Bab 100-Orang Tua Misteri

Start from the beginning
                                    

"Ramai yang naik tu?""Kira-kira antara sepuluh hingga lima belas orang.""Hum", kata saya lalu termenung panjang."Perkara macam ini, memang perkara biasa buat kami", kata Mat Tupai. Dia terus memandu bas, merempuh beberapa selekoh tajam. Mat Tupai senyum bangga.Menjelang waktu senja baru saya sampai dirumah. Datuk sudah menanti di kepala tangga. Wajahnya nampak serius sekali."Kamu dari mana Tamar?""Dari...", saya berhenti bercakap."Dari hutan Air Terjun.""Ha he...", saya tidak dapat memberikan jawapan segera. Rasa serba salah mula datang ke dalam diri. Memang pada awalnya saya mahu bercakap bohong dengan datuk. Tetapi bila sudah begini keadaannya, saya tidak berdaya untuk berbohong."Ya, saya ke sana tuk.""Kamu berjudi?""Tidak, saya cuma nak tengok saja tuk.""Apa yang kamu dapat?""Susah nak cakap tuk.""Lagi sekali kamu pergi ke situ, aku serahkan kamu kepada polis, biar kamu kena lokap," suara datuk cukup garang. Dia meninggalkan saya sendirian di kepala tangga. Datuk menuju ke masjid.Tanpa membuang masa saya naik kerumah. Saya segera mengambil kain basahan lantas menuju ke perigi. Kalau saya tidak mahu kemarahan datuk berlarutan, saya mesti menghadirkan diri di masjid, mesti sembahyang Maghrib bersama para jemaah yang lain-lain."Eh, mandi di telaga", saya mula terdengar suara dalam keadaan hari yang beransur gelap. Saya toleh kiri, toleh ke kanan. Orang yang bersuara tidak juga saya temui. Saya persetankan tentang suara itu dan saya terus mandi."Kamu berkawan dengan dia"Saya pasti itu suara Amjal Kamal. Dugaan saya tepat sekali, Amjal Kamal berdiri di depan saya sambil berpeluk tubuh."Eh, kenapa?", tanya saya, serentak dengan itu batang tubuh Amjal Kamal terus hilang. Apa yang kedengaran ialah suara ketawanya yang memanjang dan nyaring.Saya terasa tubuh dilempar dengan tanah liat keras yang datangnya dari setiap penjuru. Tanpa membuang masa saya terus lari naik ke rumah dengan rasa cemas yang amat sangat.Nenek ketawa besar melihat telatah saya yang lucu. Apa yang dialami saya ceritakan pada nenek. Saya merasa hampa dan kecewa sekali. Nenek tidak dapat menerimanya dan menuduh saya lemah semangat. Nenek terus menggesa saya supaya segera pergi ke masjid. Saya tidak ada pilihan dan terus patuh pada perintahnya itu.Saya bersyukur, bila sampai di masjid, kemarahan datuk terus reda. Dia masih mahu senyum dengan saya. Malah, selesai sahaja sembahyang Isyak, saya dan datuk pulang bersaing. Seperti selalu, bila jalan berdua-duaan dengan datuk, dia tidak pernah sunyi memberikan nasihat dan petua pada saya.PERTEMUANTiga hari kemudian, tanpa disangka-sangka saya terserempak dengan Wak Juno di depan dewan orang ramai. Dia berhenti di situ kerana mempamerkan barang-barang dagangannya seperti tikar, tudung saji, bakul, nyiru dan lain-lain. Ada sesuatu yang saya rasakan aneh pada Wak Juno.Selalunya, dia lebih banyak bercakap tentang barang-barang yang dijualnya. Ada waktunya, dia bercerita pengalaman pahitnya menentang tentera Belanda di Jawa Tengah, terutama di daerah Solo tetapi, kali ini dia menceritakan pengalamannya membawa Amjal Kamal.Menurutnya, setelah Amjal Kamal naik kereta dengan ditemani oleh orang tua, dia terus memandu keretanya dengan tenang. Sepanjang perjalanan orang tua tersebut terus memandang wajah Amjal Kamal tanpa berkata apa-apa. Cuma Amjal Kamal sahaja menjerit minta tolong dan ampun pada orang tua itu, seperti ada sesuatu yang dilakukan oleh orang tua itu ke tubuh Amjal Kamal, padahal anggota tubuh orang tua itu tidak bergerak.Sesekali Amjal Kamal berjanji dan bersumpah tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu dan bersedia mahu bertaubat. Setiap kali Amjal Kamal menjerit dia pasti akan terkencing. Akibat terlalu kerap menjerit dan kencing, bau air kencing itu bercampur dengan bau najis.Anehnya, Wak Juno tidak dapat menyatakan perkara yang tidak disenanginya itu pada orang tua tersebut. Setiap kali dia mahu bersuara, kerongkongnya seperti tersumbat. Macam ada sesuatu yang melekat di situ."Bila saya berhenti depan hospital, orang tua terus buka pintu dan keluar. Saya tengok dia bercakap sendiri seperti mengeluarkan perintah pada seseorang yang tiada di depannya", Wak Juno bercerita sambil angkat tangan ke kanan dan ke kiri. Air liurnya mercik ke arah orang yang berada di depannya. Saya bertambah minat untuk mendengarnya lalu duduk bersila di tepi dewan orang ramai."Selesai saja dia bercakap, saya lihat dua orang pekerja hospital bawa pengusung lalu mengangkat orang yang sakit ke bilik pemeriksaan", lanjut Wak Juno, wajahnya nampak resah. Dia renung kiri dan kanan. Bimbang kalau orang tua tersebut muncul cara mengejut. Dalam nada suara yang merendah, Wak Juno terus bersuara."Saya bersungut pada orang tua itu tentang keadaan kereta yang penuh dengan air kencing dan bau najis. Orang tua itu tersenyum lalu menumbuk pintu kereta belakang saya dua kali berturut-turut."Lepas tu apa yang jadi?" , tanya seorang perempuan tua yang boleh dipanggil mak cik."Bau air kencing dan najis hilang, kereta saya kembali bersih. Orang tua itu bersalam dengan saya sambil menghulurkan wang. Saya tolak pemberiannya, orang tua itu mengucapkan ribuan terima kasih. Dia hilang depan mata saya sendiri," sambung Wak Juno. Semua biji mata orang ramai yang berada di situ separuh terbeliak.Ramai di antara mereka yang menggelengkan kepala. Di wajah mereka terbayang rasa takjub yang amat sangat. Wak Juno mengakui peristiwa yang terjadi di depan matanya itu membuat dia cemas dan badannya menjadi seram sejuk. Akhirnya, dia menggeletar. Wak Juno segera mencari pekerja hospital yang mengusung Amjal Kamal tadi.Dengan diiringi pekerja hospital, Wak Juno dibawa ke wad Amjal Kamal ditempatkan. Pekerja hospital itu terkejut besar. Katil Amjal Kamal kosong."Ke mana dia pergi?", pekerja bertanya pada orang berdekatan."Tadi ada orang tua datang, beri dia minum segelas air", jawab orang yang ditanya."Lepas itu apa dah jadi?", desak pekerja hospital."Saya tengok si sakit terus baik dan minta ampun pada orang tua. Orang tua tu tampar mukanya sekali. Dia bangun dan terus keluar dari wad ini.""Orang tua tu pergi ke mana?", tanya Wak Juno."Dia hilang dengan sekelip mata saja."Pekerja hospital dan Wak Juno saling berpandangan. Tanpa mengucapkan sesuatu pekerja hospital meninggalkan Wak Juno sendirian di situ. Beberapa minit kemudian Wak Juno pun meninggalkan wad tersebut dengan seribu keanehan yang berserabut dalam tempurung kepalanya."Sejak kejadian tu saya selalu rasa takut, bawa kereta seorang diri pun rasa cemas. Saya rasa macam ada orang yang ikut," begitulah Wak Juno membongkar pengalamannya pada para pelanggannya."Sekarang ni awak ingat orang tua tu ada tak dekat sini?", satu pertanyaan nakal dari pelanggan Wak Juno. Bukan pertanyaan yang ikhlas.Orang itu mempersendakan Wak Juno. Sebagai orang yang kaya dengan pengalaman dan karenah kehidupan manusia, Wak Juno hanya tersenyum sahaja."Bagi orang yang tak pernah mengalaminya tentu tak mahu percaya, terpulanglah," Wak Juno merendah diri. Dia terus mengemaskan barang-barang dagangannya untuk dimuat ke dalam kereta.MUNCUL"Wak Juno", jerit Udin Tarzan yang muncul secara tiba-tiba. Keadaan diri Udin Tarzan kali ini agak berbeza dari apa yang pernah saya lihat. Udin Tarzan bercakap agak sopan, tidak membanggakan diri. Dari wajahnya, saya lihat dia sedang menghadapi tekanan perasaan yang amat sangat. Sentiasa resah dan cemas.Kali ini Udin Tarzan memakai baju Melayu potongan Teluk Belanga warna merah jambu serta bersongkok lebai warna hijau. Sekali pandang, memang dia nampak macam orang alim atau orang baik-baik. Mungkin kerana jarang bertemu atau tidak pernah bertemu dengan orang yang menyebut namanya, membuat Wak Juno termenung sejenak seperti mengingati sesuatu."Ya, saya dah lupa, di mana kita pernah berjumpa? Apa khabar sekarang?", Wak Juno hulurkan tangan pada Udin Tarzan. Tetapi Udin Tarzan seperti keberatan untuk menyambut huluran tangan dari Wak Juno. Akhirnya, Udin Tarzan terpaksa menyambutnya dengan perasaan separuh hati."Wak mungkin tak kenal dengan saya, tapi, saya kenal dengan Wak maklumlah Wak orang berdagang", ujar Udin Tarzan. Wak Juno terus mengedutkan dahinya."Saya ingat. Awak pernah cekak leher baju saya, awak tekan mata pisau belati ke leher saya, kemudian awak ambil duit jualan tikar saya, kira-kira dua ratus ringgit," suara Wak Juno tersekat-sekat.Harap maklum, sila jangan menyalin bahan ini tanpa kebenaran. Kredit kepada pengimbas/jurutaip sahaja tidak mencukupi, kebenaran perlu dipohon sebelum bahan ini boleh digunapakai.
(Bersambung...)

Siri Bercakap Dengan Jin, Tamar Jalis ( Jilid 7 ) (COMPLETE)Where stories live. Discover now