Sesi pengebumian berjalan dengan tenang, namun tidak benar-benar sunyi dari rasa yang tertinggal. Tangisan sudah perlahan reda, diganti dengan perbualan kecil sanak saudara di ruang tamu rumah lama itu, suara yang cuba mengisi kekosongan yang baru tercipta.
Namun bagi Jemy, semua bunyi itu hanya latar yang jauh.
Sejak tadi dia duduk di sudut, mata kosong merenung ke luar jendela. Entah apa yang dia cari di luar sana, mungkin jawapan, mungkin sekadar alasan untuk tidak berada di dalam dirinya sendiri.
Tanpa sepatah kata, dia bangkit. Langkahnya perlahan, namun pasti.
Pintu bilik datuknya berada di hujung koridor. Pintu itu tidak lagi kelihatan sama seperti dahulu, kini ia seperti sebuah sempadan antara masa lalu dan sesuatu yang tidak mahu diingat.
Jemy berdiri lama di hadapannya. Jemarinya akhirnya bergerak, perlahan memulas tombol pintu.
"Kreeeekkk..."
Daun pintu terbuka, seolah-olah mengeluh.
Udara di dalam bilik itu lebih sejuk. Lebih berat. Seperti masih menyimpan nafas seseorang yang baru sahaja pergi.
Jemy melangkah masuk. Matanya terus menangkap laci di penjuru bilik. Tanpa ragu, dia menariknya. Di dalamnya tersimpan sebuah album lama.
Dia duduk di tepi katil, menyandarkan badan, lalu mula menyelak satu demi satu halaman album itu.
Gambar-gambar lama. Wajah datuknya yang masih muda. Senyuman yang kini tinggal kenangan. Dan tanpa sedar air mata Jemy jatuh, satu demi satu, tanpa izin.
"Jeremy..."
Suara itu lembut, datang dari belakangnya. Sebuah tangan tua menepuk bahunya perlahan.
"Sudah lah... datuk kamu sudah tenang di sana. Kita tidak boleh terus menangisinya..."
Suara Nanny Garcia sedikit menenangkan jiwanya. Bahasa Melayu berslang Belanda itu terasa cukup menyentuh hatinya.
"Grandma..." suara Jemy pecah. "I'm sorry... I came late..."
Dia bangkit dan memeluk wanita itu erat, seolah-olah sedang memegang satu-satunya benda yang masih membuatnya rasa selamat.
"Your grandpa will understand..." bisik Nanny Garcia sambil mengusap belakang kepalanya.
Hening. Kemudian, dengan suara perlahan yang berat, Nanny Garcia menambah,
"You have to be strong, Jemy..."
Dia mengeluarkan sesuatu dari sakunya. Sebuah kunci lama.
"Sebelum dia pergi... he left a message. He wanted me to give this to you."
Kunci itu diletakkan di tangan Jemy.
"This is the key to the reading room downstairs."
Jemy mengerutkan dahi.
"He never allowed anyone to go in there. Not even me. But now... he gave it to you."
Suara Nanny Garcia perlahan menurun.
"Maybe there's something he wanted you to find. There's a diary there..."
Kata-kata itu jatuh seperti batu ke dalam dada Jemy.
"Thank you, grandma..." bisiknya, sambil menyeka air mata yang masih berbaki.
"Take your time," jawab wanita itu sebelum meninggalkan bilik.
Dan untuk pertama kali sejak upacara pengebumian itu berakhir, Jemy benar-benar keseorangan.
Hampir setengah jam dia hanya duduk tanpa bergerak.
YOU ARE READING
DARA
HorrorDARA by heijulseon-bae Because Dara does not fall in love. She claims. And once she looks at you... you stop belonging to yourself.
