KAKINYA dicelupkan ke dalam air. Berkocak lembut air sungai yang tenang. Mentari pagi redup bercahaya setia menerangi semesta. Sesekali bayu singgah berbisik di telinganya, terasa nyaman dan penuh berirama. Beburung yang tadinya berkicau kini berehat di dahanan dan rantingan pepohon hijau. Si raja udang pula melayang di atas permukaan, mencari ikan yang bermain sebagai santapan paginya. Hati si dara girang, sementelah sudah sekian lama tidak dijejakinya bumi bertuah itu.
"Lama tak menjengah ke sini..." Ucap Sarah sambil memandang Sungai Pahang. Dia memerhatikan panorama pagi ciptaan Ilahi sebelum memerhatikan permukaan air. Senyap. Ke mana menghilangnya arjuna bernama Kamal itu? Baru sebentar tadi dia bermandian di pinggir bot jingga itu, dan tiba-tiba menghilang. Ah, merisaukan sungguh si Kamal ni!
"Sarah tengok apa tu?" Soal Kamal sambil berpaut pada dinding bot miliknya. Terkejut bukan kepalang Sarah mendengarnya. Dia berpaling ke belakang, sebelum ditepuknya lengan lelaki yang kebasahan itu. Suka membuatnya terkejut! Kamal tertawa kecil melihat kekalutan Sarah.
"Ish, kenapa you buat macam tu! Terkejut I!"Ujar Sarah. Matanya berkerut memandang Kamal. Mendengarkan bicara Baratnya masih meniti di bibir, spontan Kamal menempelak dirinya lagi.
"Eh, tak payah nak I you sangatlah! Ini kampung. So, behave like orang kampung, ya. Itulah, tadi orang suruh mandi sekali dia tak nak. Sekarang, sibuk mencari-cari orang pula!" Sindir Kamal. Sarah mengetap bibir. Geram mendengar pemuda itu membebel mengenai tutur bicaranya. Sememangnya dia sudah terbiasa begitu.
"Yalah. Sarah minta maaf..." Balas Sarah, acuh tak acuh. Kamal mengiyakan sahaja kata maaf darinya sebelum berenang ke sisi gadis berkulit putih halus itu. Berbaju T lengan panjang berwarna merah jambu kegemarannya dan berseluar sukan hitam gelap. Rambutnya yang ikal mayang diikat ke belakang, menyerlahkan lagi kecantikan wajah kacukannya. Philippines mix katanya!
"Dah lama Sarah tak balik, kan?" Soal Kamal sambil memandang ke tengah sungai. Dia duduk di dalam air yang separas pinggangnya, betul-betul di kaki si gadis yang sedang mengocak air sungai.
"Ya. Sangat lama. Sejak Sarah tinggalkan kampung ni." Balas Sarah, turut memandang ke tengah sungai. Ada putaran kenangan bermain di benaknya. Kamal menangguk air sebelum dipercikkan ke muka Sarah. Membebel marah si gadis kepada Kamal. Teruk!
"Sepuluh tahun tu rasa macam sekejap je, kan? Sedar tak sedar, kita dah kerja. Sarah jadi doktor dan Kamal pula buat bisnes." Ujar Kamal lagi setelah bicara terhenti seketika. Sarah mengangguk perlahan. Masa sememangnya dirasakan pantas berlalu. Masih terbayang di ruangan memorinya bagaimana di sungai itu tersimpannya beribu kenangan bersama Kamal dan teman-teman yang lain. Jikalau dihitung memorinya, pasti tidak akan habis sehingga lusa. Entah apalah yang terjadi kepada yang lain. Sarah memandang ke udara, sebelum berpaling kembali. Dia teringatkan sesuatu mengenai pemuda itu. Perihal keputusannya untuk tidak menjadi juruterbang dahulu.
"Kenapa Kamal tak jadi juruterbang sedangkan Kamal dah lulus semuanya? Pelatih pilot terbaik pulak tu." Sarah mengimbau cerita lama, membuatkan Kamal menghela nafas panjang. Gadis itu terkadang dirasakan pelupa. Sudah berkali-kali dia menjelaskan sebabnya.
"Sarah dah kenapa? Kan Kamal dah cakap, Kamal tak nak jadi juruterbang sebab..."
"Sebab Kamal tak nak tinggal Sarah? Eh, merepeklah!" Sarah memotong bicaranya. Kamal tersenyum. Sarah masih mengingati penjelasannya dahulu. Sememangnya ia lahir dari hati nuraninya yang ikhlas dan luhur. Dia tidak mahu membohongi Sarah.
"Kamal cakap jujur. Tak sanggup terbang di awan biru, sedangkan Sarah keseorangan." Balas Kamal sambil memandang gadis berbibir merah delima itu. Sarah ketawa berdekah-dekah mendengar alasan yang sama. Tidak mahu dirinya keseorangan sedangkan kerjanya menuntut dia bersama ribuan pesakit yang pelbagai ragam dan rencana. Kamal memang hebat bermain kata.
YOU ARE READING
Nota Cinta Dari Langit
General FictionNovel bergenre cinta psiko ini mengisahkan jalinan cinta yang tidak kesampaian di antara pemuda bernama Kamal dan gadis bernama Sarah. Mereka berdua adalah sahabat baik sejak dari kecil. Dibesarkan bersama-sama, Kamal merupakan lelaki yang setia dan...
