Dua jam sebelum waktu ketibaan pesawat Haura, Encik Hafiz dan Puan Karmila sudah terpacak di lapangan terbang antarabangsa itu. Mereka begitu teruja menyambut kepulangan Haura setelah 4 tahun menahan rindu yang menggunung. Siapa sangka, 4 tahun sangat pantas berlalu. Kini penantian mereka semakin tiba di penamatnya.
Setelah beberapa ketika, sosok anak gadis yang dirindui mula menampakkan diri. Walaupun tubuh itu terhalang oleh beberapa manusia lain, namun jiwa keibuannya tahu itulah sosok yang dirinduinya. Dalam keterujaan, Puan Karmila mengangkat tangan melambai kearah anak gadisnya itu.
"Assalamualaikum, mama papa! Ya Allah rindunya...." Haura berusaha mengawal nada suaranya. Tubuh mamanya laju dirangkul. Dia juga begitu teruja ketika anak matanya menangkap dua figura yang cukup dia rindui.
Pelukan Puan Karmila kemas ditubuhnya. Pelukannya lama tanda melepaskan rindu yang kian lama terpendam. Dia lega melihat kedua insan penting dihidupnya kini berada di depan mata. Hanya Allah yang tahu perasaannya tatkala ini. Mata Haura mulai dihiasi manik jernih.
"Waalaikumussalam, sayang papa. Haura sihat?" Tanya Encik Hafiz. Tubir matanya yang berkaca jelas menunjukkan rasa yang ditahan selama ini. Selepas Puan Karmila melepaskan rangkulan, giliran Encik Hafiz memeluk anak gadisnya itu. Haura mencium hormat tangan papanya. Tangan yang dirindukan hampir 4 tahun lamanya.
Hampir 4 tahun dia gigih menghabiskan pelajaran di bumi kinanah, cuma sekali dia berkesempatan pulang ke tanah air. Itupun ketika aidilfitri tahun pertamanya di universiti. Bukannya Haura tidak mahu pulang, namun dia lebih selesa menghabiskan cuti semesternya dengan berjalan ke tempat-tempat bersejarah dan menghadiri kelas agama terbuka yang sering diadakan di perkarangan masjid. Memandangkan tiket penerbangan pergi dan balik dari tanah airnya ke bumi anbiya itu bukanlah murah bagi keluarga kelas pertengahan seperti mereka, jadi ada baiknya cuti yang terluang dia gunakan untuk perkara lain.
"Alhamdulillah sihat, pa. Haura rindu sangat mama dan papa." Adu Haura dengan suara manjanya. Wajah mama dan papanya ditatap sepuas hati.
Beberapa saat berlalu, seorang lelaki muda mendekati mereka. Menolak troli bagasi kearah Puan Karmila dan Encik Hafiz. Senyum manis dihadiahkan buat dua figura lingkungan awal 50an itu. Haura memandang sekilas sosok lelaki tersebut dan memandang semula kearah orang tuanya. Ada senyum simpul disebalik kain purdah yang menutupi wajahnya itu.
"Ni siapa? Tak nak kenalkan dengan mama papa ke?" Tanya Puan Karmila sambil menunjuk kepada lelaki berkopiah putih di hadapannya kini.
Wajah anak muda itu redup, berkulit cerah. Mata bundarnya melekat kearah Encik Hafiz. Tangan kekarnya dihulurkan untuk bersalaman dengan lelaki seusia ayahnya itu. Encik Hafiz menyambut salam itu dengan penuh tanda tanya. Wajah anak muda ini sedap dipandang menurutnya. Terserlah aura yang sukar diungkap ketika dia merenung wajah muda tersebut.
"Ouhh ma, pa...ni kawan sepengajian Haura di Mesir. Kami belajar dalam batch yang sama. Kebetulan kami satu flight. Itu yang alang-alang dia tolong angkatkan beg Haura naik troli tadi. Kenalkan, ni Luqman, mama, papa." Kata Haura yg menunjuk ke arah Luqman.
Luqman tersenyum sedikit selepas diperkenalkan Haura. Saat yang paling dia nantikan, kini tiba. Jantung yang berdetak laju berusaha dikawal sebaik mungkin.
"Ouhh... Luqman. Dah lama ke kawan dengan Haura?" Soal Encik Hafiz dengan nada ingin tahu. Wajah dihadapannya ini seperti pernah dilihat, tapi entah di mana dia juga tidak mengingatinya.
ESTÁS LEYENDO
Samar Dalam Cinta
RomanceKita hanya mampu merancang tetapi Allah jualah yang Maha Menentukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangkali kamu membenci sesuatu pada hal ia amat baik bagimu, dan barangkali kamu menyukai sesuatu pada hal ia amat buruk bagimu. Allah Mengetahu...
