BAB 4~ Melastik Ke HatiMu

Start from the beginning
                                    

Tak tahu kenapa hatinya tertarik dengan gadis itu sejak pertama kali berjumpa. Eh! Bukan berjumpa, mungkin lebih elok dipanggil ‘terserempak’. Dia perhatikan sahaja gerak-geri gadis itu dari dalam kereta semasa di lampu isyarat tempoh hari. Lagi menggembirakan hatinya bila melihat logo kilang pada baju wanita itu. Dah tahu dia kerja dekat mana.

Haura telan liur. Ada ke akta jenayah macam tu. Gula-gula getah saja, bukannya dia ludah benda-benda berat contohnya macam besi, kayu, batu. Benda kecil aje pun. Dia mesti nak takutkan aku.

“Habis awak nak saya buat apa?” Soal Haura.

Dalam waswas tu, ada juga perasaan takut di hatinya. Kalau betul akta yang dia cakapkan tu, memang ke penjara aku. Zaman sekarang ni zaman orang suka viral benda-benda pelik. Kalau dia post video aku meludah dengan jayanya tu, mesti satu Malaysia kecam aku nanti.

“Dating dengan saya,” ajak Ziyyad berani.

“Eeeuuu… pleaselah! Daripada keluar dengan mamat poyo macam awak ni, saya rela masuk penjaralah. Dahlah, good bye!” Sempat lagi Haura menjelirkan lidah sebelum laju meninggalkan tempat letak kereta itu.
Lantak kaulah nak buat apa pun pada aku. Tak kuasa aku nak layan. Ada hati nak dating dengan aku. Eh! Aku ni teman wanita Naim tau. Tahu tak siapa Naim? Bukan siapa-siapa pun, cuma abang posmen sahaja tapi aku sayang dia. Hahaha…

Ziyyad hanya memerhatikan setiap langkah gadis itu hingga hilang dari pandangan. Bibir tak lekang dari senyuman. Timbul satu perasaan aneh dalam hatinya.
Aku dah ‘tersuka’ dia ke?

“Yad!”

Tersentak Ziyyad bila bahunya tiba-tiba ditepuk dari belakang. Kalau dia ada sakit jantung, memang dah lama dia mati dulu. Tak guna betul si ‘lawyer’ ni!

“Siapa tu?” Soal Lokman ingin tahu. Dari jauh dia nampak Ziyyad bersama seorang gadis.

Ziyyad hanya senyum.

“Siapa nama dia?” Soal Lokman lagi.
Ziyyad jongket bahu. Lokman kerutkan dahi bila melihat kawan baiknya masih lagi memandang ke arah laluan yang digunakan gadis tadi walaupun sudah tidak kelihatan sesiapa lagi di situ. Siap tersengih-sengih. Dah macam kerang busuk. Jarang sekali dia melihat perlakuan Ziyyad begitu. Hati sudah suka ke?

“Kau tak kenal dia?”

Ziyyad geleng.

“Kau cakap apa dengan dia?” Soal Lokman. Bukan selalu dia boleh tengok perlakuan pelik dari kawan baiknya itu.

“Aku ajak dia dating.”

“Hah?” Bulat mata Lokman saat mendengar kata-kata dari lelaki yang paling susah mengajak seorang wanita untuk keluar bersama. Apatah lagi sejak berstatus duda.

Tak kan wanita tadi dah berjaya menggetarkan jiwa lelaki yang berhati batu itu?
###

SUIS lampu yang berada di tepi pintu dipetik. Sambil menyanyi-nyanyi, dia melompat ke atas katil. Sekuntum bunga mawar dikeluarkan dari dalam beg. Senyuman lebar terukir bila teringat kejadian tadi. Macam tak percaya yang Naim buat kejutan pada hari lahirnya. Siap candle light dinner tepi pantai lagi. Yang tak tahan tu, makan burger saja.

Bunga mawar merah ni, Naim yang bagi. Bila dihidu, memang tak ada bau. Bunga plastik katakan. Naim cakap, kalau bunga hidup nanti cepat layu. Kalau bunga plastik, sampai bila-bila pun tak akan berubah dan akan terus segar seperti cinta kita. Kali ini aku rasa Naim betul-betul sweet.

“Angah!”

Tersentak Haura bila tiba-tiba suara maknya bergema di luar bilik. Bukan main kuat lagi mak menjerit. Dah macam suara puntianak. Apa yang mak kecoh-kecoh malam-malam ni?

“Ya mak!” Sahut Haura.

Bunga pemberian Naim disimpan dalam laci sebelum melompat turun dari katil. Seram sejuk dia tengok maknya bercekak pinggang di ruang tamu dengan muka seperti orang tak makan setahun.

“Kau pergi mana?” Soal Mak Limah dengan jelingan tajam bila anaknya mula melabuhkan punggung pada kerusi kayu.

“Pergi mana? Angah kan dah cakap yang angah OT,” bohong Haura.
Itu sahaja alasan yang boleh diguna pakai. Selalunya alasan itu lepas dari pengetahuan mak. Kalau ada along, wanita itu akan meyakinkan lagi penipuannya. Rasa macam dah lama tak jumpa dengan kakaknya itu. Sejak berkahwin, along terus berhenti kerja atas arahan dari abang iparnya. Kata lelaki itu, dia mampu menanggung semuanya.

“Kau jangan nak menipu aku! Kau keluar dengan budak tak ada wawasan tu kan?” Jerkah Mak Limah kuat. Dia betul-betul tak sukakan lelaki muda bernama Naim itu.

Budak tak ada wawasan mak panggil? Haura geleng kepala. Suka-suka dia aje nak hina orang. Mak ni kan, kalau bercakap tak pernah tak menyakitkan hati.

“Angah kerjalah mak. Bila masa angah keluar dengan Naim,” dalih Haura lagi.

Ini mesti ada mulut-mulut celopar yang bercakap pasal aku. Kalau tak, mana mungkin mak boleh tahu aku keluar dengan Naim. Mak bukannya jenis yang suka keluar berjalan-jalan. Dulu bolehlah keluar mengumpat dengan mak cik-mak cik dekat kampung ni, sekarang ini jangan harap.

Dia bekerja dan adik-adiknya yang lain semuanya tinggal di asrama. Yalah, kalau keluar siapa nak jaga ayah dekat rumah.

“Tadi Mak Cik Senah datang. Dia cakap anak dia nampak kau keluar dengan Naim, betul ke?” Soal Mak Limah. Sehabis boleh dia cuba menghalang perhubungan mereka berdua. Harap-harap tak menjadilah sebab aku tak nak berbesan dengan keluarga Naim.

Haura tergelak kecil. Sesekali dia gelengkan kepala. Bila dengar nama Mak Cik Senah, dia tarik nafas lega. Mak ni memang betul-betul tak nak aku kahwin dengan Naim tapi aku pula beria nak jadi isteri lelaki itu. Alahai…tertekan betul!

“Mak Cik Senah tu, anak dia sendiri pun bunting tak ada ayah, sibuk aje nak jaga tepi kain anak orang. Mak percayalah dengan Mak Cik Senah tu? Semua orang kampung tahulah perangai Mak Cik Senah tu mak, tak kan mak nak dengar cakap dia daripada anak mak sendiri,” balas Haura.

Keluarga sendiri kucar-kacir, sibuk nak menyibuk hal keluarga orang lain. Kan tak pasal-pasal aku bakar juga rumah orang tua tu.

Mak Limah terdiam seketika. Ada betul juga apa yang dikatakan anaknya itu. Senah tu bukan boleh dipercayai sangat. Selalunya lebih sudu dari kuah.

“Dahlah mak, angah nak mandi. Lepas tu nak tidur. Nah duit gaji angah bulan ni.” Haura keluarkan duit dari poket seluar lalu diletakkan atas tapak tangan maknya.

Memang setiap bulan, kesemua gajinya harus diberikan pada wanita itu. Kalau tak, mulalah membebel tak henti-henti. Dia pula yang terpaksa mengemis setiap hari untuk meminta perbelanjaan seharian di tempat kerja. Nak membeli-belah macam orang lain, jangan haraplah.

Laju kakinya diayun menuju ke bilik. Sekali lagi tubuhnya dihempas pada tilam. Keluhan panjang dihela mengenangkan nasib diri yang tidak seperti orang lain. Dia tahu yang maknya lebih sayangkan adik-adiknya yang lain disebabkan mereka berpelajaran tinggi dan mempunyai harapan yang cerah untuk memperoleh pekerja yang lebih baik daripadanya.

Apa yang berlaku pada dirinya bukan kehendak dia sendiri. Menyambung pelajaran? Bukannya dia tidak mahu tapi tanggungjawab pada keluarga lebih penting dari segalanya. Kalau dia tak kerja, siapa yang nak bagi orang dalam rumah ni makan? Siapa yang nak bayar yuran pengajian adik-adik yang lain?

Sebelum ini, along ada membantu. Sekarang ni, semua atas kepala dia sendiri. Along sudah tidak bekerja lagi. Tengok pada gaya, menantu kesayangan mak tu pula tahi hidung masin. Sampai sekarang tak pernah nampak lagi lelaki itu menghulurkan duit pada keluarganya. Itu ke yang mak nak selama ni? Hidup senanglah konon!


Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now