BAB 3~Melastik Ke HatiMu

1.9K 11 0
                                    

HAURA memandang sekilas jam di pergelangannya. Patutlah dari tadi lagi perutnya berkompang, rupa-rupanya dia belum makan tengah hari lagi. Buat kerja sampai lupa nak makan. Nasib baiklah dia tak ada penyakit gastrik.

“Ura, jomlah pergi makan. Dah masuk waktu rehat ni. Kau tahu tak, aku ni kalau tak makan boleh mati tau. Silap hari bulan, esok kau dah tak jumpa aku lagi.”

“Overlah kau ni. Tak matilah kalau tak makan sehari,” balas Haura sambil menggeleng dengan kerenah gadis itu.

Dekat kilang ni, Ain lah kawan yang paling rapat dengannya. Boleh dikatakan semua rahsianya Ain tahu. Apa yang dia suka pada gadis itu adalah sikap amanah. Apa yang dia cerita tidak pernah sampai ke telinga orang lain lagi.

“Jomlah pergi kantin.” Haura menarik tangan Ain.

Usai membuat bayaran, matanya liar mencari tempat duduk. Agak ramai orang di kantin ketika ini. Waktu-waktu macam ni, memang semua orang tengah lapar. Matanya terhenti pada meja yang paling hujung. Kelihatan seorang lelaki sedang menjamu selera. Selama dia bekerja di situ, tidak pernah sekali pun dia nampak lelaki itu. Pekerja baru ke?

“Ura! Sini-sini!”

Dari jauh dia melihat seorang lelaki melambai ke arahnya. Dia kenal lelaki yang memanggilnya itu. Belum sempat dia membuat keputusan, Ain terlebih dahulu melangkah ke arah meja itu. Nak tak nak dia terpaksa mengikut. Lagipun memang tak ada meja yang kosong ketika ini.

“Dah lama tak makan dengan awak,” tutur Haris gembira. Bukan selalu wanita itu nak duduk satu meja dengannya. Selalunya Haura jual mahal.

“Makan…” Haura tersenyum kelat.
Tak ada mood dia nak melayan lelaki yang pernah meluahkan rasa cinta padanya suatu ketika dahulu. Kalau bukan sebab tak ada meja kosong, memang dia tak akan duduk berhadapan dengan dia ni. Dari tadi lagi tersengih-sengih macam kerang busuk. Geram aku rasa nak jentik je atas dahi dia dengan garpu.

Sesekali matanya dilempar ke arah meja yang paling hujung. Masih memerhatikan lelaki yang agak kacak dari pandangan matanya sedang menyuap mi goreng ke dalam mulut.

Ada sesuatu yang menarik tentang lelaki itu di matanya hingga tidak tersedar nasi yang ingin disuap ke mulut tersasar ke pipi.

“Kau ni dah tak jumpa mulut sendiri ke?” Soal Ain pelik.

Tersembur gelak tawa Ain dan Haris. Melekat sambal ayam masak merah di pipinya. Dah macam budak-budak makan.

Cepat-cepat Haura mengelap pipinya menggunakan tisu sebelum lagi ramai jadikan dia bahan lawak. Lagi memalukan bila lelaki yang dia perhatikan tadi turut sama memandang ke arahnya bila suara gelak tawa Ain kuat kedengaran.
Aduh, memalukan betul! Si Ain ni pun satu! Tak payahlah gelak kuat-kuat. Rasa nak hempuk pakai pinggan aje perempuan ni!

“Dahlah weh! Langsung tak jaga air muka aku!” Marah Haura.
Jarinya laju mencubit lengan Ain yang berada di sebelah. Apa punya kawanlah. Bukan nak tolong, tapi digelakkan pula.

Terus hilang selera dia nak makan. Pinggan nasi ditolak sedikit ke depan dan jus tembikai dihirup perlahan-lahan.

“Kau tengok siapa sampai tertukar mulut dengan pipi?” Nada suara Ain masih tak dapat dikawal. Masih ada tawa di hujungnya. Sesekali matanya melilau sekeliling hingga matanya mati pada satu sudut.

“Kau tahu tak siapa yang kau duk perhati tu?” Soal Ain yang kembali menumpukan perhatian pada makanan di depannya.

“Siapa?” Laju mata Haura beralih pada muka Ain yang begitu berselera. Rupa dah macam tak makan setahun. Memang patutlah badan kau lagi besar dari aku.

Melastik Ke HatiMuWhere stories live. Discover now