dua Lipa itu memang kesayangan Laika. Cuma dua tiga hari ini kucing itu kelihatan kurang aktif dan kemurungan. Mungkin sebab salah makan atau salah semua benda nak dimakannya. Laika berlari-lari anak menuju ke tepi parit. Benar Dua Lipa sedang merenung masa depan sambil kumat-kamit bahasa kucing.

Ketika itulah kelihatan kayuhan ceria Din Kumbang membelah asap nipis; asap Senah Dangdut membakar tempurung nak dibuat arang. Persis cerita-cerita John Woo Din Kumbang membelah "kabus" itu. Cuma tinggal tiada burung-burung merpati berterbangan "enter frame" menambah kesan dramatik babak itu. Din memperlahankan kayuhan. Tidak perlu diajar-ajarpun, kaki Din memang sudah menjadi "reflex" untuk memperlahankan kayuhannya di situ. Sudah rutin Din sebegitu semenjak lima tahun lalu. Untuk menyinggahkan selayang pandang buat cinta hatinya sang Laika.

Mak Jeton cepat-cepat mengintai jam di dinding dapur. "Ish pukul tujuh tu bapaknya". "Ha memang la" jawab Pak Deraman terlupa. "Ini kan time si Din punch card kat titi rumah kita tu?". Seperti mahu bersilat Pak Deraman membuka langkah. "Ye jugak". Cepat-cepat Pak Deraman mengemaskan ikatan pelikatnya. Bingkas Pak Deraman melangkah bendul, mencapai parang pendek di atas almari lalu bergegas ke arah titi.

Pak Deraman berlari-lari anak menghampiri Laika yang sedang membelai Dua Lipa.Dia buat-buat tenang walaupun agak semput juga bergegas ke tepi titi yang tidak sampai 50 meter itu.

"Semelekom fader in law" ucap Din Kumbang cukup lancar. Sengihan Din cukup dikawal-kawalnya. Dia tidak mahu senyumannya terlampau lebar sehingga Nampak seperti dia terhegeh-hegeh. Tidak pula terlalu kecil sampai nanti dikatakan Pak Deraman tak ikhlas atau senyuman bakhil. "Apa jugak yang kamu sengih-sengihkan pagi-pagi buta ni Din?" Pak Deraman terlupa menjawab salam Din Kumbang.

"Pagi-pagi ni kena dimulakan dengan salam yang positif Pak Deraman" sahut Din Kumbang dengan senyuman yang masih dikawal-kawal. Matanya cekap mencuri pandang Laika yang sedang mengelus-elus kepala Dua Lipa di tepi parit itu. Rambut hitam Laika kelihatan lembut meleleh di tepi tuala nipis penutup kepalanya. Jadi tidak keruan mata Din Kumbang mahu melihat yang mana satu. Memandang Laika atau memandang Pak Deraman?. Juling juga sudahnya Din Kumbang nanti. "Kamu nak berkayuh ke pekan, kayuh ajelah....yang nak kena menyinggah depan rumah aku ni kenapa?" jawab Pak Deraman sambil menimang-nimang parang pendek di tangannya.

Din kumbang tidak gentar. "Cinta harus tahan uji" bisik hati Din. "Mungkin hari ini bukan harinya Pak Deraman membuka hati untukku" pujuk hati Din sambil melirik parang pendek yang semakin galak ditimang-timang dek Pak Deraman.

"Saya kalau lalu di sini pagi-pagi mesti nak kena bagi salam pada Pak Deraman. Kalau dapat pandang wajah Pak Deraman, terus saya nampak jalan" kata Din Kumbang cepat-cepat mematikan ayat untuk mengumpan "punch line". "Jalan ke mana pulak?" Tanya Pak Deraman terjebak. "Jalan Sira thal mustaqim" jawab Din Kumbang dengan lenggok Rabbani. Din segera menolak basikal, mengangkat sedikit tapak tangan kanannya sambal memberi salam perlahan yang tidakpun berbunyi. Mata kanannya tetap betah mencuri pandang gadis kecintaanya itu. "Meow" kata Din Kumbang memberi salam entah kepada Dua Lipa entah kepada Laika.

"Waalaikum salam" jawab Pak Deraman menahan senyum. "Aku pulak di chia-chia-chia kannya?" Laika senyum dalam tunduknya. Dua Lipa terus menggigil memandang parit. Ada benih-benih senyuman di pinggir bibir Pak Deraman. 

Atas Atap Rumah Daraحيث تعيش القصص. اكتشف الآن